Bab 14
Fareez tergelak lepas. Wajah Syed Azrai yang agak kusut itu dipandang. Kasihan, sebab perempuan boleh jadi sampai macam tu. Selalu bangga sangat dengan status playboynya itu tetapi sekarang, hendak mendekati seorang perempuan pun masih gagal.
"Please Reez, this is not funny!" Keras Syed Azrai melepaskan geram. Sangkanya dia boleh berkongsi cerita tetapi akhirnya menjadi bahan ketawa pula. Apa punya kawan!
"Opst, sorry, bro." Mulut terus dikunci. Syed Azrai betul-betul kecewa nampaknya. Tak mungkin seorang lelaki hebat seperti Syed Azrai jatuh cinta dengan seorang gadis biasa? Pelik bin ajaib ni. Mesti perempuan tersebut bukan calang-calang orangnya.
"Aku tak tahu apa nak buat. Aku tak sangka boleh jadi macam tu," luah Syed Azrai lagi. Mengingati apa yang berlaku beberapa hari lepas tidak lena dia dibuatnya. Dia tahu Nur Jannah pasti sangat-sangat marah dengan apa yang dilakukannya.
"Try harder. Takkan dah mengalah kut? Kata playboy hebat," balas Fareez bersama sindiran tajam.
Syed Azrai mendongak. Fareez dijeling. Tiba-tiba rasa terpukul dengan kata-kata sahabatnya itu.
"Aku rasa bab-bab nak mengurat ni aku tak perlu ajar sebab bagi aku kau memang dah master. Lagipun sampai hari ni aku sendiri pun belum ada pacar lagi. So, my advice is not relevant here." Fareez bersuara lagi. Faham sangat dengan maksud jelingan tajam yang ditunjukkan oleh Syed Azrai ketika itu.
"The problem is, dia nak ke jumpa aku lagi selepas apa yang aku buat tu?" soalnya. Ada nada resah disebalik kata-katanya itu.
"Ala, bukan perkara besar pun. Setakat terkehel sikit aje bukannya sampai patah kaki dia. Kau pujuk-pujuk nanti cairlah tu," balas Fareez bersahaja.
"But she is different, Reez. Entah, aku pun tak tahu apa yang tak kena tentang aku dekat mata dia. Dari mula lagi dia asyik mengelak." Keluhan dilepaskan.
Fareez tergelak lagi.
"Kau terlampau kacaklah tu sebab itulah dia takut," selorohnya.
Syed Azrai menggeleng. Menyakitkan hati betul mendengar jawapan Fareez tadi.
"Aku serius ni, Reez!" tekannya pula.
"Ray, kau pernah dengar kata-kata ni tak?" tanya Fareez bernada serius. Tubuh disandarkan ke kerusi.
"Apa?"
"Apabila kau senang mendapatkan sesuatu, pasti kau akan mudah merasa jemu. Tetapi kalau kau lelah untuk mendapatkannya pasti kau akan lebih menghargai."
Syed Azrai terdiam.
"Cukup-cukuplah bersuka ria. Dan sudah-sudahlah tu main-mainkan perasaan perempuan. Apa yang kau dapat? Kepuasan? Sampai bila kau nak mengejar kepuasan yang sia-sia macam tu?" bedil Fareez tegas. Syed Azrai yang sedang mematung ditempat duduknya dipandang tanpa perasaan.
"Fikirlah Ray, umur kau pun bukan muda lagi. Dah nak masuk tiga puluh tahun. Sampai bila kau nak menyusun perempuan dalam hidup kau? Kau tak penat? Kau tak jemu? Cuba kau fikir kalau yang dipermain-mainkan itu adalah adik perempuan kau sendiri. Apa yang kau rasa?" Semakin sinis Fareez melancarkan serangannya. Dia menasihati bukan kerana benci tetapi atas dasar persahabatan. Dia juga sudah muak melihat sikap Syed Azrai yang gemar berfoya-foya selama ini.
Syed Azrai masih membisu. Dengan perasaan yang bercampur baur, keluhan kecil dilepaskan. Rambut diraup dan pandangannya dibuang keluar.
"Aku bukan nak kata kau jahat tapi sebagai kawan aku rasa aku patut memberi teguran. Allah dah berikan kau banyak kelebihan. Berduit, berpelajaran, ada rupa jadi janganlah gunakan apa yang kau ada tu ke arah yang tidak sepatutnya. Kalau kau rasa aku memandai-mandai, aku minta maaf tapi tanggungjawab aku untuk menegur dah selesai," ucap Fareez lagi panjang lebar. Dia tahu Syed Azrai tentu tidak suka dileteri begitu. Orang yang sudah terbiasa memberi arahan mana mungkin bisa menerima teguran dari orang lain.
"Aku belum bersedia untuk memikul tanggungjawab. Dalam erti kata lain aku belum bersedia untuk berkahwin atau settle down." Perlahan Syed Azrai bersuara. Fareez dipandang semula.
"Habis tu kau anggap perempuan-perempuan yang kau dekati tu sebagai apa? Patung cendana untuk kau buat suka-suka? Pakai apabila perlu dan campak apabila jemu?"
"Berkawan, Reez. Tak salah rasanya kalau berkawan."
Fareez lepaskan tawa kecil. Banyaklah berkawan kalau sampai berani melebihi batasan. Berpeluk cium tanpa rasa malu itukah namanya berkawan? Itu mengambil kesempatan namanya, ejeknya.
"Orang berkawan tak peluk-peluk, cium-cium, Ray. Bagi aku kalau dah sampai ke tahap itu, bukan berkawan namanya," sindir Fareez dengan tawa yang masih bersisa.
"Janganlah jadi kolot sangat. Setakat pegang tangan, peluk pinggang, cium pipi, bukan apa sangat pun bagi aku. Lagipun perempuan-perempuan tu tak kesah pun aku buat macam tu," bidas Syed Azrai dengan suara yang sudah naik senada. Geram pula rasanya asyik disindir sedari tadi. Dia tahu Fareez memang agak alim orangnya tetapi apa yang dia hendak buat itu adalah haknya. Siapa Fareez hendak menegur dan menyibuk?
"Aku rela jadi kolot dari menjadi habuan api neraka," balas Fareez selamba lagi dengan senyuman.
"Okeylah, aku malas nak cakap banyak-banyak tentang hal ni sebab aku tahu kau tentu tak suka. Aku pun ada hal dengan pak ngah aku lepas ni, so aku minta diri dulu. Urusan kau dengan budak perempuan tu, pandai-pandailah kau settlekan. Aku pun bukannya pandai sangat bab mengurat perempuan. Cara aku senang, kalau aku suka perempuan tu aku ajak kahwin aje. Tak payah nak bercinta dan menambah saham neraka," sambungnya lagi. Tidak menunggu dia terus bangun.
Syed Azrai terdiam. Malas hendak membalas, bimbang mulut tak mampu berbicara yang baik-baik. Begitulah dia dan Fareez, dalam hal yang berkaitan dengan agama, mereka akan selalu berselisih pendapat. Tetapi antara Fareez dengan rakan-rakan yang lain, dia lebih suka berbicara dengan lelaki itu. Mungkin sikap dan pandangannya yang berbeza dan kadang-kadang lebih logik diterima akal.
"Kalau ada apa-apa hal nanti kau call aje. Tapi minggu depan aku akan balik kampung."
Syed Azrai tegakkan tubuh. "Balik kampung lagi?" Dahi dikerutkan. Apa sahajalah yang Fareez cari di kampung agaknya?
Fareez mengangguk.
"Aku ada urusan keluarga di sana."
"Aku tak faham dengan kau, aku ajak kau kerja dengan aku kau tak nak. Pak ngah kau ajak kerja dengan syarikat dia pun kau tolak. Apa yang kau cari dalam hidup kau?" Bab yang satu itu memang dia pelik. Perkara lain Fareez memang hebat berbicara tetapi apabila tentang kerja, sahabatnya itu akan ada banyak alasannya.
Fareez buang senyum. Pandangan Syed Azrai dibalas.
"Nanti-nantilah dulu. Kalau aku dah bersedia nak kerja, aku akan cari kau atau pak ngah aku. Tetapi buat masa ni aku senang dengan cara aku macam ni," ucapnya.
"Sampai bila kau nak menganggur macam ni, Reez? Kau tak pernah fikir ke tentang masa depan kau?"
"Yang itu kau tak perlulah risau. Buat masa ni aku masih boleh teruskan hidup dengan apa yang aku ada. Walaupun aku tak berduit macam kau tetapi aku senang dengan kehidupan aku sekarang. Aku blah dulu." Tidak menunggu langkah terus di atur untuk beredar dari situ.
Syed Azrai menggeleng. Hendak dibantu pun susah sangat, desisnya.
"Aduh mak cik, sedap betul lauk ayam masak sambal ni." Jenny bersuara ceria. Ayam di atas pinggan dicubit-cubit isinya sebelum disuapkan ke mulut. Sambil makan sebelah tangan lagi mengibas mulut kerana kepedasan. Sejak dia sampai di kampung Nur Jannah tengah hari tadi, begitulah dia. Macam rusa masuk kampung. Melihat rumah Nur Jannah yang masih berkonsepkan rumah kampung lama, dia bukan main seronok lagi. Apa tidaknya, bukan senang hendak melihat rumah kampung yang masih dengan binaan kayu dan papan. Masih ada perigi di belakang rumah. Ayam, itik berlari-larian di sekeliling rumah. Seronok gila. Melihat keterujaannya tadi, Nur Jannah ejek dia orang bandar jakun tapi dia peduli apa, memang dia teruja!!!
"Kalau sedap, makan banyak-banyak. Mak cik pun masak banyak tu. Nur memang suka lauk ayam masak sambal cili api macam tu." Mangkuk lauk ayam masak sambal di hadapannya terus ditolakkan ke arah Jenny. Melihat anak Cina seorang itu bersungguh-sungguh menikmati masakan Melayu, seronok pula dia.
"Ha, makan. Kalau malam nanti kau sakit perut, kau jangan salahkan aku. Setahu aku kau ni bukannya boleh makan pedas-pedas sangat. Tengok tu, muka dah merah tahan pedas," celah Nur Jannah dengan gelengan. Macam orang dah beberapa hari tak sentuh makanan. Bukan main beria-ia lagi Jenny makan.
"Sedap, Jannah. Aku tak pernah lagi makan masakan sesedap ni. Sayur labu masak lemak ini pun marvellous tau. Ada pula ikan masin. Wallah! Sedap gila," balas Jenny beria-ia.
Pak Cik Ahmad tergelak sahaja melihat riak sahabat anak gadisnya itu. Seronok dia melihatnya.
"Minah ni memang macam ni, bah. Kuat makan. Lagipun dia ni dah tak macam Cina dah. Dikirakan Cina murtad dah ni," seloroh Nur Jannah sambil buang pandang ke arah Pak Cik Ahmad yang sedang tersenyum memandang ke arah mereka.
"Tak apa Jenny, makan aje. Tak cukup, esok pak cik suruh mak cik masakkan lagi." Beria-ia Pak Cik Ahmad berjanji.
"Ala pak cik, segan pula saya. Saya ni memang suka masakan Melayu sebab pembantu rumah saya orang Melayu. Kadang-kadang Mak Yong ada juga masak masakan Melayu macam ni cuma tak sesedap yang mak cik masak," cerita Jenny bersungguh-sungguh.
"Mulalah kau nak bodek mak aku, kan?" giat Nur Jannah sambil ketawa. Pandai sahaja amoi seorang ini ambil hati ibunya.
Pak Cik Ahmah dan Mak Cik Latipah ikut ketawa. Senang pula hati mereka melihat sahabat yang baru dikenalkan oleh Nur Jannah itu. Dalam hati masing-masing bersyukur kerana Nur Jannah mempunyai sahabat sebaik itu.
"Eh! Bukan bodek ya, aku cakap betul ni. Ikhlas dari hati. Masakan mak cik memang terbaik tau." Jenny memuji lagi sambil memandang Mak Cik Latipah yang sedang tersenyum memandangnya. Bersungguh-sungguh pujian itu diberikan dan ianya lahir tulus dari hati.
"Yalah-yalah. Dah, makan. Lepas ni aku bawa kau jalan-jalan tengok kampung," pintas Nur Jannah bersama gelengan.
Dengan sengih yang masih terbias di bibir, Jenny meneruskan suapannya. Nur Jannah turut menyambung menyuap makanan ke dalam mulut.
"Abah sihat?" Pak Cik Ahmad yang sedang meletak tembakau ke dalam daun rokok di hadapannya dipandang.
Tua... Ya abah sudah nampak agak berusia sekarang. Kedutan di wajahnya juga sudah semakin kelihatan. Uban pula sudah melata tumbuh di kepala. Tubuh juga sudah semakin kurus dibawa usia yang kini sudah menjangkau lima puluh lima tahun. Mungkin kerana abah kerja teruk semasa muda maka sebab itulah abah cepat nampak tua walaupun ada rakan sebaya abah masih kelihatan segak lagi.
Pak Cik Ahmad tersenyum dan mengangguk.
"Abah sihat, kakak," balasnya lembut. Rokok daun yang sudah siap digulung dibawa ke bibir. Mancis kayu dicapai dan digores di tepi kotak kayu sebelum hujung rokok daun tersebut dibakar. Rokok tersebut disedut dalam sebelum dilepaskan.
"Janganlah merokok lagi, abah. Tak elok untuk kesihatan," tegur Nur Jannah lembut. Dia terus bangun dan duduk di atas pangkin bersebelahan dengan abahnya.
Pak Cik Ahmad tergelak.
"Rokok daun aje bukan rokok Dunhill atau Marlboro. Lagipun abah dah tua, kakak. Setakat hisap rokok macam ni dah tak ada bezanya untuk badan abah," selorohnya.
"Abahhh..." Panjang Nur Jannah leretkan suaranya. Pak Cik Ahmad yang masih tersenyum itu dijeling. Bukan marah tetapi geram.
"Betullah abah cakap tu. Abah dah tua. Entah esok lusa Allah panggil untuk balik ke negara asal," seloroh Pak Cik Ahmad lagi.
Mendengar gurauan Pak Cik Ahmad, laju tangan abahnya itu dipeluk.
"Jangan cakap macam tu, bah. Kakak masih perlukan abah dalam hidup kakak." Suara sudah mula terlontar sayu. Sebak pula hatinya dengan apa yang abahnya katakan tadi.
"Hidup lawannya mati, kakak." Suara Pak Cik Ahmad juga sudah mulai sayu.
"Tak esok, lusa. Tak lusa, tulat. Kalau bukan tahun ni mungkin tahun depan," ucapnya lagi.
"Abahhh..." Pelukan semakin dikemaskan. Serentak itu juga kepalanya direbahkan ke bahu Pak Cik Ahmad untuk menunjukkan rasa kasih sayangnya. Mata pula sudah mula bergenang dengan air jernih.
Pak Cik Ahmad tersenyum dalam sebak. Nur Jannah Zahra, satu-satunya zuriat hasil perkahwinannya dengan arwah isteri kesayangannya. Itulah racun dan itu jugalah penawar. Rokok yang masih berbaki di tangannya terus dicampakkan ke pasir dan kepala Nur Jannah diusap.
"Abah sayang sangat dengan kakak. Hari-hari abah berdoa semoga Allah melindungi kakak dan berikan kakak kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Ditemukan dengan lelaki yang lebih baik, jadi kakak tidak akan hidup susah seperti mana kakak hidup susah dengan abah selama ni." Kata-katanya terhenti dan nafas dihela.
"Abah tahu selama ni kakak susah. Apa yang kakak nak selalu kakak tak dapat," luahnya lagi. Semakin sayu. Masih segar lagi di ingatannya macam mana Nur Jannah merengek minta dibelikan kasut baru ketika hari raya tapi dia tak mampu untuk menyediakannya. Masih terdengar-dengar lagi Nur Jannah minta dibelikan komputer riba untuk digunakan sepanjang belajar di universiti dulu tapi dia hanya mampu membelikan yang terpakai sahaja.
"Abahhh... Kakak tak pernah pun rasa macam tu. Walaupun kita susah, tapi abah tetap hantar kakak belajar sampai universiti. Kakak tahu abah dah banyak bersusah payah untuk kakak. Kakak tak nak apa-apa lagi. Kakak cuma nak abah sihat dan hidup bahagia dengan mak." Tangis Nur Jannah sudah mula kedengaran. Sayup-sayup bunyinya.
"Kakak anak yang baik. Tak pernah mengecewakan abah. Walau apapun orang cakap tentang kakak, abah tetap yakin anak abah tak akan melakukan perkara-perkara yang akan memalukan abah."
"Tak, abah. Kakak akan ingat semua pesan abah. Solat, puasa, semua kakak tak tinggal." Bersungguh-sungguh Nur Jannah membalas. Air mata yang sudah meleleh dari tubir mata disapu dengan belakang tangannya.
"Abah tahu kakak sebab abah kenal anak abah. Anak abah yang cantik dan tak pernah lukakan hati abah." Kepala Nur Jannah diusap lagi.
"Abah percayakan anak abah," ucapnya mengulangi kata-katanya tadi. Kepala Nur Jannah terus dibawa rapat ke dada dan rambutnya dibelai. Teringatkan arwah isterinya, hati mula terasa sayu. Anak kita dah besar, Yah, bisik hatinya sebak.
Nur Jannah terdiam. Air mata mengalir lagi. Maafkan kakak abah sebab kakak bukanlah seperti apa yang abah sangkakan tapi kakak berjanji, satu hari nanti kakak akan berubah. Kakak janji! Cuma beri kakak masa untuk kakak capai apa yang kakak impikan. Untuk kita, bisiknya dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro