Bab 8
SEMUA sisa makanan dimasukkan ke dalam tong sampah. Pinggan kotor dibawa ke singki. Hari ini ramai pelanggan di kedai makan Kak Ayu. Tamat saja sesi persekolahan, dia terus ke sini.
"Ain..." Kak Ayu melaung namanya.
"Ya, Kak Ayu."
"Ada kawan Ain datang. Dia tunggu dekat belakang kedai."
Terpinga-pinga Ain. Kawan? Dia mana ada kawan yang rapat. Bingung Ain. Tak ada sesiapa pun yang tahu dia bekerja di sini.
Tangan dibasuh terlebih dahulu. Lengan bajunya diturunkan. Bergegas dia keluar melalui pintu belakang. Hampir jatuh rahang Ain melihat Luqman yang muncul di sini. Nafas dihela kasar.
"Mana kau tahu aku kerja sini?"
"Adalah." Luqman tayang wajah bersahaja.
"Kau nak apa?"
"Ek eleh. Sombong betul kau."
Ain menjeling geram.
"Cakaplah cepat. Aku ada banyak kerja ni."
Luqman mara ke hadapan beberapa langkah. Dia pandang penampilan gadis itu. T-shirt yang dikenakan oleh gadis itu agak besar dari saiz badan Ain yang sebenar. Dia tahu gadis itu suka membeli baju murah di pasar malam.
"Kau pandang apa?" Tak selesa pula Ain dibuatnya.
"Kau tu dahlah pendek. Kurus. Kenapalah pakai baju besar gedabak macam ni?"
"Suka hati akulah. Kau datang sini nak apa sebenarnya?"
Luqman keluarkan sesuatu dari poket seluar. Satu sampul putih dihulurkan kepada Ain.
"Nah."
"Apa ni?" Ain masih enggan mengambil pemberian Luqman.
"Mak aku suruh bagi."
Ain hela nafas panjang. Rasa bersalah pula terpaksa menyusahkan emak Luqman.
"Tak apalah. Aku dah kerja hari ni. Kejap lagi Kak Ayu bayar gaji lebih. Dapatlah aku ke hospital."
Tiba-tiba Luqman tarik tangan Ain. Terkejut besar gadis itu.
"Ambil ajelah. Banyak bunyi pula."
"Tapi..."
"Aku malas nak dengar orang tua tu membebel. Sebab tu aku terpaksa datang sini hantar duit ni. Mak aku cakap, tak payah bayar."
Lagilah Ain rasa bersalah. Dah banyak dia susahkan keluarga Luqman.
"Kau nak pergi hospital dengan apa?" soal Luqman.
"Naik bas. Jimat sikit."
Luqman pandang ke arah jam tangannya. Hampir pukul empat petang.
"Pukul berapa kau habis kerja?"
Pelik pula Ain. Tak pernah-pernah pula Luqman bercakap banyak dengannya.
"Pukul empat."
"Okey. Aku tunggu dekat depan kedai Kak Ayu. Kita pergi sekali."
Bulat mata Ain.
"Eh, tak payahlah. Aku boleh pergi sendirilah."
"Aku nak melawat abah kau. Tak payah nak halang aku."
"Tapi..."
"Pergilah masuk kerja. Nanti kalau kau kena potong gaji, jangan nak salahkan aku." Tubuh Ain dipaksa masuk ke dalam kedai.
Terpinga-pinga Ain. Pelik betul Luqmna hari ini. Salah makan ubat agaknya. Sampul yang diberi oleh Luqman tadi dibelek sedikit.
"Banyaknya..."
Ain gigit bibirnya menahan sebak. Syukur dia dikelilingi orang yang baik-baik. Dalam keadaan begini, memang dia perlukan seseorang untuk menjadi tempat bersandar.
AIN toleh ke sebelah. Macam tak percaya pula Luqman sekarang sedang menemaninya ke hospital. Tanpa sedar, bibirnya tersenyum nipis.
"Nah."
Tersentak Ain. Dia pandang coklat yang diberikan oleh Luqman di atas ribanya.
"Aku dengar Cik Yah cakap kau tak makan lagi. Makan coklat tu. Nanti pengsan. Aku juga yang kena angkat."
Merah pipi Ain. Memang betul dia tak makan lagi sejak pulang dari sekolah. Susah hati memikirkan keadaan ibu dan abah.
Plastik coklat itu dibuka. Dia menggigit sedikit coklat itu untuk mengisi perut. Luqman mengerling ke sebelah. Setiap kali dia melihat wajah Ain yang sugul, dada dia turut terasa pedih. Pelik.
Sampai di hospital, Ain dan Luqman terus melawat orang tuanya. Zaid masih terbaring lemah. Menurut ibu, abah masih perlu menerima rawatan di sini sehingga stabil. Wanita itu susah hati memikirkan bil rawatan suaminya di sini.
"Ain dah makan?"
"Dah, ibu." Bohong Ain.
Luqman sekadar memasang telinga. Langsung tak mencelah. Anak matanya mengerling ke arah orang tua yang terbaring itu. Ikutkan hati, mahu saja dia memadankan muka orang tua itu. Suka sangat menyusahkan isteri dan anak sendiri.
"Man sihat?"
Terkejut Luqman ditegur tiba-tiba.
"Sihat, Mak Ilah."
"Terima kasih datang jenguk suami mak cik. Macam tulah keadaan dia. Masih lemah."
Suhailah duduk di sisi suaminya. Melihat keadaan suaminya terbaring lemah, dialah orang yang paling bersedih.
"Ibu... ni ada duit sikit. Ibu buat belanja ya. Ini pakaian ibu." Beg pakaian dan sampul yang diberikan oleh Luqman tadi diserahkan kepada Suhailah.
"Dari mana Ain dapat duit ni?"
"Ain dapat upah kerja."
Berkerut dahi orang tua itu.
"Duit upah kuih semalam, Ain tak ambil ke?" soal wanita itu dengan riak keliru.
Ain serba salah. Luqman hembus nafas kasar.
"Orang tua tu bagi alasan tak ada duit. Man dah masak sangat perangai Mak Jah tu. Sejenis liat nak bayar hak orang."
Ain jegilkan biji mata. Luqman masih beriak selamba. Terkejut besar orang tua itu. Sungguh dia terkilan wanita itu sanggup menganiaya dirinya.
"Assalamualaikum."
Serentak mereka menoleh ke arah tetamu yang datang. Luqman pandang atas bawah lelaki itu.
"Waalaikumussalam." Ain menjawab lembut.
Maliki tersenyum ke arah Ain. Dia pandang Zaid yang masih terbaring di atas katil.
"Macam mana dengan abah awak?"
"Macam tulah. Ibu cakap, abah masih perlu rawatan di sini. Saya risau kalau kami tak mampu nak bayar kos rawatan di sini."
"Yang tu awak tak perlu susah hati. Saya akan bayarkan. Lagipun abah awak jatuh sakit ketika bekerja."
Terus berubah wajah Ain. Suhailah turut tergamam mendengar kata-kata Maliki.
"Betul ke?" soal Suhailah.
"Ya, mak cik. Saya akan uruskan tentang bil pak cik. Tak perlu risau."
Ain tersenyum lebar. Maliki turut membalas senyuman manis milik gadis itu. Tanpa sedar, hati Luqman rasa seperti dihiris. Tiba-tiba saja dia cemburu melihat lelaki itu melayan Ain dengan baik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro