Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

SUDAH seminggu aku berdiam diri sejak membuat keputusan untuk menurut sahaja kehendak ibu dan ayah. Semakin lama aku bertangguh, semakin berat perkara itu menekan jiwa.

Hari ini akhirnya kekuatan itu datang untuk aku khabarkan perkara yang sebenarnya kepada Hisham. Aku mahu menamatkan segala kisah antara kami berdua sebelum aku bergelar tunangan orang. Biarlah seberat mana pun hatiku untuk berpisah dengannya, demi kasih sayangku kepada ayah dan ibu, aku rela mengorbankan cintaku padanya.

"Assalamulaikum. Awak sibuk ke?" Suaraku bergetar semasa memulakan bicara. Besar kesalahan yang aku lakukan kali ini pada Hisham. Mungkin padanya aku telah mengkhianati janji yang telah kami buat sebelum ini.

"Auni! Awak ni kenapa? Saya risau tau. Saya memang tunggu sampai hari ini aje. Kalau saya tak dapat hubungi awak sampai hari ini, memang saya akan terjah rumah awak esok."

Aku diam. Segala bicara, segala perkataan seolah-olah tersekat di kerongkongku. Hilang semua ayat yang sudah aku hafal di kepala sebelum menelefon Hisham.

"Auni, kenapa diam ni? Awak marah saya lagi ke? Saya betul-betul minta maaf. Saya tahu, saya tak patut tuduh awak macam tu. Tapi saya tak dapat tahan perasaan cemburu bila dengar kawan-kawan saya bercerita tentang awak. Bagi saya, awak hak saya. Orang lain kalau boleh pandang awak pun saya tak benarkan."

Hisham, lepas ni mungkin awak pun tak boleh nak pandang saya, bisik hatiku.

"Awak, awak dengar baik-baik ya apa yang saya nak katakan ni. Saya nak awak bertenang, beri peluang untuk saya bercakap." Aku diam seketika. Cuba mengawal perasaan sebenarnya. Mataku sudah mula rasa berpasir.

"Saya rasa hubungan kita biarlah sampai setakat ini saja. Saya minta maaf banyak-banyak pada awak. Saya tak mampu nak teruskan hubungan kita lagi." Air mataku laju menuruni pipi.

"Kenapa cakap yang bukan-bukan ni? Saya minta maaf, okey? Janganlah sebab marahkan saya, awak nak putuskan hubungan kita. Kita bukan baru berkawan Auni. Dah lima tahun. Saya sayang awak sangat-sangat. Saya betul-betul janji kali ni. Saya takkan cemburu buta lagi. Auni, janganlah macam ni, ya?"

Hatiku luluh mendengar rayuan Hisham. Awak tak tahu, susah bagi awak, berat lagi sebenarnya bagi saya.

"Awak, saya dah nak bertunang minggu depan. Saya minta maaf sangat dengan awak kalau sepanjang kita berkawan, ada salah silap saya pada awak. Saya tak mampu nak tolak permintaan ibu dan ayah saya. Maafkan saya, awak."

Aku teresak-esak menangis. Terdengar desahan nafas yang berat di hujung sana. Mungkin Hisham tergamam mendengar perkhabaran itu. Beberapa ketika kemudian, tiada lagi suara yang aku dengar kerana Hisham telah memutuskan talian. Hisham pastinya memerlukan masa untuk menerima semua ini. Segalanya berlaku dengan pantas, pastinya ia tidak mudah bagi kami berdua.

"KAK AUNI, ayah panggil turun. Ada tetamu sedang tunggu Kak Auni di bawah." Suara Haziq berlawan dengan bunyi ketukan pada pintu bilik. Apa jugalah budak ni. Nak beritahu, beritahu sahajalah, tak perlulah sambil mengetuk pintu bilik, sambil bercakap. Buat pening kepala sahaja mendengarnya.

"Siapa?" Aku menjenggukkan kepala di sebalik daun pintu.

"Tak tahu. Haziq tak kenal. Lelaki. Ayah suruh Kak Auni turun sekarang."

Aku segera membersihkan wajah yang kelihatan sembab dek menangis selepas bercakap dengan Hisham semalam. Selepas menukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan dan mengenakan tudung, aku pun keluar untuk menemui tetamu yang dikatakan oleh Haziq tadi. Hatiku tertanya-tanya, siapa pula tetamu yang dimaksudkan? Aku bukannya ada ramai kawan lelaki pun. Kalau ada pun hanyalah teman-teman sekuliah semasa menuntut di universiti. Selebihnya rakan-rakan sekolah yang telah lama terputus hubungan.

Tubuhku menggeletar sebaik sahaja melihat tetamu yang dimaksudkan. Hisham! Aduh, apa jugalah bala yang akan datang nanti? Aku pasti Hisham bukan main-main apabila nekad datang ke rumah untuk berjumpa dengan ayah dan ibu. Pasti sahaja isunya berkenaan dengan hubungan kami.

Ibu menggamit tangannya kepadaku. Perlahan-lahan aku mengatur langkah ke tempat duduk di sebelah ibu. Ayah pula masih ralit menghadap akhbar, rutin biasa yang dilakukan ayah pada setiap hari minggu. Mana mungkin ayah mampu setenang ini jika tahu tentang hubungan rahsia yang terjalin antara aku dan Hisham. Aku resah sendiri. Segalanya serba tidak kena kurasakan.

"Hah! Turun pun. Auni, encik ni datang pagi-pagi ni beritahu ayah, dia kekasih Auni. Betul ke?" Ayah meletakkan akhbar di atas meja sambil merenung tajam ke arahku. Badanku mula terasa seram sejuk. Orang yang bersalah, pastinya bila disoal tentu sahaja akan berasa takut.

Aku hanya mampu menundukkan wajah sambil memandang hujung jari kaki. Malu untuk melihat wajah ayah dan ibu. Malu kerana bercinta secara rahsia di belakang mereka. Apabila terbongkar begini, terasa aku sudah tidak mampu untuk mengangkat muka di hadapan mereka lagi.

"Auni, ayah tanya tu. Ibu dan ayah nak dengar dari mulut Auni sendiri." Ibu mengusap-usap lembut bahuku. Aku menarik nafas panjang. Hisham, kenapalah awak menyukarkan keadaan saya?

"Ya, ayah. Kami dah berkawan hampir lima tahun. Tapi Auni dah putuskan hubungan kami sejak Auni buat keputusan untuk terima lamaran tu."

"Tapi bagi saya hubungan kami belum lagi berakhir. Auni dah berjanji untuk berkahwin dengan saya, dan sekarang saya mahu menuntut janji tersebut." Tegas sahaja suara Hisham. Bersahaja. Aku tergamam. Sungguh! Aku tidak pernah menyangka Hisham akan kotakan apa yang pernah dia katakan kepadaku.

"Auni, ayah nak dengar dari mulut Auni sendiri, Auni mahu berkahwin dengan dia atau pilihan ayah dan ibu? Auni buatlah keputusan sekarang." Ayah memandang ke dalam mataku. Ada kesayuan dan harapan yang dapat kulihat dalam mata ayah.

"Auni dah buat keputusan dari mula lagi. Auni takkan mungkir janji yang Auni dah buat pada ayah dan ibu. Hisham, maafkan saya. Saya tak dapat penuhi janji yang saya buat. Menggembirakan ibu bapa saya lebih penting bagi saya. Saya betul-betul minta maaf. Lupakanlah saya. Saya harap awak akan berjumpa dengan orang yang lebih baik daripada saya." Aku cuba bersuara setenang mungkin. Tidak mahu ayah mahupun ibu dapat mengesan ada kesedihan di situ.

"Awak tak boleh buat saya macam ni, Auni. Saya betul-betul sayangkan awak. Mudah betul bagi awak untuk putuskan hubungan kita. Awak fikir saya ni apa? Awak rasa sayang saya pada awak selama ini main-main ke?" Nada suara Hisham mulai tinggi dan kedengaran sebak.

"Beginilah, pak cik rasa perbincangan kita dah tamat. Kamu dah dengar keputusan dari mulut Auni sendiri. Dia yang mahu berkahwin, jadi biarlah dia sendiri yang buat pilihan. Dan, kamu pun sudah dengar pilihan itu bukan? Jadi, lupakanlah Auni. Dia bukan untuk kamu. Jodoh kamu mungkin dengan orang lain yang seratus kali lebih baik daripada anak pak cik ni."

"Pak cik cakap senanglah! Cuba pak cik duduk di tempat saya? Saya nak tengok boleh tak pak cik cakap macam tu lagi?"

Tergamam aku dibuatnya apabila mendengar Hisham meninggikan suara kepada ayah. Saat ini, aku yakin keputusan yang aku buat sememangnya tepat.

"Pak cik faham perasaan kamu. Tetapi, kita sebagai lelaki kena tahu bagaimana untuk mengawal perasaan kita. Alam rumah tangga dugaannya lebih banyak. Jika perasaan kamu pun kamu tidak dapat kawal, bagaimana kamu hendak menjaga keluarga kamu nanti?"

"Pak cik, saya betul-betul sayangkan Auni. Saya tak boleh hidup tanpa dia. Tapi pak cik sampai hati pisahkan kami. Pak cik ni memang orang yang tak ada perasaan!"

"Kamu sedar tak, sayang kamu itulah nanti yang akan jadi punca hidup Auni merana? Pak cik sebenarnya sudah lama tahu hubungan kamu dengan Auni. Tapi pak cik diamkan sahaja. Pak cik akan terima sesiapa sahaja pilihan Auni. Tetapi pak cik takkan sesekali biarkan anak pak cik menderita hidup bersama dengan kamu hanya kerana cinta. Bukan pak cik tidak tahu bagaimana sikap kamu kepada Auni? Dengan panas baran kamu, cemburu buta kamu. Kamu beritahulah pak cik, ibu bapa mana yang akan biarkan anak mereka berkahwin dengan lelaki seperti itu. Selagi pak cik hidup, pak cik takkan biarkan Auni sia-siakan hidup dia dengan lelaki seperti kamu. Maafkan pak cik."

Aku menekup mulut. Sungguh aku terkejut. Selama ini rupa-rupanya ayah tahu akan hubunganku dengan Hisham.

"Saya janji saya akan berubah selepas ini, pak cik. Percayalah." Hisham masih tidak berputus asa.

"Kamu baliklah. Keputusan dah pun dibuat, dan pak cik tidak akan sesekali mengubah fikiran pak cik. Insya-Allah, kamu akan berjumpa dengan seseorang yang lebih baik dan sesuai untuk kamu."

Suasana sepi selepas itu. Aku diam tidak berkutik. Hisham pula menekur memandang cawan teh yang dari tadi tidak ada sesiapa pun yang menyentuhnya. Semua orang seolah-olah sudah kehilangan selera mahupun kata.

Ibu pula masih setia memeluk bahuku sambil tangan kanannya menggenggam erat tangan kiriku. Seolah-olah mahu menyalurkan semangat buat anak yang sudah terlalu banyak melakukan perkara yang salah di belakang mereka.

"AUNI marah pada ayah dan ibu?"

Aku menggeleng. Sesungguhnya aku tiada hak untuk marah. Seharusnya akulah yang patut dimarahi kerana merahsiakan hubunganku dengan Hisham selama ini.

"Dah lama ibu dan ayah tahu Auni berkawan dengan dia?"

"Baru juga. Kira-kira dua tahun."

Dua tahun itu dikira baru? Aduh, sudah lama rupanya mereka tahu tentang hubungan aku dan Hisham. Malunya.

"Macam mana ibu dan ayah tahu?"

"Auni lupa, dulu kan telefon Auni pernah hilang. Jadi, sementara ayah belikan telefon yang baru, telefon rumahlah yang jadi mangsa Auni bergayut dengan Hisham. Ingat tak?"

Aku masih kabur. Apa kaitannya semua itu?

"Waktu tu kan Auni selalu guna telefon rumah untuk berhubung dengan Hisham. Auni lupa ke telefon rumah kita ni ada dua sambungan, satu di tingkat bawah dan satu lagi di tingkat atas. Nak dijadikan cerita, satu hari waktu Auni sedang berbual dengan Hisham di tingkat atas, ayah terdengar suara Auni menangis. Ayah pun angkatlah gagang telefon di tingkat bawah. Terdengarlah suara Hisham yang marah-marah sebab Auni siram pokok bunga di hadapan rumah. Cemburu sebab orang lalu-lalang depan rumah nampak Auni. Hai, siram pokok bunga pun tak boleh? Kalaulah kami benarkan Auni berkahwin dengan dia, nanti-nanti nak datang jenguk kami pun tak dibenarkannya."

"Malunya Auni, ibu... Maafkan Auni ya, ibu. Auni tak bermaksud nak membelakangkan ibu dan ayah. Tapi..." Aku tak sempat menghabiskan ayat seterusnya apabila tubuhku ditarik ke dalam pelukan ibu. Ibu mengusap-usap lembut belakangku.

"Yang dah lepas tu, biarlah. Kami sengaja buat-buat tak tahu sebab mahu beri peluang kalau-kalau Hisham berubah. Tapi nampaknya semakin teruk pula perangai cemburu buta dan panas baran dia. Ayah dan ibu berterima kasih pada Auni kerana sanggup terima pilihan kami walaupun Auni ada pilihan Auni sendiri." Suara ibu kedengaran sebak.

"Macam mana ibu tahu Hisham tak pernah berubah?"

"Adalah... Ibu dan ayah ada pasang spy sepanjang Auni belajar di sana."

Ibu tersenyum. Waida! Huh, siapa lagi kalau bukan dia. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #romance