Bab 5
Langkah terhenti secara tiba-tiba.
"Aiii... Mak, termenung jauh nampak? Teringat buah hati ke?" usik Liya. Dia letak bakul kosong di tepi. Dia baru saja selesai menyidai baju di luar. Cuaca elok sekarang ni. Panas terik pula tu. Waktu ni kalau sidai baju mesti cepat kering. Matanya tiba-tiba melihat beberapa periuk yang ada di dalam singki. Dia bergegas mendekati singki dan mula membasuh.
Hajah Salmiah mengeluh kuat. Dia sempat menjeling bila mendengar usikan Liya.
"Hangpa berdua memang suka usik mak, kan! Dua-dua sama saja."
"Dah kembar, mesti perangai serupa. Betui dak?"
Hajah Salmiah terus bangun dan mendekati Liya yang sedang sibuk membasuh.
"Mak rasa rugi la."
Liya menoleh.
"Rugi apa, mak?"
"Mak rasa rugi kalau Adli tu tak jadi menantu mak. Orangnya baik, sopan santun, cakap tu lembut saja, hormat orang tua dan ada pelajaran pula tu. Kalaulah Adli tu tak ada girlfriend, sekarang juga mak pinangkan Adli untuk hang. Bulan depan terus nikah, senang cerita."
Liya ketawa terbahak-bahak. Pili air ditutup agar tidak membazir. Liya meletakkan periuk semula dan berdiri berhadapan emaknya.
"Mak ni dah macam desperate sangat. Liya okey saja. Adli tu dah ada girlfriend, mak. Takkan mak nak rosakkan hubungan depa? Kita takkan bahagia kalau kita bina hubungan itu berlandaskan air mata orang lain, mak! Mak sendiri pernah cakap, kan? Lagipun, belum ada mana-mana lelaki yang berjaya ketuk pintu hati Liya. Yang ketuk tu tak berbunyi langsung," ujar Liya dengan lembut.
"Macam mana nak berbunyi kalau hang bina pintu konkrit dalam hati hang tu," perli Hajah Salmiah. Ada riak wajah hampa.
Liya hanya mampu tersenyum. Dia tahu niat mak baik tapi dia tak bersedia lagi untuk semua tu. Cukuplah sekali dirinya dikecewakan. Yang penting kini, dia nak tumpu perhatian dalam business dia.
"Mak, Liya rasa Liya nak beli baka lembu jenis Droughtmaster. Yang ada baka Kedah Kelantan, kalau ada banyak pilihan mesti ramai nak beli nanti." Dengan cepat Liya mengubah topik.
"Apa benda Droughtmaster tu?" Dahi sedikit berkerut.
"Hah... Lembu tu asal dari Australia. Kacukan antara Shorthorn dan Brahman cattle. Warna merah gelap. Yang penting tahan panas. Maklumlah cuaca kat sini kan panas terik. Yang lebih penting lagi, subur dan cepat beranak. Rezeki Liya bertambah la, mak. Bayangkanlah... Wah, banyak duit masuk nanti." Liya mula berangan-angan. Semakin lebar bibir Liya.
Hajah Salmiah mengetap bibir rapat menaham geram.
"Tak habis-habis dengan lembu dia. Senang-senang hang kahwin saja dengan lembu hang tu," perli Hajah Salmiah.
"Boleh ke mak? Esok Liya terus bawa jumpa tok kadi."
"Isy, budak bertuah ni?!" Suara Hajah Salmiah mula meninggi. Membulat terus mata dia.
"Just kidding, mak!" Liya menutup pili air semula. Tangan yang basah dilap kat kain putih yang tersangkut di dinding.
"Mak, sat gi Liya nak keluar kejap dengan Zaiton. Kami nak pi kenduri sepupu Lah kat kampung sebelah tu," bagi tahu Liya.
"Balik nanti singgah sat kat kedai Mak Yah. Belikan bawang putih sikit. Dah habis. Hah... Cabai kering sekali tau. Jangan ambil banyak sangat."
"Ya, mak!" jawab Liya sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya.
Beg pakaian dimasukkan ke boot kereta sebelum ditutup. Langkah Hazri terhenti mendengar deringan telefon dalam kereta Adli. Hazri bergerak mencari. Dia membuka pintu pemandu dan mengambil telefon Adli.
"Isy... Boleh pula letak phone dalam kereta. Sassy girl? Siapa Sassy girl ni?" Dia membaca nama yang tertera di skrin telefon. Tiba-tiba telefon itu terdiam dan beberapa saat kemudian telefon itu berbunyi lagi.
"Adli! Ooo... Adli! Ada call!" jerit Hazri memanggil Adli.
"Apa?!" Bergegas Adli keluar menyarungkan selipar seraya mengunci pintu rumah dan kemudian berjalan mendekati Hazri.
"Ada call."
"Siapa?"
"Sassy girl!" bagi tahu Hazri.
Adli mengeluh.
"Biarlah. Dah sampai KL nanti aku call dia balik."
Kepala digaru beberapa kali mengenangkan bencana yang akan menimpa sebaik saja tiba di KL. Hampir kusut rambut dia.
"Siapa Sassy girl tu? Hah... Aku tahu, girlfriend baru kau kan?" teka Adli sambil tersengih.
"Isy... Cousin aku la. Nama dia Zalika."
"Kenapa kau letak Sassy girl?"
"Sebab perangai dia sassy. Ini mesti dia dah tahu pasal hal aku dan Rita. Kalau dia dah start cakap, jangan harap dapat celah." Di wajah Adli sudah terpancar wajah resah. Kalau Zalika masuk campur, makin kecoh jadinya. Macamlah dia tak kenal perangai sepupu yang seorang tu.
"Bunyi macam scary saja."
"Memang scary! Lebih menakutkan daripada kau. Okeylah, aku dah nak kena bertolak ni. Takut lewat pula nak sampai."
Sempat lagi Adli melirik mata ke arah jam tangan berjenama Rolex di tangan. Dah pukul dua petang.
"Hah... Kirim salam kat mak ayah kau. Next week aku datang."
Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Dia terus melangkah masuk ke dalam perut kereta.
"Drive elok-elok. Dah sampai roger aku," pesan Hazri sebelum kereta Volkswagen Polo bergerak. Tangan dilambai sehingga kereta itu hilang dari pandangan.
"Itulah, aku dah banyak kali suruh hang tukar motor baru tapi tak mau. Nak juga guna motor buruk ni. Banyak saja duit tapi berkira nak mampus. Kalah Haji Bakhil dalam filem Labu Labi tu. Nasib baiklah buat perangai bila kita dah habis makan kenduri sepupu Lah. Kalau tak, kebulur kita tadi."
Liya yang sedang menolak motor tiba-tiba berhenti. Dia menoleh.
"Hang ni, Ton! Tak habis-habis nak pot-pet pot-pet. Dari tadi sampai sekarang tak henti-henti. Disebabkan mulut hang la motor aku buat hal. Nak tahu pasal apa? Sebab hang tak henti-henti kutuk dia. Buruklah! Lambatlah! Dia kecik hati, tau dak?! Sebelum ni tak ada masalah pun, elok saja. Itulah, aku suruh hang pi dengan laki hang, hang tak nak sebab famili mentua hang pi lambat sikit. Nak ikut aku sangat." Liya yang sejak tadi diamkan diri terus meletup. Dahlah panas, dia juga yang kena tolak motor ni. Si Zaiton ni tak habis-habis kompelin. Bukan nak tolong, panaskan darah dia lagi adalah.
"Hang salahkan aku ke, Liya?" Wajah Zaiton terus berubah nak menangis. Semakin keruh.
Liya menundukkan kepala beberapa saat. Inilah susah kalau cakap dengan orang tengah mengandung. Sensitif betul!
"Aku tak marah kat hang, Ton! Sorry!" ucap Liya. Dia mengalah. Siapa betul atau salah, itu tak penting. Kalau Zaiton teriak, mampuslah dia nak kena pujuk nanti. Dahlah tengah panas sekarang ni.
"Dah nak sampai kat kedai motor Zam tu. Hang tu mengandung! Payung tu pegang betul-betul!" Liya membetulkan payung yang dipegang Zaiton yang sudah senget ke tepi.
"Takkanlah aku nak payung sorang, mesti hang panas juga." Zaiton rasa bersalah.
"Aku ni dah biasa. Dah kerja aku hari-hari kena panas. Hang tu mengandung, kena ingat tu. Kalau demam, hang dengan baby susah nanti," pesan Liya. Dia menolak semula motor. Kini badannya bermandi dengan peluh. Terasa peluh sedang mengalir di wajahnya.
Liya dan Zaiton terkejut bila bunyi hon yang dibunyikan beberapa kali. Dua buah motor berhenti di hadapan mereka.
"Kasihan. Motor rosak ke? Nak aku tolong? Hah... Tak mau la, bazir tenaga saja tolong. Tak ada faedah pun." Lokman tersengih.
"Betul tu! Buat malu saja. Siapa nak kawan dengan perempuan plastik macam ni?" Rahman mencelah dan turut sama ketawa kecil.
Liya mengeluh kecil sebelum bersuara. Dia memandang lelaki yang berkulit hitam manis itu.
"Hang nak apa, Lokman? Kalau hang tak nak tolong, baik hang blah.
"Amboi! Sombong! Hang dengar tak, Rahman?"
"Dengaq! Jelas!"
"Itulah orang cakap bodoh sombong! Sapa yang susah la ni, dia kan!" Lokman memandang ke arah Rahman.
Zaiton mengetap bibir.
"Apa masalah hang, Lokman? Apa lagi hang tak puas hati kat Liya? Ooo... Aku tahu sebab time sekolah dulu Liya tolak cinta hang kan sebab tu hang dendam kat Liya sampai la ni, kan! Kenal A B C pun tak betul lagi, ada hati nak bercinta."
"Hang jaga mulut hang baik-baik, Ton!"
Tiba-tiba Lokman tersentap bila kisah lama diusik. Memang dulu dia sukakan Liya tapi Liya tolak cintanya kerana Muaz. Maklumlah, masa tu Muaz pelajar contoh kat sekolah. Dia ni budak nakal kat sekolah. Memang tak sesuai dengan Liya.
"Hang nak buat apa dengan mulut aku ni? Buatlah kalau hang berani!" cabar Zaiton dengan berani.
"Hang ingat aku takut? Tunggu!" Lokman ingin turun dari motor tapi dihalang oleh Rahman.
"Hang nak buat apa? Hang dah gila ke? Bapak dia bekas ketua balai polis, hang nak masuk lokap ke?" tegah Rahman.
Lokman mengetap bibir seraya merenung Zaiton yang tersenyum sinis ke arah merea berdua. Tangan digenggam erat.
"Jom, blah! Malas nak layan perempuan gila ni." Lokman terus memecut laju meninggalkan mereka diekori Rahman dari belakang.
"Takutlah tu!"
"Eee... Ton, mulut hang memang tak ada insurans!" Liya menggelengkan kepala beberapa kali melihat perangai Zaiton. Macam manalah Ghani hadap dengan perangai Zaiton dua puluh empat jam? Tak dapat dia bayangkan.
Sekali lagi Liya dan Zaiton terkejut bila mendengar bunyi hon kereta.
"Motor rosak ke?" tanya Adli sebaik saja menurunkan cermin kereta dan kepala dikeluarkan sedikit.
"Ya."
"Biar saya tolong!"
"Eh... Tak payah! Kedai motor dekat saja. Tu hah..." Liya menunjukkan kedai yang terletak tak jauh dari mereka berdiri. Dia tak nak susahkan orang lain. Dia lebih suka berdikari.
"Betul ke tak nak saya tolong!" tanya Adli untuk kepastian.
"Betul! Awak dah nak balik ke?"
"Ya! Ada banyak benda tak settle kat KL. Hah... Kalau macam tu, saya minta diri dulu." Adli tersenyum.
Senyuman Adli dibalas dengan senyuman.
Sebaik saja kereta Adli berlalu pergi, Liya menolak semula motor agar tiba di destinasinya. Tumpuan hanya satu, rumah kedai berwarna coklat tu. Bajunya dah basah lencun. Kalau diperah, entah-entah boleh penuh satu baldi.
"Kenapa suara dia macam tu? Macam suara rockers aje! Memang asli ke?"
"Dia sakit tekak la," jawab Liya.
"Aku rasa kalau dia potong rambut bagi pandek, lepas tu buang janggut dengan misai, confirm handsome. Tapi kan... Aku tengok mamat tu macam ada masalah saja. Mata tu kuyu macam tak cukup tidur. Rasanya masalah apa? Abang hang ada cerita tak?" Zaiton masih tak berhenti-henti bercakap.
Liya menghembus nafas perlahan-lahan. Dia cuba bersabar seraya mendengar celoteh Zaiton yang tak henti-henti. Motor ditolak perlahan-lahan. Dibiarkan saja Zaiton membebel seorang diri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro