Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

AIN menguap panjang. Dia tersedar dari tidur gara-gara perutnya lapar. Anak matanya mencari seseorang. Keadaan di ruang tamu sunyi sepi.

"Mana ibu ni?"

Jantung Ain berdegup laju. Dia paling takut tinggal di rumah seorang diri. Bibirnya melengkung ke bawah. Bila-bila masa air matanya akan jatuh ke pipi.

Laju dia berlari mencari ibu di dapur. Tiada sesiapa di dapur. Tubir matanya sudah bergenang.

"Ibu!"

Ain menangis memanggil ibu. Semakin kuat tangisan Ain apabila panggilannya tak disahut.

"Ya, ibu ada ni."

Tak lama kemudian, muncul Suhailah melalui pintu dapur. Wanita itu termengah-mengah selepas mencari pucuk kayu di belakang rumah. Tak sangka pula anaknya boleh tersedar dari tidur dengan cepat.

"Ibu pergi mana?" Ain terus memeluk erat pinggang wanita itu.

"Ibu cari pucuk ni. Nak buat lauk." Suhailah membawa pucuk ubi itu ke singki. Beberapa biji telur dikeluarkan dari peti sejuk.

"Ain lapar."

"Sabar, ya. Ibu baru nak masak ni. Ain pergi main dekat depan dulu. Nanti dah siap masak, ibu panggil."

"Ain temankan ibu. Ain tak nak duduk sorang-sorang."

Suhailah tersenyum manis. Pipi anaknya yang basah dikesat dengan hujung bajunya. Dia bergegas siapkan makanan tengah hari buat mereka dua beranak.

Sesekali Suhailah melihat anaknya yang ralit bermain anak patung. Dadanya sebak. Dalam usia anaknya baru berumur lima tahun, banyak perkara dia tak mampu berikan kepada si anak.

Sejak dua tahun lepas, sikap suaminya berubah mendadak. Suaminya berubah menjadi panas baran dan sukar untuk diajak berbincang. Semuanya berpunca apabila lelaki itu dibuang kerja.

"Ilah!"

Ternaik bahu Suhailah. Ain lagilah terkejut. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan si ibu. Kalau abah dia dah balik, pasti ada pergaduhan yang bakal berlaku.

"Ya, abang. Ilah dekat dapur." Sahut wanita itu. Ikutkan hati, malas dia nak melayan kerenah suaminya.

Tak lama kemudian, muncul Zaid dengan wajah yang tegang.

"Aku lapar. Kau dah masak."

"Ilah baru nak masak, abang." Acuh tak acuh Suhailah menjawab.

Zaid merengus kasar. Dia turun ke dapur dan melihat bahan-bahan yang ada di singki.

"Ini aje kau nak masak untuk aku?" Bergema suara Zaid di dapur.

Ain semakin menikus. Dia sudah masak sangat dengan sikap abah yang suka mengamuk pada bila-bila masa.

"Itu aje yang ada. Abang pun dah lama tak bagi Ilah duit." Kali ini Suhailah berani untuk membalas. Biar lelaki itu sedar tentang tanggungjawabnya sebagai suami.

"Ooo... kau dah pandai nak merungut. Habis tu, yang kau hari-hari jual kuih, tak akan satu sen tak dapat."

"Ilah nak simpan untuk bayar yuran tadika Ain. Bulan depan anak kita nak bersekolah. Abang dah lupa ke?"

Mencerlung anak mata Zaid memandang ke arah anaknya. Takut-takut Ain dibuatnya.

"Budak ni baru lima tahun. Tak payah hantar sekolah lagi. Tunggu aje tahun depan. Dah tahu kita tak ada duit, masih bazirkan duit sekolah budak ni."

Kali ini Suhailah dah tak mampu bersabar lagi. Tergamak suaminya bercakap begitu. Selama ini dia tak berkira apabila lelaki itu tak pernah menghulurkan wang. Tapi jika melibatkan persekolahan Ain, dia dah tak boleh berdiam diri.

"Abang memang dah berubah. Selama ni Ilah diam dengan harapan abang berubah tapi makin teruk perangai abang. Kalau abang tak nak ambil tanggungjawab sekolahkan anak, tak apa. Biar Ilah yang pikul. Jangan halang Ilah nak hantar Ain ke sekolah."

"Kau dah pandai melawan cakap aku sekarang!" Turun naik nafas Zaid.

"Ilah tak melawan tapi Ilah nak sedarkan abang. Tentang tanggungjawab abang sebagai suami dan ayah." Dada suaminya ditunjal geram.

"Diam!"

Dek terlalu marah, telur yang ada di dalam singki, dicampak ke lantai. Air mata Suhailah mengalir deras ke pipi. Hanya itu saja lauk terakhir yang ada di rumah. Tergamak lelaki itu membuang rezeki begitu saja.

"Lepas ni kau pandai-pandailah nak hidup. Kau cakap besar sangat kan."

Sempat kepala Ain ditunjal sebelum lelaki itu beredar. Hilang kelibat orang tua itu, Suhailah terduduk di lantai. Dia mengutip serpihan kulit telur yang ada di atas lantai.

Anak matanya mencari wajah si anak. Kasihan Ain. Tadi anaknya mengadu lapar. Dia sendiri kehabisan idea untuk mencari lauk yang lain.

"Ibu minta maaf. Hari ni... kita makan nasi dan pucuk ubi aje, ya."

"Ain dah tak lapar. Ibu jangan risau." Ain seka pipi ibunya dengan tapak tangan. Leher ibu dirangkul erat.

Bergegar bahu Suhailah menahan sebak. Sedih mengenangkan sikap suaminya yang berubah mendadak.


HAMPIR sesak nafas Ain saat melarikan diri dari dipukul oleh abah. Kali ini, Zaid pulang dalam keadaan mengamuk gara-gara kalah judi. Yang menjadi mangsa sudah tentulah dia dan ibu. Dia sempat melarikan diri sebaik sahaja disuruh oleh Suhailah.

Ain duduk melutut dan bersembunyi di kebun pisang. Perutnya sudah berbunyi. Sejak tengah hari lagi dia tak menjamah makanan. Terpaksalah dia bertahan buat beberapa jam sebelum pulang ke rumah.

Anak matanya terpandang buah pisang yang bergayut di atas kepalanya. Tertelan air liur Ain. Nampak sedap. Tangannya cuba meraih sebiji buah pisang itu.

"Hish... tak boleh ambil. Ibu kata... dosa." Walaupun Ain baru berusia lima tahun, dia tahu tentang baik dan buruk.

Bunyi ranting seperti dipijak membuatkan Ain hampir terjerit. Mustahil abah dapat mencarinya di sini. Ain berpaling ke belakang. Terkebil-kebil anak matanya melihat budak lelaki di hadapannya.

"Kau buat apa dekat sini?" Kasar Luqman bertanya.

Ain hanya berdiam diri. Malu untuk bercakap jujur. Tiba-tiba perut Ain berbunyi kuat. Bulat mata Ain.

Luqman masih terus memandangnya.

"Kau lapar?"

Ain mengangguk kecil. Tiba-tiba budak lelaki itu menarik sebiji buah pisang dari pokok dan diserahkan kepada Ain.

"Makan."

"Eh, tak boleh. Ni bukan pokok kita. Berdosa makan tak minta izin dulu." Petah Ain bercakap.

Luqman menarik tangan Ain. Buah pisang tadi diletakkan di atas tapak tangan Ain.

"Ni kebun ayah aku. Makan ajelah. Banyak bunyi pula."

Tercengang Ain. Tak sangka kebun pisang ini milik keluarga budak ini. Tanpa membuang masa, Ain lekas menjamah pisang di tangannya. Manis.

"Man, cepatlah. Kata nak mandi sungai." Panggil seorang budak lelaki yang sebaya dengan mereka.

"Tunggu aku, Rul."

Mandi sungai. Ain pandang ke arah langit. Langit sudah bertukar gelap. Nampak macam nak hujan.

"Kalau kau lapar lagi, ambil sendiri." Luqman sempat memberikan pesanan kepada Ain sebelum berlalu pergi.

Luqman sudah pun menghilangkan diri. Tak sempat Ain ucapkan terima kasih. Hampir setengah jam bersembunyi, Ain nekad pulang ke rumah. Bila-bila masa hari akan hujan.

Ain berlari laju apabila tubuhnya sudah dibasahi dengan air hujan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia teserempak dengan lelaki sebaya ayahnya. Lelaki itu tiba-tiba menghalangnya di tengah jalan.

"Eh, kenapa main hujan ni, Ain?" Latif menarik tangan Ain agar berteduh di bawah payung.

Dia kenal sangat dengan Ain. Anak kawan baiknya iaitu Zaid.

"Ain dari mana ni?" soal Latif. Habis basah lencun tubuh Ain.

Tersengih-sengih Ain. Tidak tahu alasan apa yang perlu diberikan kepada orang tua itu. Dia takut nak berceritakan tentang masalah keluarganya kepada sesiapa.

"Ikut pak cik balik. Sebelum tu, pak cik nak cari Man dulu. Manalah budak ni merayap?" Susah hati Latif. Dari tadi dia mencari kelibat anak tunggalnya. Sampai sekarang dia masih tak jumpa.

Tiba-tiba Ain teringat perbualan Luqman bersama rakannya.

"Tadi Ain ada jumpa dia. Dia bagi Ain makan pisang."

Terpinga-pinga orang tua itu.

"Lepas tu, Ain dengar dia nak mandi sungai."

"Ha!" Tercengang Latif.

Dia segera memegang tangan Ain supaya mengikutnya ke arah sungai. Menyirap darah orang tua itu dengan sikap nakal Luqman. Ain sekadar menurut. Setibanya di kawasan sungai, Luqman dan Azrul masih belum sedar kehadiran orang tua itu. Bukan main gembira lagi mereka mandi di dalam sungai.

"Muhammad Luqman!"

Terperanjat Luqman. Wajahnya berubah pucat. Azrul lekas naik ke darat. Begitu juga Luqman.

Orang tua itu capai ranting di atas tanah dan meluru ke arah Luqman. Tak sempat Luqman melarikan diri, tangannya sudah dipegang kemas. Berbirat belakang tubuh Luqman menerima pukulan dari Latif.

"Ampun, ayah. Jangan pukul, Man. Sakit!" Merayu-rayu Luqman. Azrul sudah berlari pulang ke rumah. Tergamam Ain melihat Luqman dipukul.

"Nasib baik ada budak Ain ni. Kalau tak, sampai ke sudah ayah tak tahu ni kerja Man selama ni." Jerkah Latif.

Luqman sudah teresak-esak. Matanya tajam memandang ke arah Ain. Kecut perut Ain ketika itu.

Habislah dia...



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro