Bab 2
"Liya masak apa pagi ni?" tanya Hajah Salmiah seraya berjalan mendekati meja makan yang sudah dipenuhi dengan makanan. Dia baru saja keluar dari bilik untuk sediakan makan pagi. Bertuah dia dapat anak perempuan serajin Liya.
Liya tersenyum.
"Nasi lemak ada! Bihun goreng ada! Cucur jagung pun ada. Mak duduklah. Dah siap ni. Sekejap Liya panggil ayah dan abang." Teko air kopi yang baru dibancuh diletakkan di atas meja.
"Biar mak panggilkan! Siapkan cepat. Kalau tak siap, ayah hang bising pula." Hajah Salmiah mencelah dan berjalan meninggalkan ruang dapur. Beberapa minit kemudian, Haji Razali dan Hazri berjalan memasuki ruang makan mengekori Hajah Salmiah.
Hazri terus menarik kerusi dan menghidu bau nasi lemak yang sudah menerjah masuk ke dalam rongga hidungnya. Perut terus berkeroncong.
"Wow... Banyaknya makanan! Semalam mimpi apa? Tiba-tiba murah hati nak masak semua ni. Hmmm... Abang tahu, mesti semalam Liya mimpi jadi isteri orang! Siapa laki Liya? Bagi tahu la! Abang nak tahu! Itulah, ada orang ajak kahwin, Liya jual mahal." Wajah adik kembarnya direnung.
Liya mengetap bibir. Tiba-tiba senduk nasi dihala ke arah Hazri.
"Abang memang sengaja nak naikkan darah Liya, kan? Kalau macam tu, tak payah makan." Liya terus mengambil pinggan yang berisi nasi di hadapan Hazri.
"Eh... Eh..." Hazri terkejut dan air muka terus berubah masam. Dia menarik semula pinggan dari tangan Liya.
Hajah Salmiah hanya mendiamkan diri dan terus menarik kerusi. Dia duduk di sebelah Liya. Dia sudah masak dengan perangai anak-anaknya. Setiap hari ada saja benda nak gaduh. Daripada kecil sampai sekarang tak habis-habis nak bergaduh. Dia malas nak cakap apa-apa. Hajah Salmiah menuang air kopi di dalam cawan suaminya.
"Isy... Hangpa berdua ni dah besar panjang pun nak bergaduh lagi. Sudah-sudahlah. Ni rezeki kat depan mata, tak eloklah bergaduh macam tu. Lekas, baca doa cepat. Ayah dah lapar ni," tegur Haji Razali sebelum mengangkat kedua-dua belah tangan.
Liya dan Hazri terus mendiamkan diri dan menuruti saja kata-kata ayah mereka. Liya sempat menjeling ke arah Hazri. Selepas saja doa makan dibaca, masing-masing menjamu selera.
"Hah... Sebelum ayah terlupa, kunci rumah sewa tu... Ayah dah letak kunci di atas almari kat depan. Hang tengok dulu dan bersih yang mana patut. Confirm banyak habuk. Cek suis lampu, tengok nyala ke tak? Lepas tu paip air pun kena cek, takut-takut kalau ada terbocor. Ayah tak mahu la nanti ada benda rosak kat rumah sewa tu. Tak eloklah macam tu," kata Haji Razali panjang lebar.
"Baik, ayah! Lepas makan nanti, Hazri pi tengok."
"Kawan hang tu dah kahwin ke belum?" tanya Hajah Salmiah.
Gulp! Tiba-tiba rasa ada benda terlekat, Liya melirik mata ke arah ibunya.
"Belum," ringkas jawapan Hazri. Dia sempat melihat reaksi adiknya.
"Maksudnya, kawan hang tu single lagi? Tak ada bini?" Suara Hajah Salmiah ceria secara tiba-tiba.
"Ya! Memang single! Tak ada bini!"
Bibir Liya digigit rapat menahan marah. Sudu digenggam erat. Dia masih tak lepas merenung Hazri.
"But... Hati dia dah ada bunga, mak! Adli dah nak tunang tahun ni. Sorry la, mak!" Hazri berterus terang.
Hajah Salmiah mengeluh kuat tanda hampa. Sebiji cucur jagung diambil dan dikunyah perlahan-lahan.
Liya mengurut dadanya beberapa kali. Dia menyambung semula makan yang terbantut tadi. Rasa berselera sekarang ni.
"Tapi... Kadang-kadang tu bertunang pun boleh putus. Jodoh orang kita tak boleh nak jangka."
Hazri sengaja menokok tambah ayatnya. Dia suka sangat mengusik adiknya, Hasliya!
Sudu diletak dengan kasar di atas meja.
"Abang!" jerkah Liya. Dia bengang bila Hazri cuba menarik minat ibu mereka.
Haji Razali yang sedang meneguk air kopi, tersedak kerana terkejut dengan suara Liya.
"Ayah!" Hazri menoleh dan mengurut belakang ayahnya.
"Ayah!" Liya rasa bersalah melihatnya.
"Tengok apa Liya dah buat!" marah Hazri seraya memberi tisu pada ayahnya.
Haji Razali menampar belakang Hazri dengan kuat.
"Dah la tu. Tak habis-habis nak usik Liya," tegur Haji Razali.
"Sakit! Ayah ni!" Hazri mengurut belakangnya. Pedih!
"Hangpa berdua ni tak pernah bagi ayah dan mak makan dengan aman. Ada saja nak kelahi. Umur tu dah 30 tahun tapi perangai tak matang langsung. Mak dah pesan banyak kali, kan? Jangan bergaduh depan rezeki. Tak baik," tegur Hajah Salmiah. Bihun goreng dicedok ke atas pinggan.
"Tapi mak yang mulakan dulu," jawab Hazri.
"Isy, budak ni! Dia tolak salah dia kat kita pula."
"Dah la tu. Cepat makan! Lepas ni, Hazri nak bersihkan rumah sewa pula."
"Ya, ayah!" jawab Hazri tanda akur dengan arahan Haji Razali. Tiba-tiba Hazri tersengih di hadapan Liya yang duduk bertentangan di meja makan.
"Liya!" Tiba-tiba suara Hazri berubah menjadi manja. Dia membuat muka cute seolah-olah ingin meminta sesuatu.
"Liya!"
Liya berpura-pura tak dengar. Dia memandang ke arah lain. Ini mesti ada benda ni. Suara tu manja semacam aje. Bila nak minta tolong, mulalah buat baik. Dia terus makan tanpa mempedulikan panggilan Hazri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro