Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

TAMAT masa melawat, Ain memeluk erat tubuh ibunya. Berat hati untuk dia meninggalkan ibu di sini.

Esok dia masih bersekolah. Terpaksalah dia pulang ke rumah. Hujung minggu ini dia berjanji akan menggantikan tempat ibu.

"Awak dah nak balik ke?"

"Ha'ah. Bas kami lagi setengah jam."

Terhenti langkah Maliki.

"Naik bas?" soal Maliki.

Ain mengangguk kecil. Dia pandang ke sebelah. Sejak dari tadi Luqman hanya berdiam diri. Dia pula yang risau. Manalah tahu lelaki itu marah dengannya.

"Biar saya hantarkan. Lagipun tak adalah jauh sangat rumah awak tu."

"Tak payah. Kami boleh balik sendiri." Celah Luqman.

Ain pandang Luqman dan Maliki silih berganti. Dia dapat rasakan ada yang tak kena dengan nada suara Luqman.

"Tak salah kalau saya hantarkan awak berdua balik. Kebetulan saya ada hal nak bincang dengan Ain."

"Nak bincang apa?" Laju Ain menyoal.

"Tentang abah awak. Itu pun kalau awak boleh luangkan masa sedikit."

"Dah tentu boleh. Man..." Ain pandang ke sebelah.

"Kalau kau nak cepat, kau baliklah dulu."

Bulat mata Luqman.

"Tak payah nak mengada. Kau pergi dengan aku. Balik dengan aku."

Terkulat-kulat Ain. Dia jadi serba salah. Nak pandang muka Maliki pun dia jadi segan.

"Kalau macam tu, awak ikut kami." Maliki berikan cadangan.

Luqman merengus kasar. Dia tiada pilihan. Terpaksalah mengikut permintaan lelaki itu.

Mereka bertiga duduk di kantin hospital. Segan Ain apabila lelaki itu mendesak mereka untuk memesan makanan. Dia hanya memesan mi sup. Manakala Luqman sekadar memesan roti bakar.

"Abah awak mungkin terpaksa dibedah."

Ain hela nafas lemah. Memang itu yang dia dengar dari pihak doktor. Risiko pembedahan itu sangat tinggi. Disebabkan keadaan Zaid kurang stabil, pembedahan terpaksa ditangguh sehingga keadaan lelaki itu kuat.

Yang menjadi masalah sekarang, kos pembedahan abah. Mana dia nak cari wang yang hampir mencecah ribuan ringgit itu.

"Awak jangan risau. Saya akan cuba iktiar untuk dapatkan bantuan rawatan Pak Cik Zaid."

"Encik nak tolong saya macam mana?"

"Janganlah panggil saya encik. Rasanya kita perlu tukar panggilan. Umur awak berapa?"

"19 tahun."

Maliki mengangguk sambil tersenyum.

"Jarak umur kita dalam 10 tahun juga. Panggil saya Abang Mal pun boleh."

Luqman buat-buat terbatuk. Kuat pula tu. Sengaja dia nak mengganggu perbualan Ain dan lelaki itu.

"Saya seganlah. Encik majikan abah saya. Rasa tak manis pula."

"Terpulanglah. Ikut mana yang awak selesa."

Luqman berdeham kuat.

"Cepatlah makan. Nanti bising mak aku kalau kita balik lambat." Luqman mencelah.

Ain cepat-cepat habiskan makanannya. Jam sudah hampir pukul tujuh malam. Risau mereka akan terlepas solat Maghrib.

"Kamu berdua kawan baik ke?" soal Maliki ingin tahu. Sebenarnya dia risau jika lelaki ini ada hubungan istimewa dengan Ain.

Ain toleh ke sebelah. Nak kata kawan, macam tak aje. Lebih kepada musuh agaknya. Tapi tak terluah pula. Risau Luqman naik hantu di sini.

"Kenapa pak cik nak tahu?"

Tersedak Maliki. Ain lagilah terkejut. Rusuk Luqman disiku perlahan.

"Kau buat apa ni?" Bisik Ain.

Luqman tayang wajah selamba. Dengan Maliki, dia malas nak bertapis. Sejenis mamat perasan bagus. Tak sudah-sudah nak tunjuk kelebihan sendiri.

"Saya ni tua sangat ke Ain?" soal Maliki sambil tergelak halus.

Laju Ain menggeleng.

"Tak. Maaf. Dia ni memang jenis cakap lepas. Tapi hati dia baik."

Ternaik kening Luqman. Pertama kali dia dengar Ain memujinya.

"Oooo... saya pergi bayar dulu makanan ni. Tunggu sini. Nanti saya hantar kamu berdua balik. Jangan balik naik bas pula."

Maliki bangun dan bergerak ke kaunter. Hilang kelibat Maliki, bahu Luqman ditampar kuat. Berkerut dahi Luqman.

"Kenapa pukul aku pulak?"

"Mulut kau tu jagalah sikit. Encik tu dah banyak tolong keluarga aku."

Luqman tergelak sinis.

"Ooo... sebab dia baru bayar bil hospital bapak kau, kau dah rasa jantan tu baik."

Bulat mata Ain. Nasib baik lelaki itu masih ada di kaunter.

"Kau jangan selalu sangat terima bantuan dia. Aku dapat rasa dia ada niat tak baik."

Ain menggeleng kesal. Tak sampai sejam Luqman berjumpa Maliki, banyak pula tanggapan negatif yang diberikan oleh lelaki itu.

"Tak baik kau bersangka buruk. Dia ikhlas tolong keluarga aku."

Luqman tergelak sinis.

"Ikhlas?"

Luqman pandang ke arah Maliki. Kebetulan lelaki itu sedang memandang ke arahnya. Matanya mengecil sedikit. Entah kenapa dia dapat rasakan lelaki itu bukan seorang yang baik.


SETIBANYA di kawasan rumah Ain, Luqman keluar dari kereta. Maliki turut keluar dan berdiri di hadapan Ain.

"Ain ada nombor telefon."

"Ada."

Maliki hulurkan telefon bimbitnya kepada Ain.

"Masukkan nombor awak. Lain kali, kalau ada apa-apa berita tentang bil abah awak, saya akan beritahu."

Laju Ain memasukkan nombor telefonnya. Luqman yang menjadi memerhati sejak dari tadi rasa nak lempar telefon itu ke tanah. Mudah betul Ain serahkan nombor telefon kepada lelaki asing. Dia sendiri pun tak ada nombor Ain.

"Terima kasih, encik."

"Sama-sama. Esok kalau awak nak ke hospital, beritahu saya. Nanti saya datang ambil awak."

Luqman ketawa kecil.

"Pak cik ni tak ada kerja ke? Rajin pula nak ambil Ain ke sini."

Maliki tersenyum.

"Saya pemilik kilang tu. Lepas arwah ayah saya meninggal, baru setahun saya jaga kilang di sana. Setakat nak keluar sekejap untuk lawat pekerja saya, tak ada masalah."

Berbulu telinga Luqman mendengar lelaki itu bercakap besar.

"Saya balik dulu. Ada rezeki, kita jumpa lagi."

Ain mengangguk kecil. Hilang kereta lelaki itu, Ain hela nafas panjang.

"Apa masalah kau dengan dia?"

"Siapa? Pak cik tadi ke?"

Ain menggeleng perlahan.

"Janganlah panggil dia pak cik. Dia muda lagilah. Tua 10 tahun aje dari kita."

"Suka hati akulah. Kau pun jangan nak baik sangat dengan dia."

"Eh, kenapa pula?" Pelik Ain.

Perangai Luqman agak pelik hari ini. Dia sendiri bingung tiba-tiba saja Luqman banyak bercakap dengannya.

"Sebab aku tak suka." Spontan jawapan itu keluar dari mulutnya.

"Kau yang tak suka tapi aku suka." Balas Ain.

Dia peduli apa Luqman nak mengamuk. Sebelum ini, tak pernah lelaki itu kisah dengan siapa dia berkawan. Hari ini terlebih perhatian pula. Sah ada yang tak kena!

Ain berura-ura untuk masuk ke dalam rumah. Tapi tiba-tiba tangannya direntap kuat sehingga tubuhnya terpusing menghadap Luqman. Wajahnya tersembam ke dada lelaki itu.

Terbuntang biji mata Ain. Tangannya ditarik kasar. Dia pandang ke sekeliling rumah. Kalau ada yang nampak, pasti mereka berdua menjadi buah mulut.

"Kemas baju kau sekarang."

"Ha?"

"Aku cakap, kemas baju kau untuk beberapa hari. Termasuklah buku sekolah. Malam ni kau tidur rumah aku."

"Kejap! Kau merepek apa ni?"

Nak kata Luqman tersalah makan ubat, lelaki itu nampak sihat.

"Kau sendiri dengar, ibu kau tak akan balik buat masa yang lama. Bahaya duduk rumah sorang-sorang. Kau duduk aje rumah aku."

Laju Ain menggeleng.

"Tak nak. Nanti apa pula orang mengata."

"Sebab aku ke kau tak nak duduk rumah aku?"

Ain mengangguk. Tak sanggup dia tinggal serumah dengan Luqman. Tak pasal-pasal ada pula perang dunia berlaku di sana. Dia juga yang malu nanti.

"Suka hati kaulah. Tapi kau jangan menyesal kalau jadi apa-apa."

Berkerut dahi Ain.

"Apa maksud kau?"

"Kau tahu kan, kampung kita ni dah ada banyak kes kecurian. Aku tak rasa kau selamat kalau pencuri tu masuk dalam rumah kau." Atas bawah dia pandang Ain.

Tertelan air liur Ain. Tipulah kalau dia tak takut.

"Aku balik dululah. Kunci rumah tu elok-elok. Tapi pintu rumah kau tu, macam nak reput aje. Sekali tendang aje, senang pencuri nak masuk."

"Kau jangan nak takutkan akulah!" Marah betul Ain.

Tapi apa yang dikatakan oleh Luqman ada betulnya. Pintu dapur dirumahnya hampir reput. Kalau angin kuat yang muncul, sah pintu itu yang tercabut dahulu.

Luqman ketawa. Nampak sangat umpannya dah mengena.

"Kalau kau nak ikut aku balik, kemas sekarang. Aku nak kejar solat Maghrib ni."

Ain serba salah. Tapi pada masa yang sama, dia memang takut tinggal seorang diri. Semalam pun, dia gagal lelapkan mata disebabkan tinggal bersendirian.

"Tunggu kejap. Aku kemas baju aku."

Cepat-cepat Ain masuk ke dalam rumah. Luqman tarik nafas lega. Nasib baik gadis itu mahu mengikutnya. Sebenarnya bukan Ain saja yang takut. Dia juga sangat risaukan keselamatan Ain sepanjang tinggal bersendirian di rumah ini.

Eh, kejap!

Kenapa pula dia tiba-tiba risaukan Ain? Wajah Luqman berubah mendadak. Air liur ditelan terasa kesat.

Tak akanlah...

Dia dah tersuka Ain.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro