Bab 9
Zaiton mencuit bahu Lah yang begitu asyik menjahit labuci.
"Apa?!" Dijegil mata ke arah Zaiton dengan air muka tak puas hati.
"Tu... Tengok kawan kita seorang tu, duk termenung dari tadi lagi. Macam ada masalah aku tengok."
Bibir dijuih muncung tepat pada Liya. Tadi dia yang beria-ia nak datang butik Lah. Dah sampai, sepatah pun tak cakap. Selalunya mulut tu tak henti-henti celoteh.
Mereka berdua melihat ke arah Liya yang duduk termenung di atas sofa. Diam membisu.
"Hang tanyalah..." cadang Lah.
"Hanglah... Hang lebih rapat dari aku."
"Aku pula?! Hang pandai kan, terus tolak kat aku! Hang tu saudara dia, hang tanyalah..."
"Isy... Susah betul cakap dengan hang! Apa kata kita dua pi tanya? Habis cerita."
"Itu aku setuju." Zaiton terus bangun dan menarik lengan baju Lah.
"Eh... Eh... Sat la! Sabar, tahu tak! Biar aku letak dulu jarum ni, nanti tercucuk hang baru hang tahu." Jarum ditunjukkan. Dress pengantin diletakkan di atas meja. Lah berjalan mengekori Zaiton dari belakang.
"Liya!" tegur Zaiton. Dia terus duduk di atas sofa yang terletak berhadapan dengan Liya. Lah duduk di sebelah Zaiton dengan penuh sopan santun. Lelaki Melayu terakhir katakan.
Dengan perlahan-lahan, Liya menoleh.
"Pasal apa ni? Ada masalah ke? Cuba habaq kat kami. Kot-kot kami boleh tolong?" tanya Lah.
Liya mengeluh kuat. Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan.
"Habaq la kat kami! Besar sangat ke masalah hang, Liya?" Giliran Zaiton bertanya pula. Dibetulkan cara dia duduk tadi, rasa tak selesa disebabkan perutnya.
Wajah Lah dan Zaiton direnung.
"Sebenarnya... Hah... Sebenarnya..." Liya masih ragu-ragu.
"Sebenarnya apa? Cakaplah cepat!" Zaiton menyampuk. Dia tak sabar nak dengar.
"Tak ada apa-apa la."
"Isy... Aku pantang kalau orang cakap sekerat ni! Stres tau dak! Nak cakap, cepatlah cakap!" marah Zaiton seraya bangun. Renungan geram tepat pada Liya.
Lah memegang lengan baju Zaiton.
"Ton, hang tu tengah mengandung. Ingat sikit. Terkejut anak hang dalam perut tu. Cenge," tegur Lah bila Zaiton mula naik angin. Sensitif betul!
"Astaghfirullahalazim..." Zaiton cuba menenangkan diri dan duduk semula.
"Cakaplah. Takkanlah dengan kami pun nak berahsia," ujar Lah, lembut.
Sekali lagi, Liya mengeluh. Senyuman senget ke kiri.
"Okeylah... Sebenarnya aku rasa aku dah jumpa lelaki yang selamatkan aku masa accident dulu."
"Apa?! Siapa? Siapa? Kat mana hang jumpa?"
"Isy... Hang ni, Ton! Boleh sabar tak? Bagi Liya cerita dulu!" tegur Lah.
Zaiton duduk mendiamkan diri bila ditegur Lah. Posisi duduk dibetulkan sekali lagi agar lebih selesa. Maklumlah, mengandung.
"Aku rasa Adli lelaki tu," bagi tahu Liya.
"Adli kawan abang hang tu! Yang sewa rumah tu?" tanya Zaiton terkejut.
"Yup."
"Tapi hang kata hang rasa Adli lelaki tu, maksudnya tak pasti lagi, kan?!" kata Lah.
Kepala diangguk perlahan-lahan.
"Suara tu memang aku takkan lupa sampai bila-bila. Kalau dia tak jumpa aku time tu kat semak, dah tentu aku takkan berbual macam ni dengan hangpa berdua. Aku terhutang budi kat dia. Sebab tu aku nak cari dia dan ucapkan terima kasih. Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Suara Adli sama! Sangat sama!"
Liya memberitahu niatnya. Dah lama dia mencari tapi tak jumpa. Sebelum dia pejam mata, dia nak jumpa lelaki yang selamatkan dia lapan tahun yang lalu. Nak ucapkan terima kasih.
"Tapi yang buat aku sakit hati sekarang ni, abang aku!" Nada suara Liya serta-merta berubah mengingatkan perangai Hazri.
"Kenapa pula dengan Hazri? Apa kena-mengena abang hang dalam hal ni?"
"Betul tu. Hazri dah buat apa?" soal Lah hairan.
"Dah banyak kali aku nak korek info kat Adli tapi abang aku asyik potong line. Bila aku nak tanya, abang aku mesti ada. Eee... busybody betul! Yang aku tahu setakat ni, Adli ada saudara tinggal di Perth. Dia selalu pergi sana. Bila aku nak tanya lagi, abang aku mesti dah terpacak kat sebelah aku. Dia dengan Adli dah macam kembar siam aku tengok. Asyik berkepit sepanjang masa. Geram betul! Kalau macam ni, macam mana aku nak tanya?" Bibir Liya digigit rapat.
"Senang cerita, hang minta tolong Hazri! Mungkin dia boleh tolong!" cadang Zaiton.
"No! Nope! Aku takkan cerita. Hang tahu perangai abang aku tu kan! Mulut tu dah macam longkang. Tak sampai satu saat, hal ni mesti dah sampai kat telinga mak ayah aku. Kalau betul Adli tu lelaki malam tu, tak ada masalah. Tapi kalau bukan, seumur hidup aku jadi bahan ejekan abang aku. Tak nak! Tak nak! Kalau boleh, ini rahsia kita bertiga. Janji!" pesan Liya.
Selagi hal ini belum disahkan lagi, Liya takkan bagi tahu keluarganya terutama Hazri. Masa kecik-kecik dulu, Liya pernah terkencing dalam seluar gara-gara terkejut dengan seekor biawak yang masuk dalam rumah. Disebabkan Hazri, satu sekolah tahu hal ini. Malu betul!
Zaiton dan Lah berpandangan antara satu sama lain.
"Janji!" tegas Liya lagi.
"Ya... Janji!" jawab Zaiton dan Lah serentak.
"Good! Sekarang ni, macam mana nak alihkan perhatian abang aku? Bagi idea kat aku. Lah, hang mesti idea, kan!"
Lah tersenyum.
"Dah tentulah... Mai dekat sikit."
Semakin lebar senyuman Liya! Dia terus bangun dan duduk di sebelah Lah. Dia tak sabar nak tahu plan Lah.
Hari ini merupakan hari gotong-royong untuk membersihkan rumah orang tua yang terletak di hujung kampung. Begitu ramai penduduk kampung hadir menyertai program gotong-royong ini. Tak kiralah tua atau muda, mereka datang dengan niat untuk menjayakan program ini. Mereka dibahagikan beberapa kumpulan berdasarkan tugas yang diberi.
"Hang dah bagi tahu Tok Ramli, Lah?" tanya Liya. Anak mata sempat mengerling ke arah Hazri dan Adli yang berdiri tak jauh dari mereka.
"Dah! Aku dah bagi tahu tok aku yang Hazri nak jumpa dia bincang pasai rombongan nak pi Singapura tu."
"Baguih! Baguih!" Bahu Lah ditepuk dengan lembut. Liya tersengih.
"Sakit la!" Lah mengadu sakit. Tangan Liya ditepis lembut.
"Over betul! Kalah perempuan!"
Zaiton mencebik bibir. Dia berdiri di belakang Liya dan Lah. Dia baru saja sampai.
Lah dan Liya terkejut besar dengan kehadiran Zaiton.
"Ton! Hang mai sini buat apa? Hang tu pregnant! Mana boleh buat kerja-kerja berat ni? Ghani mana?" tanya Liya bertubi-tubi. Dia pula risau.
"Isy... Aku datang saja-saja. Boring duduk rumah. Ghani nak datang sini, aku ikutlah. Memang dia tak bagi tapi aku nak ikut juga."
"Eee... Hang ni memang ketegaq! Suka lawan cakap laki hang. Berdosa tau dak?" tegur Lah.
"Suka hati akulah. Ini rumah tangga aku. Hang sibuk buat apa?" Air muka Zaiton dah mula berubah merah.
"Isy... Stop! Asyik nak gaduh aje! Sekarang ni fokus kat plan kita," marah Liya dengan wajah yang serius.
Lah dan Zaiton terus diamkan diri.
"Okey... Lah! Giliran hang!" Liya mula memberikan arahan.
"Ton, hang pula pastikan laki hang jangan dekat dengan abang aku. Kalau tak, rosak plan kita."
"Baik," jawab Zaiton.
"Plan kita akan jadi, percayalah. Jangan bimbang. Hang pi menyorok lekas."
"Okey! Good luck. Pastikan abang aku percaya cakap hang," kata Liya sebelum menyorok di sebalik dewan kecil. Kepala dikeluarkan sedikit melihat apa yang berlaku. Harap-harap berkesanlah plan ini. Dia inginkan jawapan dan kepastian. Itu saja yang dia nak.
Lah menghampiri Hazri dan Adli yang sedang membersihkan kawasan semak samun di belakang rumah orang tua. Lah bercakap sesuatu dengan Hazri. Beberapa minit kemudian Hazri bergerak meninggalkan Adli.
Liya tersenyum lebar.
Kemudian Lah memberi isyarat pada Liya sebelum meninggalkan Adli seorang diri. Inilah peluang dia. Sebelum bergerak menghampiri Adli, dia membetulkan dulu tudung dan penampilan diri agar nampak cantik. Jantung mula berdegup kencang. Mula gementar. Gelabah pun ada.
"Assalamualaikum!"
"Waalaikumussalam," jawab Adli. Dia menoleh.
"Nampak Lah tak?" tanya Liya berpura-pura tak tahu. Ini sebahagian daripada rancangan mereka.
"Lah! Ooo... Tadi ada tapi Lah kata dia dahaga, terus pergi sana nak minum air sekejap."
"Ooo... Hazri?"
"Dia ada hal. Hah... Nak jumpa Tok Ramli katanya," jawab Adli.
"Ooo... Ya ke? Kalau macam tu, biar Liya tolong."
Cangkul yang ada di situ diambil dan terus Liya membuat kerja. Dia mencari masa yang sesuai untuk bertanya.
"Eh... Eh... Tak payah. Banyak ni! Tebal pula tu. Kerja berat ni." Adli terkejut. Dipandang ke arah semak samun yang tebal.
"No hal! Ini benda kecik saja. Kat ladang tu, kerja lebih berat daripada ni Liya pernah buat." Liya mencuri pandang ke arah Adli.
Adli tersenyum.
"Hari tu Hazri ada bawa pergi ladang Liya, banyak betul lembu Liya. Pandai betul Liya uruskan. Kenapa Liya pilih business ni? Maksud saya, ada banyak lagi business yang sesuai untuk Liya tapi kenapa Liya pilih business yang rumit ni." Adli mula berborak seraya menyambung semula kerjanya.
Pertanyaan Adli membuatkan Liya tersenyum.
"Memang business ni rumit tapi Liya suka business yang mencabar macam ni. Perlukan banyak kesabaran dan pengetahuan," bagi tahu Liya. Hakikatnya, inilah satu-satunya jalan untuk dia sibukkan diri. Bila dia sibuk dan penat, dia takkan teringat memori berdarah itu. Kalau boleh, dia nak lupa semua itu.
"Baguslah. Sepatutnya ramai orang contohi sikap Liya. Yalah, orang muda-muda sekarang ni mana mahu kerja berat macam Liya buat ni. Asyik nak kerja senang saja. Nak duduk kat tempat berpendingin hawa, dah tak nak kerja kat tempat panas."
Liya tersipu-sipu malu mendengar pujian Adli. Rasa kembang kempis hidung ni! Semakin lama dengar, suara itu benar-benar sama dengan pemilik suara malam itu.
"Hari tu awak kata ada saudara tinggal di Perth, kan?"
"Ya."
"Tahun 2010, ada datang Perth tak? Maksud Liya, time tu ada accident on the way pergi Perth. Kalau tak silap Liya, sebuah truck dan tiga buah kereta," tanya Liya. Dia menanti jawapan dan reaksi Adli.
"Tahun 2010? Hmmm..." Adi berhenti melakukan kerja. Otak ligat memikirkan sesuatu.
"Oh... I remember! Saya ada kat situ. Kalau tak silap saya, hanya seorang saja selamat. Dia rakyat Malaysia. Time tu dia cedera parah. Kawan-kawan dia meninggal on the spot. Kasihan. Dia macam mana agaknya? Lepas teman dia ke hospital, saya tak dapat tunggu lama sebab flight saya pukul 5 pagi. Kebetulan kawan dia datang, saya pun baliklah," cerita Adli.
Dia tak mungkin lupakan peristiwa malam itu. Sepuluh orang mangsa mati di tempat kejadian. Memang ngeri. Kebetulan waktu tu, dia terdengar suara di sebalik semak samun berhampiran. Bila hampiri, ada wanita terbaring di situ dengan wajah yang berdarah malah badannya penuh dengan luka. Dia bertanyakan kawan-kawannya. Tak tergamak dia nak bagi tahu. Macam mana keadaan mangsa sekarang ni? Dah lapan tahun berlalu. Tiba-tiba Adli teringat sesuatu. Dia berpaling ke arah Liya.
"Liya kenal mereka ke?" tanya Adli. Dia terkejut melihat Liya.
"Liya, kenapa ni?" soal Adli yang mula cuak bila Liya menangis secara tiba-tiba.
Tanpa menjawab soalan Adli, Liya terus melarikan diri meninggalkan Adli yang terpinga-pinga. Wajahnya basah dibanjiri dengan air mata. Langkah dipercepatkan memasuki tandas wanita. Diurut dadanya berulang kali. Dia terduduk di atas lantai. Semakin sukar dia bernafas malah jantung berdegup laju. Dia mula flashback apa yang berlaku lapan tahun yang lalu. Air mata deras mengalir. Mata dipejam rapat. Tubuh mula menggeletar.
"Liya," panggil Zaiton sebaik saja melangkah masuk ke dalam tandas. Dia terkejut melihat Liya. Dipegang tangan Liya! Sejuk!
"Lah! Lah!" jerit Zaiton sekuat hati. Dia panik.
"Ya Allah! Liya!" Lah terjah masuk.
"Liya! Liya! Dengar sini, tarik nafas... Tarik nafas perlahan-lahan, Liya! Hembus nafas, Liya! Liya!" Wajah Lah serius. Lah ingat pesanan Dr. Mardiyah.
"Liya! Hang selamat! Hang ada dengan kami! Liya!" Zaiton turut sama menangis. Tangannya tak lepas dari memegang Liya.
Liya ikut cakap Lah. Dia cuba tenangkan emosinya. Rasa takut mula hilang perlahan-lahan. Dipandang wajah Lah dan Zaiton yang pucat lesi.
Usai melakukan solat sujud syukur, Liya duduk di atas tikar sejadah seraya mengangkat tangan untuk berdoa.
"Ya Allah! Aku bersyukur kepada-Mu kerana menemukan aku dengan insan yang aku cari selama ini. Sesungguhnya Engkaulah Maha Mengetahui segala-galanya. Terima kasih, Ya Allah!" Senyuman lebar mekar di wajah Liya. Baginya hari ini adalah hari yang sangat gembira dalam hidupnya. Orang yang dinanti selama ini rupa-rupanya ada di depan mata. Peluang yang ada akan digunakan sebaik-baiknya.
Setelah selesai berdoa, Liya membuka kain telekung dan kemudian dilipat dan diletakkan di birai katil. Telefon bimbit dicapai.
"Tak sabarnya aku nak bagi tahu Soraya!"
Liya ketawa sendirian seraya duduk di birai katil. Lantas nombor telefon Soraya didail, bunyi deringan membuatkan Liya tak sabar-sabar. Eh... Mana pula Soraya ni!
"Bueno!"
"Kau ni tak habis-habis nak bueno bueno dengan aku. Tak reti-reti nak bagi salam?"
"Quien le desea hablar? (Siapa ni?)"
Bibir diketap rapat.
"Ini mesti baru ambil kelas bahasa Sepanyol, kan? Soraya, kau cakaplah bahasa Jepun ke? Bahasa Jerman ke? Bahasa Korea ke? Aku kenal sangat dengan suara kau tu."
"De parte de quien? (Siapa call ni?)"
Dahi ditepuk dengan kuat. Eee... Soraya ni memang sengaja nak uji kesabaran aku. Tak nak mengaku. Okey!
"Quisiera hablar con Soraya. (Saya nak cakap dengan Soraya? Le atiende Liya (Ini Liya)." Liya terus bercakap bahasa Spanish. Dia tahu jugalah sikit-sikit.
"Lo siento (Saya minta maaf), numero equivocado (Salah nombor)."
Air muka Liya sedikit demi sedikit berubah. Senyuman dah hilang entah ke mana. Darah mula mendidih
"En el peligro se conoce el amigo. (A friend in need is a friend indeed)."
"Kenapa, Liya? Kau ada masalah ke?" tanya Soraya dengan nada gelisah. Itulah trademark mereka berlima. A friend in need is a friend indeed.
"Boleh pula cakap bahasa Melayu." Liya ketawa.
"Isy... Suka buat orang risau. Ingatkan apa tadi. Eh, bila pandai cakap Spanish ni?" tanya Soraya.
"Tengok oranglah!"
"Aku ingatkan kau pandai cakap bahasa lembu. Maklumlah, sekarang ni kawan baik lembu. Aku kat sini dilupakan macam tu aje." Nada suara kedengaran merajuk.
"Jangan nak buat drama! Helo! Dalam sebulan empat atau lima kali aku call kau, nak harapkan kau call aku... Hmmm... Jangan haraplah."
"Ewah... Ewah... Sedapnya mulut kau bercakap. Aku call tapi kau suruh aku call lain kali. Sibuklah! Meetinglah! Macam-macam! Dah jadi businesswoman berjaya... 24 jam sibuk, kan! Kita suruh dia datang sini, tak nak. Siapalah kita jika nak bandingkan dengan lembu dia," bebel Soraya.
"Kau suka buat aku rasa bersalah. Tengoklah nanti macam mana, ada masa free nanti aku terus fly jumpa kau kat Australia."
"Yalah tu! Aku juga nanti yang pergi jumpa kau kat Malaysia," perli Soraya.
"Soraya! Guess what? Aku dah jumpa," bagi tahu Liya. Disebabkan hal tadi dia terus terlupa nak cakap tujuan sebenar dia call Soraya. Ada berita baik yang nak dikongsikan bersama.
"Jumpa siapa?" Dahi Soraya berkerut.
"My savior!"
"What?! Really?"
"Aku dah jumpa dia, Soraya!"
"Siapa? Nama apa? Jumpa kat mana?" soal Soraya bertubi-tubi ingin tahu.
"Sabar! Biar aku cerita dulu."
"Okey! Kau cerita, aku dengar!"
Liya mula bercerita dari mula hingga habis. Diceritakan satu per satu tentang lelaki bernama Adli. Senyuman tak lekang di bibir Liya. Dia mahu berkongsi berita ini dengan Soraya.
"Tak sangka kan, rupa-rupanya Adli tu best friend abang kau. Kecil betul dunia ni, kan?! Handsome tak? Lebih handsome dari abang aku ke?" tanya Soraya ingin tahu.
"Kau kan dah jumpa dia?"
"Memang aku jumpa dia... Tapi time tu chaos, kau dalam emergency room. Kritikal pula tu. Aku tak ada masa nak tengok muka dia."
Soraya mengingati semula kejadian malam itu. Memang jelas sekali. Kebetulan waktu itu, dia dan keluarga baru melangkah masuk ke Sydney Airport nak pergi melawat Jalil yang accident di New Zealand. Mujurlah Jalil cedera ringan saja. Panggilan yang diterima membuatkan dia jatuh terduduk di atas lantai lapangan terbang. Tak percaya dengan berita yang diterima mengenai kemalangan yang menimpa sahabat baiknya ketika itu.
"Ya tak ya, kan?! Aku seorang aje yang terselamat." Nada suara Liya yang ceria tadi berubah sayu.
Soraya tersedar.
"Famili kau dah tahu pasal Adli tu?" Soraya menukar topik perbualan.
"Belum! Hanya kau, Lah dan Zaiton yang tahu."
"Why?"
"Nantilah aku bagi tahu. So, mak aku panggil la. Esok aku call kau ya? Assalamualaikum," kata Liya sebelum mematikan panggilan itu. Dia merenung kosong telefon bimbitnya. Wajah Karen, Zetty dan Yana mula muncul. Kedengaran suara mereka bertiga menjerit. Jelas! Sangat jelas! Peristiwa lapan tahun yang lalu mula menghantui dirinya. Flashback malam itu membuatkan Liya jatuh terjelepok ke bawah. Kaki menjadi lemah, tiada tenaga untuk bangun manakala Jantung berdegup kencang. Dada berasa pedih secara tiba-tiba. Nafas dah mula naik turun. Rasa sukar bernafas. Badan dah mula berpeluh. Kedua-dua telinga ditekup agar tidak mendengar jeritan mereka.
"No! No!"
Liya cuba melawan perasaannya. Air mata merembes keluar membasahi wajah pada saat mengenangkan detik-detik cemas semasa kemalangan itu. Tiba-tiba dia teringat pesanan Dr. Mardiyah yang merawatnya. Breath in, breath out! Banyakkan istighfar dan berfikir. Insya-Allah, semuanya akan dipermudahkan!
Bibirnya terkumat-kamit beristighfar. Ditarik nafas dan dihembus perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, perasaan Liya mula tenang. Dada digosok perlahan-lahan. Air mata dilap dengan lengan baju T yang dipakai. Sempat lagi Liya mengerling ke arah pintu, bimbang jika mak dan ayahnya terdengar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro