Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

MALAM ini, doa yang aku panjatkan lebih panjang dari biasa. Minggu depan akan bermulanya peperiksaan akhir semester. Selepas berakhirnya peperiksaan itu, maka akan berakhirlah kisah aku di bumi UPM ini. UPM akan aku tinggalkan dengan seribu satu kenangan. Di sinilah tempat aku menimba ilmu selama hampir empat tahun selepas menamatkan program matrikulasi di Kolej Matrikulasi Johor.

Telefon berdering nyaring menandakan adanya panggilan masuk. Cepat-cepat aku melipat telekung dan menyidainya di dalam almari.

Bibirku menguntum senyum sebaik memandang nama pemanggil pada skrin telefon.

"Auni, kenapa lambat angkat?"

Belum pun sempat aku mengucapkan salam, telingaku diterjah dengan suara garang si pemanggil. Mungkin dia risau kerana aku lewat mengangkat telefon agaknya. Aku cuba untuk menyedapkan hati sendiri.

"Auni baru selesai sembahyang. Awak dah makan?" Aku cuba bersuara selembut mungkin, cuba untuk meredakan kemarahan yang mungkin sedang bermukim dalam hati si pemanggil. Api mana boleh dilawan dengan api juga. Jadilah aku air seperti selalunya.

"Dah. Beli nasi bungkus aje. Betul ke tengah solat? Atau sedang melayan lelaki lain berbual?"

Ya Allah, lelaki yang seorang ini tidak sudah-sudah dengan prasangkanya. Entah apa lagi cara yang harus aku lakukan untuk membuktikan kejujuranku.

"Nak layan lelaki mananya? Auni kan kat hostel ni. Lelaki mana boleh masuk sini."

Aku sebenarnya sudah letih hendak menerangkan kepada Hisham. Hisham yang tidak habis-habis dengan sikap cemburu yang membuta tuli. Macamlah dia tidak pernah belajar di universiti. Tentulah dia lebih faham dengan peraturan asrama yang menetapkan tiada lelaki dibenarkan masuk ke kawasan asrama pelajar perempuan. Dan begitulah juga sebaliknya.

"Tak apalah kalau macam tu. Kalau saya tahu awak curang pada saya, siaplah awak! Awak jangan harap dapat bersama lelaki lain selain dari saya. Saya bukan orang bodoh yang boleh awak tipu. Awak ingat tu!"

Aku rasa ingin menjerit saat terdengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Lelaki ini semakin hari semakin mendera jiwa. Kenapa dia tidak boleh bersikap sepertimana dahulu?

Aku mendiamkan diri sahaja mendengar kata-katanya. Aku sudah tidak mempunyai tenaga untuk bertengkar dengan Hisham seperti malam-malam yang lalu. Biarlah, apa sahaja yang ingin Hisham katakan, aku akan mendengar sahaja. Aku sudah letih untuk berbalas kata. Bukan mendatangkan hasil pun, akhirnya aku juga yang akan dipersalahkan. Tuduhlah apa sahaja, aku sudah penat mahu menafikannya.

"Kenapa diam aje ni? Dengan saya tak mahu bercakap, dengan lelaki lain siap bertepuk tampar agaknya."

Usai sahaja ayat terakhir itu, aku terus menekan butang merah. Aku sudahlah letih dengan jadual kuliah yang padat, tugasan yang perlu disiapkan, dia pula mahu menambahkan beban fikiranku. Biarlah, untuk malam ini aku ingin menenangkan hatiku sendiri.

Aku mula mengenali Hisham sejak berada di tingkatan tiga. Ketika itu Hisham sudah pun berada di tingkatan lima. Sebelum ini, aku tidak mengenalinya walaupun kami belajar di sekolah yang sama. Hisham merupakan seorang pelajar yang pendiam dan kurang menonjolkan diri.

Aku pula boleh dikategorikan sebagai pelajar yang lincah dan nakal tetapi pada masa yang sama prestasi pelajaranku amat memberangsangkan. Ditambah lagi dengan keaktifanku menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti di sekolah, maka namaku agak terkenal semasa di sekolah dulu.

Perkenalan kami bermula apabila Hisham sering menjadi peneman kepada kawannya Adham iaitu teman lelaki sahabat baikku di sekolah, Raudhah. Hasil daripada menjadi peneman rakan masing-masing, kami akhirnya menjadi rapat.

Sejak dari awal lagi Hisham memberitahuku, dia berasa segan dan malu untuk menegur aku di sekolah kerana aku merupakan antara pelajar yang bijak dan menjadi kesayangan guru-guru sedangkan dia pula biasa-biasa sahaja.

Aku hanya ketawa pada ketika itu. Bagiku, tiada beza antara semua rakan-rakan yang mendampingi diriku. Semuanya aku layan sama rata, tidak kira sama ada mereka tergolong dalam kelompok pelajar yang pandai atau tidak.

Hisham hanya berani meluahkan perasaannya kepadaku ketika aku memberitahunya tentang tawaran yang aku terima dari Kolej Matrikulasi Johor. Hisham pula pada ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di salah sebuah universiti di utara tanah air. Hisham bimbang kalau-kalau aku mungkin terlepas dari tangannya jika dia tidak meluahkan perasaannya terhadap aku ketika itu.

Kami melafazkan janji untuk hidup bersama apabila tiba masanya kelak. Mungkin masanya sudah tidak lama lagi memandangkan Hisham sudah pun bekerja selama hampir tiga tahun di salah sebuah syarikat milik Jepun yang berpangkalan di Johor Bahru. Menurut Hisham, dia sudah pun mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyuntingku. Aku memintanya menungguku sehingga tamat belajar sebelum kami diikat dengan sebarang ikatan rasmi.

Hampir lima tahun aku menjalinkan hubungan dengan Hisham. Aku amat menyayanginya. Datanglah walau beratus jejaka tampan dan kaya, hati aku tetap padanya. Namun begitu, entah mengapa sikap cemburunya semakin hari semakin menjadi-jadi. Sehingga naik rimas aku dibuatnya.

Bayangkan, betapa kroniknya penyakit cemburu Hisham, aku tersenyum kepada pekerja Bangladesh yang menolong aku mengisi minyak kereta pun dijadikan satu isu yang besar sehingga tidak bertegur dengan aku seminggu lamanya. Sehingga kadang-kadang aku terfikir, cantik sangatkah aku sehingga Hisham begitu cemburu?

PEPERIKSAAN akhir telah pun selamat ditempuhi. Aku keluar dari dewan peperiksaan menuju ke kawasan parkir kenderaan. Tidak sabar rasanya mahu menqada tidurku yang tidak cukup sepanjang minggu peperiksaan akhir ini.

"Weh! Mak cik, kau tidur ke?" Baru sahaja aku mahu melelapkan mata dan meluruskan segala urat dan sendi yang terasa kejang, suara Si Waida yang tahap bunyinya boleh menyamai bunyi semasa kapal terbang mendarat itu menerjah ke telinga.

"Tak... Aku tengah masak nasi ni. Kau tak nampak ke?"

Waida terkekeh ketawa mendengar jawapanku. Tanpa dipelawa, dia terus merebahkan badan di sisiku sambil memeluk bantal Nemo kesayangannya.

"Kau ni... Aku baru nak mimpikan Abang Aaron Aziz, dah suara kau pula masuk dalam mimpi aku. Habis berterabur lari Abang Aaron Aziz aku tu dengar suara kau."

Waida ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kataku. Aku membuka mata dan menyandarkan badanku di kepala katil. Manakala Waida masih enak bergolek-golek di atas katil. Habis renyuk cadar katilku dibuatnya. Waida kalau bab menyepahkan barang dan katil, dialah juara.

"Jom kita keluar pergi tengok wayang nak tak? Aku boringlah... Exam kau pun dah habis, next paper aku pun lambat lagi, minggu depan baru exam. Marilah Auni, kita habiskan masa bersama sebelum kau balik kampung. Nanti bila masing-masing dah balik ke kampung, kita dah susah nak jumpa." Dengan wajah yang sengaja dibuat-buat sedih, Waida cuba memujuk aku.

"Malaslah Wai... Kepala aku tengah pening-pening lalat ni lepas jawab exam tadi."

Sememangnya kepala aku rasa mahu pecah sahaja. Sudah beberapa hari aku tidak cukup tidur. Semua ini gara-gara sikap aku yang suka mengulang kaji pelajaran pada saat-saat akhir. Bukan apa, aku ni mudah lupa orangnya, kalau aku membuat ulang kaji sejak dari awal pun, sia-sia sahaja. Bila tiba masa menjawab soalan, apa yang dibaca, semuanya hilang entah ke mana. Yang dapat aku ingat hanyalah apa yang aku telah baca beberapa hari sebelum peperiksaan dijalankan.

"Ala... Bukannya sekarang, kita pergilah bila-bila sebelum kau balik. Lagipun hari ni baru hari Isnin, ayah kau datang hari Jumaat, kan? Bolehlah Auni, ya?"

Waida masih berusaha untuk memujuk aku. Hati aku mula termakan dengan pujukannya. Ah, bukannya selalu. Selepas ini, entah bila lagi aku dan Waida akan dapat berjumpa semula.

"Okeylah, tapi pastikan movie yang kau pilih nanti menarik. Kalau tidak, siaplah kau mendengar bebelan aku nanti."

Aku awal-awal lagi memberi amaran kepada Waida. Bukan apa, aku sudah masak dengan selera Waida. Sudah banyak kali kami menonton wayang bersama dan entah apa-apa cerita yang dipilihnya. Langsung tidak menepati selera aku. Sudahnya, tak sampai setengah jam cerita ditayangkan, aku sudah bermimpi entah ke mana. Mujur tidak berdengkur sahaja.

Malam itu, seperti biasa Hisham menelefon aku. Nampaknya, marah dia padaku semalam sudah pun reda. Biasanya begitulah, Hisham tidak pernah terlupa menghubungiku walaupun sekali dalam sehari. Tapi, biasanya perbualan kami pasti akan berakhir dengan pergaduhan. Malam ini mungkin begitu juga kesudahannya.

"Awak nak balik ke Mersing bila?"

"Jumaat nanti," jawab aku jujur.

"Kenapa lewat sangat? Hari ni baru hari Isnin, lamanya nak tunggu Jumaat tu. Saya rindu sangat dekat awak. Awak tak rindu pada saya?"

Aku ketawa kecil mendengar keluhan Hisham.

"Rindu, tentulah saya rindu pada awak. Last kita jumpa kan masa awak datang beraya ke rumah saya tempoh hari. Ayah saya mula cuti hari Jumaat, nak buat macam mana. Takkan saya nak balik naik bas? Barang-barang dahlah banyak, macam orang nak pindah rumah."

"Kenapa awak tak beritahu saya? Saya boleh ambil cuti untuk ambil awak kat sana. Bukannya jauh pun dari JB ke Serdang."

Nada-nada merajuk mula terbit dari suara Hisham. Lima tahun bersama, aku amat memahaminya, jadi perubahan pada nada suaranya juga mudah untuk aku baca. Makanya, selepas ini aku perlu berhati-hati menuturkan kata agar Hisham tidak naik angin seperti selalu.

"Awak... Ayah saya dah tentu tak benarkan saya balik dengan awak. Awak bukan tak tahu macam mana tegasnya ayah saya. Awak bersabarlah, dah tak lama pun hari Jumaat tu. Pejam celik, pejam celik, dah hari Jumaat."

"Awak cakap senanglah, awak tak rasa apa yang saya rasa. Macam nak mati rindukan awak tau. Awak macam orang tak ada perasaan. Atau awak dah ada orang lain kat sana?"

Hisham sudah mula merepek seperti selalu. Kepala aku mula terasa berdenyut-denyut. Kenapalah setiap malam perbualan kami mesti diselangi dengan bibit-bibit pergaduhan yang sepatutnya tidak berlaku?

"Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Saya cakap apa pun, awak tetap tak percaya pada saya. Saya setia pada awak seorang. Saya penatlah nak ulang ayat yang sama." Aku mula hilang sabar.

"Selagi awak tak jadi milik saya yang sah, selagi itulah saya tak senang hati. Awak cinta pertama saya. Saya boleh gila kalau awak tiba-tiba jadi hak orang lain. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa awak."

"Saya pun macam tu juga. Kita berdoalah semoga segala-galanya akan baik-baik sahaja. Saya pun harap awak yang akan jadi suami saya."

Hisham ketawa. Manis sungguh bicara aku. Kalaulah Si Waida mendengarnya, mahu tergolek-golek dia ketawakan aku agaknya.

"Awak nak buat apa sementara nak menunggu hari Jumaat?" Hisham bertanya.

"Saya nak packing barang-barang, nak poskan skuter ke kampung dan rancangnya esok nak keluar menonton wayang." Lurus sahaja aku menjawab.

"What?! Tengok wayang? Dengan siapa?" Hisham tiba-tiba bertempik. Hampir terpelanting telefon yang berada di tanganku dek rasa terkejut kerana disergah secara tiba-tiba.

"Apa awak ni? Terperanjat saya tau. Dengan Waidalah. Saya nak pergi dengan siapa lagi?" Aku cuba mengawal nada suaranya. Sebenarnya hati sudah mulai berasa sedih kerana ditengking oleh Hisham sebentar tadi.

"Saya tak nampak bolehlah awak kelentong kata keluar dengan Waida. Entah-entah dengan jantan mana awak keluar nanti."

Aduh, dari perasaan sedih, aku mula berasa geram pula. Hisham memang tak habis-habis dengan prasangka buruknya.

"Suka hatilah awak nak cakap apa. Bosan tau! Tiap-tiap hari kita bergaduh perkara yang remeh-temeh dan tak wujud pun sebenarnya. Tak fahamlah saya dengan perangai awak ni." Aku mula hilang sabar. Suaraku juga sudah berubah nada.

"Oh, sekarang dah pandai bosan, tak tahan dengan perangai saya. Lepas ni dah mula bekerja, lagilah besar kepala awak!"

"Suka hati awaklah!"

Tanpa menunggu balasan dari Hisham, aku terus meletakkan telefon dan menukarkan nada dering kepada mod senyap. Aku tahu, Hisham pasti akan berusaha menelefonku sehingga berhasil. Aku sudah malas hendak membazirkan air liur bertekak dengannya. Biarlah jika Hisham hendak menelefon aku walau beratus kali pun malam ini. Hati aku terlalu sakit dibuatnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance