Bab 10
SUDAH dua hari dia bermalam di rumah Luqman. Rupa-rupanya Luqman tak tinggal di sini. Lelaki itu bermalam di rumah Azrul. Kata Maryam, Luqman yang mahu tinggal di sana disebabkan tak nak ada orang kampung mengata.
Esok dia akan ke hospital untuk menggantikan tempat ibu. Dia mahu ibu pulang ke rumah untuk berehat. Kasihan ibu. Sudahlah terpaksa berbaring di atas kerusi panjang yang agak keras.
Tiba-tiba telefonnya berdering. Pantas dia menjawab panggilan itu. Lebih-lebih lagi dia tahu pemilik nombor itu ialah Maliki. Selama beberapa hari ini, lelaki itu yang selalu memberi maklumat tentang keadaan abah.
"Saya ganggu ke?" soal Maliki apabila salamnya dijawab.
"Tak. Saya baru aje selesai buat kerja sekolah." Buku-buku dimasukkan ke dalam beg sekolah.
"Esok saya ambil awak pukul satu."
Terhenti pergerakkan tangan Ain. Dia tiba-tiba teringat pesanan Luqman. Jangan terlalu banyak menerima pertolongan Maliki.
"Tak payahlah, encik. Esok saya boleh naik bas. Saya tak nak susahkan encik."
Lelaki itu tergelak kecil di hujung talian.
"Tak menyusahkan. Esok hujung minggu. Saya memang tak masuk kerja. Saya datang ambil awak."
Nak menolak, takut dikatakan sombong. Terpaksalah dia menerima agar lelaki itu tidak berkecil hati dengannya.
"Baiklah tapi encik ambil saya di perhentian bas ya."
"Kenapa?"
"Saya tinggal di rumah kawan saya beberapa hari ni."
Tiba-tiba lelaki itu terdiam. Lama.
"Encik?"
"Ya, saya dengar. Awak bermalam di rumah lelaki hari tu ke? Maksud saya, lelaki yang datang dengan awak di hospital."
"Ha'ah, betul. Saya bermalam di rumah Luqman."
"Kenapa?"
Bingung Ain. Tak faham soalan yang diajukan oleh lelaki itu.
"Kenapa apa?"
"Maksud saya, kenapa sampai nak bermalam di sana?"
"Oooo... sebab keluarga dia risau kalau saya tinggal sendiri. Dah macam-macam kes dekat kampung kami. Demi keselamatan saya, saya tinggal di sini."
Nasib baiklah keluarga Luqman sangat baik dengannya. Tak adalah dia kekok sangat tinggal di sini. Kedua orang tua Luqman, sudah dia anggap seperti keluarga sendiri.
"Boleh saya tanya awak sesuatu?"
"Boleh."
Maliki berdeham sedikit. Dia serba salah untuk bertanyakan soalan yang agak peribadi. Tapi hatinya tak mampu untuk menipu.
"Awak dengan Luqman, ada hubungan istimewa ke?"
Terdiam Ain.
"Err... maaf kalau soalan saya buat awak tak selesa. Saya sekadar nak tahu."
Ain tarik nafas dalam-dalam. Jujur Ain sukar menjawab soalan itu. Hubungan dia dan Luman, boleh dikatakan agak rumit.
"Kami dah kenal sejak kecil. Keluarga dia pun saya dah anggap seperti keluarga sendiri. Antara saya dan Luqman, kami hanya berkawan." Jawapan selamat dia berikan.
Maliki tarik nafas lega.
"Kenapa encik tanya?"
"Untuk buat hati saya tenang. Dan saya tak perlu nak bersangka-sangka."
Hampir bertaut kening Ain. Dia tak faham apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
"Saya letak dulu. Esok kita jumpa."
Setelah dia memberi salam, panggilan dimatikan. Ain merenung lama telefon bimbitnya yang sudah kelihatan uzur. Dia akui dirinya rasa sedikit tenang datang berbual dengan Maliki. Lelaki itu matang setiap kali berbual dengannya.
"Ehem!"
Terperanjat Ain. Dia pandang ke arah pintu rumah. Luqman sedang merenungnya dengan pandangan tajam.
Pucat wajah Ain. Janganlah lelaki itu dengar apa yang dibualnya tadi bersama Maliki. Mujurlah dia sentiasa memakai selendang di rumah ini.
"Mak aku mana?"
"Ada dekat dapur."
Luqman campak beg sekolahnya di atas kerusi. Dia duduk di situ sambil pejamkan mata.
"Bawakan aku air."
"Ambillah sendiri." Bengang Ain. Gaya dah macam bos besar.
"Kau ni berkiralah. Dah menumpang rumah aku, buat gaya menumpang."
Pedih telinga Ain. Dia terus berdiri tegak.
"Ya. Memang aku ni menumpang. Kalau kau tak suka, aku boleh keluar rumah hari ni juga."
Ain masuk ke bilik. Semua pakaiannya dimasukkan ke dalam beg. Beg pakaiannya dicapai. Ketika dia keluar dari bilik, Maryam sudah muncul di ruang tamu. Dahinya berkerut melihat Ain membawa beg sekolah dan pakaiannya.
"Ain nak pergi mana?"
"Biarlah dia balik mak. Malam ni Man nak tidur sini."
Maryam pandang Luqman macam nak telan.
"Apa kaitannya dengan Ain? Dia bukannya tidur bilik Man."
"Tak apalah, Mak Yam. Esok dah cuti. Ain ingat nak jaga abah di hospital esok." Kecil hati sungguh Ain. Tempoh hari, beriya Luqman menyuruh dia tinggal di sini. Hari ini, terus berubah sikap.
Maryam tarik beg pakaian Ain. Tangan Ain dipegang kemas.
"Tidur sini. Esok kita ke sana sama-sama. Mak Yam pun nak melawat abah Ain. Kalau Ain tak selesa Man ada dekat sini, biar Mak Yam temankan Ain di rumah sana."
Serba salah Ain. Tak pasal-pasal dia dah menyusahkan ibu Luqman. Dia pandang lelaki itu. Panas hati Ain melihat wajah Luqman yang selamba.
"Tunggu Mak Yam kemas baju."
Belum sempat Maryam masuk ke bilik, Ain pantas menarik tangan wanita itu. Nafas dihela berat.
"Ain tidur sini, Mak Yam."
"Lega hati, Mak Yam. Bawa masuk beg ni dalam bilik."
Ain mengangguk kecil. Sempat dia berikan jelingan tajam kepada Luqman. Sebaik saja Ain masuk ke bilik, Maryam terus meluru ke arah Luqman. Telinga anaknya ditarik kuat.
"Mak!"
"Sekali lagi mak nampak Man cari pasal dengan Ain, mak tak bagi duit belanja minggu depan."
"Apa ni mak? Man ke budak tu anak mak?"
"Dua-dua anak mak."
Luqman merengus kasar. Dia hentak kakinya sekuat hati sebelum masuk ke dalam bilik.
"Hentaklah lagi. Lantai rumah kita ni kan, lantai batu. Tak robohnya kalau kau hentak kuat-kuat lagi." Sindir Maryam.
Pintu bilik dihempas kuat. Beg sekolahnya dicampak kasar di atas katil. Mahu saja dia menjerit sekuat hati.
"Antara saya dan Luqman, kami hanya berkawan."
Disebabkan kata-kata itulah buat hati Luqman terbakar. Dia tak suka Ain rapat dengan lelaki itu.
AIN terpaksa menghubungi Maliki. Dia tak nak lelaki itu datang menjemputnya esok disebabkan keluarga Luqman akan ke sana. Nanti apa pula kata keluarga Luqman.
Mujurlah Maliki faham. Setelah berbual dengan lelaki itu, dia keluar dari bilik untuk mengambil angin di beranda rumah.
Buku nota di tangannya dibawa bersama. Dia tak dapat nak lelapkan mata. Lebih baik dia membaca nota sambil mengambil angin di beranda rumah.
Tiba-tiba dia terbau sesuatu sebelum sempat dia membuka pintu rumah. Bau itu seperti bau rokok. Jam di dinding rumah Luqman dipandang. Sudah hampir pukul 11.30 malam.
Ibu bapa Luqman dah lama tidur. Siapa pula yang ada di luar rumah? Hanya seseorang yang terlintas dalam fikiran Ain. Perlahan-lahan pintu dibuka. Bulat mata Ain melihat Luqman sedang duduk di atas tangga rumah sambil menghisap rokok.
Luqman masih belum sedar Ain ada di belakangnya. Fikirannya serabut. Disebabkan itu dia duduk di luar rumah sambil menghisap rokok. Jujurnya, ini kali pertama dia mencuba. Kebetulan Azrul tak sengaja letak rokok di dalam beg sekolahnya.
Tiba-tiba rokoknya dirampas kasar. Terperanjat Luqman. Dia pandang ke arah pintu rumah.
"Kau memang gila, Man. Sejak bila kau pandai hisap benda macam ni?" Suara celah gigi Ain jelas kedengaran.
"Bagi aku benda tu." Keras nada suara Luqman.
Ain menggeleng laju.
"Kau tak sayang mak dan ayah kau ke?" Hampir menangis Ain. Sedih dia melihat perubahan Luqman sekarang.
"Haishh... apa kaitan soalan kau tu dengan hisap rokok pula? Bagi aku benda tu."
Ain kecewa dengan Luqman. Sampai ke tahap ini Luqman sanggup merosakkan diri sendiri. Dek terlalu marah, rokok itu disedut sekuat hati. Terbatuk-batuk Ain.
Terbuntang biji mata Luqman.
"Kau buat apa ni?" Terkeluar suara celah gigi Luqman. Dia cuba merampas rokok itu tapi gadis itu larikan tangannya.
"Rugilah aku tak cuba. Kalau kau boleh, aku pun boleh." Sekali lagi Ain cuba menyedut puting rokok itu.
Luqman pantas mencengkam pergelangan tangan Ain. Keduanya saling berpandangan.
"Lepas." Ain berikan amaran.
Luqman hembus nafas kasar.
"Okey. Aku tak hisap dah. Bagi aku rokok tu. Aku nak buang."
"Mana lagi rokok yang lain?" soal Ain.
"Ini aje."
"Jangan tipu."
Luqman berdecit geram. Sekotak rokok dikeluarkan dari poket seluar. Pantas Ain merampas kotak tersebut. Dia turun dari tangga dan berjalan laju ke arah semak. Selamba dia campak kotak itu ke dalam semak.
Wajah Luqman diraut kasar. Tak pasal-pasal dia perlu mengganti rokok Azrul pula. Ain berpatah balik ke arah Luqman.
"Kalau kau tak sayangkan diri sendiri, tolonglah fikirkan perasaan mak ayah kau. Aku yakin diorang mesti kecewa kalau tahu kau ambil benda mengarut ni."
"Kau jangan bisinglah. Apa yang berlaku hari ni, kau jangan cerita dekat mereka."
Risau juga Luqman. Janganlah Ain mengadu kepada emak dan ayah. Mati dia.
"Korang berdua buat apa dekat luar?"
Serentak keduanya berpaling ke arah pintu. Keras kejung tubuh mereka. Latif pandang wajah Ain dan Luqman dengan pandangan curiga.
"Errr... kami belajar, ayah. Ini..." Buku nota di tangan Ain diambil.
"Kami berbincang hal sekolah."
"Masuk dalam rumah. Dah lewat. Ain pun masuk tidur. Esok ajelah berbincang." Tegas arahan diberikan oleh orang tua itu.
Ain mengangguk laju. Latif masuk ke dalam rumah. Ain dan Luqman tarik nafas lega. Nasib baiklah orang itu tak mengesyaki mereka.
"Kau jangan lupa gosok gigi. Bau rokok tu aku boleh bau lagi," bisik Luqman.
Ain hembus nafasnya ke tapak tangan. Hampir nak termuntah dia.
"Kau pun sama. Mulut dah macam loji sampah." Buku notanya dirampas kasar.
Jatuh rahang Luqman. Dia hidu nafas sendiri. Tak adalah busuk sangat. Teringat apa yang berlaku tadi, buat dia sedikit geli hati. Tak sangka Ain sanggup bertindak begitu hanya disebabkan dia menghisap rokok.
Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro