Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

SUDAH lebih tiga bulan aku berada di rumah. Bosannya tidak terkata. Puas aku merayu ibu dan ayah untuk membenarkan aku bekerja sementara di bandar, tapi ibu dan ayah langsung tidak tergugat dengan pujuk rayuku.

Perhubunganku dengan Fahim pula berjalan seperti biasa. Kami hanya berbual ringkas di telefon dua atau tiga kali dalam seminggu. Namun, dia tidak pernah culas untuk menghantar mesej menerusi WhatsApp setiap hari. Walaupun sekadar mengucapkan selamat pagi, namun bagi aku, ingatan daripadanya itulah yang penting.

Pagi itu seperti pagi-pagi yang biasa. Selepas bangun tidur, bersolat, bersarapan, aku bersiap-siap untuk tugasan rutin sejak tiga bulan yang lalu, iaitu sama ada menjadi pemandu ibu ke pasar ataupun ke kedai-kedai runcit yang berhampiran.

Pukul sepuluh pagi ibu sudah sibuk di dapur. Aku pun sibuk juga, sibuk menonton siaran ulangan drama Korea yang tidak sempat aku tonton semalam. Sedang enak menonton, terdengar bunyi motosikal posmen di luar pagar rumah. Aku buat-buat tidak dengar kerana tidak mahu terlepas adegan menarik dalam drama yang sedang aku tonton. Lagipun, telah disediakan peti surat di luar, nanti petang-petang barulah aku keluar mengambil surat jika teringat.

"Amboi... Seronoknya orang tu duduk kat rumah! Kita bagi salam pun tak sedar." Aku diam. Malas nak melayan. Nanti makin menjadilah Tasnim menyakat aku.

"Sombong ya dengan Tasnim. Tak apa, Tasnim ada sesuatu yang memang Kak Auni tunggu-tunggu. Urusan Seri Paduka Baginda. Macam surat penting aje."

Aku bingkas bangun. Memang itulah surat yang aku nanti-nantikan selama lebih tiga bulan ini.

"Mana?"

"Mana apa?" Tasnim masih mahu mengusik.

"Ala... Surat Kak Auni tu la. Berilah cepat!"

"Tasnim tak ada cakap pun yang itu surat Kak Auni, Tasnim cuma cakap surat tu ada tulis Urusan Seri Paduka Baginda. Maknanya, surat tu untuk kerabat diraja ajelah, kan? Kak Auni ada darah kerabat ke?" Dia ketawa mengekek. Isy, mahu saja aku sekeh-sekeh kepala budak seorang ini.

"Jangan main-mainlah! Kak Auni memang tengah tunggu surat daripada kementerian pendidikan ni. Kawan-kawan Kak Auni kata minggu ni pihak kementerian akan mula edarkan surat penempatan. Cepatlah bagi Kak Auni surat tu."

"Ambillah..." Sampul surat berwarna coklat itu bertukar tangan.

"Terima kasih adik akak yang cantik."

Aku mengambil surat yang diberikan oleh Tasnim dan terus membukanya dengan perasaan yang berdebar-debar.

"Alhamdulillah. Akhirnya. Yahooo!" Aku menjerit kegembiraan sambil melompat-lompat di sekeliling ruang tamu. Biarlah kalau kali ini aku nampak seperti orang yang tidak betul sahaja, yang penting aku mahu zahirkan kegembiraan aku.

"Apa yang kecoh-kecoh ni. Auni, kenapa ni? Melompat-lompat macam budak-budak tadika aje. Apa yang seronok sangat ni?"

Aku meluru ke arah ibu. Tubuh ibu aku peluk erat. Pipinya aku cium berkali-kali.

"Auni dah dapat surat posting, ibu." Ibu tersenyum lebar.

"Alhamdulillah. Dapat di mana?"

"Kuala Lumpur. Tapi belum tahu sekolah mana lagi. Kena lapor diri dulu di Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur. Selepas taklimat baru mereka akan maklumkan sekolah mana Auni akan ditempatkan."

"Baguslah. Nanti dah kahwin tak payah susah-susah minta tukar lagi. Kalau tak, susah sorang di Kuala Lumpur, sorang di sini. Bila Auni kena lapor diri?"

"Ibu ni macam seronok aje Auni dapat posting jauh-jauh?"

"Bukan seronok, nantikan Auni nak kahwin. Suami Auni tu bekerja di KL. Takkan Auni nak tinggal di sini, dia tinggal di sana? Siapa pula yang nak jaga makan minum dia, pakaian dia, nak uruskan rumah tangga? Lagipun ibu ngeri dengar cerita ramai guru yang mohon tukar tak dapat-dapat. Sampaikan anak dah masuk tiga empat orang pun masih duduk berjauhan lagi suami isteri. Auni mahu macam tu?" Ibu menjegilkan matanya kepadaku.

"Auni okey aje, yang penting Auni duduk dengan ibu dan ayah." Aku ketawa melihat ibu mengacah mahu memukul punggungku.

"Eh, budak bertuah ni, soalan ibu tak jawab pun! Bila Auni kena lapor diri?"

"Lagi dua minggu, ibu. Sempatlah nak buat persediaan serba sedikit sebelum pergi."

Akhirnya, berakhir juga episod aku sebagai penganggur terhormat tidak lama lagi.

MALAM itu aku cuba menghubunginya. Mahu memaklumkan kepadanya tentang surat posting yang baru aku terima tengah hari tadi. Perbezaan waktu antara Malaysia dengan Adelaide lebih kurang tiga jam. Tidaklah terlalu lewat jika aku menghubungi sekarang, cuma yang aku risaukan jika aku mengganggu dirinya yang mungkin sedang sibuk. Mesej sahajalah kalau begitu.

# Salam.

Setelah lebih kurang lima minit menunggu masih tiada balasan. Mungkin dia sedang sibuk. Aku mengeluh.

+ Salam. Belum tidur lagi?

Akhirnya telefonku berbunyi juga menandakan ada mesej yang masuk. Cepat-cepat aku membalas mesej yang dihantar olehnya.

# Belum. Awal lagi kat sini. Baru pukul 9 malam.

+ Tahu. Saja tanya.

# Ada perkara nak beritahu awak ni. Saya dah dapat surat posting tengah hari tadi.

+ Ya ke? Dapat posting di mana?

# Kuala Lumpur aje.

+ Aje? Macam tak rela aje ayat tu. Ke ada hajat nak mengajar kat Afrika?

# Ada juga terlintas. Agak-agak ada tak mana-mana sekolah nak pakai cikgu kat sana?

+ Amboi... Tak sudi nak tinggal dengan saya ke nanti?

# Saya tak ada pun cakap tak sudi.

+ Jadi, memang nak tinggal dengan sayalah nanti?

# Habis tu takkan saya nak tinggal dengan ketua kampung awak pula nanti?

+ Hahaha. Nanti dah mula mengajar di Kuala Lumpur tinggal dengan siapa?

Aku menepuk dahi. Teruja mendapat surat, terlupa untuk memikirkan perkara ini. Di mana aku mahu tinggal nanti, ya? Nak pergi sekolah naik apa? Aku perlu bincangkan perkara ini dengan ayah segera.

# Nasib baik awak ingatkan. Saya langsung tak teringat tentang perkara tu.

+ Kalau nak minta pertolongan nanti beritahu saya. Adik saya Fikri mungkin boleh tolong apa-apa yang patut sementara saya tak ada ni.

# Okey. Apa-apa nanti saya beritahu awak. Dahlah, pergilah tidur. Rehat. Awak mesti dah penat.

+ Auni, terima kasih kerana beritahu saya.

# Mestilah kena beritahu. Awak kan tunang saya.

+ Betullah. Takkan awak nak beritahu Aaron Aziz pula, kan... Nite, Auni. Sweet dream. Take care.

# Nite. Awak pun. Take care, ya?

Mesej yang terakhir itu aku balas sambil ketawa terkekeh-kekeh. Perlilah tu. Dia tahu ke yang aku ni peminat tegar Aaron Aziz. Dah minat, nak buat macam mana, kan?

Aku turun ke tingkat bawah. Hajat dalam hati ingin membincangkan soal tempat tinggalku di Kuala Lumpur dan kenderaan yang akan aku gunakan untuk berulang-alik ke sekolah nanti.

"Auni, mari duduk sini. Ada perkara yang ayah nak cakapkan." Ayah memanggil sebaik sahaja ternampak aku yang sedang menuruni dua anak tangga terakhir.

"Auni pun ada perkara nak bincangkan dengan ayah dan ibu." Aku mengambil tempat di sebelah Haziq. Tanganku mencapai bekas kacang yang dipegangnya.

"Auni, tadi ayah ada telefon kawan ayah yang anaknya mengajar di Kuala Lumpur. Anaknya tinggal seorang di sana. Sudah beli rumah di Kuala Lumpur, tapi belum berkahwin. Ayah ingat nak tumpangkan Auni tinggal di rumah anaknya sementara menunggu Auni berkahwin atau mendapat rumah sewa yang lain. Auni setuju tak?"

"Auni pun baru nak bincangkan perkara ni dengan ayah. Anak kawan ayah tu sudi ke nak terima Auni jadi housemate dia?" Bimbang juga jika kami sahaja yang beria-ia, sedangkan tuan rumah tidak sudi pun mahu mengajak aku menumpang di rumahnya.

"Anaknya dah beritahu tadi, dia tak ada masalah untuk tumpangkan Auni di rumahnya. Dia pun sunyi tak ada kawan berbual. Ada Auni nanti tak adalah dia sunyi sangat. Lagipun bukannya lama Auni menumpang di rumahnya, dalam lebih kurang dua bulan sahaja. Dah berkahwin nanti takkan Auni nak tinggal dengan dia lagi."

"Nanti Auni nak pergi kerja macam mana, ayah? Kalau dapat sekolah yang mudah dapat pengangkutan awam tak apalah. Auni boleh aje nak bas atau LRT. Cuma Auni risau kalau dapat sekolah yang jauh dengan hentian bas atau LRT. Susahlah Auni nanti."

"Yang itu pun Auni tak payah risau, umi baru aje telefon tadi. Fahim ada telefon umi katanya. Dia suruh Auni pakai keretanya buat sementara. Fahim tak mahu Auni susah-susah bersesak naik kenderaan awam." Ibu tiba-tiba muncul dari dapur sambil tersenyum memandangku.

Fahim, cepat betul awak bertindak, ya? Sungguh aku tak sangka begitu sekali dia mahu menjaga aku. Aduh! Kalau begini, aku mampu jatuh cinta berkali-kali padanya. Dia mampu membuat aku terharu dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.

"Untunglah orang tu ada tunang yang sayang. Ibu, nanti jodoh Tasnim pun Tasnim nak ibu dan ayah yang carikan. Nak macam Abang Fahim juga, ya?"

"Ibu jodohkan Tasnim dengan Seman Pomen tu nak? Katanya dia minat pada Tasnim."

"Tak mahulah Tasnim. Abang Seman tu saja usik-usik Tasnimlah, ibu. Ibu ni ada pula nak jodohkan Tasnim dengan Abang Seman." Tasnim menjuihkan bibirnya tanda protes.

"Abang Seman memang betul-betul minat dengan Kak Tasnimlah. Dekat Haziq pun dia ada cakap. Untunglah nanti, kereta rosak boleh baiki free. Rugi Kak Tasnim tak nak tau." Haziq mengambil giliran mengusik. Spontan Tasnim menampar paha Haziq. Haziq menyeringai kesakitan. Aku menggeleng-geleng kepala melihat kelakuan kedua-dua adikku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance