Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Telefon bimbit di tangan dipandang tak beriak. Kening berkerut semakin tajam. Kenapa tiba-tiba emak suruh dia jangan balik? Pelik. Semasa dia berbual dengan abah beberapa hari lepas, tidak pula abah beritahu tentang majlis perkahwinan sesiapa. Selalunya pantang ada kenduri di kampung pasti abah akan beria-ia bercerita. Alasan abah, biar dia tahu apa yang berlaku di kampung walaupun dia duduk jauh di bandar. Tetapi sebenarnya dia tahu abah sengaja hendak memanjangkan cerita supaya dapat berbual lama dengannya.

"Kau kenapa? Berkerut-kerut muka tu aku tengok," tegur Jenny yang baru muncul dari pantri. Mug yang dibawanya diletakkan di atas meja Nur Jannah. Tubuh disandarkan di tepi dinding ruang kerja sahabatnya itu.

"Kita tak jadi balik kampunglah minggu ni," balas Nur Jannah dengan suara yang perlahan. Pandangan masih dibuangkan ke arah telefon di atas meja.

"Laaa... Kenapa?" Suara Jenny sudah berubah kecewa. Dia bukan main teruja lagi dapat mengikut Nur Jannah pulang ke kampungnya tapi tiba-tiba terpaksa dibatalkan pula.

"Entahlah, mak aku baru telefon dia kata hujung minggu ni mereka pergi kenduri hantar pengantin," terang Nur Jannah walaupun ada rasa sangsi dalam hatinya dengan cerita emaknya tadi.

"Hurmmm... Habis tu, bila kita boleh balik kampung kau?"

Nur Jannah jongket bahu. "Minggu depan pun tak sempat balik sebab kita sibuk dengan audit, kan?" soalnya.

Jenny mengangguk mengiakan. Nafasnya dihela. Punah harapan nak makan udang galah segar di kampung sahabatnya itu.

Nur Jannah turut melepaskan keluhan. Baru sahaja rasa bersemangat bekerja minggu itu kerana tidak sabar untuk balik ke kampung tapi tiba-tiba musnah harapannya.

"It's okay, Jannah. Kita pelan lain kali pula, ya?" pujuk Jenny lembut. Walaupun dia kecewa tetapi dia tahu Nur Jannah tentu lebih kecewa lagi. Apa tidaknya, sejak beberapa minggu lepas tak lekang kata-kata rindukan orang tuanya bermain-main di bibir sahabatnya itu.

Nur Jannah mengangguk. Perlahan.

"So, apa pelan kau hujung minggu ni?"

"Entah. Duduk rumah aje kut," balasnya dengan suara yang sudah berubah rentak. Habis hilang semua rasa yang ada dalam hati dengan panggilan tadi.

"Tak dating ke?" Jenny jongketkan kening. Sengaja hendak mengusik.

Muka dicemikkan dan kepala digeleng.

"Takkan tak keluar dengan Tengku Rayqarl kut?" sengihan Jenny menjadi semakin lebar. Terbayangkan duda beranak dua itu geli pula hatinya. Apa tidaknya, terhegeh-hegeh mengurat Nur Jannah walau berkali-kali Nur Jannah menolaknya.

Nur Jannah buat muka menyampah.

"Gelilah dengan lelaki macam tu. Gatal!" kutuknya sambil menggeliatkan tubuhnya dan buat muka geli.

"Lagipun aku ingat kaya sangat tapi cikai juga. Harap aje nama Tengku dekat pangkal nama, tapi nan hado aje pun," kutuknya selamba. Dalam ramai-ramai lelaki yang 'berduit' yang dikenalinya, Tengku Rayqarllah yang paling sengkek rasanya. Ajak makan dekat tempat high class sikit mesti banyak alasan. Pakai kereta mewah tapi rupa-rupanya sekadar mengaburi mata yang memandang.

Melihat reaksi Nur Jannah, Jenny ketawa lepas.

"Aku dah beritahu kau dia tu gatal tapi kau tetap juga nak cuba kenal," ucapnya dengan tawa yang masih bersisa.

"Tak mahulah cerita pasal dia lagi. Loya tekak aku. Kau cuba bayangkan Jen, ada satu hari tu aku keluar dengan dia, aku yang kena bayar. Alasan dia tertinggal wallet. Menipu sangat, kan? Sudahlah aku pun bukan jenis berduit juga, nak kena belanja dia? Hurm... Sayonaralah!" Nur Jannah cemikan muka.

Tengku Raykarl bukan setakat kurang 'berduit' tetapi pengotor. Yuck! Apa yang dia tak suka, lelaki itu tangannya boleh tahan liarnya. Cuit sana sini ikut sesuka hati sahaja. Walaupun dia mengimpikan lelaki kaya sebagai pendamping tetapi dia pun memilih juga. Yang tak berkenaan silalah ke tepi!!! Dan yang nyata lelaki bernama Tengku Rayqarl Tengku Haris itu sudah terkeluar dari senarai lelaki-lelaki pilihan dalam buku calon jodohnya.

Jenny gelengkan kepala. Rasanya kalau termasuk Tengku Rayqarl, sudah ramai lelaki-lelaki yang Nur Jannah reject. Apa yang Nur Jannah cari agaknya? Kata mahu yang kaya, dan lelaki-lelaki tersebut bukan sembarangan orang kesemuanya kecuali Tengku Rayqarl.

"Manusia ni tak sempurna, Jannah. Tuhan beri dia kekayaan tetapi tuhan kurangkan yang lainnya. Ada tu duit berkepuk tapi muka Ya Tuhan... Macam samseng jalanan. So, kau kena terima. Setiap kelebihan ada kekurangan." Jenny mula bersyarah.

Dengusan Nur Jannah kedengaran lagi. Bukan dia tidak tahu semua itu malah dia faham sangat. Kalau tidak, masakan perempuan cantik macam dia terpaksa hidup susah sejak lahir lagi.

"Aku bukan nak yang sempurna sangat Jen tapi cukuplah kalau perangai tu senonoh sikit. Ini tidak, Ya Rabbi... Takut aku," bebel Nur Jannah bersama gelengan.

"Tahu juga kau takut, ya?" kutuk Jenny selamba.

Nur Jannah terus berdiri. "Friend, walaupun aku ada cita-cita yang tak berapa baik tapi aku tak akan hancurkan diri aku dengan cita-cita yang gila tu," ucapnya mempertahankan diri. Jenny ingat dia perempuan murah? Senang-senang boleh diperlakukan apa sahaja kerana ingin hidup mewah? Sorry... Itu bukan dia!

"Ya, aku tahu kau macam mana cuma aku takut kau tergelincir dari landasan aje. Lelaki ni kalau dia nak sangat dia sanggup lakukan apa saja. Lebih-lebih lagi kalau jenis orang yang berduit. Aku cuma mengingatkan aje sebab kau kawan aku." Tidak jemu Jenny menasihati.

"Aku tahu dan jangan risau. Setakat ni aku tahulah macam mana nak jaga diri sendiri," balas Nur Jannah acuh tak acuh. Bosan kerana tidak henti-henti dinasihati.

Jenny menggeleng. Dia tahu Nur Jannah tidak suka dinasihati begitu tetapi itu adalah tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Nur Jannah juga yang selalu menyebut, sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mengingatkan dan tidak jemu memberi nasihat jika diperlukan. Baru sahaja Jenny ingin bersuara, terdengar nama Nur Jannah dipanggil. Kedua-duanya menoleh. Nurul, penyambut tetamu yang sedang berdiri di muka pintu dipandang.

"Cik Jannah, ada orang nak jumpa." Nurul menyambung kata-katanya.

"Siapa?" soal Nur Jannah dengan kening berkerut seribu. Rasanya sejak dia bekerja di situ setahun yang lalu, tak pernah lagi ada orang yang mencarinya di pejabat. Kalau ada pun cuma Zulaika tetapi kalau Ika, dia main terjah masuk ikut suka hati dia sahaja.

Nurul jongket bahu.

Kerutan di dahi Nur Jannah menjadi semakin dalam. Siapa? fikirnya. Tidak menunggu, dia terus melangkah keluar. Pandangannya dibuangkan ke arah ruang penyambut tetamu yang agak luas itu.

"Hai."

Terdengar teguran seseorang, langkah Nur Jannah terus mati. Tubuh terus dipalingkan ke arah suara yang menegurnya.

"Surprised, huh?"

Serta-merta itu air muka Nur Jannah berubah. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu dipandang tak berkelip.

"Terkejut nampak I dekat sini?" Lelaki itu bersuara lagi.

Nur Jannah mendengus. Tangan dipelukan ke tubuh. Lelaki itu dijeling tajam.

"Mana you tahu I kerja sini?" tanyanya agak keras.

Lelaki itu tersengih. "Hendak seribu daya, dear," ucapnya selamba.

"So, buat apa cari I dekat sini?" soalnya dengan suara yang sudah naik seoktaf.

"I call you, you tak angkat. So, apa yang you rasa I akan buat?" Lelaki itu bersuara sinis. Keningnya dijongketkan tinggi. Bukan sekali dua dia mencari tetapi sudah berkali-kali.

"Looks, Encik Zahin. Kalau I tak jawab call you itu maknanya, I memang tak berminat nak bercakap dengan you. Takkan itu pun you tak faham?" balas Nur Jannah juga bernada sinis.

Lelaki yang dipanggil Zahin itu lepaskan tawa. Langkah diayun dan Nur Jannah dihampiri semakin dekat.

"You tak nak cakap dengan I tapi I belum jemu nak jumpa you," ucap Zahin separa berbisik. Seakan-akan menggoda.

Nur Jannah mencemik. Meluat pula dia rasa. Sepantas kilat tubuhnya dijarakkan agak jauh sedikit dari lelaki itu. Loya tekak dia mendengar kata-kata lelaki itu.

"Encik Zahin, I rasa baik you pergi dulu sebab sekarang waktu office hour. Tak elok rasanya kalau bos I nampak you dekat sini." Nur Jannah cuba berlembut. Bimbang juga dia kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini di situ. Kalau tiba-tiba bosnya muncul lagi haru nanti.

"Fine, I boleh pergi tapi keluar dengan I malam ni?" pancing Zahin dengan senyuman. Apabila sudah bertemu, masakan dia mahu membiarkan. No, tidak sekali-kali.

"Sorry, I tak free," tolak Nur Jannah dengan suara yang sudah naik senada. Sorry dia hendak keluar dengan lelaki gatal seperti Zahin lagi. Sama sahaja spesies seperti Tengku Rayqarl. Tangan macam sotong. Liar berjalan ke sana sini. Lagipun dia memang tak berkenan pun dengan lelaki itu. Hendak dijadikan suami? Oh, please! Tidaklah. Biarpun duit berkepuk-kepuk dalam tangan.

"Kalau you tak free malam ni, kita keluar petang ni. I akan tunggu di sini sampai you balik," selamba Zahin lagi. Tidak mengendahkan riak bengang gadis di hadapannya itu, dia terus duduk.

"Encik Zahin, please." Nur Jannah sudah mula tidak senang hati. Pandangannya dibuangkan ke arah Nurul yang leka memerhati mereka sedari tadi. Dia juga tahu pasti Jenny juga sedang memasang telinga di sebalik pintu. Habis! Mesti lepas ini macam-macam cerita akan keluar. Popularlah dia menjadi gosip rakan sekerja.

"Keluar dengan I malam ni?" Tidak berganjak dengan keputusannya, Zahin masih pamer reaksi bersahaja.

"Okey, kita jumpa lepas I balik kerja." Akhirnya Nur Jannah mengalah. Lelaki itu dijeling semakin tajam. Geram melihat reaksi selamba lelaki itu.

Zahin tersenyum. Puas. Sejak beberapa minggu itu dia sudah puas menahan hati dengan sikap gadis itu. Berpuluh-puluh panggilannya langsung tidak diendahkan. Kalau Nur Jannah fikir dia jenis lelaki yang cepat putus asa, Nur Jannah memang silap. Selagi dia belum dapat, selagi itu dia tidak akan biarkan, lebih-lebih lagi kalau gadis itu adalah gadis yang dia inginkan. Lagipun apa guna dia berhabis untuk gadis itu kalau akhirnya dia ditinggalkan tanpa apa-apa imbuhan?

"I tunggu you dekat bawah nanti. Don't fool me around, Jannah," ucapnya seakan-akan mengugut. Nur Jannah direnung tajam.

"Okey," tekan Nur Jannah agak keras. Entah kenapa tiba-tiba hatinya rasa semacam pula. Riak lelaki itu kelihatannya sangat menakutkan.

"I told you, kan?" Lantang Jenny bersuara. Sebaik Zahin pergi, dia terus menerkam ke arah Nur Jannah. Melihat dan mendengar perbualan sahabatnya dengan Zahin tadi, dia sendiri pun sudah rasa tidak senang hati. Seram kut dengan lelaki yang perangainya mendesak begitu.

"What?" soal Nur Jannah tenang. Seboleh mungkin dia cuba beriak selamba walau dalam hatinya bukan main huru-hara lagi.

"That man!" Jari ditunjukkan ke arah pintu seolah-olah Zahin masih di situ. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Nur Jannah sudah buta atau sudah dibutakan? Oh my god! jeritnya dalam hati.

"Kenapa dengan dia?" Nur Jannah alihkan pandangan ke arah Jenny dan keningnya dijongketkan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Dia..."

Tangan dipelukan ke tubuh dan kepala dianggukkan menanti kata-kata Jenny seterusnya.

"Dia... Dia... Nampak menakutkanlah, Jannah!" luahnya beria-ia.

"So, maknanya dari tadi kau tengok aku dengan dialah, ya?"

Jenny terdiam. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.

"Kan aku dah kata, jangan risau. Lelaki macam tu kalau aku boleh elak, aku akan elakkan dari terus berjumpa." Nur Jannah cuba meyakinkan walaupun hatinya sendiri tidak berapa yakin.

"The problem is he's the one who looking for you. And yes... in here!"

Nur Jannah melepaskan keluhan. Memang betullah amoi sorang ni. Bikin hati dia jadi semakin kacau aje.

"Sudahlah, aku banyak kerja lagi nak buat." Tidak mengendahkan kata-kata Jenny tadi, dia terus masuk ke dalam semula. Walaupun nampak macam tenang tetapi dalam kepala sibuk memikir bagaimana hendak mengelak dari lelaki yang bernama Zahin!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: