Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

AIN mencari kelibat ibu dan abah. Hari ini, hari sukan di sekolahnya. Dia sudah memesan kepada ibu bapanya untuk hadir ke sekolah.

"Ain, cepat masuk dalam barisan. Pertandingan dah nak mula." Arah Cikgu Salwa.

Ain berlari anak ke arah cikgu.

"Cikgu nampak ibu dan abah Ain?"

Cikgu Salwa kelihatan serba salah. Dia tak nak merosakkan mood Ain disebabkan sebentar lagi anak muridnya terlibat dalam pertandingan sukan.

"Cikgu tak perasan pula. Ain masuk dulu dalam barisan. Lepas habis acara ni, cikgu carikan mereka." Terpaksala dia berbohong.

Ain bergegas masuk ke dalam barisan. Acara membawa bola ping pong dengan menggunakan sudu akan bermula tidak lama lagi. Mereka dibahagi kepada empat kumpulan tanpa mengira jantina.

Bunyi wisel ditiup tanda pertandingan sudah bermula. Masing-masing bersorak kuat. Sampai giliran Ain, dia berjalan pantas mengejar Luqman. Luqman menjeling ke sebelah. Dia perlu pastikan Ain kalah di tangannya.

Entah dimana silapnya, kaki Luqman tersandung ke hadapan. Bola dari sudu di mulutnya terjatuh ke tanah. Kelam kabut Luqman mengutip bola itu. Namun semuanya dah terlambat apabila Ain terlebih dahulu sampai ke kumpulannya. Disebabkan kecuaiannya, kumpulan Luqman kalah.

Ain bersorak gembira. Dia memeluk rakan-rakannya yang lain. Setelah majlis sukan selesai, Ain masih mencari-cari ibu bapanya.

"Ain."

Ain toleh ke belakang. Maryam memanggil Ain datang ke arahnya. Ain berlari anak ke arah wanita itu.

Wanita itu betulkan rambut Ain terlebih dahulu. Berpeluh wajah Ain gara-gara cuaca yang panas terik.

"Ain ikut Mak Yam balik ya."

"Ibu mana?" soal Ain tanpa dapat ditahan.

"Hari ni ibu terpaksa tidur di wad. Abah dah temankan ibu. Dia tak sihat."

"Ha?" Terkejut Ain. Pagi tadi, ibunya kelihatan sihat aje.

"Ain tinggal rumah Mak Yam ya. Mungkin esok baru ibu Ain keluar dari wad."

Ain rasa nak menangis. Patutlah ibu dan abah tak muncul. Maryam serba salah untuk menerangkan keadaan sebenar yang menimpa Suhailah.

Wanita itu mengalami keguguran pagi tadi. Mujurlah Zaid ada di rumah. Disebabkan keadaan wanita itu sangat lemah, dia terpaksa ditahan.

"Jom ikut Mak Yam."

Ain terpaksa menurut. Masuk ke dalam kereta, Luqman sudah ada di belakang tempat kereta. Masam wajah lelaki itu. Ain tiada hati nak menegur. Dia susah hati memikirkan keadaan ibu.

Sampai di rumah, Ain hanya duduk di ruang tamu. Dia agak kekok berada di rumah Luqman. Pertama kali dia perlu bermalam di sini.

"Ini baju Man. Rasanya muat dengan Ain. Ain pakai baju ni dulu."

Ain ambil baju itu dan dibawa masuk ke dalam bilik. Setelah dia menukar pakaian, Ain keluar untuk duduk kembali di ruang tamu. Ketika itu, dia terserempak dengan Luqman.

Terbuntang biji mata Luqman melihat Ain memakai pakaian miliknya. Lebih-lebih lagi pakaian itu adalah t-shirt kegemarannya. Dia hanya pernah pakai sekali ketika menyambut hari raya.

"Woi! Itu baju aku. Siapa benarkan kau pakai baju aku?" Bahu Ain ditolak geram. Sejak di padang lagi hatinya panas dengan Ain. Dia malu apabila kalah dengan pasukan Ain.

"Mak Yam yang bagi." Takut-takut Ain berikan jawapan.

"Kau ni miskin sangat ke sampai baju aku kau nak pakai?"

Ain terhenyak dengan kata-kata Luqman. Bibirnya bergetar menahan sebak.

"Aku pun miskin juga. Tapi tak pernah lagi mengemis dengan orang. Nak makan pun, tumpang rumah aku. Tak malu!"

"Tak. Kita tak pernah minta makanan dengan sesiapa." Gugur juga air mata Ain.

Mencebik bibir Luqman tanda meluat.

"Hari tu mak kau datang rumah aku. Minta beras."

Ain gigit bibirnya sekuat hati. Tubir matanya dah bergenang. Sakit hatinya apabila ibunya dihina.

"Mesti mak kau ajar minta barang dengan orang." Luqman mengejek dengan riak wajah yang sinis.

"Cikgu cakap, orang yang suka minta-minta ni, pengemis." Tambah Luqman. Hatinya puas dapat menyakitkan Ain.

"Arghhhh!" Ain jerit sekuat hati.

Dek terlalu marah, rambut Luqman ditarik sekuat hati. Menjerit Luqman gara-gara terlalu sakit. Suara bising dari ruang tamu itu menarik perhatian Maryam. Kelam-kabut wanita itu berlari mendapatkan Ain dan Luqman.

"Ya Allah! Jangan bergaduh."

Mujurlah suaminya tiada di rumah. Kalau tidak, teruk Luqman dirotan. Tangan kecil Ain ditarik jauh dari terus mencengkam rambut anaknya.

Luqman menangis kesakitan. Maryam tarik tubuh Ain jauh dari anaknya.

"Kenapa ni?"

"Dia... dia ejek kita." Tersedu-sedan Ain.

Maryam pandang muka Luqman dengan wajah yang tegang.

"Man cakap apa?"

"Man benci dia! Kenapa dia nak pakai baju Man?"

"Ain pinjam aje. Malam ni dia tidur rumah kita. Janganlah berkira sangat."

Luqman sedih dengan jawapan emak. Dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Bergegar rumah papan itu dengan bunyi hempasan pintu.

Maryam menggeleng kesal. Dia duduk melutut di hadapan Ain.

"Dah. Jangan menangis. Man tak sengaja tu."

"Man jahat. Dia selalu ejek kita. Ibu kita bukan peminta sedekah."

Tertelan air liur wanita itu. Tubuh Ain didakap erat. Patutlah Ain mengamuk. Maryam pandang ke arah pintu rumah.

Wajah Maryam terus berubah. Tak sedar sejak bila suaminya ada berdiri di situ. Dia yakin lelaki itu sudah mendengar aduan Ain tentang anak mereka.


LUQMAN berdiri tegak di hadapan ayah. Selepas makan malam, ayah masuk ke bilik untuk bercakap dengannya. Malam ini, Ain tidur bersama isterinya.

"Kenapa Man ejek Ain?"

Luqman masih berdiam diri.

"Ayah tanya jawab!" Tegas nada suara Latif.

"Man tak suka dia."

"Sebab dia miskin ke?"

Terdiam Luqman.

"Man lupa ke kita pun bukannya berharta sangat. Ayah tak ajar anak ayah kurang ajar macam ni."

Latif kesal dengan anaknya. Baru umur lima tahun, dah pandai menghina orang.

"Kita pun bukannya orang senang. Tapi bila ada rezeki lebih, tak salah kita berkongsi dengan orang yang dalam kesusahan. Itu yang ayah buat dengan keluarga Ain."

Kali ini nada suara Latif berubah lembut. Tangan anaknya diraih.

"Man satu-satunya anak ayah. Ayah pun belajar tak pandai. Man harapan ayah untuk jaga keluarga kita bila ayah tak ada nanti."

Sebak dada Latif. Dia bukannya orang senang. Namun dia bersyukur masih mempunyai tanah yang kecil untuk mencari rezeki. Ada masanya, dia banyak melakukan kerja di kampung.

"Lepas ni jangan lagi ejek keluarga Ain. Tak baik. Sekarang ni mungkin keluarga dia ada masalah. Manalalah tahu satu hari nanti keluarga kita bermasalah, mereka yang bantu kita."

Luqman terkesan dengan kata-kata si ayah. Latif tarik tubuh Luqman masuk ke dalam pelukannya.

"Man anak yang baik. Ayah yakin, suatu hari nanti Man akan faham apa yang berlalu dalam keluarga Ain. Cubalah berkawan baik dengan Ain."

Terkebil-kebil mata Luqman dibuatnya. Dia hanya memasang telinga. Langsung tidak faham apa yang dikatakan oleh ayah. Yang dia tahu, Ain hanya menyusahkan hidupnya. Sejak budak itu muncul, dia sering dimarahi oleh emak dan abah.

Tak ingin dia nak berbaik dengan Ain.

Titik!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro