Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Berdiri di hadapan pintu bilik yang baru Zahin tempah tadi, tubuh Nur Jannah sudah mula menggeletar. Peluh dingin sudah mula memercik ke seluruh tubuh. Riak selamba Zahin dipandang dengan ekor matanya sebelum pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Aku mesti lakukan sesuatu. Aku tak rela menyerahkan diri aku kepada lelaki durjana ini. Biarlah aku mati tapi aku tak rela menjadi mangsa kerakusan nafsu lelaki binatang ini! tekadnya.

Pandangannya dibuangkan ke arah Zahin semula. Melihat lelaki itu yang sedang terkial-kial membuka kunci pintu, Nur Jannah mula memikirkan sesuatu. Bertindak Jannah... Lakukan sesuatu. Hati mula berkata-kata. Tidak berfikir panjang lagi dan dengan sekuat tenaga dan kudratnya, tubuh Zahin ditolak dan disaat lelaki itu terpinga-pinga tangannya direntap kasar dan dia terus berlari dari situ. Tidak memandang sesiapa, kaki diayun semakin laju.

"Jannah!" jerit Zahin lantang. Nur Jannah terus dikejar.

Melihat Zahin yang sedang laju mengejarnya dibelakang, hati Nur Jannah semakin berdetak cemas. Ayunannya semakin dilajukan namun disebabkan kasut tumit tinggi yang dipakainya, langkahnya menjadi terbatas. Sebaik keluar dari pintu masuk hotel, mata melilau memandang sekeliling. Dengan nafas yang termengah-mengah kerana berlari menuruni anak tangga tadi, langkah diayun lagi.

"Jannah!" jeritan Zahin kedengaran semakin kuat dan itu bermakna Zahin tidak jauh dibelakangnya. Kepala ditolehkan ke belakang untuk melihat di mana lelaki itu dan tiba-tiba kakinya tersandung sesuatu dan...

Buk! Dia terus terjatuh.

"Ouch!" jeritnya dan kaki dipegang. Melihat Zahin semakin menghampiri, dia cuba bangun tetapi disebabkan keadaan kakinya, dia jadi tidak berdaya.

"Tolong!" jeritnya sambil memandang sekeliling. Ya Allah, di mana semua orang? pekik hatinya. Apa yang kau harapkan di kawasan percutian terpencil ini, Jannah? Lebih-lebih lagi pada hari bekerja!

"Tolonggg!" jeritnya lagi dengan sekuat hati.

"I've got you!" Zahin ketawa puas. Tangan Nur Jannah direntap. Kasar.

"Lepaslah setan!" jeritnya lantang.

"Jerit! Jeritlah!" Zahin ketawa lagi.

"Tak ada sesiapa yang akan dengar you minta tolong di sini. You ingat I bodoh nak bawa you ke tempat yang ramai orang?" Tangan Nur Jannah ditarik untuk bangun.

"Kaki aku sakitlah, bodoh!" Kata-kata Nur Jannah sudah mula berbaur kesat. Sungguh, rasa hormatnya kepada Zahin terus tinggal sifar. Ya, lelaki seperti itu tidak perlu lagi dihormati.

Zahin mendengus. Tubuhnya direndahkan untuk mencempung tubuh gadis itu.

"Don't touch me!" Tangan Zahin ditepis dengan sekuat hati.

"Kau jangan buat sampai aku marah, Jannah. Jangan sampai aku terpaksa kasari tubuh kau!" ugut Zahin keras.

"Aku lebih rela mati dari serahkan diri aku kepada kau, setan!" Tubuh Zahin ditolak dengan sekuat hati.

Berang diperlakukan begitu, laju sahaja Zahin mengangkat tangannya. Tetapi baru sahaja tapak tangannya ingin singgah di pipi gebu Nur Jannah, dia terasa kuat pipinya dihentam dari sisi kiri. Zahin terus jatuh terjelepok. Pipinya dipegang dan laju kepalanya ditolehkan ke sebelah.

"Kurang ajar! Kau siapa?" marahnya. Lelaki yang sedang berdiri megah di sisinya dipandang dengan mata yang mencerlung.

Nur Jannah yang melihat apa yang berlaku turut tercengang.

"Aku datang sini nak berehat dan menenangkan fikiran, bukan nak dengar kau laki bini bergaduh tengah-tengah malam macam ni!" bentak lelaki itu kasar.

"Lagi satu, aku cukup pantang kalau ada lelaki cuba nak pukul perempuan. Dayus sangat tu, bro!" Lelaki itu bersuara lagi.

"Dia bukan suami saya tapi dia orang jahat." Laju sahaja Nur Jannah mencelah.

Lelaki itu palingkan wajah dan memandang gadis yang sedang duduk terjelepok tidak jauh dari situ.

"Kalau bukan suami, yang kau ikut dia ke sini buat apa?" bedilnya.

Nur Jannah terus terdiam. Bisanya tutur kata lelaki itu tadi.

"Kau jangan campur urusan aku dengan dia. Aku tak kacau kau... Kau jangan kacau aku!" Zahin bingkas bangun dan terus berjalan menghampiri Nur Jannah semula. Tangan gadis itu terus diraih dan ditarik kasar.

"Encik, tolong saya, encik. Lelaki ni cuba lakukan perkara tak baik kepada saya," rayu Nur Jannah pula. Bersungguh-sungguh. Tangannya ditarik dari terus digenggam oleh Zahin.

"Hei, bro. Tak dengar ke perempuan tu cakap apa? Dia tak nak ikut kaulah. Sebelum tangan aku naik lagi ke muka tu, baik kau lepaskan dia."

"Jangan nak tunjuk hero dekat sini. Baik kau blah sebelum aku naik angin!" bidas Zahin pula. Tangan Nur Jannah ditarik semakin kasar supaya gadis itu berdiri.

Dalam keadaan susah payah, Nur Jannah terus bangun.

"Encik, tolong saya, encik," rayu Nur Jannah lagi. Air mata sudah mula mengalir lagi tetapi cepat sahaja disapu dengan belakang tangannya.

Lelaki itu mendengus.

"Baik kau lepaskan perempuan tu sekarang. Aku bukannya orang yang sabar jadi jangan cuba cabar kesabaran aku."

Tidak mengendahkan lelaki itu, Zahin mula buka langkah. Tangan Nur Jannah ditarik. Dengan keadaan kakinya terdengkot-dengkot, langkah Zahin terpaksa diekori dengan agak payah.

"Zahin, tangan dan kaki aku sakitlah!"

"Jalan!" arah Zahin keras.

Geram apabila kata-katanya tidak diendahkan, lelaki itu turut buka langkah. Sebaik berdiri disisi Zahin, tangan Nur Jannah terus direntap.

"Hei!" jerit Zahin apabila tangan Nur Jannah sudah terlepas dari pegangan tangannya. Laju tangannya diangkat untuk menumbuk lelaki yang dianggap kurang sopan itu tetapi belum sempat tangannya sampai ke muka lelaki itu, perutnya terlebih dahulu sudah terasa pedih akibat ditumbuk. Sekali lagi dia jatuh terduduk.

"Dah... Aku tak suka nak gaduh-gaduh. Sebelum teruk kau kena, baik kau mengalah aje. Perempuan ni akan ikut aku!" tegas lelaki itu pula.

"Jangan harap!" Zahin bangun semula. Sekali lagi tangannya diangkat dan sekali lagi juga tumbukan mengena ke mukanya dan dia jatuh lagi. Pipinya terus dipegang sambil mengerang kesakitan.

"Dah, jom. Ikut aku!" Pandangan dibuangkan ke arah gadis di sebelahnya sebelum dia mula buka langkah.

Dalam keadaan kakinya yang terdengkot-dengkot, langkah lelaki itu diekori. Sesekali pandangan dibuangkan ke arah Zahin yang sedang mengerang kesakitan ditempatnya jatuh terduduk tadi.

"Duduk mana?" Kasar lelaki itu bertanya.

"PJ." Teragak-agak Nur Jannah membalas.

"PJ tu besarlah! Dekat mana?" bidas lelaki itu pula.

"Flat Carnation, Kota Damansara." Suara sudah mula berubah perlahan. Kecut hatinya diperlakukan begitu sedari tadi. Lelaki itu bercakap ikut sesedap mulut dia sahaja. Membentak-bentak tanpa menghiraukan perasaannya.

"Ha, cakaplah dekat Kota Damansara," bebelnya pula.

"Dah, masuk!" arahnya pula.

Nur Jannah menurut. Pintu kereta Perodua Myvi berwarna putih itu dibuka dan dia terus meloloskan tubuh ke dalam perut kereta.

Lelaki itu turut masuk. Sebaik tali pinggang keledar dipasang, enjin kereta terus dihidupkan.

"Pakailah tali pinggang tu. Takkan kau nak aku yang pakaikan?" ucapnya masih bernada seperti tadi.

Sekali lagi Nur Jannah menurut.

"Encik, boleh saya pinjam telefon?" soal Nur Jannah takut-takut.

"Kau nak telefon polis ke?" Mata tajam memandang gadis di sebelah.

Laju Nur Jannah gelengkan kepala. "Tak, saya nak call kawan saya. Tentu dia risau sebab tak dapat hubungi saya dari tadi," balasnya perlahan.

"Kau tak ada handphone ke?"

"Dalam beg. Beg saya tertinggal dekat tempat tadi."

"Astaghfirullahalazim... Kau ni kan, benda-benda penting macam tu pun boleh ditinggalkan. Tentu kad pengenalan semua ada dalam tu, kan?" marahnya.

Perlahan-lahan Nur Jannah angguk.

Lelaki itu melepaskan keluhan. Kepalanya digelengkan.

"Nah, telefon aku. Call kawan kau tu dulu. Kalau dia repot polis kata kau hilang, aniaya aje." Telefon bimbit dihulurkan.

Dengan teragak-agak huluran lelaki itu disambut. Nombor telefon Zulaika didail. Setelah berbicara seketika dengan sahabatnya itu, talian dimatikan. Telefon tersebut dihulurkan kepada lelaki di sebelahnya itu semula.

"Terima kasih," ucapnya perlahan.

"Kita cari beg kau kat tempat tadi. Harap-harap beruk tadi dah tak ada dekat situ." Kereta terus dipandu menuju ke tempat Nur Jannah jatuh tadi. Sebaik tiba ditempat tersebut, kereta diberhentikan.

"Kau tunggu sini, biar aku cari." Lampu ditinggikan larasnya dan dia terus keluar.

Nur Jannah hanya memerhati sahaja dari dalam kereta. Walaupun ada rasa cuak dengan lelaki yang baru dikenali itu tetapi entah kenapa dia rasa selamat. Mungkin lebih baik dari berada dengan Zahin. Atau lebih tepat lagi lebih baik dari dijadikan alat untuk Zahin melampiaskan nafsunya.

"Ini ke beg kau?" Beg berwarna hitam berjalur putih itu ditunjukkan sebaik pintu kereta dibuka semula.

Laju Nur Jannah angguk.

"Nah!" Beg tersebut dihulurkan. Dengan agak kasar.

Walaupun ada rasa tidak puas hati dengan kelakuan lelaki itu yang dianggap menjengkelkan tetapi Nur Jannah hanya mendiamkan diri sahaja. Yang penting baginya, dia dapat balik dengan selamat.

"Aku pelik tengok perempuan macam kau boleh berada dalam keadaan macam tadi. Di tempat macam ini pula tu. Dia tu siapa? Boyfriend kau?" Berkerut-kerut muka lelaki itu berbicara. Nur Jannah dipandang.

Laju Nur Jannah menggeleng.

"Kalau bukan boyfriend kenapa kau boleh ikut dia sampai sini?" tanyanya lagi. Semakin hairan.

"Dia bawa saya ke sini tanpa kerelaan saya."

Lelaki itu lepaskan tawa. Sinis.

"Aku nak ingatkan ni, nak berkawan biarlah cari kawan yang baik-baik. Nak bercinta pun biarlah cari lelaki yang hendakkan kau kerana Allah bukan sebab pandangan nafsu semata-mata." Pesannya mengingatkan.

"Lagi satu aku nak pesan, lepas ni tolong berhati-hati sikit. Aku rasa beruk tadi tu tak akan diamkan apa yang terjadi malam ni," sambungnya lagi.

Nur Jannah telan liur. Memang ada betulnya kata-kata lelaki itu. Dari pandangan mata Zahin tadi dia tahu ada dendam yang terpercik. Allah... Nafasnya dihela dan dilepaskan. Menyesal... Ya, sungguh dia menyesal mengenali lelaki bernama Zahin itu.

"Okey, bantuan aku sampai sini aje. Lepas ni pandai-pandailah kau jaga diri." Kereta diberhentikan betul-betul di kawasan pangsapuri yang ditunjukkan oleh gadis yang dibantunya tadi.

"Terima kasih tolong saya." Perlahan Nur Jannah bersuara. Masih trauma dengan apa yang berlaku tadi. Dalam kepala masih teringat-ingat apa yang Zahin cuba lakukan dan sungguh dia takut.

"Kebetulan aku ada dekat situ, takkan aku nak biarkan. Lagipun tentu Allah yang gerakkan hati aku ke sana, jadi bolehlah aku tolong kau. Walaupun aku tak puas hati sebab terpaksa balik KL malam ini juga," bebelnya.

"Sorry." Sepatah Nur Jannah membalas.

"Sudahlah... Baik kau naik. Nanti tak pasal-pasal orang ingat kita buat perkara tak senonoh pula dalam kereta ni. Aku tak nak kena cekup tak pasal-pasal."

Nur Jannah akur. Beg tangannya dicapai. Pintu kereta dibuka. Sebaik sebelah kakinya memijak lantai tar, dia menoleh ke arah lelaki itu semula.

"Saya minta tolong sekali saja lagi, boleh?" pintanya teragak-agak.

"Minta tolong apa lagi?" dengus lelaki itu agak keras.

"Boleh tak encik temankan saya naik ke atas? Saya rasa takut." Perlahan sahaja Nur Jannah bersuara. Lelaki itu dipandang. Melihat riak serba salah yang terpamer di wajah yang disinari cahaya lampu jalan itu, Nur Jannah hela nafas.

"Tak apalah kalau encik keberatan. Terima kasih sekali lagi tolong saya." Dia terus keluar. Pintu ditutup. Langkahnya diatur perlahan-lahan dek kerana rasa kaki yang masih terasa sakit.

"Tunggu..."

Terdengar laungan lelaki itu, langkah Nur Jannah terhenti dan dia berpaling.

"Aku temankan kau sampai atas." Lelaki itu menawarkan diri. Rasa tidak sampai hati pula dia hendak membiarkan gadis itu keseorangan. Apabila memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku, dengan rasa tanggungjawab akhirnya dia mengalah.

Nur Jannah buang senyum segaris.

"Terima kasih," ucapnya perlahan. Rasa hendak menangis mengenangkan masih ada lagi lelaki yang baik seperti itu di kota metropolitan yang besar ini.

"Jomlah, aku pun nak balik lepas ni. Dah lewat." Lelaki itu mula mengayun langkah. Nur Jannah menurut dan menunjukkan jalan ke pangsapuri yang didudukinya.

"Itu flat saya," ucapnya sebaik menghampiri pintu rumah sewanya.

"Kau dah sampai, biar aku balik dulu."

"Terima kasih tolong saya," ucap Nur Jannah entah untuk kali yang ke berapa.

"Sudahlah tu. Dah penat aku dengar kau ucapkan terima kasih. Cuma aku nak pesan, lepas ni hati-hati. Lelaki yang baik macam aku ni tak ramai dah dekat muka bumi ni. Yang melambak-lambak semua spesies macam beruk tadi," balas lelaki itu lagi dengan selamba.

Nur Jannah simpan tawa. Geli hati mendengar kata-kata lelaki itu. Tak malu memuji diri sendiri, desis hatinya tetapi memang betul pun apa yang diperkatakan lelaki itu. Orang yang baik memang sudah hendak dicari lagi.

"Kau pergi masuk. Aku nak pergi dah ni." lelaki itu bersuara lagi.

Nur Jannah mengangguk. Kunci di dalam beg tangannya dicapai dan gril besi terus dibuka.

"Encik..."

Lelaki itu berpaling.

"Nama encik siapa?"

"Fareez."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: