BAB 4
JUALAN di Butik Puteri cawangan kedua mengalami sedikit masalah walaupun sudah empat bulan beroperasi. Sepatutnya Butik Puteri cawangan kedua dah ada pelanggan tetap tetapi ma kata jualan semakin jatuh. Jadi ma minta aku yang take over butik di sana buat sementara waktu tapi dalam pada masa yang sama butik cawangan pertama tempat aku bekerja ni pun kena maintain juga. Haila...
Dalam tiga minggu aku terpaksa berulang-alik dari butik cawangan pertama dan cawangan kedua. Tapi lepas tu aku bersyukur yang amat kerana ma akhirnya turun padang untuk membantu aku. Dia kata kesian pula apabila nampak anak dia yang seorang ni seperti tak cukup kaki dan tangan meronda ke sana, ke mari buat marketing plan sendiri.
Sepanjang tiga minggu ni tertunggu-tunggu juga kalau-kalau Adif menghubungi aku tapi ternyata penantianku hanyalah sia-sia. Jangankan menghubungi, batang hidung dia pun aku tak nampak. Agaknya betullah firasat aku hari tu yang dia tak berkenan kepadaku sejak pertama kali bertemu. Tapi kenapa ayat terakhir yang diucapkan dari bibirnya membawa sedikit harapan buatku? Takkan dia nak try test power pula, kan?
Sebenarnya bukan fikir sangat fasal Adif pun. Tapi fikir fasal siapa yang bakal menjadi teman hidupku ini. Perkahwinan bagiku kena berkekalan sehingga ke akhir hayat. Aku inginkan rumah tangga seperti ma dan pa, tidak pernah bergelora walaupun berkali-kali dihempas ribut dan taufan. Kalau pun bukan Adif orangnya tentu ada orang lain yang bakal menemani sepanjang hidupku nanti seperti pa menemani ma dengan setianya. Cuma entah kenapa sejak sehari dua ni aku teringat balik kata-kata terakhir Adif kepadaku tempoh hari. Mungkin dia main cakap aje lah kut, serius tu tidak.
'Jodoh tu Rian, dah ditetapkan semasa kita berada di dalam rahim ibu kita lagi. Jadi sekarang ni kena tunggu aje, sampai masanya insya-Allah kita akan berjumpa si jejaka yang sepatutnya menjadi pengikat hati.' Itu kata-kata Nur apabila aku luahkan isi hatiku kepadanya tentang Adif semalam.
Yalah, walaupun aku cuba rahsiakan benda ni pun, sampai bila aku boleh sembunyikan hal Adif ni daripada kawan-kawan rapatku, kan? Lagipun dia orang pantang tengok muka aku hilang arah sikit, terus main serkap jarang dan nampaknya kali ini serkap jarang dia orang mengena kat batang hidung aku.
'Kau dah jumpa dengan Mr. Right ke Rian?' Pertanyaan Mun tempoh hari membuatkan aku terkelu kaku sehingga membuahkan usikan demi usikan daripada mereka bertiga. Aku tak marah pun sebenarnya. Nak marah buat apa, bukannya boleh dapat apa-apa pun. Lagi pula lelaki itu bukannya sukakan aku pun.
"Rian, you tengah fikir fasal apa?" Teguran Khairi membuatkan aku kembali semula ke dunia realiti. Perlahan sebuah senyuman hadir terukir di hujung bibirku. Khairi yang sedang mengira sesuatu di dalam buku mengerling ke wajahku sebentar sebelum menyambung kerja-kerjanya.
"Teringatkan boyfriend, ya?" Dia bertanya secara berterus-terang. Aku tersentak sebentar sebelum menggelengkan kepala.
"I mana ada boyfriend la Khai. You pun tahu selama ni I kaku dengan lelaki." Aku menyengih. Khairi mencebik tanda tidak sehala pendapat denganku.
"Habis pakwe yang datang ke sini hari tu yang bawa you balik masa you sakit hari tu siapa?"
"Tu bukan boyfriend la Khai. Tu pekerja papa I aje la..." jawabku menafikan tekaan Khairi.
"I tetap tak percaya bila you kata you kaku dengan lelaki. Habis tu selama ni you ingat I perempuan ke apa? Jahat la you ni Rian..." ucap Khairi masih lagi tidak berpuas hati. Tawaku pecah spontan. Biar benar Khairi kecil hati fasal benda kecil macam tu aje?
"I kaku dengan lelaki bujang, lelaki yang dah kahwin macam you buat apa I nak malu pula?"
"You malu eh Rian?" Khairi mengerdipkan mata beberapa kali. Aku angkat kedua-dua bahu sebab tak tahu nak jawab apa lagi dah.
"Khai, I tanya you sesuatu boleh tak?" tanyaku perlahan. Khairi yang sedang menulis di atas buku terus meletakkan pen di dalam buku itu dan menutupnya. Perhatiannya 100 peratus ditumpukan kepada ayat yang bakal aku cakapkan.
"Tanya ajelah." Dia jawab segera.
"You rasa I ni teruk sangat ke? Tak kena dengan taste mana-mana lelaki ke?"
Beberapa minit kami terdiam tanpa suara. Hanya kedengaran sekali-sekala suara Khairi berdeham kecil sehingga menimbulkan cemas di hatiku.
"Teruk sangat ke I ni sampai you nak jawab pun teragak-agak?"
"You tak teruk la Rian. Dibandingkan dengan isteri I, you lagi cantik. Kaya pula tu. Kalau I ni single mesti I yang mengurat you dulu." Dia balas selamba sebelum meneruskan kerja-kerjanya. Aku menghela nafas dalam-dalam. Nak percaya cakap Khairi pun tak dapat juga sebab aku rasa dia jawab macam tu semata-mata menjaga hati aku ni aje.
"Lelaki nak I sebab I kaya ke Khai?"
"Eh! Tak ada la. You baik la Rian. Baik... sangat. Perempuan macam you mesti akan dapat lelaki yang terbaik. Don't worry la dear. I gerenti you dapat lelaki paling handsome macam I ni."
Aku dah bantai gelak apabila Khairi kelip-kelip mata tanda dia bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Gelak sebab dia perasan yang dia tu lelaki paling kacak.
Tapi apabila difikir-fikir terasa segan pula mengharapkan sesuatu daripada Adif. Kalau dia tak suka aku pun tak apa, mana tahu betul masin Khairi punya mulut, dapat jugalah aku merasa bersanding dengan lelaki yang terbaik dan lelaki paling handsome tu.
"Kenapa Rian? Boy hari tu tinggalkan you ke?"
Aku tersedak apabila aje Khairi menghabiskan soalannya.
"Ops! I'm so sorry... Terkejut ke?" Khairi ambilkan botol air di tepi meja dan membuka penutupnya sebelum menyerahkan kepadaku. Cepat-cepat aku teguk untuk meredakan batuk yang terasa perit.
"You ni Rian, kalau kena tinggal oleh seorang lelaki tak bermakna you tak laku tahu. Patutlah you tanya soalan pelik-pelik pada I rupa-rupanya you tengah frust sekarang ni ya..." Khairi menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali sambil melemparkan pandangan simpati kepadaku.
Aku rasa nak marah pun ada sebab Khairi main belasah aje cakap yang aku kena tinggal oleh lelaki tapi rasa nak gelak pun ada melihat muka Khairi yang innocent dan tersangat positif dengan apa yang dia fikirkan tu. Agaknya sebab Khairi ni beginilah, isteri dia terpikat walaupun agak lemah-lembut orangnya.
"Eh Rian..." Tegur Khairi apabila aje batuk aku dah reda. Sambil dia hulur tisu kat aku, dia pandang ke arah luar. Aku pun ambil tisu yang ada di tangan dia dan menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang menjadi perhatian Khairi. Tak ada sesiapa pun di luar sana.
"You tengok apa?" tanyaku memandang wajah Khairi semula.
"I think that boy still love you la. I ada nampak dia kat tepi tangga tu tadi tapi lepas tu dia pergi macam tu aje. Pelik. Macam mana I boleh tak tahu you dah ada pakwe padahal selama ni I dengan you selalu aje bersama-sama. Tahu-tahu aje you all dah putus dah..." Khairi mengerutkan kening.
Aku pun toleh ke belakang semula dengan riak wajah kosong.
"Siapa Khai?"
"Boy yang datang tolong hantar you ke klinik hari tu masa you sakit perut... Ala, bekas pakwe you la." Khairi menekankan suaranya. Aku tercengang tidak mengerti.
"Dia jalan aje kut kat sini. Sini kan banyak kedai lain. I dan dia mana pernah bercinta la Khai, you aje yang memandai main teka-teka tadi, bukan I yang cakap pun kan?"
"La ya ke? I ingatkan betullah bekas pakwe you. Habis kenapa dia berdiri kat tepi sana tu lama-lama, dah la dia tengok ke sini, Rian. Ke dia memang ada hati pada you?" Soalan Khairi membuat aku terbisu sebentar. Mataku terarah ke tempat yang ditunjukkan oleh Khairi.
"You tak salah orang ke?"
"I ingatlah sebab dia tu smart. Handsome macam I mana boleh I lupa..." Khairi tersengih lagi sambil memuji diri sendiri.
Aku senyum segaris kerana tidak berminat untuk membalas gurauan Khairi. Aku lebih berminat dengan kenapa Adif ada di situ sedangkan kami tidak berjanji pun untuk bertemu. Lebih-lebih lagi apabila mengingati yang Adif hanya berdiri di hujung sana tanpa menegurku di sini.
Agaknya betullah yang dia sedang tunggu orang lain atau ada hal yang perlu diselesaikan dan secara kebetulan aje dia memandang ke arah sini. Lagi pula Khairi ni tak boleh percaya juga. Mana tahu dia main cakap aje. Kononnya lama Adif berdiri di sana tapi sebenarnya seminit dua aje pun.
"You jangan buat muka suspicious macam tu, Rian. I bergurau aje tadi. Ni dah tamat masa rehat, jom tolong I kira stok baju..."
Aku menganggukkan kepala dan mengikuti langkahnya. Tak sampai beberapa saat langkah Khairi termati. Dia menggaru-garu belakang tengkuknya perlahan sebelum melemparkan pandangan ke arahku.
"Kalau dia bukan bekas pakwe atau pakwe you, kenapa dia tengok you dari jauh macam tu? I mean, kenapa tak masuk aje ke kedai kalau nak berkawan dengan you?" Khairi naikkan sebelah keningnya.
Aku menghela nafas.
Kalau Khairi rasa pelik, aku lagilah rasa pelik. Aku tak ada jawapan untuk soalan Khairi selain angkat bahu aje dan terus buat kerja. Cukuplah tu fikir pasal lelaki.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro