Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

BERGEGAS Suhailah menyiapkan Ain. Hari ini, hari pertama anaknya ke sekolah. Semua sijil penting sudah dibawa bersama.

"Mana abah, ibu?" soal Ain.

Sudah beberapa hari abah tidak pulang ke rumah. Rindu juga dia nak menatap wajah abah.

"Abah kerja." Suhailah tersenyum kelat. Sejak kejadian duitnya dirampas, suaminya hilang tanpa jejak.

Puas dia cuba hubungi. Lelaki itu enggan menjawab panggilan darinya. Suhailah sudah putus asa untuk berharap kepada suaminya lagi.

"Jom, kita dah lewat. Hari ni kita jalan kaki."

"Okey!" Ceria wajah Ain. Tak sabar untuk ke sekolah. Dah tentu di sana nanti dia akan mendapat ramai kawan. Paling penting, dia dapat belajar.

Belum sempat Suhailah mengunci pintu rumah, bunyi motorsikal milik suaminya berderum kuat. Sah lelaki itu sudah pulang ke rumah.

Zaid turun dari motorsikal. Dia berjalan mendekati dua beranak itu. Ain bersembunyi di belakang ibu.

"Nak hantar sekolah?" soal Zaid.

Suhailah mengangguk kecil. Lelaki itu hela nafas berat. Hatinya tersiat melihat kesan luka di bibir isterinya. Itulah kali pertama dia memukul Suhailah. Disebabkan rasa bersalah, berhari-hari dia tidak pulang ke rumah.

"Biar abang yang hantar. Sini, Ain. Ikut abah." Tangan dihulurkan kepada si anak.

Ain pandang ke arah si ibu. Suhailah turut terkejut dengan tawaran lelaki itu.

"Abang nak hantar anak ke sekolah?"

"Kenapa? Kau tak percaya dekat aku." Suara Zaid sudah bertukar kasar. Dia jadi mudah sensitif apabila isterinya memandang rendah terhadapnya.

Serba salah Suhailah. Dia bukan tak percayakan lelaki itu. Dia takut duit yang diberinya nanti hilang entah ke mana.

"Duit yang ada sekarang, cukup-cukup untuk hantar Ain sekolah."

"Kalau pasal duit, aku ada. Kau simpanlah duit tu."

"Abang dah kerja?" soal Suhailah dengan riak wajah terkejut.

"Ehmmm..." Acuh tak acuh lelaki itu menjawab.

Suhailah tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia sudah bersyukur suaminya kini ada pekerjaan.

"Cepat, Ain. Ikut abah. Ilah nak ikut juga ke?" Kali ini barulah Zaid bercakap lembut dengan isterinya.

"Boleh ke Ilah ikut?" Sudah tentu dia ingin melihat anaknya ke sekolah pada hari pertama.

"Suka hatilah."

Lelaki itu berpatah balik ke motorsikalnya. Suhailah segera memimpin tangan anaknya menaiki motorsikal.

Tak sampai lima minit, mereka sudah tiba di kawasan sekolah. Ain dibawa masuk oleh pembantu murid agar duduk di kerusi yang ada di kelas itu.

Tersenyum lebar Ain. Sesekali dia berbual dengan rakan-rakan yang lain. Tiba-tiba tempat di sebelahnya diduduki oleh seorang pelajar lelaki. Ain toleh ke sebelah. Bertambah teruja Ain.

"Man!"

Luqman pandang ke sebelah. Mulutnya ternganga besar.

"Kau?"

"Wah, kita satu kelas. Seronoknya." Ain bertepuk tangan.

Tapi lain pula bagi Luqman. Dia rasa nak tenyeh muka Ain sekarang. Luqman pandang ke sekeliling kelas. Nafas dihela kasar apabila semua kerusi sudah ada pemilik.

"Hari tu kita lupa nak ucap terima kasih. Ibu cakap, kalau ada orang tolong kita, ucap terima kasih."

Luqman menjeling tajam. Dia buat-buat tak dengar.

"Awak dengar tak?"

"Bisinglah. Mulut tu tak reti nak senyap ke?"

Tergamam Ain disergah begitu. Mujurlah kelas mereka agak bising. Malu juga dia nanti kalau ada yang perasan dirinya ditengking oleh Luqman.

"Kenapa awak marah kita?"

"Sebab aku benci kau."

Terpinga-pinga Ain.

"Kau beritahu ayah aku, aku mandi sungai. Sebab kaulah, teruk aku kena pukul." Sakit hati Luqman.

Gara-gara mulut becok Ain, dia tak dibenarkan bermain bersama kawan-kawannya. Terpaksalah dia berkurung di rumah sebagai hukuman.

"Kita cakap jujur. Ayah awak yang tanya kita."

Luqman jegilkan biji mata. Dia tak suka budak itu bercakap dengannya. Ain tunduk menekur meja. Sedih apabila dirinya dilayan kasar oleh Luqman.


MENGECIL mata Luqman pandang budak yang ada di tempat duduk belakang. Dari tadi dia bersabar dengan mulut becok Ain. Sekarang, boleh pula pula Ain pulang bersamanya.

"Kenapa tak masuk lagi?" soal Latif.

"Kenapa budak tu ikut kita?" Masam mencuka wajah Luqman.

Latif pandang ke arah tempat duduk belakang. Ain kelihatan ceria sambil melihat kertas lukisan di tangan.

"Hari ni ayah tumpangkan Ain. Abah dia ada kerja. Cepat masuk."

Jatuh bahu Luqman. Ikutkan hati, mahu saja dia menghalau Ain keluar dari kereta buruk ayah. Silap-silap, dia pula yang kena pukul.

Pintu sengaja dihempas kasar. Bulat mata Latif. Sudahlah kereta ini semakin uzur.

"Rosak pintu tu, ayah nak Man pergi dan balik jalan kaki sendiri."

Luqman tunduk menekur riba. Malu dimarahi oleh si ayah. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, masing-masing hanya berdiam diri.

Latif berhentikan kereta di hadapan kedai runcit. Bersinar mata Luqman.

"Man nak ikut."

"Tak payah. Ayah nak beli lauk basah aje."

"Man nak beli coklat."

"Tak boleh. Pantang singgah kedai, ada aje cukai. Berjimat sikit." Latif tutup pintu kereta.

Nak menangis Luqman. Nafas dihembus kasar. Kedekut betul. Selalunya ayah tak kisah untuk membelikan coklat untuknya. Tiba-tiba saja ayah berkira.

"Ibu kita cakap, makan coklat tak elok. Nanti gigi rosak. Awak nak hilang gigi depan lagi ke?"

Hampir saja Luqman terlupa Ain ada di belakangnya. Malu apabila dia diejek rongak.

"Kau ejek aku?" Kempas kempis hidung Luqman.

Laju Ain menggeleng. Nak kata dia salah cakap, tak ada pula. Memang Luqman tak ada gigi atas sebatang dibahagian hadapan.

"Kita cakap betul. Makan coklat, buat gigi kita rosak. Tak payahlah sedih kalau ayah awak tak nak beli coklat. Nanti gigi awak yang bawah pula hilang." Polos Ain berikan jawapan.

"Diamlah!" Jerit Luqman tanda tidak puas hati. Dia pandang ke hadapan kembali.

Ain menikus di tempat duduk belakang. Orang cakap betul pun nak marah. Tak faham betul Ain.

Tak lama kemudian, Latif masuk ke dalam kereta.

"Ambil sorang satu. Ain nak yang mana?" Latif hulurkan dua batang aiskrim Malaysia berlainan perisa.

"Anggur." Tersenyum lebar Ain.

"Tak boleh. Man nak dulu." Aiskrim Malaysia perisa anggur itu dirampas.

Menggeleng Latif.

"Bagilah Ain. Man ambil perisa jagung. Selalunya Man suka makan yang ini."

"Tak nak. Hari ni Man tak suka anggur." Selamba dia mengigit plastik aiskrim itu. Siap tayang senyuman mengejek kepada Ain.

"Ain suka jagung. Terima kasih, pak cik." Ain ambil aiskrim itu dari tangan Latif.

Dia tak kisah pun perisa apa. Bukan senang dia nak makan aiskrim seperti ini. Orang bagi pun, dia dah sangat bersyukur.

Latif tersenyum melihat sikap manis Ain. Berbeza betul dengan anaknya yang suka melawan. Baru umur lima tahun, dah pandai tunjuk protes. Tak dapat dia bayangkan jika anaknya sudah besar kelak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro