Bab 13
Beg baju dicebet dan diletakkan di atas sofa sebaik berdiri di ruang tamu. Mata melilau memandang sekeliling. Mana pulalah Ika ni, bisiknya.
"Ika!" laungnya. Jam di tangan dikerling. Mesti Jenny sudah menunggu di bawah sekarang.
"Ika!" panggilnya lagi. Lebih kuat dari tadi. Macamlah rumah mereka itu besar sangat ruangnya. Padahal yang ada dua bilik, satu dapur dan ruang tamu kecil sahaja. Rumah pangsalah katakan.
Terkocoh-kocoh Zulaika meluru keluar dari biliknya. Dengan muka yang masih belum bercuci.
"Apa hal kau ni? Aku nak tidur pun tak senang." Mata digosok-gosok dengan jari. Gila mengantuk. Apa tidaknya, pukul empat pagi baru tidur gara-gara menyiapkan costing untuk projek baru syarikatnya. Nasib baik tengah bendera merah jadi tidak perlulah bangun pagi untuk solat subuh.
"Dah pukul sembilan pagi, Ika," bebel Nur Jannah sambil menggeleng. Zulaika dipandang dari atas ke bawah. Ya Allah, serabai gila!
"Ngantuklah!" Tubuh terus direbahkan ke atas sofa. Mulut menguap lebar.
Nur Jannah menggeleng melihat apa yang dilakukan Zulaika. Gila buruk!
"Ya Allah, tutup-tutuplah mulut tu kalau nak menguap tu. Hodohlah, mek!" bebelnya.
Zulaika tersengih.
"Eh! Kau nak balik kampung, eh?" Tubuh ditegakkan dan Nur Jannah dipandang dari atas ke bawah.
"Habis tu kalau aku macam ni kau ingat aku nak pergi mana? Melawat orang mati?" bebelnya geram.
Sengihan Zulaika menjadi semakin lebar.
"Cantik... Kau cantik Nur pakai macam tu. Nampak manis dan sopan aje. Malah lebih cantik dari hari-hari biasa tau," pujinya tulus. Ya, Nur Jannah memang cantik kalau bertudung litup dan berbaju kurung kain kapas begitu. Cuma Nur Jannah sahaja yang perasan dia akan nampak lebih cantik kalau menunjukkan apa yang dia ada.
"Ala Ika, aku nak balik kampung ni. Tak payahlah kau mulakan ceramah agama kau tu. Lain kali aje ya kalau nak membebel." Sengihan dipamer menunjukkan gigi putihnya yang tersusun itu.
"Banyaklah kau punya ceramah. Mukadimah pun belum lagi tu tau." Zulaika mencemik.
Sengihan Nur Jannah menjadi semakin lebar.
"Kau memang tak nak balik, kan?" tanyanya lagi. Malas hendak mendengar Zulaika menceceh tidak tentu pasal lagi. Manalah tahu tiba-tiba Zulaika berubah fikiran.
"Tak kut. Aku banyak kerjalah nak kena siapkan. Kau baliklah. Kirim salam dengan mak dan ayah aku, eh? Salam rindu peluk cium. Tapi ayah aku, kau tak payahlah peluk cium segala. Haram! Lagipun aku tak nak dapat mak muda macam kau. Kesian bapak aku hari-hari kena dera dengan kau nanti," gelaknya pula.
"Cehhh! Aku pun tak ingin." Lidah dijelirkan.
Zulaika sambung tawa. Macam manalah dia boleh keluarkan kata-kata macam tu? Kalau mak dengar tentu panjang telinga dia kena piat. Sudahlah Mak Cik Kiah tu cemburu amat orangnya. Macamlah ayah handsome sangat. Ya Allah, mulut kau, Ika! marahnya kepada diri sendiri.
"Sudahlah, aku pergi dulu. Kau jaga diri. Kunci pintu masa tinggal sorang-sorang. Kawasan ni bukannya selamat mana pun. Orang yang macam gila seks pun ramai," pesan Nur Jannah mengingatkan.
Zulaika bulatkan mata. Geram, bantal kecil dicampakkan.
"Choi betullah mulut kau, Nur. Sudahlah aku tinggal sorang makin kau takut-takutkan aku macam tu," marahnya. Nur Jannah dijeling.
Mengekek-ngekek Nur Jannah tertawa. Tahu takut juga tu.
"Aku gurau ajelah. Kau take care tau. Aku pergi dulu." Beg bajunya dicapai dan dicebet. Langkah mula diayun menuju ke pintu. Zulaika turut bangun.
"Kunci pintu. Jangan lupa. Lepas tu kau boleh sambung membuta lagi," pesannya lagi.
"Yalah-yalah."
Bersama senyuman, Nur Jannah terus keluar. Pintu ditutup semula dan dia terus menuju ke lif untuk turun ke bawah. Sampai di bawah, langkah terus di atur laju mencari kelibat Jenny. Terpandangkan Jenny yang sedang berdiri di sebelah keretanya, gadis Tionghua itu terus dihampiri.
"Morning, Jen..." sapanya.
Jenny berpaling dan terus terdiam. Nur Jannah dipandang tak berkelip.
"Wow!" ucap Jenny terkesima. Nur Jannah dipandang tak berkelip. Dari atas ke bawah. Bukan sekali tetapi berkali-kali.
"Kau ni dah kenapa?" soal Nur Jannah dengan dahi berkerut seribu.
"Jannah!"
Nur Jannah mengangguk. Tudung yang disapa angin dibetulkan letaknya.
"You looks... So adorable... Gorgeous and beautiful. I'm speechless to see you like this." Jenny menggeleng. Bahu Nur Jannah dipegang seolah-olah tidak percaya.
Nur Jannah tersenyum. Amoi ni memanglah. Over betul!
"Jen, kau nak terus tengok aku macam tu ke?" tanyanya.
"Kalau macam ni bila kita nak sampai kampung?" gelaknya pula. Aduh, mulalah dia perasan yang dia memang jelita. Apa tidaknya, perempuan tengok pun sampai begitu sekali riaknya. Kalau lelaki yang pandang, gila meroyan terus agaknya. Hahaha...
Tersedar, Jenny tepuk dahi.
"Aigooo... Tiba-tiba aku jadi hilang ingatan," balasnya dengan tawa kecil di bibir.
Nur Jannah sambung ketawa.
"Dah, jom. Kita gerak sekarang." Pintu kereta dibuka dan button bonet ditekan sebelum dia terus masuk ke dalam perut kereta. Nur Jannah terus ke belakang dan beg bajunya diletakkan ke dalam bonet. Selesai, dia berjalan ke tempat penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam kereta.
"Kau ni dari tadi asyik pandang-pandang aku kenapa? Jelita sangat ke aku pakai macam ni?" Rimas asyik dipandang sedari tadi akhirnya Nur Jannah bersuara. Apa yang pelik agaknya nampak perempuan Melayu pakai tudung dan berbaju kurung, omelnya.
Jenny tergelak.
"Cantik, Jannah. Sangat-sangat cantik," balasnya.
Nur Jannah buang sengih.
"Kenapa kau tak pakai macam ni terus?" Jenny bertanya. Teragak-agak tetapi dia peduli apa.
Nur Jannah buang pandangan ke luar. Lama.
Jenny hanya membiarkan sahaja. Menunggu sahabatnya itu bersedia untuk bercerita.
"Kolot kut." Perlahan Nur Jannah membalas. Itupun setelah terdiam lama.
"Pardon?" Jenny kuatkan suara.
Kepala ditolehkan memandang Jenny disebelah.
"Sebab aku tak nak jadi perempuan kolot. Aku nak nampak moden," akuinya jujur.
Jenny terkedu. Kolot? Moden? Itu jawapan Nur Jannah? Kepala digelengkan. Kenapa singkat sangat pemikiran sahabatnya itu? Nur Jannah ingat dengan berbaju kurung dan bertudung dia akan nampak kolot? Ceteknya pemikiran!
"Jannah, hari tu masa aku ikut pembantu rumah aku dengar ceramah seorang ustazah, aku ada dengar dia beritahu tentang satu perkara. Iaitu tentang aurat. Apa yang aku dengar dan aku fahami, aurat seorang wanita Muslim adalah muka dan kedua-dua belah tapak tangannya sahaja. Dan penampilan kau hari ini menunjukkan penampilan seorang wanita Muslim yang sebenar. Jadi, di mana kolotnya?" Panjang lebar Jenny bersyarah.
Nur Jannah terdiam. Bosan! Di rumah dia akan dibebel oleh Ika dan sekarang dibebel oleh Jenny pula.
"Aku tahu aku tak berhak untuk mempersoalkan tentang penampilan kau, Jannah. Aku cuma cakap dari apa yang aku dengar dan aku belajar. Apa yang aku tahu dan aku simpan kemas-kemas dalam kepala aku, untuk menjadi seorang Muslimah yang sejati, aku bukan hanya perlu mengucap dua kalimah syahadah tetapi banyak lagi perkara lain yang perlu aku ambil kira. Bukan hanya kena tahu bagaimana hendak solat, puasa tetapi aku juga perlu tahu tentang hukum. Tentang halal dan haram," sambung Jenny lagi.
"Jen, jangan kau anggap aku jahil tentang agama aku. Aku belajar tentang Islam sejak aku kecil lagi." Suara Nur Jannah sudah mula berubah rentak. Rasa tercabar pula dia dengan kata-kata Jenny tadi. Helo! Dia lebih tahu tentang hukum berbanding gadis Tionghua tersebut. Dia khatam al-Quran bukan sekali tetapi sudah tiga kali.
"Sorry Jannah, aku tak bermaksud macam tu. Bagi orang yang masih belajar dan begitu teruja untuk tahu tentang Islam, aku selalu memerhati rakan-rakan Islam yang berada di sekeliling aku untuk menguatkan lagi keinginan aku. Aku tak pernah sangsi tentang sejauh mana kau mengenali agama kau. Malah aku tak pernah menilai keimanan kau dengan memandang penampilan kau. Maafkan aku kalau kau terasa dengan kata-kata aku tadi," luah Jenny panjang lebar. Terkilan kerana dia melebih-lebih dalam bersuara.
Perlahan-lahan Nur Jannah lepaskan nafas.
"Aku pun minta maaf Jen kerana tiba-tiba aku beremosi. Sepatutnya aku menunjukkan contoh yang baik tetapi sikap aku membuatkan kau jadi keliru," luahnya kesal.
Jenny tersenyum. "It's okay, Jannah. Kau berhak untuk marah," balasnya.
"Sudahlah, mari kita bercakap tentang perkara lain. Aku tak suka suasana yang macam ni. Buat aku stres aje nak memandu," sambungnya dengan tawa kecil di bibir.
Nur Jannah turut lepaskan tawa.
"Okey, mari kita cerita tentang kampung aku," ucapnya.
"Interesting. So, go on..." Jenny membalas teruja.
Melihat keterujaan Jenny, Nur Jannah terus membuka cerita.
"Amboi, Pak Mat. Ceria aje muka tu."
Pak Cik Ahmad angkat muka. Terpandangkan Najiha, gadis yang sebaya anak gadisnya, senyuman dipamer semakin lebar.
"Nur nak balik, mestilah ceria," balasnya teruja.
"Ermmm... Patutlah." Muka ditarik menyampah. Entah kenapa mendengar nama Nur Jannah sahaja rasa berdesing telinga.
"Jis, timbang ayam dengan sayur-sayur ni." Mata terarah kepada Ajis, pemilik kedai runcit yang berdiri tidak jauh dari situ. Ayam dan sayur-sayur yang diambilnya tadi diletakkan di satu tempat supaya senang untuk dikira.
Ajis menghampiri.
"Amboi Pak Mat, banyak belanja hari ni?" tegurnya apabila terpandangkan barang-barang yang ingin dibeli oleh lelaki separuh umur itu.
"Nur nak balik, kenalah masak sedap-sedap." Suara Pak Cik Ahmad kedengaran semakin ceria.
"Patutlah seronok sangat." Ajis turut pamer sengih. Satu kampung tahu, Pak Cik Ahmad kalau tentang anak gadisnya yang bernama Nur Jannah Zahra itu, dia sanggup lakukan apa sahaja. Biar bersusah pun tidak mengapa. Berhutang ke sana sini pun lelaki tua itu rela demi permata hati yang seorang itu.
"Mahu tak seronok Jis, dekat tiga bulan aku tak jumpa dia," luah Pak Cik Ahmad lagi.
"Hurmmm... Orang dah senang duduk bandar pak Mat, tentu tak ingat nak balik kampung," sindir Najihah dengan cemikan.
"Orang bekerja Jiha, bukan macam kau tu. Asyik membesarkan badan aje aku tengok," kutuk Ajis selamba. Barang-barang yang dibeli Pak Cik Ahmad tadi ditimbang dan dimasukkan ke dalam plastik.
Pak Cik Ahmad tersenyum.
"Orang lain pun kerja jugalah abang Ajis tapi reti aje nak balik kampung selalu. Nur aje yang orang tengok tak reti nak balik. Entah-entah dah ada boyfriend dekat sana sebab tu dah lupa orang tua," balas selamba Najihah lagi seolah-olah tidak terkesan dengan kata-kata Ajis tadi.
Ajis angkat kepala. Geram pula dia mendengar cakap-cakap Najihah sedari tadi. Langsung tidak menjaga hati orang tua seperti Pak Cik Ahmad.
"Eh! Kalau dia dah ada boyfriend tu baguslah. Cepat sikit Pak Mat dapat menantu. Sekurang-kurangnya tak adalah asyik berpeleseran macam ada orang tu," sindirnya pula. Najihah dijeling.
"Apa abang Ajis ni? Sesuka hati aje nak mengutuk orang. Orang cakap benda yang betullah tu. Sekali nak mengingatkan Pak Mat, jaga-jaga sikit Si Nur yang duduk jauh dari mata tu." Suara Najihah kedengaran semakin sinis dan sedikit keras.
"Orang ni sekurang-kurangnya mak dengan abah nampak apa yang orang buat tapi Nur tu? Kalau buat jahat pun tak siapa yang tahu. Nak harapkan Ika? Entah-entah dua kali lima sahaja," sambungnya lagi.
Pak Cik Ahmad terdiam. Tiba-tiba hati tuanya terasa mendengar kata-kata Najihah tadi.
Ajis menggeleng. Terpandangkan riak Pak Cik Ahmad yang tiba-tiba berubah itu, dia turut merasa simpati. Najihah dipandang.
"Kau ni Jiha, mulut macam orang tua padahal umur belum pun tiga puluh tahun lagi. Patut pun aku tengok sampai hari ni tak kahwin-kahwin sebab mulut suka menceceh!" marahnya geram.
"Abang Ajis cakap tu biar molek sikit. Orang tak kahwin bukan sebab tak laku tapi orang yang tak nak kahwin lagi," bedil Najihah pula.
"Ha, baguslah tu. Dah ke hulu ke hilir dengan macam-macam lelaki masih cakap tak nak kahwin lagi? Elok sangatlah anak dara macam tu. Malanglah siapa yang dapat kau!" Ajis turut membidas semula kata-kata gadis itu.
Najihah tarik muka. Geram!
"Sudahlah tu. Yang kamu berdua nak bergaduh ni kenapa? Nur tu memang duduk jauh dekat KL sana tapi Pak Mat percayakan dia. Pak Mat kenal anak Pak Mat macam mana. Dah Ajis, berapa semua tu? Lama-lama dekat sini lambat pula Mak Cik Pah kamu masak nanti," celah Pak Cik Ahmad sengaja mematikan pergaduhan yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda ingin marak itu.
Ajis menurut. Najihah dikerling. Panas hati dia pagi-pagi melayan perangai tak semenggah anak Pak Daud yang satu ini. Sibuk dengan hal orang lain padahal diri sendiri pun tak adalah bagus mana. Kalau dah SPM pun tak lepas macam manalah tak duduk bawah ketiak mak bapak, tapi ada hati hendak mendengki dengan orang lain. Hesy!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro