Bab 6
BUKU sekolah dimasukkan ke dalam beg. Ain bersandar di kerusi sebelum pulang ke rumah. Sesi persekolahan sudah lama berakhir. Tiba-tiba dia teringat pergaduhannya bersama Luqman semalam.
Semuanya disebabkan lelaki itu tidak berpuas hati dengan tugasan projek Bahasa Melayu. Rasanya dia sudah membuat bahagiannya dengan baik. Luqman sengaja mencari pasal supaya semua kerja pembentangan diserahkan kepadanya.
Yang pelik, selalu pula dia dah Luqman digandingkan sekiranya ada kerja berkumpulan. Boleh dikatakan setiap kali mereka berada dalam kumpulan yang sama, pasti ada pergaduhan mulut di antara mereka.
Pening kepala Ain memikirkan sikap Luqman yang masih berdendam. Sudah 14 tahun berlalu. Luqman masih enggan berbaik dengannya selepas dipukul teruk oleh Latif gara-gara bermain di sungai.
"Umur dah 19 tahun. Tapi perangai mengalahkan budak."
Ain jatuhkan kepalanya ke atas meja. Dia mahu berehat sebentar sebelum pulang ke rumah.
Sebenarnya dia susah hati apabila cikgu kelas mereka meminta sejumlah wang untuk lawatan sambil belajar. Nampak gayanya dia perlu bekerja lebih masa minggu ini. Dia tak sampai hati untuk meminta wang daripada ibu.
Abah...
Sejak beberapa tahun yang lepas, sikap abah kembali seperti asal. Lelaki itu kuat berjudi dan pulang agak lewat malam. Ibu pun dah malas menasihati orang tua itu.
Lama-kelamaan dia terlelap seketika. Tak sedar sejak dari tadi Luqman dan Azrul sedang memerhatikan gerak geri Ain.
Luqman dah tak sabar untuk mengenakan Ain. Dia pandang ke sekeliling kawasan kelas mereka. Mercun papan yang dibawa dari rumah, dikeluarkan dari poket seluar. Tersengih-sengih Luqman ketika ini.
"Kau betul ke nak buat? Kalau orang tahu, macam mana?" Azrul sebenarnya agak takut dengan rancangan Luqman. Boleh tahan kuat juga bunyi mercun papan.
"Jangan risau. Dia tak akan berani nak mengadu dekat sesiapa lepas dapat 'hadiah' ni."
Azrul masih lagi takut-takut dengan rancangan Luqman.
"Kau pergi jaga dekat tangga sana. Kalau ada orang datang, beritahu aku," arah Luqman. Azrul menurut arahan itu dalam keadaan terpaksa.
Perlahan-lahan Luqman masuk ke dalam kelas. Dia yakin Ain tidak sedar kerana gadis itu kelihatan sangat nyenyak ketika ini.
"Berani betul budak ni tidur dekat sini." Omel Luqman dengan suara separuh berbisik.
Ketika itu, Luqman sudah berdiri di tepi meja Ain. Wajah Ain tak dapat dilihat disebabkan gadis itu memandang ke arah lain.
"Semalam kau cakap besar sangat. Mentang-mentang kau ketua kumpulan, semua benda nak ikut cakap kau."
Sakit hati Luqman. Dia mencari lighter di dalam beg sekolahnya. Tak sabar dia nak kenakan Ain.
Belum sempat Luqman menyalakan mercun itu, Ain tiba-tiba mengubah posisi kepalanya sehingga wajahnya jelas kelihatan.
Terkaku Luqman melihat wajah Ain yang redup itu. Lama matanya menjamah pipi yang kelihatan merah itu. Jantungnya berdegup laju. Ringan saja jari kasarnya cuba menyentuh pipi gadis itu.
Bam!
Bunyi pintu yang kuat menyedarkan Ain. Luqman segera menarik tangannya. Nasib baik dia tidak terbabas menyentuh pipi Ain. Debaran di dadanya semakin laju. Mercun yang ada di tanganya disembunyikan ke dalam poket seluar.
"Kau... kau nak buat apa ni?" Ain lekas berdiri. Takut juga melihat Luqman berada di dalam kelas ini. Sudahlah hanya mereka berdua.
"Mana ada aku buat apa-apa." Luqman cuba berlagak tenang.
"Penipu. Kau memang suka nak kenakan aku kan. Kali ni, kau nak buat apa?" Ain langsung tidak percayakan Luqman. Sejak kecil lagi dia sering menjadi mangsa buli Luqman.
"Kau ingat, aku ni jahat sangat ke?" Bengang juga Luqman.
Ain tersenyum sinis.
"Memang kau jahat. Mana pernah kau buat baik dengan aku. Kerja nak menyusahkan orang aje. Lelaki macam kau ni, memang spesies lelaki tak guna!"
Makin menyirap darah Luqman mendengar tuduhan Ain. Rasa mahu sahaja dia menampar wajah itu. Namun, saat dia melihat mata Ain, dadanya kembali berdebar. Tak boleh jadi ni...
Pantas Luqman berlalu pergi meninggalkan Ain. Terpinga-pinga Ain melihat Luqman yang keluar dari kelas tanpa membalas kata-katanya.
"Aikk... blah macam tu aje. Teruk sangat ke apa yang aku cakap tadi?"
Menyesal pula Ain bercakap kasar terhadap Luqman. Dia sebenarnya terkilan kerana sehingga ke hari ini, Luqman tidak pernah melayannya dengan baik. Jauh di sudut hati Ain, dia teringin berkawan dengan Luqman seperti orang lain.
AIN tarik nafas lega. Semua kerja sekolahnya sudah siap. Bergegas dia turun ke dapur mencari ibu. Wanita itu masih sibuk menyiapkan tempahan kuih.
"Ibu nak Ain tolong buat apa?"
"Tak payahlah. Sikit aje lagi." Suhailah menegah. Malam ini ada kenduri di rumah jiran mereka.
Syukur mereka menerima tempahan kuih dari orang kampung. Dapatlah dia menampung perbelanjaan rumah mereka. Nak harapkan suaminya, lelaki itu tak pernah berubah. Selalu saja menghabiskan duit dengan perkara tak berfaedah. Suaminya masih lagi suka berjudi.
"Ibu dengar, minggu depan Ain ada lawatan sambil belajar. Dah bayar ke duit yang cikgu minta tu?"
Ain menggeleng.
"Ain tak pergi, ibu."
Terhenti pergerakkan tangan ibunya. Wajah anaknya dipandang tak berkelip.
"Kenapa pula?"
"Tak wajib pun. Kalau tak pergi pun, tak apa." Walaupun dia teringin benar untuk mengikuti lawatan itu, dia lebih sayangkan duit. Dari membazir, lebih baik dia menyimpan duit tersebut untuk keperluan harian.
"Pergilah. Ibu ada rezeki lebih ni. Nanti beritahu cikgu, Ain nak pergi." Pujuk Suhailah.
"Tengoklah dulu." Ain pergi ke arah singki. Dia mahu mengelak bercakap soal lawatan tersebut.
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam. Suhailah pandang ke arah Ain.
"Siapa yang datang?"
Ain angkat kedua bahunya. Dia capai selendang miliknya. Bergegas dia ke hadapan untuk melihat tetamu yang datang.
"Ya, cari siapa?"
Soal Ain kepada lelaki yang masih berdiri membelakanginya. Sebaik saja lelaki itu menoleh ke arahnya, keduanya saling terdiam.
"Encik cari siapa?" soal Ain kepada lelaki itu. Segan pula dia apabila lelaki itu masih terus memandang wajahnya.
Kacak. Melihat penampilan lelaki itu, dia yakin lelaki itu dari orang yang senang.
"Err... saya Maliki. Ini rumah Pak Cik Zaid ke?"
"Ya, betul." Ain dah tak sedap hati. Dia turun ke tangga. Kali ini mereka saling berhadapan.
"Saya majikan ayah awak. Pagi tadi, dia pengsan di tempat kerja."
Tergamam Ain. Pantas dia berlari ke dalam rumah untuk memberitahu keadaan abah. Terkejut Suhailah menerima khabar tersebut. Cepat-cepat dia keluar dari rumah untuk bertemu dengan Maliki.
"Suami mak cik teruk ke?" Hampir menangis orang tua itu.
Maliki menceritakan serba sedikit perkara yang menimpa orang tua itu. Kemungkinan besar, Zaid diserang sakit jantung.
Hampir melorot tubuh Suhailah. Mujurlah Ain sempat memegang pinggangnya.
"Mak cik jangan risau. Mungkin keadaan dia dah stabil." Maliki cuba tenangkan orang tua itu.
"Bawa mak cik ke sana. Boleh?" Pinta orang tua itu.
"Boleh mak cik. Marilah."
Suhailah bergegas masuk ke dalam rumah untuk menukar pakaian. Ain turut mengekori langkah ibunya.
"Ain tolong hantarkan kuih ke rumah Mak Jah. Beritahu dia mak tak dapat datang malam ni. Suruh dia bayar duit kuih tu malam ni. Bolehlah mak bayar bil hospital ayah nanti."
Ain mengangguk laju. Selepas bersiap, dia keluar dari rumah.
"Mak cik dah siap."
"Cik tak ikut?" soal Maliki kepada Ain.
"Saya ada kerja. Biar ibu saya yang ikut."
Maliki angguk sambil tersenyum. Dia segera membawa wanita itu ke hospital. Ain terduduk lemah di tangga rumah.
Ujian apa lagi yang bakal menimpa keluarganya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro