Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

SARAPAN pagi ini ringkas sahaja. Bihun goreng yang ditabur telur dadar di atasnya. Aku menolong ibu membancuh air kopi. Tidak lama kemudian, ayah muncul di dapur. Ibu segera menyendukkan bihun ke dalam pinggan dan menuangkan air kopi ke dalam cawan lalu meletakkannya di hadapan ayah.

Dari dahulu sehingga kini kemesraan ibu dan ayah tidak pernah berkurangan. Aku berharap agar satu masa nanti, sekiranya aku sudah berkahwin, aku dapat menjadi seorang isteri sebaik ibu dan dikurniakan seorang suami sebaik ayah.

"Auni, fikirkan apa lagi tu? Makan cepat! Sekejap lagi temankan ibu ke pasar. Ayah ada hal, tak dapat nak temankan ibu."

Aku cepat-cepat mencapai garpu dan menyuapkan bihun ke dalam mulut.

Ah! Nikmatnya dapat menikmati hidangan ibu. Sedap betul. Tidaklah macam bihun yang selalu aku beli di kafeteria, keras semacam. Sudahlah mahal, jangankan ayam, seekor ikan bilis pun aku tak nampak diletakkan dalam bihun tersebut. Tapi bak kata Waida, bersangka baik. Mungkin tuan kedai itu mahu menyimpan duit buat belanja pergi haji atau umrah, siapa tahu? Doakan sahajalah.

"Ayah ada hal apa, ibu?" Di dalam kereta, aku bertanya. Sewaktu itu, kami dalam perjalanan menuju ke pasar. Pelik juga rasanya, ayah biasanya jarang keluar pada hari minggu.

"Ayah ada urusan penting yang nak diuruskan." Pendek sahaja jawapan ibu.

"WAH... Makan besar kita hari ni! Banyaknya ibu beli. Macam nak buat kenduri aje." Banyak betul barang-barang yang dibeli ibu. Dua kali aku berulang-alik dari dalam pasar ke kereta. Sudahlah barang-barang itu boleh tahan beratnya, semput aku dibuatnya.

"Anak ibu baru balik, biarlah makan yang sedap-sedap sikit," ujar ibu pula. Aku tersenyum mendengar jawapan ibu.

Sekembali dari pasar, ibu mula sibuk di dapur. Aku menolong ibu menyediakan juadah untuk makan tengah hari nanti. Namun, hatiku mula tertanya-tanya, juadah yang disediakan hari ini agak istimewa dan dalam kuantiti yang agak banyak, sedangkan yang ada di rumah hanya kami tiga beranak sahaja.

"Ibu masak banyak-banyak ni, ada tetamu nak datang ke?" Aku bertanya memandangkan perasaan ingin tahu itu sudah tidak dapat aku tahan lagi.

"Ada kawan ayah nak datang. Itu yang masak lebih sikit. Auni tolong ibu bersihkan ayam, boleh? Ibu nak sediakan bahan-bahan untuk memasak ni."

Tanpa sebarang soalan lagi, aku terus bangun menuju ke singki. Kalau setakat menolong ibu menyediakan bahan-bahan untuk memasak, memang tiada masalah. Tetapi, janganlah suruh aku memasak, jawabnya, kalau masak kari, berkemungkinan besar kari itu bertukar menjadi dalca pula disebabkan kemahiran memasak aku yang terlalu tinggi. Tapi jangan fikir yang aku langsung tak tahu memasak, setakat masak nasi tu, kacang aje bagi aku. Hahaha.

Ayah pulang sewaktu jam menghampiri pukul dua belas tengah hari.

"Selesai semuanya? Dapat kanopinya?" Ibu bertanya. Ayah hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum kecil. Jadi, inilah kisah kanopi yang aku dengar sewaktu dalam kereta semalam. Tapi, kanopi untuk apa?

"Kanopi untuk apa, ibu?"

Ibu tersenyum memandangku.

"Ayah pergi tempah kanopi. Kita nak buat kenduri doa selamat dan kesyukuran sempena Auni tamat belajar." Aku melopong. Sampai begitu sekali ibu hendak meraikan aku yang baru tamat belajar?

"Kenapa tak tunggu sampai majlis konvokesyen? Malulah Auni, belum dapat pun ijazahnya lagi, ibu dan ayah dah buat kenduri beria-ia." Aku protes.

"Tak apalah, majlis konvokesyen tu kan syarat aje. Yang penting, Auni dah habis pun belajar, kan?" jawab ibu tenang. Aku terdiam. Terpulanglah, kalau itu yang dimahukan oleh ibu dan ayah.

TETAMU yang ditunggu-tunggu oleh ibu dan ayah tiba selepas zohor. Aku bersalaman dengan dua orang wanita separuh umur yang datang bersama dengan dua orang lelaki. Aku agak tentulah mereka pasangan suami isteri.

"Ini Auni, ya? Dah besar pun dia. Berapa umur Auni sekarang?" tanya salah seorang wanita itu yang memperkenalkan namanya sebagai Hajah Salmiah tadi.

"Nak masuk 23 tahun, mak cik," jawabku sopan. Jangan tak tahu, aku ni memang mampu menawan mana-mana hati orang tua dengan kesopanan dan kelembutanku. Kenalah jaga adab depan orang tua, nanti tak pasal-pasal, aku dicubit pula oleh ibu jika terlepas laku.

"Panggil aje umi. Tak payah bermak cik-mak cik. Bukan orang lain pun. Nanti-nanti kita nak jadi keluarga juga. Ini adik umi, Auni panggil aje mak ngah. Saja umi bawa mak ngah datang ke sini berkenalan dengan Auni."

Aik, lain macam saja kata-kata mak cik a.k.a umi ni. Berkenalan dengan aku? Nak buat apa? Nak kata aku ni artis, memang tidaklah. Aku terpinga-pinga mendengar jawapan wanita yang membahasakan dirinya umi itu.

"Duduklah dulu semua, berbual-buallah, ya? Saya nak ke dapur dulu." Ramah ibu menjemput tetamunya.

Aku mengikut ibu ke dapur. Duduk di depan pun, bukan ada apa yang boleh aku buat. Mahu melayan umi dan mak ngah berbual? Mati kutu aku dibuatnya. Tetapi, rupa-rupanya, lagi aku mahu mengelak, lagi rapat umi dan mak ngah mahu mendekat. Mereka mengekoriku pula ke dapur. Aduh!

"Buat apalah susah-susah datang ke dapur ni. Duduk sahajalah berbual di depan." Ibu melarang tetamunya yang turut sama sibuk mahu membantu.

"Tak ada apanya yang susah pun... Setakat menolong hidangkan makanan, apalah sangat. Banyaknya yang Mah sediakan. Sedap-sedap pula tu," jawab umi.

"Alah... Apa yang sedapnya, masakan kampung aje," jawab ibu, merendah diri. Ibu memang handal memasak orangnya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ibu sering dipanggil untuk menjadi ketua bahagian masakan sekiranya ada kenduri-kendara yang diadakan di kampung kami.

"Masakan kampung tu yang sedap. Auni pandai masak tak?" tanya umi. Aku hanya tersipu-sipu malu.

"Bolehlah sikit-sikit, umi. Pandai macam ibu tu tidaklah." Baik aku mengaku kekurangan diri cepat-cepat. Buatnya disuruh aku pula yang memasak, mati kejunglah aku.

"Umi dari mana?" soalku pula.

"Dari Kuala Lumpur. Umi dengar Auni pun belajar di sana, ya?" tanya umi pula. Aku sangkakan tetamu ayah datang dari kampung lain sekitar daerah ini sahaja. Tak sangka pula aku rupanya tetamu ini datang dari jauh.

"Auni belajar di UPM, Serdang. Bukanlah di KL. Tapi dah tak jauhlah," terangku pula. Macamlah umi tidak tahu di mana letaknya Serdang.

"Ambil course apa? Umi dengar Auni dah habis belajar? Dah mohon kerja?"

"Auni ambil course Perakaunan dengan Pendidikan. Jadi cikgulah jawabnya. Baru habis exam. Harap-harap dapat posting dekat-dekat sini aje."

Memang itulah harapan aku pun. Tapi kalau dihantar jauh pun, aku tetap akan pergi berkhidmat dengan penuh semangat demi negara tercinta. Ewah, jangan-jangan bila dapat surat diarahkan bertugas di Sabah atau Sarawak, aku dulu-dulu menangis tidak mahu pergi pula kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga.

"Alah... Dapat sini pun, esok-esok kena minta tukar juga."

Aku menjeling ke arah ibu. Pelik pula aku mendengar kata-kata ibu kali ini. Bukankah selama ini ibu yang seboleh-bolehnya mahukan aku berkhidmat di sini? Tak faham sungguh aku. Ibu bapa lain bukan main seronok kalau anak dapat bekerja di kampung sendiri, tapi ibu macam mahu aku bekerja jauh darinya sahaja. Ini yang buat aku mula nak sedih ni.

"Kenapa pula Auni kena minta tukar? Kan elok kalau Auni duduk sini. Dapat jaga ibu dan ayah."

"Yalah, kalau dah kahwin nanti, dapat pula suami orang jauh, takkan nak duduk berkepit dengan ibu lagi? Mestilah kena ikut suami, kan?"

Kahwin? Aku baru 23 tahun, takkanlah sudah mahu kahwin? Lagipun, aku rasa aku tak perlu minta tukar sekolah atau negeri, Hisham kan orang Mersing juga.

Selesai makan, aku menghidangkan air kopi bersama puding jagung yang telah dibuat oleh ibu tengah hari tadi. Baru sahaja aku mahu meminta diri, umi memintaku duduk di sebelahnya. Mahu berbual-bual denganku katanya.

Bermacam-macam perkara yang ditanyakan oleh umi kepadaku. Sampai aku terfikir, mungkin umi ni bekas sarjan pencen agaknya, soal siasat aku seperti penemu duga sahaja lagaknya. Dari hobi sampailah kepada kemahiran-kemahiran yang dimiliki olehku. Kemahiran? Kalaulah tidur tu diklasifikasikan sebagai kemahiran, akulah antara manusia yang paling mahir sekali dalam dunia ini.

Tetamu-tetamu itu akhirnya meminta diri untuk pulang ketika jam menghampiri pukul empat petang. Sewaktu bersalaman, umi memeluk erat tubuhku dan mencium kedua-dua belah pipiku. Mungkin memang begitu budaya terlebih mesra dalam keluarga umi agaknya, desis hatiku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance