Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

MERAUNG Luqman apabila belakang tubuhnya disapu dengan ubat gamat. Makin kuat menenyeh kulit anaknya.

"Padan muka. Dalam sehari, tak sah buat ayah kau naik darah. Itu belum lagi mak yang tambah. Silap-silap, masuk hospital Man."

"Pelan-pelan, mak. Sakit."

Tersedu-sedan Luqman menangis. Sampai di rumah tadi, teruk dia dikerjakan oleh Latif. Malam ini baru badannya terasa pedih.

"Menjeritlah lagi. Nanti ayah tambah."

Muncul Latif dengan wajah yang tegang. Kecut perut Luqman. Maryam hela nafas kasar. Hampir gugur juga jantung dia apabila mendapat tahu Luqman bermain di sungai. Sudahlah baru beberapa minggu lepas ada orang yang mati lemas di sana.

"Dah tahu air sungai tu tengah pasang, masih lagi berani nak mandi sungai. Degil!"

Luqman sekadar menunduk. Tak berani nak pandang muka ayah.

"Nasib baiklah budak Ain tu beritahu ayah."

Makin mendidih darah Luqman. Disebabkan budak perempuan itu, dia teruk dipukul. Menyesal dia bagi makan buah pisang. Dasar budak tak kenang budi.

"Ain buat apa dekat sana?" soal Maryam. Botol ubat ditutup terlebih dahulu.

"Entah. Abang pun tak tahu. Bila abang tanya, dia diam aje."

Luqman meluat mendengar nama Ain disebut.

"Yam selalu dengar si Zaid tu berjudi dengan orang kampung sebelah. Betul ke?"

Latif berdeham sedikit. Isyarat mata diberikan kepada isterinya agar menyuruh Luqman masuk ke dalam bilik.

Hampir terlupa Maryam anaknya ada di sini.

"Pergi masuk bilik, Man. Tidur."

Luqman tak membantah. Dia masuk ke dalam bilik untuk berehat. Hilang kelibat anaknya, barulah Latif menjawab soalan si isteri.

"Abang ada dengar juga. Hari tu, abang terserempak dengan Zaid. Makin teruk dia tu. Mungkin dia jadi macam tu lepas hilang kerja."

Maryam tarik nafas panjang. Dia kasihankan Suhailah dan anaknya.

"Nah geram betul dengan Zaid. Kalau dah tak ada kerja, pergilah cari kerja. Nak juga bergaul dengan orang tak betul. Banyak aje kerja dekat kampung. Memilih sangat. Mentang-mentang dia pernah kerja dekat pejabat. Kerja kampung langsung tak nak buat."

Dulu lelaki itu bekerja di pejabat. Namun disebabkan lelaki itu ditangkap menjual maklumat syarikat, Zaid dibuang kerja. Sekelip mata hidup lelaki itu sekeluarga berubah.

"Abang cubalah ajak Zaid tu kerja dengan abang. Pokok pisang kita tu dah banyak nak kena tanam tak lama lagi."

Tergelak orang tua itu.

"Macamlah si Zaid tu nak. Abang malas nak masuk campur urusan dia tu. Tapi bila tengok budak Ain tadi, abang jadi kasihan."

Maryam turut bersetuju. Petang tadi Latif menyuruh Ain singgah ke rumah mereka terlebih dahulu. Malah Maryam memberikan Ain makan di rumahnya. Berselera budak kecil itu habiskan makanan.

Gugur juga air matanya apabila mendengar budak itu hanya makan nasi putih berlaukkan air garam semalam.

"Esok saya nak ke rumah Ilah."

"Nak buat apa?" soal Latif.

Maryam tak menjawab. Dia bangun dan berura-ura untuk masuk ke bilik.

"Jangan nak masuk campur urusan rumah tangga orang, Yam. Abang tak suka." Latif berikan amaran.

Namun kata-katanya seperti angin lalu saja. Dia tahu sangat isterinya mahu menasihati Suhailah untuk berpisah.

Nafas dihela lemah. Zaid pernah menjadi kawan baiknya. Namun semuanya dah berubah selepas lelaki itu kehilangan kerja.


SUHAILAH malu apabila Maryam tahu keadaan dirinya. Wajahnya tunduk menekur riba.

"Dia ke yang pukul kau?"

Wanita itu sekadar mengangguk.

"Melampau. Kau masih nak hidup dengan jantan macam tu?" Maryam dah hilang sabar. Habis pecah bibir Suhailah dikerjakan oleh Zaid.

"Zaid baik sebenarnya. Aku sendiri pun tak tahu kenapa dia berubah."

"Sebab dia tu dah tak betul. Dahlah. Lebih baik kau angkat kaki. Takkan nak tunggu sampai nyawa kau hilang baru kau nak minta cerai."

Pedih hati Suhailah apabila disuruh berpisah. Dia dan Zaid sudah lama bercinta sejak di usia remaja. Malah perkahwinan mereka sudah hampir tujuh tahun. Selepas setahun berkahwin barulah mereka diberikan rezeki anak.

"Cuba kau pandang muka si Ain tu. Kau nak anak kau hidup dengan ayah tak guna macam tu?"

Suhailah pandang ke arah anaknya. Ain masih ralit bermain dengan permainannya.

"Aku tak sanggup nak tinggalkan Zaid. Mungkin aku terlalu sayangkan dia."

"Bodoh. Nak sayang tu biarlah berpada-pada."

Geram betul Maryam. Ikutkan hati, mahu saja dia membawa Suhailah ke Balai Polis. Biar sedar diri sikit lelaki tak guna itu.

"Hati-hati, Ilah. Kau ada anak perempuan. Zaid sekarang dah kuat berjudi. Jangan sampai satu hari nanti, anak kau jadi mangsa untuk bayar hutang bapak dia."

Tegak tubuh Suhailah. Kata-kata Maryam, buat dia jadi seram.

"Kau jangan cakap macam tu. Suami aku tak jahat sampai sanggup nak jual anak."

"Yalah. Lelaki kaulah terpaling baik." Sindir Maryam.

Malas dia nak menasihati Suhailah. Apa yang dia cakap, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dia keluarkan beberapa keping duit berwarna merah dan dihulurkan kepada Suhailah.

"Ni ada sikit rezeki untuk kau dengan Ain. Simpan duit ni."

"Eh, janganlah Nah. Aku ada lagi duit."

Suhailah menolak lembut tangan Hasnah. Bertambah malu dia. Sudahlah Maryam datang ke sini bersama beras dan sepapan telur.

"Ambil. Ini rezeki untuk anak kau. Minggu depan dia dah nak sekolah. Samalah dengan anak aku. Guna untuk persekolahan Ain."

Sebak dada Suhailah. Semalam kesemua duitnya sudah dirampas oleh suaminya. Dia betul-betul buntu memikirkan tentang persekolahan anaknya. Dia baru saja bercadang untuk menangguhkan dahulu persekolahan Ain.

"Terima kasih, Yam. Ada rezeki nanti, aku bayar."

"Tak payah. Ni aku ikhlas bagi. Aku balik dulu." Maryam berdiri sambil betulkan selendang.

Dia berjalan mendekati Ain. Rambut Ain diusap lembut.

"Mak Yam balik dulu."

Ain tayang senyuman manis. Tangan Maryam diraih dan dicium penuh hormat. Sejuk hati wanita itu melihatnya.

Sebaik saja Maryam pulang, Suhailah duduk di sisi anaknya. Rambut panjang Ain diusap lembut.

"Semalam Ain makan dekat rumah Mak Yam?"

Ain gigit bibirnya sedikit. Takut dimarahi oleh ibu.

"Kenapa tak beritahu ibu?"

"Ain takut ibu marah."

Suhailah tersenyum nipis.

"Ibu tak marah. Tapi lain kali, jangan cerita apa-apa tentang abah dan ibu. Jangan cakap abah pukul ibu. Boleh?"

Terkebil-kebil mata Ain.

"Janji ya."

Ain mengangguk perlahan.

"Abah tak sayang kita ke?"

Tergamam Suhailah. Tiba-tiba dia diajukan soalan begitu oleh anaknya.

"Dulu abah selalu cium Ain. Sekarang... abah suka sangat marah-marah. Abah tak sayang kita lagi ke?"

Bergenang tubir mata Suhailah. Tubuh kecil itu ditarik masuk ke dalam pelukannya. Dalam usia begini, apalah yang Ain tahu tentang keadaan hidup mereka. Kehidupan mereka sekarang ibarat kais pagi, makan pagi.

"Abah sayangkan kita. Doakan abah berubah ya. Doa anak yang soleh, Insya-Allah dimakbulkan."

Bergetar nada suara Suhailah. Selagi dia boleh bertahan, dia akan bertahan. Dan bila tiba masanya untuk dia berhenti, saat itu dia akan membawa Ain pergi jauh dari kampung ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro