Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13


SELEPAS menonton wayang, aku lihat Adif sudah keletihan. Mungkin kerja-kerja di pejabat menyebabkan dia nampak penat. Lainlah aku ni setakat kerja rutin di butik yang biasa-biasa saja. Penat juga tapi tak adalah buat aku sampai terlelap masa tengok wayang tadi. Dia yang beria nak tonton movie cinta, akhirnya dia juga yang tumbang awal di kerusi apabila keluar ayat-ayat cinta dari mulut hero filem Thai tadi.

"Penat sangat ke?" soalku ketika sudah berada di petak tempat letak kereta. Adif mengangkat bahu sambil memberikanku blazer yang dia buka di panggung wayang tadi.

"Kenapa?"

"Pakailah."

"Err... Saya tak sejuk pun," ujarku tidak menyambut hulurannya. Kalau aku terima juga blazer dia tu, gerenti otak aku dah senget sebelah. Berbulan dulu, guna blazer dia masa sedang sakit perut pun aku dah gila bayang nak-nak lagi masa sihat ni. Ingat ni macam cerita cinta romantik Thai tadi ke?

"Ambil je." Dia menyangkutkan blazernya di bahuku. Aku terpempan sesaat kerana terkejut dengan tindakannya. Tiba-tiba sahaja buat tindakan di luar dugaan. Nasib baik dia tak sentuh mana-mana bahagian anggota tubuhku, kalau tidak sah nak kena backhand sulung Cik Rian Aulia.

"Dah sampai," ucapku ketika berada di hadapan kereta. Adif menilik jam kemudian kembali memasukkan tangannya di dalam poket seluar.

"Nak pergi ke Padang Merdeka tak?"

Lah. Aku ingat dah habis jelajah rupanya masih ada lagi rancangan dia.

"Dah pukul sebelas..."

"Tak lama, kejap aje," pinta Adif seolah-olah memujuk. Aku dah mula serba salah sebab dia bersandar lepas di pintu keretaku. Ni, maksudnya kena wajib juga ikut cadangan dia lah ni?

"Tapi.."

"Sekejap aje..."

Aku telan air liur sebiji-sebiji. "Nak buat apa kat tempat tu?"

"Adalah..."

"Saya tak boleh tahu ke?"

"Boleh tak awak temankan saya sekejap, Rian? Saya tengah serabut dan bila ada awak aje, baru saya boleh berfikir."

Ada aku je dia boleh berfikir? Getusku hairan di dalam hati.

"Kenapa? Awak nak batalkan pertunangan kita ke?"Aku meneka.

Adif segera menggelengkan kepala. Aku mengeluh lega. Ingatkan dia sedang berfikir nak batalkan pertunangan ke tidak, sebab dia kata dia perlu tengok aku baru boleh berfikir. Tapi kalau bukan sebab aku, takkan fasal kerja melambak di pejabat dia kut?

"Pukul berapa kita balik?"

"Sebelum pukul dua belas."

Aku mula berkira-kira sendiri. Aku keluar sampai tengah malam ni pun tak cakap kat ma dan pa. Setakat mesej, aku sangka baliknya dalam pukul 9.00 ke pukul 10.00 malam aje.

"Saya call ma saya dulu."

"Saya dah minta izin kat dia tadi."

Aku membulatkan mata kerana terkejut. "Awak dah call?"

"Ya. Masa awak solat maghrib tadi saya dah call ma awak. Cakap kat dia yang kita berdua candle light dinner." Dia mengenyit mata spontan.

"Kita candle light dinner?" ulangku sedikit tidak percaya. Sengal gila Adif. Nasib baik dia memang bakal suami, kalau tak sah-sah ma dan pa mengamuk sebab aku keluar dengan lelaki sampai tengah malam.

"Kenapa? Awak tak pernah dating ke selama ni?"

Aku dengan muka tidak berdosa terus menggeleng kepala. Adif gelak.

"Anak orang kaya tak pernah date ya? Awak ni lain sangat Rian."

"Tu pujian ke sindiran?"

Adif tersenyum cuma. "Awak ikut kereta saya dari belakang. Pakailah blazer tu. Takut kena sejuk, demam pula karang. Baju awak nipis."

Aku pandang ke bawah. Menilik kain blausku sendiri. Mana ada nipis pun? Tapi mungkin dia tak tahu aku pakai inner jadi dia bertanggapan aku kesejukan. Lagipun masa di dalam panggung tadi memang aku sedikit menggigil.

"Ada ke Padang Merdeka kat sini?"

"Ada."

"Jadi saya kena ikut awak juga ke?"

Adif mengangguk kemudian terus membuka pintu keretanya yang bersebelahan denganku.

"Jangan pandu laju sangat macam tadi," pesanku ketika dia masuk ke perut keretanya. Teringat semasa memandu ke tempat ini dari restoran tadi, sempat juga aku tercari-cari kelibat kereta Adif kerana dia membawa kereta dengan kelajuan yang agak pantas.

"Takut?" Dia tersenyum nakal. Aku mengangkat bahu sambil tersenyum lebar.

"Kena hati-hati, Adif. Hidup kita ni masih panjang, silap sedikit boleh memberi kesan keseluruhan hidup kita pada masa akan datang," terangku kepadanya. Adif mengangguk dan menutup pintu keretanya, mengisyaratkan kepadaku untuk bergerak bersama-sama.

Sampai aje di kawasan tempat yang dia kata 'Padang Merdeka' tu, aku terus mengeluh kecil. Dia menantiku dengan bersandar di badan keretanya sambil merenung jauh menghadap padang bola sepak yang luas tu.

Lambat-lambat aku keluar dari kereta setelah memastikan terdapat beberapa pengunjung lain berada di sana. Jangan sampai Adif buat naya sudah. Aku ni kira penakut juga tapi sebab Adif tu ada keturunan darah sejuk beku jadi aku ambil positif keluar dari kereta dan menghampirinya.

"Padang Merdeka?"

"Ni padang tempat saya duduk-duduk."

Aku naikkan sebelah kening sambil menggaru dahi kanan. "Ni bukan padang bola sepak ke?"

"Padang bola sepak sekolah lama saya." Dia jawab dengan murah hatinya. Selalunya kalau aku tanya dia soal balik tapi hari ini okey pula dia menjawab.

"Jomlah, awak nak cakap apa, saya dengar." Aku terus memeluk tubuh sambil turut menyandar di badan kereta Adif.

"Awak tak pakai ke blazer saya tadi?" soal Adif menyoroti lenganku yang sebelumnya dibaluti dengan blazernya. Aku senyum kecil.

"Saya tak biasa pakai baju orang lain."

Adif mengecilkan anak matanya, kemudian dia buat smirk dia tu. "Takkan anak orang kaya nak pakai baju orang lain..."

Dia sindir aku tapi aku buat pekak dan buat muka pelik. "Awak kongsi baju dengan orang lain ke?"

"Tak. Tapi sekali-sekala ya. Pakailah bukannya saya ada penyakit kulit pun," luah Adif perlahan. Akhirnya aku pakai juga blazer dia walaupun sebenarnya aku betul-betul tak nak pakai blazer ni. Apabila aje blazer dia tersarung di tubuh, tiba-tiba perasaanku berdebar kuat. Betullah orang cakap, kalau kita pakai baju lelaki perasaan kita ni jadi lemah sikit.

Lagi-lagi baju Adif yang langsung tak romantik. Tapi apabila dia buat aksi romantik begini membuatkan hati orang jadi cair habis. Belum lagi jika dia melemparkan senyuman yang jarang-jarang tertera di wajahnya. Kalau ma tengok pun rasanya ma akan terpaku juga kerana kemanisan wajah Adif.

Adif membuka pintu keretanya dan mencapai sweater di dalam seat tempat duduk lalu memakainya selamba di depanku.

"Jomlah." Dia cakap seraya menarik lenganku. Agak pantas sehingga aku tidak mampu mengelak.

"Adif, saya boleh jalan sendirilah!" Aku terjerit kecil kerana terkejut dengan tingkahnya yang spontan. Dia melepaskan tanganku perlahan.

"Sorry. Awak nampak macam urban tapi sebenarnya taklah urban sangat." Adif tersengih kecil. Aku yang dah kekok tak mampu nak cakap apa-apa.

"Adif, you behave yourself." Aku memberi amaran apabila dia hulur semula tangan dia seperti meminta aku menyambut huluran tangannya. Adif ketawa.

"Cuaknya awak."

Aku julingkan mata ke atas. Gila apa tak cuak. Ni dah pukul berapa yang aku ikut Adif ke sini pun dah kira berdosa. Keluar sampai pukul berapa dengan dia ni, kalau jadi apa-apa karang sebenarnya akulah yang patut dipersalahkan. Salah kerana tak reti menjaga diri sendiri.

"Awak kata tadi awak tengah serabut."

"Memang pun."

"Sebab pertunangan kita ke?"

Adif menggelengkan kepala.

Sampai aje di tengah padang, dia terus duduk di atas rumput yang agak basah. Aku berdiri aje di sisi dia. Takut blaus dan seluar jean kotor dan basah duduk di rumput tu.

"Duduklah..."

Tak sempat aku menahan diri, Adif sudah terlebih dahulu menarik tanganku sehingga aku terduduk di sisinya.

"Saya tahu duduk, tak payah awak nak tarik-tarik," tegurku.

Adif tersenyum kecil. "Awak marah saya pegang?" soal Adif seakan-akan memahami bisikan ketidaksenangan di dalam hatiku ini. Aku diam sahaja.

"Sebenarnya saya dah sayangkan awak," luah Adif tiba-tiba. Aku tertunduk merenung lantai tanah. Terkejut dengan pengakuannya buat kesekian kali. Bukan kali pertama aku mendengar tetapi entah kenapa hari ini aku lebih merasakan keikhlasan Adif berbanding hari sewaktu dia meluahkan cintanya kepadaku dulu.

"Saya orang biasa-biasa aje. Awak tak menyesal tak pilih anak YB, dato', tan sri, jadi suami awak?" Dia dah mulakan apa yang patut dimulakan sejak sebulan yang lepas. Sebelum dia datang merisik kenapa dia tak tanya soalan itu kepadaku?

"Kita bincang dari hati ke hati ke ni?"

Adif mengangguk tanpa memandang wajahku.

"Kalau saya pilih anak YB, dah lama saya kahwin."

Terbayang muka Abang Afeeq yang sudah lama tidak menghubungiku. Khabarnya dia sudah bertugas di Sarawak tapi mungkin sebab hari tu aku marah kat dia jadi Abang Afeeq memaklumkan kepada ma aje.

"Jadi awak memang nak kahwin dengan saya ke?"

Aku mengangkat bahu. "Awak orang pertama yang mengaku sayangkan saya."

Adif terbatuk kecil. Tak lama kemudian dia berdeham dituruti dengan ketawa yang agak janggal. "Sebab tu awak terima saya?"

Aku dengan muka yang tak berdosa menganggukkan kepala.

"Kalau saya kata saya tak sayang awak, pertunangan kita tu macam mana?" soalnya menguji. Bijak betul encik lawyer memerangkap sehingga aku tak terjawab soalan dia tu.

"Batalkan aje," jawabku ringkas.

"Saya bersyukur jadi orang pertama mengaku sayangkan awak," gumam Adif perlahan. Aku mencuri pandang ke arahnya, tercari-cari titik keikhlasan Adif di wajahnya. Selepas itu kami berdua jadi senyap semula.

"Adif, awak suka perempuan yang macam mana?"

"Kenapa awak tanya?"

"At least awak bukan mengharap stok gadis-gadis yang daring sudahlah sebab saya bukan jenis macam tu. Saya tak reti ekspresikan hati saya yang sebenar untuk orang yang belum jadi milik saya sepenuhnya," ucapku berterus-terang.

"Awak ingat saya suka gadis urban, ke?" balas Adif bersahaja.

Ya-ya je dia urban. Orang pakai tudung labuh tu pun urban juga, bukannya dia orang tinggal di zaman purbakala. Golongan marhaen sekarang dah ada laptop canggih, telefon bimbit yang boleh online ke mana-mana. Bukan macam zaman datuk nenek moyang kita dulu. Kiranya urban itu meliputi seluruh lapisan masyarakat zaman sekarang ni.

"Jadi awak suka yang ayu bertudung labuh?"

"Kalau awak yang bertudung labuh, saya suka."

Wah, rasa kebas muka aku. Itulah kau Rian, lagi tanya soalan-soalan pelik. Aku terus mengunci mulut dan merenung rumput di hujung kaki.

"Awak ingat tak kali pertama kita bertemu?" Adif memandang wajahku. Aku terus mengangkat bahu. Bukan tak tahu tapi malas hendak menjawab soalan dia.

"Saya ni tak menarik ke di mata awak? Kenapa awak tak pernah ingat apa-apa tentang saya?"

Aku terkebil-kebil, tidak memahami maksud Adif.

"Kita berjumpa waktu di restoran bawah butik awak tu, ingat tak? Yang awak tenung muka saya semacam waktu tu."

Rasa tertelan guli bila dia cakap macam tu. "Saya tenung awak?" Dia perasan ke aku tenung dia masa tu? Alahai malunya! Tapi setahu aku kali pertama kami bertemu sewaktu aku menghadiri majlis pernikahan Syakirul Hafiz dan Minn Alia. Biar betul Adif ni?

"Awak tenung saya bagai nak terkeluar biji mata. Saya handsome sangat masa tu kan?"

Aku tergelak kecil. "Banyaklah awak punya handsome."

Tawa kami pecah. Kenapa selama ni aku dan dia tak pernah begini? Kenapa selama ni dia bertindak misteri dan dingin? Kalau dari awal lagi kami berbual santai begini, agaknya aku dan dia dah jadi rapat.

"Nanti kalau kita kahwin, saya minta maaf banyak-banyak."

"Kenapa?"

"Saya nak awak tahu bila tiba masanya nanti, saya betul-betul rasa bersalah pada awak. Kalau awak tak macam ni, saya tak rasa bersalah sangat, tapi awak gadis baik, Rian. Bukan seperti yang saya bayangkan."

Aku tak sedap hati.

"Awak plan nak kecewakan saya selepas kita kahwin nanti? Kalau awak ada rancangan macam tu, lebih baik awak hentikan. Saya nak hidup tenang dan saya harap awak pun sama seperti saya. Insya-Allah saya akan jadi isteri yang baik." Aku nak dia jujur. Kalau dia ada niat lain, aku takkan teragak-agak untuk memutuskan tali pertunangan kami.

Adif menggelengkan kepala.

"Saya cuma rasa saya tak mampu lepaskan awak selepas kita kahwin nanti," ucap Adif tersenyum kecil.

Eh? Aku dah salah faham ke?

"Kenapa?"

Adif memandang diriku. Aku lihat matanya agak berkilat. "Awak baik. Tak macam yang saya sangka. Saya bimbang lelaki seperti saya akan memusnahkan hidup awak."

Aku tersenyum kecil. Rasa bahagia itu ada walaupun aku belum pasti apa yang ada di hati Adif tatkala ini.

"Awak betul-betul fikir saya baik ke, Adif?"

Adif mengangkat sebelah keningnya. Terpancar seribu rasa di wajahnya untukku. "Kalau awak tak baik, awak tak akan terima saya. Saya nikan orang susah."

Oh, itu rupanya yang mengganggu fikiran Adif. Aku tak faham kenapa kes dua darjat itu terungkap lagi dari bibirnya. Tahu ke dia yang aku tak pandang pangkat dan harta, jadi kenapa perlu perkataan itu diulangi berkali-kali? Lagi pun apa kurangnya dia? Dia peguam. Dibandingkan dengan diriku, dia lebih cemerlang dalam hidupnya. Atau, mungkin dulu dia pernah dipandang hina kerana dia orang susah? Kerana itu pandangannya terhadap orang yang lebih berkemampuan agak negatif?

"Jom ikut saya lari."

"Ha?"

"Jom!" Tiba-tiba dia bangun dan menarik hujung baju lenganku. Tergopoh-gapah aku mengikut rentak langkahnya.

"Adif, awak je yang lari saya tak boleh."

"Kenapa?" soal Adif, serentak melepaskan pegangannya.

"Kalau awak pesan kat saya pakai baju sukan tadi, boleh aje. Tapi saya pakai baju ni..." Aku pandang pakaian yang melekat di tubuh sendiri.

Adif ketawa lepas. Dia berlari pantas meninggalkanku. Setelah dia habiskan tiga pusingan, Adif berhenti betul-betul di hadapanku sambil menarik tali lehernya yang sudah tidak terurus.

Aku akui, hati aku sudah terikat pada nama Ahmad Adif Rayqal. Entah kenapa perasaan ini wujud walau dia agak jauh dari ciri-ciri lelaki idamanku. Tidak pernah aku rasa seindah ini dan dialah yang pertama berjaya mengundang rasa indah di hati dengan caranya sendiri. Dia hadir dan wujud dengan cara yang paling aneh.

"Rian..." serunya perlahan. Aku jadi kaku menanti bicara Adif.

"Maafkan saya, Rian..." Adif merapatiku selangkah dan memandang wajahku lama. "Saya tak boleh berpatah balik. Saya tak boleh jauhkan diri saya dari sejarah semalam. Saya benci diri saya tapi saya terpaksa buat ini semua demi setiap nafas yang saya hela. Maafkan saya kerana melibatkan awak, saya berjanji akan bertanggungjawab pada awak, Rian. Saya janji."

"Adif?" Sekali lagi aku keliru dengan kenyataannya.

"Saya akan jadi suami awak, dunia dan akhirat. Jika awak izinkan..." ucapnya. Senyuman Adif aku amati. Ikhlaskah dia? Walau di sudut hati teringin sangat nak tahu rahsia hati Adif, aku rasa dia masih perlukan ruang. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro