Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"AIN!"

Hampir terlepas buku yang ada di tangan Ain. Bukan main kuat lagi suara si Luqman ni menjerit. Ain tayang wajah menyampah. Malasnya dia nak melayan karenah Luqman. Azrul pula sudah kecut perut di sebelah lelaki itu.

"Ehmmm... apa dia?"

"Kenapa kau beritahu mak aku yang aku tak pergi sekolah semalam? Kau sengaja nak tengok aku kena bantai dengan ayah aku kan!"

Mendidih darah Luqman. Semalam teruk dia dimarahi oleh orang tuanya. Tak cukup dia dibebel, berbirat juga dia dirotan. Semuanya gara-gara mulut Ain yang memberitahu tentang aktiviti dia semalam.

"Laaa.... kau kena pukul ke? Padan muka. Siapa suruh kau letak cicak dalam laci meja aku? Kan dah mendapat..." Puas hati Ain dapat mengenakan lelaki itu.

Malu dia kerana menjerit seperti orang gila di dalam kelas beberapa hari yang lepas. Tergamak Luqman meletakkan bangkai cicak di dalam laci meja sekolah. Kesan dari kejadian itu, dia diejek oleh rakan-rakannya. Sehingga sekarang, dia masih takut untuk menyimpan barang-barangnya di dalam laci meja.

Spontan Luqman ketawa terbahak-bahak. Teringatkan kejadian beberapa hari yang lalu, buat dia rasa nak berguling ketawakan Ain.

Azrul sudah mula tidak sedap hati melihat raut wajah Ain yang tegang. Lengan Luqman dicuit tetapi lelaki itu masih rancak ketawakan Ain.

Buk!!

"Arghhh..." Terlompat-lompat Luqman apabila kakinya ditendang kuat.

Kali ini giliran Ain pula ketawakan Luqman.

"Ketawalah lagi." Cabar Ain.

"Perempuan ni memang nak kena. Rul! Pegang aku sekarang! Kalau tak, teruk juga budak ni kena dengan aku."

Pantas Azrul memegang lengan Luqman. Ain julingkan biji matanya tanda tidak takut dengan amaran lelaki itu. Sejahat Luqman, belum pernah lagi lelaki ini memukul dia. Itulah perkara yang buat Ain rasa selamat.

"Baliklah. Tak payah nak tunjuk kau tepaling hebat depan aku. Ada baiknya kau tolong ayah kau dekat kebun pisang tu, ada juga faedahnya. Kerja menghabiskan duit mak ayah aje."

"Suka hati akulah. Itu duit mak ayah aku."

Ain menggeleng kesal.

"Kau ni memang jenis tak bersyukur. Kalau kau sendiri tengok macam mana susahnya mak dah ayah kau cari rezeki, kau tak akan tergamak nak cakap macam ni."

Malu Luqman apabila disindir begitu.

"Jangan sampai satu masa nanti, kau hilang rasa kesenangan tu."

"Kau tak payah nak nasihat aku. Kau tu yang kena jaga diri sendiri. Ada ayah pun, kerja berjudi aje."

Terus berubah air muka Ain. Pantang betul apabila ibu bapanya dihina.

"Kau cakap apa ni?" Bisik Azrul di telinga . Tak sangka Luqman sanggup menghina Ain sampai begitu sekali.

"Betullah aku cakap! Biar perempuan ni sedar sikit diri dia tu siapa. Sibuk nak jaga tepi kain orang. Diri sendiri pun hidup mengharapkan belas ehsan orang."

Disebabkan terlalu marah, Luqman langsung tiada rasa bersalah terhadap Ain. Dia memang cukup kenal dengan abah Ain yang kuat berjudi itu.

"Ya, aku sedar siapa diri aku. Kau pun kena sedar juga. Nak cakap kau ada harta, setakat kebun pisang tu, apalah nak dibanggakan. Janganlah nak berlagak macam orang kaya. Aku cuma kesian dengan Pak Latif dan Mak Yam. Ada anak lelaki tak guna macam kau."

"Kau..." Rahang Luqman bergerak-gerak menahan marah.

"Kenapa? Kau nak pukul aku? Pukullah..."

Turun naik nafas Luqman menahan marah. Tangannya dikepal kuat.

"Dahlah, Man. Jom kita balik." Azrul semakin cuak. Risau ada juga yang bergusti di sini.

"Kau dengar sini perempuan. Lelaki yang dapat kau sebagai isteri, memang malang nasib dia. Silap-silap, kau jadi janda." Sengaja Luqman menambah bara di hati Ain.

"Hebat betul. Kau dapat tengok masa depan aku ke?" Ain masih kelihatan tenang.

Beg sekolahnya disangkut ke bahu.

"Fikirkan nasib sendiri dulu. Entah-entah, kau jadi bujang terlajak tapi kau jangan risau. Kalau aku masih tak kahwin lagi atau dah bergelar janda, biar aku pinangkan kau. Kesian pula kau tak merasa nikmat berkahwin."

Puas hati Ain berjaya mengenakan Luqman. Menggigil tubuh lelaki itu menahan marah. Dia pula yang dikenakan.

Pantas Luqman beredar dari kelas itu sebelum tapak tangannya hinggap ke wajah Ain. Azrul turut mengekori lelaki itu dari belakang.

Hilang kelibat dua lelaki itu, Ain terduduk di kerusi. Tak sedar pipinya basah dengan air mata.

"Benci betul kau dengan aku, Man."


LATIF bersandar lemah di dinding rumah. Kakinya berlunjur ke hadapan. Mata terpejam rapat. Sesekali dia mengurut dadanya yang terasa perit.

"Air, abang."

Terbuka luas kedua matanya. Gelas yang dihulurkan oleh isterinya diambil. Rakus dia habiskan air itu.

"Man dah balik dari sekolah?"

"Belum lagi."

Latif hela nafas lemah. Dah pukul tiga petang, anaknya masih merayap. Nak harap budak itu membantu dia di kebun, susah betul. Ada saja alasan yang diberi.

"Susah hati betul abang dengan anak kita tu. Ajak tolong ke kebun malas. Tak lama lagi nak STPM."

"Jangan risaulah. Anak kita tu kalau bab belajar, dia tak main-main."

Itu yang Maryam kagum dengan anaknya. Luqman sangat bijak di sekolah. Sama seperti Ain. Cuma anaknya agak nakal sehingga sering membuat onar di sekolah. Selepas tamat SPM, anaknya mahu mengambil STPM. Sebagai orang tua, mereka hanya menyokong permintaan anaknya.

"Abang harap, kalau abang tak ada nanti, dia boleh jaga kebun kita tu."

Berkerut dahi Maryam.

"Kenapa cakap macam tu? Abang nak pergi mana?"

"Abang ni dah makin tua. Manalah tahu, abang pergi dulu."

Terus berubah air muka Maryam.

"Jangan nak merepeklah. Suka sangat cakap yang bukan-bukan." Risau betul wanita itu.

Dah kerap sangat suaminya bercakap perkara yang bukan-bukan. Latif sekadar ketawa kecil.

Tak lama kemudian, Luqman tiba di rumah. Basikalnya diletak dibawah rumah. Wajahnya kelihatan tegang.

"Muka tu ketat semacam aje. Bergaduh dengan siapa pula kali ni?" sindir Maryam.

Luqman merengus kasar. Malas dia nak melayan sindiran si emak.

"Tunggu dulu, Man. Duduk sini. Ayah nak cakap sikit."

Tak jadi Luqman masuk ke dalam bilik. Dia duduk bersila di sebelah ayah. Maryam ke dapur untuk memberi ruang dua beranak itu berbual.

"Tanah dekat kebun pisang kita tu, ayah dah tukarkan ke atas nama Man. Man pun dah 19 tahun."

Tegak tubuh Luqman.

"Ayah nak Man jaga kebun tu baik-baik. Walaupun hasil sekarang tak macam dulu, jangan sesekali jual tanah tu kepada orang lain. Itu aje harta yang kita ada."

Sejak seminggu yang lepas, dia sibuk menguruskan dokumen tanah. Sebelum terjadi apa-apa, lebih baik dia membuat persediaan.

"Ayah percayakan Man. Ayah yakin Man tak akan kecewakan ayah."

Luqman tak sedap hati dengan kata-kata si ayah. Nak bertanya, lidahnya terasa berat.

"Man dah solat?"

"Err... belum."

"Pergilah solat. Lain kali jangan nak lengahkan waktu solat. Tak baik."

Luqman sekadar mengangguk. Dia bangun dan melangkah ke dalam bilik. Sebelum dia masuk ke dalam bilik, dia toleh ke belakang.

Encik Latif masih bersandar lemah di dinding rumah. Kata-kata Ain tadi terngiang-ngiang di telinganya.

"Kau ni memang jenis tak bersyukur. Kalau kau sendiri tengok macam mana susahnya mak dah ayah kau cari rezeki, kau tak akan tergamak nak cakap macam ni."

Keluhan nipis terlepas dari bibirnya. Tiba-tiba dia jadi takut dengan apa yang dikatakan oleh gadis itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro