Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1


KAWASAN rumah dua tingkat itu penuh warna-warni. Agaknya kalau aku kahwin nanti rumah aku pun jadi macam tu juga. Wajah pengantin perempuan kuperhati sekilas dan terbit rasa iri di dalam hati ini. Nampak bahagia kedua-dua pengantin yang tak lekang dengan senyuman panjang.

Pengantin perempuan kulihat sering mencuri pandang ke arah suaminya. Bahagia kut dapat kahwin dengan lelaki impian dia. Agaknya aku pun senyum begitu juga masa hari perkahwinan aku nanti tapi aku tak tahulah muka aku ni dapat tenang macam pengantin perempuan tu ke tidak, sebab aku ni berdarah gemuruh.

Aku menjatuhkan pandangan ke arah jam di tangan. Agak lewat juga. Tapi ma dan pa masih lagi belum kelihatan. Tadi aku datang dengan ma dan pa tapi sekarang aku dah tak tahu dia orang pergi mana. Mungkin juga sibuk berbual dengan sanak saudara yang lain. Majlis kahwin ni bukan majlis orang lain pun, majlis dua pupu aku juga.

"Baju nikah pengantin dia superb. Memang cantik habis!" Suara-suara berbisik membuatkan aku tersengih lebar. Kembang hati mendengar pujian mereka.

Aku pandang ke arah tempat mempelai berdua yang sedang bersantap dengan penuh beradat di atas pentas di bawah kanopi yang dihias cantik. Baju nikah sesuai dengan wajah pengantin perempuan yang agak lembut dan cantik, lagipun bajunya kelihatan sangat sopan dan menutup aurat. Baju itu mereka tempah dari butik ma, tempat aku bekerja sekarang ni. Bangga kerana pilihanku tepat. Ya, aku yang bertanggungjawab memilih pakaian mereka.

Pengantin lelaki pula belah ma dua pupu aku. Sangat-sangat tampan dan aku dengar dia bakal mewarisi aset harta kekayaan ayah dia. Kalau aku kahwin nanti, aku taklah nak mimpi orang kaya datang meminang tapi kalau boleh nak kacak lagi daripada Syakirul Hafiz tu. Wah, belum-apa-apa lagi dah demand. Tapi kira beruntung mereka berdua sebab kedua-duanya sama kacak dan cantik dan kedua-duanya berada dalam golongan orang yang berada. Kiranya dia orang boleh jadi the best couple of the year tahun ni. Wedding bukan alang-alang. Sedari tadi aku lihat tetamu tidak kunjung henti menghadirkan diri dalam rumah agam ini.

"Sengih-sengih sorang ni kenapa?" Bahuku ditepuk tiba-tiba. Aku menoleh spontan dan terus tersenyum lebar apabila melihat kelibat cik gadis manis sedang tersenyum lebar sambil mengambil tempat duduk di sebelahku.

"Mesti kau menyesal gila tak mengayat abang aku dulu, kan? Kalau tak, dah selamat kau orang kahwin sekarang ni," ucap Tija tak teragak-agak. Pecah tawaku mendengar usikan Tija. Tidak pernah terlintas di kepala yang aku bakal menyesal kerana terlepas seorang lagi pemuda yang cukup serba-serbi dan bergelar abang dia tu. Ada-ada aje Tija ni.

"Agaklah... Aku mana sesuai dengan abang kau tu. Kakak ipar kau cantik gila. Ayu aje aku tengok. Pakai tudung dan sopan santun." Aku puji pengantin perempuan tu bukan takat nak membodek Tija tapi betul-betul ikhlas dari hati.

"Memang pun tak sesuai..." Tija mengekek ketawa. Cepat sahaja tanganku sampai ke bahunya kuat.

"Kau perli aku ke apa?" soalku buat-buat merajuk.

"Aku gurau je la... Kau bila nak kahwin? Umur dah naik dua puluh lima dah..." Tija bertanya. Aku pun terus angkat bahu sebab rasanya soalan Tija tu soalan yang maha susah hendak dijawab. Siapalah yang nakkan aku ni... Cantik pun tidak.

"Kau pun dah naik dua puluh lima, kan? Bila kau nak kahwin dengan Wan Adree?" Tija sengih aje bila aku ungkit nama pakwe dia tu.

"Tak lama lagi. Sekurang-kurangnya aku ada calon, tapi kau ni, risau la 'menyingle' dari dulu."

Aku gelak sebab tak pernah dengar perkataan 'menyingle' tu. Entah dari mana budak ni tiba-tiba aje buat perkataan tak ada masuk kamus dewan, aci redah aje dia. Janji orang faham la tu.

"Kau punya calon the best bachelor of Asia, aku terpaksa cari yang antarabangsa punya..." Aku jawab selamba sambil pandang lagi ke depan.

Tija tolak bahu aku perlahan sambil tarik muka. "Kau ni seriuslah. Risau aku tahu fasal kau tak reti nak cari boyfriend."

Aku tercengang dengar apa yang Tija cakapkan. Melampau Tija ni. "Kau tak percaya dengan kebolehan aku ke, Tija?"

"Bukan tak percaya, tapi kau ni lambat pick up la Rian. Cuba kau terbuka sikit, kan senang. Lelaki pun tak la takut dengan kau."

Tak sangka pula Tija pun fikir benda yang sama dengan aku sebab selama ni pun aku risau benda yang sama. Kenapalah aku tak reti nak mengayat atau tersangkut dengan mana-mana lelaki sedangkan umur aku dah capai 25 tahun. Ma kata jodoh aku belum sampai lagi. Nak ke percaya cakap ma tu? Kalau nanti sampai tua aku tak kahwin, macam mana?

"Kau cantiklah Rian, carilah pakwe sorang." Tija ambil buah yang ada di pinggan aku. Cepat-cepat aku tolak bahu dia pula.

"Ambiklah sendiri kalau nak makan." Aku buat suara pura-pura marah. Dia gelak aje.

"Rian, Adree kata dia ada sorang lagi hero kat rumah dia. Adif namanya. Kau nak berkenalan tak? Kerja doktor dan not bad la untuk digandingkan dengan kau sebab dia tu boleh tahan juga. Kau nak aku risikkan?" soal Tija tanpa berselindung.

Berona merah wajahku apabila dia tenung muka aku tepat-tepat. "Tak naklah! Kau jangan buat benda pelik-pelik sudah. Kau tu bila nak kerja? Baru balik dari oversea takkan terus tanam anggur kut..." Risau juga, kut-kut Tija buat plan gila kenenkan aku dengan adik kekasih dia. Karang tak fasal-fasal lelaki tu tak suka aku, mana aku nak letak muka aku lepas tu?

Sambil itu aku telan juga buah yang masih bersisa di atas pinggan. Apabila aku toleh ke wajah Tija, tiba-tiba aje mataku bertembung dengan sepasang mata seorang lelaki. Cina kut? Tengok gaya macam pemuda Cina aje, mungkin kawan Syakirul Hafiz. Tapi kenapa dia pandang ke arah aku pula? Aku terasa nak raba muka apabila dia pandang wajah aku tajam-tajam.

"Tija, kau tengok muka aku ada apa-apa ke tak?" Aku tanya kat Tija sebelum Tija jawab soalan aku sebelum ni. Tija geleng kepala sambil pandang aku hairan sebab tiba-tiba aje aku menggelabah sakan. Terus aje Tija toleh ke tepi, arah yang sedang duk aku pandang masa ni.

"Kau kenal ke dia? Apasal dia renung kau macam tu?" soal Tija pula. Aku terus angkat bahu dan pandang depan semula. Segan apabila diperhati oleh lelaki yang tidak dikenali.

"Dia syok kat kau agaknya..." andai Tija. Aku rasa nak hempuk-hempuk aje minah ni sebab mengganggu konsentrasi aku nak meneutralkan perasaan. Dah la aku ni jenis yang mudah perasan sendiri, janganlah malam ni aku tidur sambil tersenyum dalam mimpi sudah.

"Dahlah, tak ada apanya. Entah-entah dia pandang kau kut." Aku cakap sambil menyuap lagi buah epal yang telah dihiris ke dalam mulut. Aku bukan cantik mana pun sampai orang pandang aku bagai terkeluar biji mata, ya tak? Tapi... rasa buah ni tak dapat tertelan la pula.

"Kau ingat aku buta ke, Rian? Sah-sah dia tengah tenung kau tadi. La, mana pula perginya jejaka terhangat tu tadi?"

Aku terus pandang semula ke arah lelaki tadi tapi macam yang Tija cakap, lelaki tu dah tak ada di tempat tadi.

Hampa.

PETANG, selepas balik kerja aku terus lepak dengan kawan-kawan sekolej lamaku. Ma telefon suruh balik sebab ada perkara dia nak bincang tapi apabila aku cakap aku nak melepak dengan kawan-kawan, ma diam seolah-olah tak suruh aku balik pula dah.

Tapi, aku rasa baik aku balik juga sebab apabila ma kata dia ada perkara nak bincang maknanya benda tu penting, jadi aku pun tak bertangguh, terus balik rumah.

Tiba di rumah, aku terus tanya kat bibik di mana ma dan dia jawab ada di dalam bilik. Apa ma buat dalam bilik petang-petang macam ni? Selalunya ma akan lepak di tepi kolam sambil minum petang atau membaca apa-apa sahaja bentuk bahan bacaan.

Apabila aku dah ketuk pintu dua tiga kali barulah ma buka pintu. Terkejut muka dia tengok aku dah balik rumah.

"Kata tadi lepak dengan kawan?" soal ma hairan. Aku pun sengih aje dan tarik tangan ma untuk keluar dari bilik dia. Rasa nak berborak kat depan rumah tiba-tiba, lagipun pemandangan depan rumah dah makin cantik sebab pa upah orang yang pakar hari tu untuk buat dekorasi taman.

"Pa tak balik lagi ke, ma?" Aku tarik kerusi apabila sampai sahaja di depan kolam untuk ma duduk. Ma pun senyum lihat aku tiba-tiba baik kat dia. Aku ambil tempat duduk depan ma sambil minta bibik sediakan minum petang untuk aku dan ma.

"Pa tak balik lagi. Pa tu kalau belum lepas isyak, mana dia nak balik." Ma jawab sambil merungut kecil. Aku pun sengih aje sebab aku tahu pa memang sayang gila dengan kompeni dia lebih daripada rumah ni kut... Tapi yang pasti dia sayang ma dan aku lebih lagilah. Dulu pa suruh aku belajar pengurusan syarikat tapi aku tak nak walaupun aku ni satu-satu anaknya yang akan sambung usaha dia naikkan prestasi kompeni.

Jadi, terpaksalah pa reda apabila aku ambil course IT. Lepas habis belajar aku terus kerja di butik ma. Maka sekarang ni aku kena carikan untuk pa bakal menantu yang sangat handal untuk menyambung kerja-kerja pa supaya pa tak kerja berat sangat tapi masalahnya mana aku nak cari bakal suami yang ala-ala pa tu?

"Rian dah ada calon, ke?" soal ma lembut seolah-olah mengerti apa yang bermain di dalam mindaku sekarang ni.

"Calon apa, ma?" Aku tanya balik sambil buat muka blur.

"Calon suami Rian..." Ma gelak kecil.

Aku pun sengih sampai ke pipi. Ma dah lontar soalan yang puaka balik dah. Aku ada masalah sikit sebab tak pernah dapat nak lekat dengan seorang pun jejaka. Agaknya saham aku tak berapa berharga kut sebab semua lelaki yang aku kenal dah ada pasangan masing-masing.

Apabila aku luah pada ma yang saham tak da orang beli, terus dia marah-marah kat aku. Dia kata ada je jodoh tu cuma aku yang malas mencari. Aku agaklah dalam dunia ni aku sorang je rasa low confidence dan low profile sebab takut tak laku padahal kalau dikira aku ni taklah buruk sangat, tambah lagi boleh dikira anak orang berada jugak. Jadi sepatutnya tak ada kes aku tak laku pun.

Cuma aku tak dapat nak pergi lebih jauh dalam satu-satu perhubungan sebab tak ada orang yang tunjukkan mereka tertarik padaku. Kalau nak minta ma carikan, nampak sangatlah yang aku ni terdesak, kan? Kes mahu tapi malulah ni.

"Tak adalah ma. Ma kan tahu Rian susah nak bercinta. Duduk kat butik ma tu aje. Yang Rian menghadap hari-hari, Khairi seorang aje. Tapi Khairi tu kalau Rian bawa jumpa pa sah-sah kena reject jadi menantu!" Aku siap gelak sakan padahal ma tunjuk muka serius semacam.

"Bukan setakat pa reject, ma pun reject! Rian jangan cuba nak cari fasal ya..." Ma beri amaran.

"Tak adalah ma. Rian pun kalau cari mesti handsome macam pa, yang masih bujang bukan suami orang." Aku bodek ma sambil tersengih-sengih. Ma ni setiap kali aku cakap, mesti dia ambil serius. Khairi yang 'auw' tu bukan aku nak pandang rendah tapi memang dia dah sah ada anak seorang, takkan aku pergi ambil dia jadi laki?

"Pa cakap dia ada calon untuk Rian."

Aku bulatkan mata. Hati berdebar tiba-tiba.

"Nak ke tak?" soal ma pula.

Aku terkebil-kebil seorang diri. Selama ni memang aku nak suruh ma carikan aku calon pun tapi tak sangka masa yang aku tunggu tu tiba juga!

Bibik datang bawakan cucur udang dan seteko air teh panas.

"Handsome tak ma?" soalku mengangkat kening. Malu sebenarnya! Hakikatnya aku taklah demand nak dapat bakal suami handsome macam Brad Pitt ke Robert Pattinson ke... Tapi sebab segan tak ingat terpaksalah aku tanya common question kat ma.

"Kalau Rian nak tahu pergilah jumpa dia sendiri." Ma cakap sambil bantu bibik tuang air teh ke cawan aku.

"Ma set blind date untuk Rian ke?" Aku tanya malu-malu kucing. Ma pandang aku sekilas.

"Nak tunggu Rian cari sendiri sampai tualah tak dapat-dapat jugak," sindir ma terang-terang. Aku tersengih malu apabila ma cakap macam tu. Waaa... Agaknya betullah jodoh tu dah datang. Jodoh yang selama ini aku tunggu-tunggu. Jodoh yang liat benar nak lekat pada aku. Tapi nak ngadap bakal husband tu nanti macam mana? Nak buat apa, Rian? Senyum ke? Serius ke? Atau terus goda aje dia? Aku mula fikir benda tak senonoh pula!

"Kalau dia tak suka Rian, ma?" Aku telan sebiji cucur udang ke tekak. Ma jeling aku sudahnya.

"Siapa tak suka siapa? Rian ni, cuba yakin sikit kat diri tu. Fikir kalau-kalau Rian yang tak suka dia, kenapa nak fikir dia tak suka Rian pula dah?"

Aku pun berfikir sejenak kata-kata ma tadi. Ya tak ya kan? Kenapa aku kena fikir dia tak suka aku pula walhal benda belum jadi pun?

"Bila tarikh nak jumpa tu, ma?"

"Betul nak jumpa? Nanti malam ma cakap kat pa."

Ma cakap macam tu dan lepas tu dia terus ajak borak fasal butik dia dan cawangan butik baharu dia. Hesy! Tension aku sebab terganggu cerita blind date ni dengan celahan cerita butik ma. Janganlah tak jadi pula rancangan ma tu nanti. Manalah tahu kut-kut menyangkut betul, kan dah rezeki namanya...

Tapi betullah aku jadi haru pula bila berfikir kalau-kalau lelaki tu nanti pandang aku dengan sebiji mata aje. Ke... patut aku pergi salon kecantikan atau pusat rawatan spa sebelum pergi jumpa dia ni? Wah, melampau betul kau, Rian. Rasa nak ketuk kepala sendiri pun ada.

Sepanjang malam aku fikir fasal tu. Apabila aje pa turun ke ruang tamu selepas mandi dan buat hal dia, aku pandang ma beria-ia sambil mencari eye connection tapi ma buat selamba aje. Sebenarnya teringin nak tahu siapa lelaki tu tapi sebab aku segan nak bertanya, jadi kes tutup macam tu aje. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro