Bab 7
LUQMAN terdengar suara ayah bercakap dengan seseorang di telefon. Sesekali ayah akan terbatuk kecil. Risau betul Luqman. Sejak akhir-akhir ini kesihatan ayah agak merosot.
Sudah lama ayah tak ke kebun. Mujurlah ada emak yang masih mengambil tempahan menjahit.
"Kenapa abang?"
Maryam membawa secawan kopi kepada suaminya. Luqman duduk tidak jauh dari mereka. Anak matanya ralit menonton televisyen.
"Zaid kena serang sakit jantung. Ada di hospital."
Tegak kepala Luqman. Dia mencuri dengar.
"Allah. Teruk ke?"
"Abang pun tak tahu keadaan dia sekarang. Dua hari lepas abang baru jumpa dia. Abang marah dia sebab masih suka berjudi."
Maryam hela nafas berat. Dia sendiri bingung dengan sikap Zaid. Dah ada kerja tetap di kilang, masih lagi nak berjudi.
"Orang tua tu tak sedar diri betul. Yang si Ilah tu pun satu. Masih nak bersuamikan lelaki tak guna macam tu." Marah betul Maryam.
"Tak baik cakap macam tu. Kita tak ada di tempat Ilah. Sekurang-kurangnya, dia masih kerja untuk anak dan isteri dia."
Meluat Maryam mendengarnya.
"Yalah. Kalau kerja untuk anak isteri, tak adanya Ain tu ambil upah basuh pinggan dekat warung si Ayu tu,"
Laju Luqman berpaling ke arah ibu bapanya.
"Mana Yam tahu dia kerja dekat sana?"
"Yam ternampak dia. Tapi sengaja tak tegur. Takut Ain tu malu. Kasihan budak tu. Rajin cari duit nak belajar. Bukan macam anak kita tu. Pemalas!"
Terkulat-kulat Luqman. Dia pula yang dimarah. Pantas dia alihkan anak matanya ke arah lain.
"Seronok betul menghadap tv. Kerja sekolah dah siap ke?" Sergah Maryam.
Luqman tersengih-sengih. Sesekali dia betulkan ikatan kain pelikat di pinggangnya.
"Belum mak."
"Pergi buat kerja sekolah. Tutup tv tu."
Luqman merengus lemah. Dia baru saja nak menonton drama kegemarannya. Ini semua pasal Ain. Dia pula yang dimarah tanpa sebab.
Latif terbatuk-batuk di hadapan isterinya. Dadanya bertambah sakit setiap kali dia lepaskan batuk.
"Dah teruk sangat abang ni. Esok pergilah ke hospital."
"Makan ubat batuk, nanti baiklah. Abang nak berehat dulu. Dada ni rasa perit pula." Maryam membantu suaminya berdiri.
Luqman hanya memerhati emak membawa ayah masuk ke dalam bilik. Kata-kata emak tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.
Sampai bilalah ayah Ain perlu berjudi. Sejak dia dipukul oleh Ain, gadis itu tidak pernah lagi bercakap lembut dengannya. Dia juga pantang dicabar. Setiap kali bertemu ada saja kata pedas dikeluarkan dari mulutnya.
Tak sempat dia masuk ke bilik, terdengar suara orang memberi salam. Dia kenal dengan suara itu. Pintu rumah dibuka sedikit. Dia tayang wajah ketat.
"Kenapa datang rumah aku malam-malam ni?"
Ain serba salah. Dia pandang ke sekeliling kawasan rumah Luqman.
"Mak Yam ada?"
"Kau tanya soalan apa ni? Mestilah ada. Sekarang waktu orang tidur. Berehat."
Ain betulkan selendang di kepalanya.
"Panggil Mak Yam kejap."
"Cakap ajelah kau nak apa? Nak pinjam beras ke?" Ejek Luqman.
Ain mencerlung tajam. Tak habis-habis Luqman nak mengejeknya.
"Man bercakap dengan siapa?" soal Maryam. Dia panjangkan leher melihat tetamu yang datang.
"Ain ni, Mak Yam."
"Eh, Ain. Masuklah." Maryam keluar dari rumah. Tangan Ain ditarik agar masuk ke dalam.
Luqman julingkan biji mata. Naik menyampah dia melihat emak melayan gadis itu dengan baik.
"Tak apalah. Ain nak minta tolong dengan Mak Yam." Sesekali anak matanya mengerling ke arah Luqman. Jujur dia kurang selesa Luqman ada di situ.
"Nak minta tolong apa?"
"Mak Yam tahu kan abah kena serang sakit jantung."
Maryam mengangguk.
"Boleh tak Mak Yam pinjamkan 50 ringgit. Sepatutnya malam ni, Mak Jah bayar duit kuih kami. Tapi Mak Jah cakap, lusa baru dia dapat bayar. Ain nak guna untuk ke hospital esok. Mak tak bawa duit langsung ke sana."
Maryam hela nafas kasar. Teruk betul perangai jiran mereka. Susah betul nak bayar duit orang.
"Ada. Kejap." Maryam masuk ke dalam rumah.
Ain pandang ke arah lain. Tidak mahu wajahnya dilihat oleh Luqman.
"Aku ingat kau ni pandai tapi rupanya bodoh."
Berkerut dahi Ain.
"Kau nak cakap apa?"
"Aku cakap kau tu bodoh. Dah tahu orang tua tu berhutang, mintalah hak kau. Susah payah mak kau buat kuih, senang-senang orang tua tak bayar."
Ain tarik nafas panjang.
"Mak Jah ada masalah agaknya. Dia cuma minta masa sampai lusa."
Luqman tergelak besar.
"Logik ke alasan tu? Dah tahu tak ada duit, boleh pula tempah kuih."
Ain terdiam. Betul juga kata-kata Luqman.
"Aku kenallah dengan Mak Jah tu. Orang tua tu memang jenis liat nak bayar duit orang. Dah dua kali raya pun, hutang tempahan baju dia tu tak selesai lagi dengan mak aku."
Bengang juga Luqman. Muka mengalahkan kulit buaya. Masih lagi nak hantar tempahan walaupun baju yang lepas masih belum dibayar. Ikutkan hati, mahu saja dia meminta hutang emak dari Mak Jah.
Ain terkejut besar. Kasihan ibu. Bersusah payah ibu siapkan tempahan kuih. Dah tentu dia marah jika Mak Jah enggan membayarnya.
"Kenapa diam? Tak percaya cakap aku. Suka hati kaulah. Tak pasal-pasal sekarang dah menyusahkan mak aku."
Ain terpukul dengan kata-kata Luqman.
"Tak apalah. Beritahu Mak Yam, aku tak jadi pinjam." Ain terus bergegas pulang ke rumahnya.
Pandai-pandailah dia cari duit dari sumber yang lain. Luqman serba salah melihat gadis itu pergi begitu saja.
"Eh, mana Ain?" soal Maryam dengan riak keliru.
"Err... dia dah balik." Luqman garu pipi yang tidak gatal.
Pap!
Menjerit Luqman dipukul orang tua itu.
"Apa lagi yang kau cakap dengan dia tadi?" Maryam sudah bercakap kasar dengan anaknya. Pantang berjumpa, ada saja perbalahan yang berlaku.
"Mana ada cakap apa-apa?"
"Melawan!"
Luqman berdeham seketika. Memang salah dia pun. Tapi selama ni tak pernah lagi Ain sentap. Kuat melawan lagi adalah. Sekarang dia pula yang susah hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro