Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Aku mahu makan malam di hotel,

Sepatuku hanyalah dari Channel,

Mahu lebih bagus darimu,

Tumpukan perhatianmu kepadaku...

Lihatlah baju menyarung tubuhku,

Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Miu Miu,

Ku perlukan semua itu...

Material yang menggembirakan aku...

Material oh lihatlah diriku

Material pasti semua cemburu

Material...

Mahu berkahwin dengan orang kaya,

Yang boleh belikan aku apa saja,

Mahu lebih bergaya darimu...

Wang ringgit dan dollar itu bukan isu..."

BIBIR terus mengalunkan lagu Material nyanyian Yuna dengan perasaan teruja. Sesuai sangat lagu tersebut untuknya. Beg kertas yang dibawanya terus diletakkan ke atas meja.

"Mahu berkahwin dengan orang kaya,

Yang boleh belikan aku apa saja,

Mahu lebih bergaya darimu...

Wang ringgit dan dollar itu bukan isu."

Rangkap tersebut diulang lagi. Berkali-kali. Kemudian dia tersenyum. Lebar. Melankolik sangat lirik lagu itu dengan dirinya.

"Amboi... Seronok nampak," tegur Zulaika dengan tangan bercekak di pinggang. Beg-beg kertas yang elok terletak di atas meja dikerling. Rezeki orang cantik. Setiap kali berjumpa 'boyfriend' nya pasti ada sahaja barang yang akan di bawa pulang. Itulah Nur Jannah.

"Of course," balasnya dengan sengihan lebar. Mahu tak seronok apabila dapat apa yang diinginkan. Walaupun ianya hanyalah sekadar untuk kepuasan.

"Siapa pula yang bagi kali ni?" Zulaika terus duduk. Beg kertas berwarna hitam yang tertulis Gucci diluarnya itu dicapai. Isi di dalamnya dijengah.

"Zafrul." Nur Jannah membalas selamba. Rambut dicekak dengan sepit dan tubuhnya disandarkan ke sofa.

"Untunglah..." seloroh Zulaika dengan cemikan.

Sengih Nur Jannah menjadi semakin lebar.

"Mana-mana yang kau nak, kau ambillah. Kalau kau nak beg tangan tu pun kau buatlah hak milik kekal. Beg tangan aku pun dah banyak. Heels pun masih ada yang tak pakai," pelawanya. Memang selalunya begitulah. Bukan semua dia kaut untuk dirinya tetapi akan diberikan kepada Zulaika juga. Lagipun sudah beria-ia Zafrul mahu belanja, masakan dia menolaknya.

"Betul ke? Barang mahal ni." Bulat mata Zulaika memandang sahabatnya. Beg tangan Gucci yang sedang dipegangnya ketika itu ditunjukkan kepada Nur Jannah. Kemudian, beg kertas yang tertulis Pandora dikerling pula.

"Ambil ajelah." Kepala terus disandarkan ke kepala sofa. Letih. Apa tidaknya, balik kerja terus bertemu Zafrul. Mulanya hanya untuk minum petang bersama tetapi melarat-larat sampai ke pusat membeli-belah pula.

"Nur, Pandora tu kau tak nak ke?" Zulaika pamer sengih. Hendak minta terang-terangan malu pula. Tetapi sudah lama sangat dia mengidam hendak memakai gelang tangan jenama tersebut tetapi untuk orang yang gajinya tidak seberapa seperti dia, manalah mampu untuk memiliki gelang semahal itu.

"Ya, ambil ajelah. Kau ni macam tak biasa. Kalau aku suruh kau pilih tu ambil ajelah. Yang mana aku nak tentu aku dah ketepikan," bebel Nur Jannah bersama jelingan. Sudahlah dia penat, Zulaika banyak cakap pula. Tarik balik pelawaannya tadi baru tahu.

Zulaika terjerit. Teruja.

"Thank you, Nur. Kaulah sahabat aku dunia akhirat," ucapnya dan beg kertas Pandora di atas meja terus dicapai. Kotak di dalam beg tersebut diambil dan terus dibuka. "Ya Allah, Nur. Cantiknya gelang ni." Gelang tersebut diacu-acukan di pergelangan tangannya.

Nur Jannah menggeleng dan tersenyum.

"Jakun," kutuknya dan terus bangun.

"Sudahlah, aku nak mandi dan tidur. Penat."

"Jangan lupa solat." Sempat lagi Zulaika memesan walaupun mata masih tidak berkalih memandang Pandora di tangan.

Dengusan dilepaskan. Memang manusia kuat membebel, gumamnya.

"Tahulah aku." Langkah terus diayun untuk masuk ke biliknya.

"Nur... Aku lupa nak beritahu." Zulaika palingkan wajah ke arah Nur Jannah yang sudah berdiri di muka pintu biliknya.

"Puan Sofi suruh kau call dia. Dia call kau tak dapat," beritahunya.

"Hurmmm... Handphone aku habis baterilah. Esok-esoklah aku call dia," sambutnya malas-malas. Tombol pintu dicapai dan dipulas sebelum pintu bilik dikuak.

"Weh... Dia nak cakap pasal photoshootlah," jerit Zulaika lagi.

"Okey... Okey, esok aku call dia." Pintu terus ditutup.

Zulaika menggeleng dan bahunya dijongketkan. Lantak kaulah Nur, bisiknya. Pandangan dibuangkan ke arah gelang Pandora di tangannya semula. Teruja gila akhirnya dapat juga dia memiliki gelang semahal itu walaupun hanya dari ihsan orang. Peduli apa, yang penting gelang itu adalah miliknya sekarang! Yahooo! Hatinya menjerit suka.

"Dah fikirkan cadangan pak ngah?" Dato Huzir sandarkan tubuhnya ke sofa. Tangan diletakkan pada pemegang di sisi kerusi dan ditongkatkan ke pipi. Fareez yang sedang duduk termangu di hadapannya itu dipandang. Pelik, apalah yang susah sangat agaknya? Permintaannya pun bukanlah keterlaluan sangat.

Fareez angkat kepala. Pandangan Dato Huzir dibalas dengan riak serba salah. Bukan dia tidak sudi menerima cadangan bapa saudaranya itu tetapi permintaan Dato Huzir agak berat untuk ditunaikan.

"Bukan Reez tak sudi pak ngah tapi Reez memang belum bersedia lagi. Kedua-dua tawaran pak ngah tu berat untuk Reez terima." Lembut dia membalas. Tidak mahu dikata kacang lupakan kulit setelah apa yang telah keluarga itu berikan kepadanya selama ini.

"Apa yang beratnya, Reez? Untuk masa depan kamu juga." Suara Dato Huzir sudah mula berubah rentak. Rasa tercabar pula apabila Fareez seakan-akan menolak permintaannya.

"Beri Reez fikir lagi cadangan pak ngah tu, ya? Lagipun hidup Reez pun masih terumbang-ambing lagi."

Dato Huzir mendengus. Isteri di sebelahnya dikerling.

"Dah tahu terumbang-ambing, ikut sajalah cadangan pak ngah tu. Lepas tu tentu hidup kamu lebih terjamin." Datin Fuziah menyampuk pula. Tidak senang hati dengan jawapan Fareez tadi.

"Mak ngah, Reez kalau boleh nak berjaya atas hasil usaha Reez sendiri. Reez tak nak menumpang dari apa yang pak ngah ada." Fareez masih lagi berlembut. Berbicara dengan keluarga ternama itu bukan boleh tersilap sikit nanti habis diungkit segala kebaikan yang pernah diterimanya dulu walaupun apa yang diterima itu adalah haknya.

"Naik jenuh Reez, mak ngah dengar kata-kata kamu tu tapi sampai sekarang mak ngah tak nampak apa-apa hasil pun. Yang kamu tahu, itulah duduk menganggur dekat kampung menumpang tok," bedil Datin Fuziah pula.

"Kamu tak malu pula menumpang kesenangan tok kamu tu?" sindirnya pula.

Fareez terus tertunduk. Berkecil hati dengan sindiran Datin Fuziah tadi.

"Sampai bila kamu nak macam ni, Reez?" Dato Huzir menambah perisa pula.

"Hidup tak tentu haluan. Umur kamu bukan muda lagi jadi sebab itulah pak ngah beri cadangan macam tu untuk kamu pertimbangkan," sambungnya lagi.

Fareez hela nafas. Nampaknya, segala jawapannya pasti akan jadi sia-sia. Apabila kedua-duanya sudah beremosi begitu, apapun alasan yang diberinya sudah tiada berguna lagi.

"Macam ginilah pak ngah, beri Reez masa fikirkan lagi cadangan pak ngah tu. Biar Reez fikir masak-masak sebelum Reez buat keputusan," balasnya dengan nada suara yang masih seperti tadi. Sopan dan berlembut. Hendak membentak dan marah-marah pun hanya akan mengeruhkan lagi keadaan sahaja. Lagipun tok sudah berpesan, kalau hendak menolak biarlah dengan cara yang baik. Walau macam manapun mereka tetap sekeluarga.

Dato Huzir dan Datin Fuziah berpandangan sesama sendiri. Kecewa dengan jawapan Fareez tadi. Bukan baru seminggu dua dia memberikan cadangan tersebut tetapi sudah hampir dua bulan lamanya dan Fareez masih meminta untuk diberi masa? Jika diikutkan hati Dato Huzir, mahu sahaja dia menggunakan kuasa veto yang ada padanya untuk memaksa Fareez tetapi dia masih ada pertimbangan dan budi bicara yang waras.

"Kalau itu yang kamu mahu, baiklah. Pak ngah pun tak boleh memaksa cuma pak ngah harap kamu fikirlah baik-baik demi keluarga kita. Pak ngah pun dah tak ada sesiapa melainkan kamu," pujuk Dato Huzir pula.

Mengerti, Fareez anggukkan kepalanya perlahan walau ada rasa sebal dalam hatinya.

"Hurmmm... Ada perbincangan apa malam ni?"

Sedang rancak berbual tiba-tiba terdengar satu suara menegur. Ketiga-tiganya angkat kepala dan memandang ke pintu gelangsar yang menjadi penghadang di antara ruang tamu kedua dan kolam renang tempat mereka sedang duduk ketika itu.

"Hurm... Baru tahu nak balik?" sergah Dato Huzir dengan nada suara yang agak meninggi. Anak gadisnya itu dipandang dari atas ke bawah dengan mata mencerlung. Kemudian kepala digeleng perlahan.

"Ala pa, relakslah, belum pukul dua belas malam lagi." Nadia membalas dengan cemikan.

"Kalau macam tu, kenapa tak balik pukul satu pagi aje?" bedil Dato Huzir lagi. Tidak tahu bagaimana hendak dinasihati anak gadisnya itu. Makin dileteri semakin menjadi-jadi perangai liarnya. Pandangannya dibuangkan ke arah Fareez yang sudah menekur memandang meja. Dia tahu tentu Fareez pun tidak sanggup melihat sepupu sendiri yang cara berpakaiannya mengalahkan pelacur jalanan. Tengok sahajalah rambutnya, sudah putih diwarnakan. Dia sendiripun tidak mahu rambut hitamnya bertukar putih kerana uban tetapi lain pula yang dilakukan oleh anak gadisnya itu. Masya-Allah.

Nadia tarik muka seakan-akan mengejek.

"Okeylah, Nad nak masuk bilik. Nak tidur. Good night." Tidak mengendahkan bebelan orang tuanya, Nadia terus berlenggang pergi.

Dato Huzir menggeleng. Sakit hati tuanya melihat kelakuan anak gadisnya begitu. Datin Fuziah hanya mampu memandang dengan perasaan sebal dalam hati. Entah apa silapnya dalam mendidik sehingga anak-anaknya semua tidak mendengar kata.

"Kamu tengoklah tu Reez, sebab itulah pak ngah minta pertolongan kamu," luah Dato Huzir agak sayu.

"Pak ngah, kalau Reez ikut cadangan pak ngah pun Reez tak mampu nak buat apa-apa."

"Ada. Banyak benda yang kamu boleh buat."

Fareez terus terdiam. Langsung tiada daya hendak menjawab lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: