BAB 16
HARI minggu rutin biasa belum lagi ditinggalkan. Setiap sebulan akan ada pertemuan kami berempat bersama. Aku fikir persahabatan kami tidak akan kunjung noktahnya. Dari zaman universiti sehingga sekarang kami masih lagi berempat. Aku ada mereka dan mereka ada aku.
Melihat Nur yang sedang masak membuatkan hatiku tertanya-tanya siapa yang ada di hati temanku yang seorang ni. Antara kami berempat, hanya dia yang agak pendiam dan perahsia.
"Nur," tegur Mun sewaktu mengeluarkan dadih yang berada di peti sejuk ke atas meja. Mun menghulur dadih untuk aku dan Nur, kemudian mengambilkan kami sudu kecil.
"Apa?" Nur menoleh ke arah kami bertiga yang sedang duduk menikmati dadih yang dibuat oleh Rina tadi.
"Kau bila lagi?" Soalan Mun membuahkan senyuman di bibirku.
"Bila apa?"
"Bila kau nak kahwin." Spontan aku menjawab persoalan Nur itu. Aku tersengih bila melihat mata Nur yang membulat luas. Kami bertiga serentak ketawa.
"Tunggu Rian kahwin dulu."
"Calon ada tak?" tanyaku lagi. Nur menggeleng kepala sambil tersenyum kecil.
"Sejak bila kau mula risau fasal aku dah ada calon ke tak, Rian? Mentang-mentang dah bertunang..."
Aku tersengih menampakkan barisan gigi. Sungguh tidak menyangka kata-kata itu yang bakal keluar dari bibir Nur.
"Tapi tunang kau handsomelah Rian. Serius cakap ni! Ya Allah terkejut gila aku tengok muka dia hari tu. Kalah model. Patutlah kau gatal merenyam asal bercerita pasal dia. Nasib baik aku bakal nak bersuami," gurau Rina yang akan berkahwin dalam waktu terdekat ni.
Aku mencebik. Aku pula dituduh gatal merenyam! Jahat betul mulut. Nasib aje Adif tak ada kat sini. Kalau tak, memang aku malu dapat kawan-kawan tak reti sopan santun bertatasusila macam dia orang ni.
"Aku pun mengaku dia kacak. Aku ingatkan mata Adif tu betul-betul sepet macam Cina, rupa-rupanya boleh tahan tajam juga." Kali ini Nur yang memuji Adif. Aku sekadar tersengih kelat sebab tak tahu nak cakap apa. Kalau betullah Adif tu kacak di mata dia orang, kira aku ni dengan Adif tu bagai handsome and the beast kut.
"Pandai betul parent kau carikan bakal suami ya? Nur yang tak pernah puji lelaki pun puji Adif, Rian. Baik hati-hati dengan perempuan-perempuan lain. Merana kahwin dengan orang handsome ni, ramai peminat!" Rina gelak. Nur pun gelak. Mun aje yang tersengih lebar sambil memandang wajahku lama.
"Bukan bahagia ke dapat bakal suami handsome, Rina?" Tanya Mun tiba-tiba.
Rina cepat aje menggelengkan kepalanya. "Perempuan yang kahwin dengan lelaki handsome memang kena banyak menangis. Satu sakit kepala, satu lagi sakit hati. Tunang aku yang biasa-biasa tu pun banyak juga yang mengayat, buat aku sakit kepala aje..."
"Cemburu lah tu," balas Mun sambil ketawa. "Tapi tak sangka aku yang kawan-kawan kita sorang demi sorang melangkah ke alam rumah tangga," ucap Mun lambat-lambat.
Agaknya dia sedih kut sebab lepas ni mesti semakin susah nak cari masa free yang sama untuk bersama.
"Lumrah alam Mun. Kalau tak kahwin tak ada anak. Tak ada anak, sunyi bila kita dah tua nanti," ucap Rina lembut.
"Kau dah jumpa keluarga Adif ke, Rian?"
Aku menggeleng menjawab pertanyaan Rina.
"Serius?" Dahi Nur sudah berkerut seribu. Aku tersengih kecil sambil tunjuk muka tak berdosa.
Nur mengeluh kecil sambil menyuapkan dadih ke mulutnya. "Kena kenal-kenal dulu sebab tak lama lagi kau dengan dia menikah."
Aku pun ikut menyuap dadih perisa jagung tu ke mulut sambil mengangguk kecil. Tak lama lagi ke tarikh nikah kami? Tapi aku rasa sehari tu seperti panjang sahaja tempohnya berlalu. Dua minggu ini terasa bagaikan dua bulan. Nak tunggu dua bulan tu tiba-tiba aku rasa seperti menunggu empat bulan yang akan datang. Ke... memang orang berkahwin akan rasa macam ni?
"I'M in front of your house, Adif." Aku menelefon sambil memasukkan kad pintar yang diberikan oleh Adif ke dalam poket. Sekadar memberitahu dia sekiranya dia terlupa dengan rancanganku semalam yang ingin pergi ke rumah dia untuk mengenali dia dengan lebih dekat.
Maksud aku bukanlah untuk mengenali diri dia, tapi lebih kepada mengenali keluarga dia. Adif kata dia ada empat orang keluarga iaitu dia, adik dia dan mak ayah dia. Kalau aku menunggu dia memperkenalkan aku kepada keluarga dia sampai masa nikah pun aku tak akan tahu.
"Masuklah."
Aku mengerutkan dahi. Tu aje ayat dia? Tak nak jemput aku yang terpacak berdiri di luar kondominium dia ni ke? Dahlah sekarang ni aku menggelabah cicak, sampai hati betul dia tak concern kat aku. Padanlah muka kau Rian, siapa suruh beria-ia datang ke rumah Adif tanpa jemputan...
"Awak tak bukakan pintu untuk saya ke, Adif?" soalku membuang rasa malu yang bertamu. Kalau dia suruh aku buka pintu ni sendiri memang lari dari kebiasaanlah Adif ni. Mana pernah orang pergi ke rumah orang lain sebagai tetamu datang disuruh membuka pintu sendiri kecualilah Adif dah jadi suami, itu lain cerita.
"Masuk je. Password rumah 220410."
Aku telan air liur seolah-olah tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Kembang sedikit hati bila Adif mempercayaiku. Tapi yang peliknya, kenapa dia senang aje memberi kata laluan rumahnya kepadaku?
"Saya masuk ni..."
"Hmm..."
Dia memutuskan talian. Aku terkedu di depan rumahnya. Terkebil-kebil kerana tidak tahu hendak berbuat apa.
Masuk rumah dia ni nanti terus je salam kat mak dan ayah Adif, terus je cakap yang aku ni bakal isteri Adif dan datang ke sini untuk berkenal-kenalan dengan keluarga mentua?
Apa nak jadi, jadilah! Aku menggumam di dalam hati sambil menekan satu per satu kata laluan yang disebutkan oleh Adif tadi.
Apabila bunyi klik kedengaran, perlahan-lahan aku membuka pintu rumah dengan tangan yang agak terketar. Aku membuka pintu dengan lebih luas lagi. Suasana rumah ini sunyi sahaja dan aku menapak masuk ke dalam rumah sehingga tiba di tempat letak kasut. Sandal kubuka lambat-lambat dan bergegas aku memasukkan kakiku di selipar rumah yang tersedia di atas rak.
"Assalamualaikum..."
Salamku tidak berjawab. Aku datang ke sini ni memang tak dialu-alukan agaknya. Masuk sahaja ke dalam rumah, kulihat sebuah ruang tamu yang agak luas walaupun tidak seluas rumah pa dan ma. Dapur boleh dilihat melalui kaca separuh yang dijadikan dinding pemisah antara ruang tamu dan dapur. Di bahagian membelakangi sofa terdapat pintu-pintu sebanyak tiga buah, kukira itu bilik-bilik tetamu dan bilik tidur Adif.
Apabila diperhati benar-benar, terasa rumahnya ini bukan untuk rumah keluarga kerana hiasan dalamannya yang agak kosong. Ke... Adif memang tinggal seorang diri dalam rumah ni? Tiba-tiba sahaja aku rasa tidak selesa. Bagaimana kalau betul Adif duduk rumah ni seorang diri? Sepatutnya dari awal aku bertanya mengenai keluarga dia. Di mana mak dan ayah dia tinggal... Rasa sangsi mula menguasai hatiku.
"Adif...Adif!" Suaraku sedikit nyaring tapi tenggelam-timbul memanggil namanya. Sudahnya tidak berjawab lagi. Aku menekan satu per satu mesej ringkas untuk Adif dengan perasaan bercampur-baur.
Awak kat mana? Kalau awak tak ada di rumah, saya balik dulu.
Mesejku juga tidak berbalas. Aku mengeluh nafas panjang. Tak ada rezekilah ni...
Kuhalakan kakiku ke muka pintu semula. Sewaktu aku ingin membuka pintu rumah, pintu lebih cepat terbuka dari luar. Kerana terperanjat, aku terus menjauhkan diri dari pintu tersebut. Dan tidak sampai sesaat, aku melihat Adif yang lengkap berpakaian kerja di muka pintu. Dia merenung wajahku tajam sehingga pandanganku menjadi kabur kerana cahaya dari luar pintu memerangkap dirinya dalam kesamaran.
"Awak dah sampai?"
Soalan Adif aku jawab dengan anggukan. Ingatkan dia ada dalam rumah ni, rupanya dia di luar. Padan suasana rumah ni senyap aje.
"Duduklah," ucapnya selamba sambil membuka kasutnya yang tersarung di kaki. Briefcase dia letakkan di atas rak kasut sebelum dia memakai selipar rumah sambil tersenyum ke arahku.
"Adif... Kalau tak ada orang kat rumah ni, err... saya balik dulu."
"Ada orang. Cepatlah masuk."
"Maksud saya ada orang lain lagi kat rumah ni selain kita berdua?"
Adif mengambil briefcasenya lalu mendekati diriku.
"Awak takut berdua dengan saya?"
Cepat-cepat aku menggelengkan kepala, risau kalau-kalau dia salah faham. Aku bukan takutkan dia, tapi aku takutkan diriku sendiri. Perasaan takut itu normal bagi seorang gadis seperti aku yang tidak terbiasa berdua-duaan dengan seorang lelaki yang bukan mahram di dalam sebuah rumah. Perasaan itu datang kerana aku sudah terbayang di ruang minda cerita-cerita tangkap basah yang mengundang bahana malu. Elok-elok bertunang dua minggu lagi hendak bernikah tiba-tiba kena tangkap basah. Kan rugi je kahwin free!
"Awak takut kena tangkap basah dengan saya?" Soalan Adif berbaur sinis. Kali ini tebakannya mengena tepat ke mukaku. Aku hanya mampu tersengih kecil.
"Ada housekeeper kat dalam tu."
Dia semakin mendekatiku membuatkan aku berundur beberapa langkah.
"Pembantu rumah?" tanyaku pula. Tadi aku beri salam tak ada pun orang jawab, takkanlah pembantu rumah dia tidur kut?
"Ya."
"Family awak?"
"Saya ada family ke?"
Aku terkedu mendengar jawapan Adif itu. Seperti selalu, soalan berbalas soalan. Adif berlalu masuk ke ruang tamu meninggalkan diriku yang terpinga-pinga.
"Adif, mak dan ayah awak?"
"Papa dan mama awak tak beritahu ke yang saya telah kehilangan ayah dan mak saya lama dah, beberapa tahun lepas?" Adif membuka kot dan tali lehernya selamba. Aku pamer muka terkejut.
"Awak tak beritahu saya pun!" Entahkan terkejut entah kecewa, dua-dua sekali bercampur jadi satu. Terkilan ya juga.
"Saya terlupa agaknya." Dia jawab selamba. Aku tercengang sudahnya.
"Kenapa boleh terlupa? Awak pun tahu hari tu saya kata nak ke rumah awak ni semata-mata nak kenal dengan family awak, kan?"
"Awak tak tanya yang family saya masih ada ke tidak. Awak pernah ke rasa tak ada parents, Rian? Kalau boleh saya malas nak sebar kat orang lain yang mak ayah saya dah tak ada." Dia cakap dengan nada muak.
Aku tertunduk menekur lantai, sedar kesilapan tu sedikit sebanyak berpunca daripada pihakku juga.
"Saya masuk ke bilik, awak duduklah dulu tunggu di sini."
"Saya tak nampak pun pembantu rumah awak?"
"Dia dalam bilik dialah kut."
Belum sempat aku bertanya apa-apa, Adif sudah memasuki biliknya. Aku mengeluh kecil kerana pelbagai soalan yang bermain di mindaku belum terjawab. Dia tinggal dengan pembantu rumah dia ke? Pembantu rumah dia perempuan ke lelaki?
"Assalamualaikum..."
Aku menoleh segera. Kelihatan gadis dalam lingkungan 20-an muncul menghampiriku.
"Waalaikumussalam," jawabku pendek. Muda betul helper Adif ni? Tidak dapat tidak, terlintas juga perkara yang bukan-bukan dalam kepala. Adif dengan dia... ada apa-apa ke?
"Tunang abang Adif ya?" tanya gadis muda itu lagi. Aku mengangguk kecil. Entah riak apa yang tertera di wajahku tetapi aku benar-benar rasa tidak selesa di ruangan ini. Tadinya terasa luas, sekarang terasa sempit sehingga membuat dadaku sesak untuk bernafas. Simptom-simptom orang cemburulah ni. Siapalah yang tak cemburu apabila tahu tunang sendiri ada housekeeper cantik macam ni?
"Saya adik sepupu Abang Adif. Merangkap pembantu rumah dia." Gadis itu menghulurkan tangannya kepadaku. Walaupun dia sudah menerangkan kedudukannya tetapi mengenangkan kata-kata Adif mungkin pembantu rumahnya berada di dalam bilik, membawa makna Adif memang menyediakan bilik untuk gadis ini. Aku tidak mampu mengusir perasaan gusarku. Kenapa lelaki dewasa seperti Adif sediakan bilik tidur untuk gadis semuda ini?
Bulu romaku meremang.
Usai menyambut tangannya bersalaman, gadis itu segera duduk di sebelah sofa tempat di mana aku duduk sekarang ni.
"Kakak stay sini sampai pukul berapa? Sebab Abang Adif tadi tak kasi saya balik rumah sebab nak suruh saya temankan dia dengan kakak sekejap..."
Aku terkebil-kebil tanpa bicara. Terasa seperti hendak tertawa apabila saja otakku mula dapat berfungsi normal semula. Sia-sia aje aku runsing sendiri jika gadis ini sebenarnya belum pulang semata-mata hendak menemani aku dan Adif di rumah ini.
"Tak lama, nama adik?"
"Sha... Panggil saja Sha."
"Adik sepupu Abang Adif?"
"Ya."
"Dah lama kerja di sini?"
"Sementara menunggu keputusan SPM keluar. Abang Adif kata boleh kerja di sini sementara waktu. Kakak tak perasan ke Sha ada masa kakak dan Abang Adif bertunang hari tu? Mak Sha yang sarungkan cincin di jari kakak."
Oh! Macam tu... Bertuah punya Adif. Rupanya wanita yang menyarungkan cincin di jariku ketika itu adalah ibu saudaranya. Tak faham kenapa terlalu banyak miscommunication antara kami berdua. Seorang segan nak bertanya, seorang pula tidak bercerita.
"Maaf, kakak ni pelupa sedikit orangnya." Aku gelak menutup kesalahan sendiri. Kenapalah aku boleh tak ingat orang-orang yang penting dalam hidup Adif?
Wajah mak Sha pun aku dah lupa-lupa ingat.
"Abang Adif ke mana, kak?"
"Dalam bilik dia."
Sha tersengih lebar. "Untunglah kakak dapat Abang Adif. Dari dulu lagi Sha fikir siapalah yang bakal menjadi isteri Abang Adif ni. Kacak tu kacak tapi sibuk mengalahkan perdana menteri. Ingatkan memang tak akan ada awek sampai bila-bila, tup-tup minta mak Sha hantar rombongan merisik dan bertunang," komen Sha panjang lebar. Aku tersenyum kecil.
"Dia rapat ya dengan family Sha?"
Sha seolah-olah berfikir sebentar sebelum menggeleng kepala. "Langsung tidak. Abang Adif selesa hidup sorang diri. Dia jarang bercampur dengan kami. Eh, kakak dah makan ke? Sha dah masak untuk Abang Adif dengan kakak tadi. Abang Adif suruh masak sedap-sedap." Sha macam tak nak cerita lebih-lebih fasal keluarga dia orang. Aku faham sesetengah hal tak sedap untuk diceritakan lebih-lebih lagi aku ni yang masih berpangkat orang luar.
"Nanti kita makan dengan Abang Adif sekali," ucapku lembut. Sha mengangguk kecil.
"Sha ke belakang dulu ya, nak sediakan minum petang."
"Kakak tolong Sha."
"Eh, tak payahlah. Sha boleh buat sendiri senang aje pun. Kakak duduklah dulu."
Aku termangu di ruang tamu keseorangan. Baru aje nak tanya banyak-banyak fasal bakal suami tapi adik sepupu Adif pun sama sahaja tahap kemisteriannya.
"Dah jumpa housekeeper saya ke?" Adif menyapa setelah 10 minit aku seorang diri duduk di ruang tamu tu. Sha pun satu, dia kata nak sediakan minum petang tapi tengok-tengok dia dah lenyap ke bilik belakang. Teringin juga hendak menjenguk tapi nanti apa yang mereka akan kata apabila aku ni sebagai tetamu jadi seberani itu?
"Adik sepupu awak ke?" Aku tanya separuh sinikal. Yalah orang lain pun ada pembantu rumah tapi setakat Sha tu, tak payah la kata dia housekeeper. Baik dia gelar adik sepupu dia sahaja.
Adif tersengih kecil bila aku cakap macam tu. Selamba Adif duduk di hadapanku sambil meletakkan satu plastik di tepi meja tamu. Baju dia pun sudah bertukar kepada yang lebih ringkas dan santai dengan T-shirt berlengan pendek dan seluar panjang. Pertama kali aku lihat dia berpakaian seperti itu. Kasual yang nampak lain auranya. Nak kata mesra tu tidaklah tetapi apabila dia begini aku jadi lebih selesa.
"Awak ke sini memang nak kenal dengan family saya, ya?"
Aku mengangguk kecil. Dia terdiam tapi tak lama. Dia keluarkan satu set papan catur dalam plastik di atas meja tadi.
"Keluarga saya yang terdekat dah tak ada. Sia-sia aje awak datang," gumam Adif. Aku mengangkat kening sebelah, tak faham dengan maksud kata-kata dia. Keluarga dia dah tak ada? Bermakna Adif memang sebatang kara ke?
"Kalau keluarga awak tak ada pun tak apa. Adik sepupu awak ada." Main belasah aje aku cakap dan tiba-tiba aku takut dia berkecil hati dengan apa yang keluar dari mulut aku tadi.
"Kalau keluarga saya ada, bolehlah awak berkenalan dengan mereka." Adif tersenyum nipis. Aku mengangguk. Agaknya maksud Adif, keluarga dia tinggal jauh dari sini. Tak ada masalah, aku boleh aje travel semata-mata nak bertemu dan berkenalan dengan mereka.
"Mereka jauh ke?"
"Kalau dia orang masih ada." Adif menyoroti wajahku sebelum sempat aku mengatakan kesudianku untuk pergi menjenguk keluarganya.
Kemudian, aku perhati Adif yang sedang susun satu per satu buah catur di papan catur. Dia nak main dengan Sha ke benda ni?
"Hari tu kan awak kata awak ada seorang adik. Adik awak kat mana?"
Adif membuang pandang ke wajahku sekilas sebelum kembali menyusun caturnya.
"Dia tak tinggal dengan saya."
"Jadi, bila saya boleh bertemu dengan dia?"
Tangan Adif terhenti daripada menyusun buah berwarna putih selepas siap menyusun buah-buah catur berwarna hitam itu.
"Awak nak jumpa dia?"
Aku mengangkat bahu. "Saya berbesar hati berkenalan dengan dia, Adif. I'm so sorry about your parents. Tak tahu yang mereka dah tak ada. Apalah saya ni, kan? Nak jadi isteri awak tapi fasal awak satu pun saya tak tahu." Aku mengeluh kesal. Sungguh! Aku bercakap ni ikhlas dari hati.
Adif meletakkan buah yang paling tinggi berwarna putih. Buah catur yang paling terakhir untuk melengkapkan susunan catur-catur itu.
"Awak akan tahu tentang keluarga saya, Rian. Nanti bila dah selesai segalanya, awak akan bertemu dengan adik saya. Tapi bukan sekarang."
Spontan keningku bertaut. Hairan dengan kata-kata Adif. "Tak boleh jumpa sekarang?"
Adif tersenyum tipis. "Dia tak ada di sini."
"At least saya tahu nama dia..."
"Nama dia, Adelia."
Adelia... bergema nama itu di seluruh jiwaku. Namanya sahaja membuat diriku terpegun, apatah lagi orangnya.
"Mesti cantik, kan?" Aku merenung redup wajah Adif.
"Dia cantik, tapi dia tak seperti awak."
"Maksud awak?" Tiba-tiba aku risau kalau-kalau Adif akan kata adik dia lagi alim daripada aku, lagi baik dan lagi cantik. Kalau dia kata lagi cantik tak mengapalah sebab aku pun memang dah sedia maklum yang banyak lagi wanita di dunia ni lebih cantik daripadaku, tapi kalau dia kata adik dia jauh lebih baik daripada aku yang jahil segala segi, bagaimana?
Aduh Rian, belum apa-apa dah berburuk sangka. Eloklah kalau dapat adik ipar yang baik, jangan yang kejam macam kakak tiri Bawang Merah sudah.
"Dia cantik tapi dia nakal. Tak macam awak."
Aku terkebil-kebil menanti kata-kata Adif yang seterusnya.
"Kalaulah dia macam awak, senang sikit saya nak jaga dia."
Aku termangu-mangu melihat wajah suram Adif. Mungkin ada sesuatu yang berlaku kepada adiknya yang menyebabkan dia nampak sedih begini.
"Biasalah nakal tu. Saya pun nakal juga, cuma awak je yang belum kenal sepenuhnya," ucapku merendah diri.
Adif tersenyum cuma. Papan catur diunjukkan ke arahku. Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. Gila apa dia nak suruh aku main benda alah ni? Aku mana reti bermain catur. Kalau setakat main dam tahulah. Tapi itu pun sebab terpaksa main kerana kawan-kawanku dulu hantu dam. Kalau tak memang aku tak nak main benda-benda ni.
"Saya tak reti main, awak." Aku menolak ajakannya.
"Yang ni nama dia bidak. Tentera-tentera kecil kerajaan kita." Dia terangkan kepadaku walaupun aku terang-terangan menolak daripada permainan ini.
"Yang ni castle, horse, queen..." Dia terang satu per satu membuatkan aku termangu. Sebenarnya aku tak faham kenapa dia perlu menerangkan kepadaku permainan ni.
"Saya tak nak mainlah, Adif."
"Awak nak buat apa kat sini kalau tak main?"
Aku termangu sekali lagi mendengar soalan dia yang agak sinikal itu.
"Berbual."
"Main sambil berbual, kan boleh?"
Aku diamkan diri mendengar kata-kata dia. Tak fasal-fasal jadi gaduh pula kalau aku berkeras tak mahu bermain catur.
"Awak yang warna putih, saya yang warna hitam. Sekarang awak boleh mula gerakkan buah awak."
"Saya gerakkan bidak ni?"
"Knight pun boleh gerakkan dulu."
"Ha?" Dahi aku sudah berkerut hairan.
"Maksud saya horse. Benda ni boleh bergerak bentuk L macam ni." Dia angkat kuda dia tu dan diletakkan di tepi buah tentera kecil yang dia namakan bidak tadi di sebelah kanan berbentuk L. Banyak betul nama sebiji benda ni.
"Faham?"
Aku mengangguk dan dia meletakkan kembali buahnya di tempat asal. "Boleh melangkah yang lain ke?"
"Knight je yang boleh melangkah, yang lain tak boleh," terang Adif serius. Risau pula aku apabila dia dah tunjuk riak begini.
"Boleh gerak mana-mana buah ni?" soalku teragak-agak sambil menunjukkan bidak.
"Dua langkah ke depan atau selangkah saja untuk gerakan pertama, lepas tu kena langkah sekali sahaja untuk yang seterusnya," ucap Adif tanpa memandang wajahku. Aku sudah mula tersengih. Rasa nak je cakap kat dia yang sedang bermain sekarang ni bukan pemain profesional, jadi tak usahlah buat muka serius macam tu.
"Saya dah gerak." Aku beritahu dia dengan muka bersungguh-sungguh. Dia pun gerak bidak yang terletak di depan king dia dua langkah ke hadapan.
Aku termangu-mangu seketika sebelum menggerakkan bidak yang berada di tepi sekali ke hadapan dua langkah. Lepas tu dia cepat saja menghantar bishops ke tepi. Aku ternganga pandang wajah Adif. Berani betul dia serang kawasan aku dengan satu buah aje. Mentang-mentang aku tak pernah main.
Apabila aku gerak lagi buah, Adif terus gerak queen dia. Aku dah rasa tak mahu main lagi bila dia gerak dengan muka yakin macam tu. Tak boleh ke dia kasi chance kat aku yang baru belajar bermain ni?
"Yang ni apa?" soalku menunjukkan buah paling tinggi dan ada tanda operasi tambah tu.
"Yang ini king. Yang ini queen. Tugas king untuk memastikan game terus berjalan dan queen bertanggungjawab untuk melindungi king walau apa pun yang terjadi."
Aku mengangguk kecil mendengar penjelasan panjang lebar Adif. Punyalah minat dia dengan chess sampai muka aku pun dia langsung tak pandang. Tak apa Rian, sekurang-kurangnya bertambah satu poin untuk Rian Aulia sebab dah tahu hobi bakal suami sendiri.
"Kalau queen mati, king hidup lagi, tapi kalau king mati, queen pun mati," ucap Adif sambil merenung tajam ke wajahku. Aku yang dari tadi duk tersengih-sengih cepat-cepat mempamerkan wajah serius.
"Agaknya kalau kita dah jadi suami isteri, awak jadi king dan saya jadi queen kan?" Aku cuba berlawak untuk mengurangkan perasaan kekok apabila dia masih merenung wajahku dengan tajam. Tapi Adif langsung tak layan malah perhatiannya kembali kepada papan catur semula.
"Sebab kumpulan penyerang ni ada jadi kita akan protect kawasan kita dengan sungguh-sungguh, nak menang awal matikan queen kumpulan lawan. Macam saya, saya akan serang queen awak supaya saya cepat menang dalam game ni."
Adif mengambil queen dia yang sudah berada di petak hadapan dan menolak bidak milikku sehingga jatuh tergolek di papan catur.
"Check mate!"
Aku ternganga tak percaya. Baru tiga sahaja pergerakan dia aku dah kena check mate? Biar betul!
"Awak tak bagi tahu pun queen awak serang saya?"
Adif buat smirk dia tu lagi. Lagi-lagi sinis membuat hatiku sedikit berbara namun aku sabarkan juga hati kerana aku tahu ini hanya satu permainan, tidak lebih daripada hanya sebuah permainan.
"Bila kita nak serang kumpulan lawan, kita tak akan bagi tahu dia tentang strategi kita, Rian."
Aku pandang wajah dia, tak puas hati. Aku baru aje belajar main catur takkanlah dia terus buat king aku mati?
"Jadi saya kalahlah ni?" Aku tanya kat dia lambat-lambat.
"Awak tak kalah selagi saya belum check mate, kan king awak. Tapi awak dah kena check mate, kan?"
"Tak boleh ke queen dan king kita berdamai."
Adif menyoroti wajah aku lama. Lambat-lambat dia menggeleng kepala.
"Two kingdom will never work together. You hurt me so I hurt you back, Rian."
Apa pula yang sedang dia mengarut ni? Aku tenung papan catur yang ada di depanku. Banyak lagi pemain negara aku tapi saudara king tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Sampai hati betul Adif buli macam aku ni lawan seteru dia pula.
"Tapi awak yang suruh saya mula gerakkan tentera sebab tu saya gerak."
"Kalau tak kita mesti tak bermain permainan ni, kan Rian Aulia?"
Pertama kali dia sebut nama penuhku. Pertama kali juga aku rasa hatiku melayang-layang terputus daripada genggaman. Aku tidak peduli lagi permainan bodoh ni sebab aku bermain benda ni pun kerana dia suka catur.
Aku pandang wajah dia dengan pandangan redup. "Kita makan nak?"
"Saya tak mahu kalah, Rian. We need to finish this game first."
Cara dia cakap tu macam ada maksud tersirat aje. Tapi Adif memang Adif, selagi tak misteri selagi tu lah bukan dia. Aku ni je yang agak malang dapat bakal suami yang misterinya mengalahkan misteri nusantara. Tak boleh ke kalau dia cakap terang-terang apa yang ada di hati dia tu? Sebab aku tak boleh nak baca hati dia sedikit pun.
"Awak dah check mate kan saya, nak teruskan permainan apa lagi? Saya dah kalah dah pun."
"Gerakkan satu lagi buah awak."
Aku pun gerak cincai aje. Semakin sebal pula melayan Adif yang beria-ia sedangkan dia tahu aku ni tak reti main chess.
Dan dengan itu, dia pun tendang king aku dengan queen dia sampai terpelanting jatuh ke lantai. Dia tersenyum nakal sambil mengangkat keningnya. Kenapa hati aku ni tiba-tiba jadi sakit apabila dia buat macam tu?
"Awak bencikan saya, ke?" Aku bertanya dengan nafas yang tertahan-tahan. Dia memandang diriku seakan-akan terkejut. Wajiblah dia terkejut sebab aku sekarang ni sedang bengang dan sakit hati. King yang tergolek di bawah kaki, aku ambil dan letak kat depan dia.
"Rian, I'm so sorry. Saya tak berniat hendak kecilkan hati awak."
"Awak bencikan saya, ke? Awak tak suka saya?" Sekali lagi aku bertanya.
"Saya kalau main chess memang macam ni. Jadi agak menakutkan. Maafkan saya." Selepas itu dia kemaskan papan catur masuk ke dalam kotak dan beg plastik tadi.
Tahu pula dia yang dia agak menakutkan diriku. Gayanya seperti dia betul-betul bencikan aku.
Tapi terkilan juga hati ini kerana dia langsung tak menjawab persoalanku sebentar tadi. Susah sangat ke untuk menidakkan kata-kataku dengan ayat 'saya tak bencikan awak'? Entah kenapa hatiku sedikit terusik namun cepat-cepat aku menghalau rasa sensitif yang mula bertandang di celah-celah hati. Belum lagi berkahwin sudah pandai merajuk-rajuk, tak malu ke Rian? Aku memarahi diriku sendiri.
"Nak main kad poker tak?"
Keningku bertaut serta-merta. "Awak nak main semua jenis games dengan saya ke hari ni?" sindirku kepadanya. Adif ketawa.
"Dah lama tak ada orang yang sudi temankan saya bermain."
"Jadi awak nak saya belajar supaya boleh temankan awak main chess dengan kad poker? Saya tak tahu pun awak reti main judi?"
"Suka-suka aje. Tapi tak bertaruh. Permainan otak dan strategi ni perlu untuk kita, Rian. Supaya kita tak kena trick oleh orang lain. Hidup ni tak mudah. Hati orang pun tak mudah. Awak tak pernah terfikir ke saya nak mempergunakan diri awak?"
"Baik saya main sudoku aje kalau macam tu," ucapku tanpa berfikir panjang.
Tawa Adif terlepas. "Kalau awak sudi belajar, apa salahnya. Untuk kebaikan diri awak sendiri juga. Bila nanti dah jadi suami isteri, bolehlah tiap hari kita buka deck untuk mengisi masa lapang."
Aku mencemik muka. Tak terbayang dalam kepala setiap hari-hari bermain kad poker dan chess dengan Adif.
Melihat reaksiku, Adif sembunyikan senyuman. "Saya bergurau aje. Jomlah makan, nanti lambat pula Sha balik. Selalunya dia pulang pukul empat petang, sebelum saya balik rumah lagi."
Adif terus pergi meninggalkanku keseorangan di ruang tamu. Aku perhati langkahnya sehingga menghilang dari pandangan mata. Kata-kata terakhir Adif, serba sedikit merungkaikan keraguan dan fikiran jahatku ke padanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro