Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

"Abang! Abang! Bang oiii..." panggil Hajah Salmiah. Mata meliar mencari kelibat suaminya di halaman rumah.

"Abang!" panggil Hajah Salmiah sekali lagi dengan nada suara yang lebih kuat. Dahi mula berkerut seribu.

"Abang!" jerit Hajah Salmiah sekuat hati.

"Sini!" Tiba-tiba ada suara yang menyahut. Suaranya datang dari arah belakang rumah. Hajah Salmiah bergegas berjalan menuju ke dapur. Pintu besi dapur dibuka. Hajah Salmiah tersenyum melihat suaminya yang sedang memberi makanan di reban ayam. Selipar Jepun disarung dengan pantas.

"Abang!" Langkah diatur mendekati Haji Razali.

"Pasal apa? Suara Miah tu boleh dengar satu kampung, tahu tak?" Pintu reban ayam dikunci. Haji Razali menoleh.

"Abang! Tadi Cikgu Noraini call, abang ingat tak anak Cikgu Noraini yang study kat Jepun?"

Haji Razali hanya mengangguk. Penyapu lidi yang tersandar di reban ayam diambil. Tangannya ligat menyapu daun-daun kering yang bersepah di luar reban ayam.

"Sekarang ni Lokman dah balik Malaysia selepas sambung belajar di sana," bagi tahu Hajah Salmiah dengan nada suara gembira.

"Ya ke? Baguslah kalau macam tu. Daripada berbakti di negara orang, lebih baik berbakti di tanah air sendiri," ujar Haji Razali acuh tak acuh.

Air muka Hajah Salmiah serta-merta berubah masam. Senyumannya terus hilang. Rasa geram bila dirinya tak dipedulikan.

"Abang dengar tak apa yang Miah cakap ni?"

Haji Razali mengeluh. Dia melihat ke arah Hajah Salmiah. Sejak mula lagi dia faham tujuan sebenar isterinya.

"Miah! Abang dah bagi tahu banyak kali, jangan nak pandai-pandai nak jodohkan anak kita dengan pilihan Miah. Biarlah Liya dengan cara hidup dia. Kalau dah sampai jodoh, Liya akan kahwin juga," nasihat Haji Razali. Dia tak suka cara isterinya. Tak henti-henti cakap pasal kahwin. Ada saja calon lelaki yang nak dijodohkan untuk anak perempuan tunggal mereka.

"Itulah abang, suka pandang ringan! Hal anak-anak tak nak ambil tahu langsung, biarkan saja. Abang, Liya tu bukannya muda lagi. Dah umur 30 tahun. Kawan-kawan sebaya Liya semuanya dah kahwin. Zaiton tu anak dah nak masuk nombor tiga. Esah yang kahwin tahun lepas pun dah mengandung. Dania anak Kalsom dah nak kahwin hujung minggu ni. Tinggal anak kita saja yang tak kahwin lagi."

Air muka dah muka berubah keruh. Rasa kecil hati bila niat baik disalah erti.

"Nak buat macam mana, jodoh depa berdua tak sampai lagi. Kenapa Miah kalut sangat nak kahwinkan Liya? Kenapa Miah tak cari jodoh untuk Hazri juga?"

"Hazri tu lelaki. Umur kalau dah 30 lebih pun laku lagi, Miah tak risau. Liya tu perempuan, ada tarikh luput. Apa orang kampung ni akan cakap nanti? Miah tak tahu nak cakap apa lagi setiap kali orang kampung tanya bila Liya nak kahwin. Malu, abang tahu tak? Nanti orang ingat Liya tu lesbian, asyik kawan dengan perempuan saja. Kawan lelaki tak ada langsung." Hajah Salmiah meluahkan rasa bimbangnya. Setiap hari memikirkan masa depan anak perempuan mereka, Nur Hasliya.

"Siapa kata Liya tak ada kawan lelaki? Lah itu kan lelaki!"

"Abang! Lah tu bukan lelaki tulen!"

Hajah Salmiah cuba membetulkan kenyataan suaminya. Dalam kad pengenalan, jantina Lah memanglah lelaki tetapi naluri lebih kepada perempuan. Lemah lembut semacam! Hampir nak luruh jantung tengok cara Lah berjalan, lenggang-lenggoknya mengalahkan perempuan.

"Isy, tak baik cakap macam tu. Kecik hati Lah kalau dia dengar. Lembut sikit saja. Pakaian dia tak berubah pun, masih pakai baju T dan seluar. Walaupun Lah buka butik pengantin kat pekan tu, tak ada pula dia mekap atau ubah penampilan dia macam perempuan. Elok saja abang tengok"

"Lelaki macam tu ada ke perempuan nak kahwin dengan dia?" Sinis soalan Hajah Salmiah.

"Miah! Lelaki macam Lah tu perempuan suka. Bila kahwin goyang kaki saja. Tak payah nak memasak dan buat kerja rumah, semua tu Lah boleh buat. Entah-entah nanti ada puteri raja masuk meminang Lah, hah... Kita tak tahu, macam-macam boleh terjadi." Haji Razali ketawa kecil. Dia sengaja mengusik.

"Abang, jangan nak merepek."

"Miah, boleh tak jangan buat Liya tertekan? Biar dia buat apa dia suka. Asalkan dia gembira, abang tak kesah. Lagi satu, dah banyak kali abang pesan jangan paksa Liya buat apa yang dia tak suka. Miah dah lupa ke hidup Liya macam mana sebelum ni? Dulu dia langsung tak keluaq rumah! Nak bergaul dengan orang pun tak! Naik kereta pun takut! Nampak lori saja dah menjerit! Miah nak ke Liya jadi macam dulu? Nak tengok Liya yang dulu? Sekarang ni dah kira alhamdulillah, dah nampak improvement!"

Hajah Salmiah terdiam beberapa saat mengingatkan semula hal yang berlaku. Anak matanya bertemu dengan anak mata suaminya.

"Suka hati abanglah! Miah malas nak cakap lagi. Semua salah kita." Bibir dijuih ke depan tanda merajuk. Dia memulakan langkah masuk ke dalam rumah.

"Mak!" tegur Hazri yang kebetulan baru balik dari kerja. Dia hairan bila tegurannya tidak disambut. Menonong saja ibunya melangkah masuk ke dalam rumah. Hazri menoleh ke arah ayahnya, inginkan penjelasan.

"Biasalah, Hazri! Bila tegur sikit, mulalah nak merajuk. Sikit-sikit nak merajuk. Tak habis-habis nak jodohkan Liya. Tak serik-serik!"

"Niat mak tu baik cuma cara saja tak kena." Hazri tersenyum. Dia sudah masak dengan ibunya.

"Ayah tahu! Tadi masa on the way balik, Hazri ada nampak tak Liya?"

"Tak nampak. Sekejap nanti baliklah. Kenapa, ayah? Ayah nak Hazri panggilkan?"

"Tak payahlah. Hazri kan baru balik. Nanti baliklah tu. Lagipun Bobby pun tak balik lagi." Penyapu lidi diletakkan semula setelah selesai menyapu.

"Ayah! Rumah sewa tu masih kosong ke?" tanya Hazri. Dia memandang ke arah rumah sewa ayahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah mereka.

"Haah, kosong! Lepas Rahim sekeluarga keluar, rumah tu masih kosong lagi. Kenapa?"

"Begini ayah, kawan Hazri dari KL baru saja dapat tukar mengajar di UniMAP. So, sekarang ni dia tengah cari rumah nak disewa, Hazri ingat nak suruh dia sewa saja di rumah tu. Boleh tak, ayah?"

"Boleh! Lagipun rumah tu kosong, tak ada orang pun."

Hazri tersengih.

"Bila dia nak mai?"

"Next week!" jawab Hazri.

"Kalau macam tu, hujung minggu ni Hazri kena tolong ayah bersihkan rumah tu. Dah dua bulan kosong, mesti banyak habuk."

"No problem, ayah! Jom masuk. Dah lewat ni," ajak Hazri.

"Yalah! Jom masuk! Ayah nak kena pujuk isteri kesayangan ayah dulu, nanti tak berasap dapur tu. Kebulur kita nanti." Haji Razali berseloroh.

Hazri ketawa seraya menggelengkan kepala. Langkah mereka berdua diatur menuju ke pintu dapur.

Liya membetulkan posisi duduk agar lebih lebih selesa sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas pelantar kayu. Sawah padi yang terbentang luas menghijau membuat Liya kagum dengan anugerah kurniaan dari-Nya. Setiap kali balik dari kandang lembu, dia akan singgah di sini dulu. Dia tersenyum melihat beberapa orang kanak-kanak kampung yang sedang bermain layang-layang. Hatinya terhibur memerhati gelagat mereka.

"Woi!"

Liya mengurut dada beberapa kali dan menoleh ke arah tuan punya suara yang menyergah secara tiba-tiba.

Zaiton ketawa terbahak-bahak.

"Hang tak reti beri salam ka? Perangai macam budak-budak. Hang kena ingat hang tu dah jadi mak budak pun. Dah nak masuk tiga. Nasib baik jantung aku ni masih kuat, kalau tak... Dah lama ting tong."

Zaiton hanya tersenyum mendengar bebelan sahabat baiknya.

"Bukan selalu pun, aku tengok hang khusyuk sangat. Pikiaq apa?"

"Pikiaq macam mana aku nak luaskan empayar perniagaan aku."

"Perniagaan apa? Lembu hang tu? Boleh kaya-raya ke?" Zaiton menggelengkan kepala seraya duduk di atas pangkin kayu.

"Eee... Tak baik hina tahu tak? Hang jangan lupa, Ton! Laki hang kerja dengan aku. Lembu tu sumber mata pencarian keluarga hang. Kalau perniagaan aku bertambah maju, hang juga tumpang senang. Aku up gaji laki hang. Bertambah gelang emas hang tu. Boleh beli rumah baru, tak payah hang nak duk rumah mak mentua hang lagi. Tu...kereta Perodua Viva hang tu, boleh tukar kereta baru. Toyota Vios? Honda Civic? Betul tak?" Liya tersengih melihat telatah Zaiton yang menganggukkan kepala tanda setuju.

"Betul juga cakap hang tu, Liya!"

Zaiton mula tersenyum. Dia dah mula pasang angan-angan. Tiba-tiba Zaiton teringat sesuatu.

"Cakap pasal laki aku, mana sepupu kesayangan hang tu? Kenapa tak balik lagi? Dah nak senja tapi tak balik-balik lagi."

Giliran Liya pula yang tersenyum. Teringat pula zaman sekolah dulu-dulu, Ghani dan Zaiton memang musuh ketat. Tak boleh bertemu langsung, asyik bertekak saja. Itulah kalau benci sangat pun bahaya, alih-alih jatuh cinta pula.

"Jangan bimbang, tadi masa aku balik, Ghani dan Mamat tengah masukkan lembu dalam kandang. Kejap lagi baliklah tu. Tak boleh nak berenggang langsung, malam nanti hang berkepit dengan laki hang tu 24 jam."

"Awat, jelus ka?"

"Tak kuasa aku nak jelus! Bazir masa aje."

"Liya!" Tiba-tiba suara Zaiton berubah serius. Anak mata Liya direnung.

"Hang masih tak dapat lupakan Muaz ke? Takkan lelaki tak guna macam tu hang duk suka lagi? Sebab dia ke hang tolak semua jodoh pilihan mak hang?"

"Kenapa tiba-tiba hang sebut nama tu? Hang tau kan aku tak suka dengaq nama lelaki tak guna tu! Kisah antara aku dan dia dah lama terkubur."

Air muka Liya berubah apabila nama Muaz disebut. Dia takkan lupa apa yang Muaz telah buat.

"Aku minta maaf, Liya! Aku pun tak sangka, aku ingatkan orangnya baik. Yalah, muka tu nampak macam lurus bendul saja. Kat sekolah dulu, hangpa berdua kan famous couple. Aku ingat bila hangpa study kat Australia, dia boleh tolong hang bila hang susah. Aku betul-betul tak sangka dia sanggup tinggalkan hang macam tu saja. Lepas tu boleh pula canang satu kampung pasal hang. Eee... Geram aku! Kalau aku jumpa dia, aku nak ganyang mulut dia. Geram!" Zaiton mengetap bibir.

"Biarlah, Ton! Aku bersyukur sekurang-kurangnya apa yang terjadi kat aku time tu, aku tahu siapa sebenarnya yang ikhlas berkawan dengan aku. Aku tak rugi apa-apa pun. At least aku ada hang dan Lah."

Tangan Zaiton dipegang dengan erat. Semakin meleret senyuman Liya. Tak mungkin dia dapat lupa kisah hitam dalam hidup dia. Sekelip mata dia hilang semuanya. Kemalangan ngeri itu meragut nyawa ketiga-tiga orang sahabat karibnya. Hanya dia seorang yang terselamat kerana tercampak keluar dari kereta namun dia cedera parah dan terpaksa berada di hospital hampir setahun untuk menerima rawatan.

"Betul tu! Kami akan selalu ada untuk hang, Liya. Ada masalah saja, roger kat aku. Aku akan tolong," kata Zaiton bersungguh-sungguh.

"Aku tahu. Hang memang sahabat aku dunia dan akhirat."

"Touching tahu tak?" Zaiton membuat mimik muka sedih. Rasa kembang kempis hidung bila dipuji seperti itu.

"Hah... Pasal lelaki yang selamatkan hang hari tu, hang masih cari sapa dia?"

"Ya."

"Macam mana hang nak cari? Muka tak tahu macam mana? Nama pun tak tahu? Dah lapan tahun, Liya! Hang masih nak cari ke?"

"Aku terhutang budi kat dia, Ton! Kalau dia tak nampak aku dalam belukar time tu, aku dah jadi arwah dah. Tak dapat hang nak duduk sebelah aku macam ni. Hutang budi dibawa mati, hang tahu kan! At least, aku nak ucapkan terima kasih." Liya masih ingat apa yang berlaku malam tu.

"Aku tahu! Nak cari kat mana? Hang pasti ke dia tu orang Malaysia?"

"Aku dengar dia cakap, Ton! Kalau boleh aku nak cari dia sampai jumpa. Aku nak ucapkan terima kasih. Aku ada di sini disebabkan dia. Walaupun dia tak kenal aku tapi dia stay dengan aku sehingga ambulans sampai. Dia ikut aku masuk dalam ambulans hinggalah sampai hospital. Dia cakap dengan aku time tu dan beri kata-kata semangat kat aku. Waktu tu aku rasa macam nak mati saja, sakitnya hanya Dia saja yang tahu. Muka aku penuh dengan darah. Separuh wajah aku hampir hancur. Kau tahu, kan? Kalau tak disebabkan plastic surgery mesti orang takut tengok muka aku ni." Nada suara Liya mula bergetar. Dia memegang wajahnya. Dia mengimbau kembali apa yang berlaku. Titik hitam dalam sejarah hidupnya.

"Time tu tangan dan kaki aku langsung tak boleh bergerak. Aku tak rasa apa-apa pun. Bila aku dengar Karen, Yana dan Zetty dah tak ada, aku rasa nak mati saja." Kelopak mata Liya mula berair. Rasa sebak mengenangkan apa yang berlaku. Jantung berdebar kencang.

Zaiton mula gelisah melihat kelakuan Liya. Tangan terus dipegang. Sejuk! Dia tahu Liya masih trauma dengan apa yang berlaku walaupun dah lapan tahun berlalu.

"Liya! Liya! Bawa mengucap. Jangan ikutkan perasaan. Liya!" Semakin erat genggaman Zaiton. Tubuh Liya digoncang agar Liya sedar dari lamunannya.

"Liya!" jerkah Zaiton sekuat hati.

Liya terkejut dan tersedar. Wajah Zaiton dipandang kosong. Wajahnya pucat lesi. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Pantas air mata diseka. Diurut dada berulang kali. Dia cuba tenangkan dirinya. Dipandang semula wajah Zaiton.

"Hah... Ton, sorry! Aku terbawa-bawa perasaan aku tadi." Liya menundukkan kepala dan terus bangun.

"Liya!"

"Aku... Aku balik dulu. Nanti kita jumpa lagi."

Langkah diatur laju menuju ke arah motor Yamaha yang diparkir di sebelah pangkin kayu. Dia masih menundukkan kepala. Enjin motor dihidupkan dan terus berlalu pergi tanpa menoleh semula pada Zaiton.

Zaiton menampar mulut beberapa kali.

"Eee... Mulut aku ni! Yang kau gatal ungkit semua tu buat apa? Tak pasal-pasal Liya ingat pasal kemalangan tu."

Anak mata Zaiton masih memerhati motor yang dibawa Liya yang membelok kanan. Dia mula risau. Walaupun keadaan Liya bertambah baik tapi apa yang bermain dalam hati Liya, tiada siapa yang tahu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro