Bab 7
NADINE memerhati air Tasik Zurich yang membiru. Pagi itu, persekitaran Tasik Zurich agak lengang kerana kebanyakannya sedang sibuk di pejabat. Anak-anak pula sedang belajar di sekolah. Petang-petang nanti terutamanya di hujung minggu, barulah Tasik Zurich dipenuhi dengan pengunjung yang ingin menikmati sinaran mentari tatkala musim panas.
Nadine mengharapkan keindahan Tasik Zurich dapat memberikan sedikit ketenangan kepadanya setelah penat bertekak dengan ibu dan adiknya tadi. Memori indah sewaktu mereka sekeluarga tinggal di Amerika diimbas. Waktu itu mereka hidup cukup bahagia sekali. Nadine tiba-tiba merindukan suasana itu.
"Aduh!" Memori indahnya terganggu apabila tiba-tiba kepalanya berasa sakit. Rupa-rupanya kepalanya disinggahi tin kosong. Tin kosong yang jatuh ke tanah dikutipnya. Kemudian gegendang telinganya ditampar bunyi tawa. Nadine lekas-lekas menoleh. Kira-kira 15 meter darinya terdapat sekumpulan remaja punk yang begitu seronok mentertawakan Nadine.
"Siapa yang tendang tin ni tadi?" Macam singa Nadine menunjuk garang, namun ngaumannya bagaikan tak laku. Sedikit pun tak dihiraukan mereka. Sebaliknya Nadine terus menjadi bahan tawa.
"Aku tanya, siapa yang tendang?" Suaranya dikeraskan lagi. Nadine geram apabila pertanyaannya cuma diketawakan saja.
"Oh, tunjuk garang... Takutnya!" Semakin galak pula kumpulan remaja itu mempermainkan Nadine.
"Kau orang ingat aku main-main, ya?" Nadine menghampiri kumpulan remaja punk itu. Kemudian dia menarik baju salah seorang remaja tersebut.
"Wow, main kasar nampak?" Remaja yang bajunya ditarik bersuara.
"Confirm ke kau tak main-main?" Seorang remaja yang tampak lebih bengis muncul pula depan Nadine. Rambutnya cacak-cacak warna merah. Nada suaranya ke dalam.
"Siapa yang tendang tadi?" Tanpa mempedulikan remaja berambut merah yang mahu tunjuk bengis itu, Nadine ulang pertanyaannya lagi.
"Aku yang tendang. Kau nak buat apa?" soal remaja berambut merah tercacak itu dengan kasar.
Toing... Tin kosong mengena kepala remaja punk berambut merah. Tindakan Nadine itu membuatkan remaja itu rasa tercabar, lantas tangan Nadine ditangkap lalu dikilas ke belakang. Nadine sudah mula berasa cuak.
"Yo! Cool man. Pedulikan perempuan gila ni." Tangan Nadine dilepaskan oleh seorang lagi remaja punk. Rambutnya juga tercacak tapi diwarnakan ungu.
Bundar mata Nadine melihat remaja yang membantunya itu.
"Nicolas?"
"Just go!" Perintah remaja berambut ungu. Bimbang diapa-apakan oleh kumpulan remaja liar itu, Nadine tidak mahu menunggu lagi. Nadine pecut langkah seribu.
Fallujah, Iraq. 2004.
DEGUNG! Pintu utama rumahnya ditendang dan digoncang beberapa kali. Leyla memandang suaminya.
"Bagaimana mereka tahu awak berada di sini, Abbas?"
Leyla panik. Dia tahu di luar sana pastinya pasukan tentera yang sedang mencari para pemberontak. Suaminya itu sudah hampir dua minggu tidak pulang ke rumah kerana berjuang mempertahankan tanah air. Pada hari itu, suaminya pulang untuk mengambil bekalan makanan yang telah disediakannya. Bekalan makanan itu diperlukan oleh para pejuang yang berpengkalan di luar kota.
"Leyla, ambil anak kita dan pergi bersembunyi!" arah Abbas.
"Tidak! Mereka mahukan awak, Abbas bukan saya. Awak pergilah bersembunyi." Leyla memberi saranan yang berbeza.
"Tapi Leyla..." Abbas berat hati mahu meninggalkan ahli keluarganya kerana dia tahu tentera-tentera penceroboh itu tak kenal erti perikemanusiaan. Tiada istilah orang awam pada mereka. Sesiapa sahaja yang menghalang adalah pemberontak. Titik.
"Awak pergilah. Jangan risaukan kami. Allah bersama kami." Bagi Leyla, keselamatan suaminya lebih penting. Suaminya perlu kembali ke kem kerana para pejuang telah keputusan bekalan makanan. Lagipun tentera-tentera itu mahukan suaminya, bukan dirinya. Jika suaminya tertangkap, suaminya itu akan dipaksa membocorkan maklumat para pejuang. Tentu sahaja suaminya itu tak akan belot terhadap ahli kumpulannya. Akibatnya nanti, suaminya itu akan diseksa di dalam penjara.
Bang! Kali ini bunyi dentuman senapang pula kedengaran. Bunyi yang kuat itu menyebabkan anak kecil mereka ketakutan dan menangis. Leyla peluk anaknya kejap-kejap untuk menghilangkan ketakutan si kecil.
"Cepat pergi, Abbas!" pinta Leyla. Abbas terpaksa akur. Kemudian dia segera berlari ke loteng persembunyian.
Sekumpulan lelaki berpakaian tentera yang lengkap bersenjata akhirnya memecah masuk. Sempat lagi Leyla memerhati dan mengira jumlah yang ada. Lima orang kesemuanya. Bukan berbangsa Arab. Pastinya tentera Amerika. Leyla membuat rumusan.
"Mana lelaki-lelaki dalam rumah ini?" Salah seorang dari tentera itu menyoal kasar. Bahasa asing yang digunakan mengesahkan tekaan Leyla sebelum ini.
"Tak ada lelaki. Cuma aku dengan anak kecil ini." Pada penceroboh, suaminya itu pemberontak. Tapi pada penduduk tempatan terutama dirinya, suaminya itu seorang wira yang berjuang mempertahankan tanah air. Mustahil dia mahu menyerahkan pejuang bangsa.
"Geledah tempat ini!"
"Baik, sarjan!"
"Kamu semua tak boleh buat macam ini. Ini rumah aku. Kamu semua penceroboh. Keluar!" Sambil mendukung anak kecilnya, Leyla cuba menghalang tindakan tentera-tentera itu daripada menggeledah rumahnya. Namun larangan Leyla sedikit pun tak diendahkan mereka. Habis semua barang-barang dalam rumah menjadi tunggang terbalik.
"Sarjan! Kami jumpa seorang lelaki dalam bilik." Kedengaran satu suara melaung dari dalam bilik.
"Bawa dia ke mari!" Perintah tentera yang berpangkat sarjan.
"Jangan! Jangan apa-apakan dia. Dia bapa aku. Dia dah tua." Sekali lagi Leyla cuba menghalang apabila para tentera yang menceroboh telah menangkap bapanya yang sudah tua lagi uzur.
"Tadi kau kata tiada lelaki dalam rumah ini. Baik kau beritahu sekarang, di mana lagi mereka bersembunyi." Tentera yang berpangkat sarjan itu memarahi Leyla. Leyla tidak membalas. Doa dipanjatkan dalam hati agar suaminya yang sedang bersembunyi di atas loteng dalam bilik tidur mereka tidak ditemui oleh tentera-tentera penceroboh.
"Sarjan!" Seorang tentera menghampiri ketuanya lalu membisikkan sesuatu ke telinga ketuanya itu. Leyla berasa tak sedap hati apabila sarjan memandangnya dengan sebuah renungan yang menakutkan. Pada bibirnya terlakar pula senyuman yang amat mencurigakan.
"Baik, aku percaya orang yang dicari tiada di sini. Tapi alang-alang kami dah datang ke sini, apa kata kalau kami berhibur sebentar?" Tentera berpangkat sarjan itu berkata.
"Kau orang nak buat apa ni?" Leyla mula takut setelah dia menyedari apa yang dimahukan oleh para penceroboh itu. Raungan anak perempuannya yang berusia setahun itu semakin kuat apabila direntap kasar dari dukungan ibunya.
"Jangan ganggu anak aku!" Bapa yang uzur cuba menghalang anak perempuannya daripada diganggu.
Bang! Bunyi tembakan kedengaran.
"Allahuakbar!"
"Abi!" Leyla berlari mendapatkan ayahnya yang sudah rebah ke lantai. Darah yang mengalir keluar dari tubuh lelaki uzur itu mula membasahi lantai. Namun belum sempat Leyla menghampiri ayahnya yang sudah terkujur itu, lengannya direntap kasar oleh salah seorang daripada tentera penceroboh.
"Fun time!" Kedengaran pula suara sarjan. Leyla semakin gementar apabila sarjan tiba-tiba membuka zip seluarnya. Orang-orang bawahannya berdekah-dekah tertawa.
"Kafir laknatullah!" pekik Abbas apabila melihat isterinya pula yang menjadi sasaran. Setelah mendengar bunyi letupan senapang, dia keluar dari tempat persembunyiannya. Tak sanggup dia membiarkan ahli keluarganya terancam. Seperti yang telah dijangkanya para penceroboh itu tak pernah mempedulikan larangan melakukan kekejaman terhadap orang awam seperti yang termaktub dalam Konvensyen Geneva ke-4 yang telah dipersetujui oleh 166 buah negara.
Abbas meluru ke arah tentera yang mahu mengganggu isterinya itu. Seorang demi seorang dibelasahnya. Semangat juangnya tidak sedikit pun goyah walaupun dia tahu kebarangkalian untuk menang itu sifar! Selagi hayat dikandung badan, maruah isterinya akan dipertahankan.
Bang! Bang! Akhirnya tubuhnya dimamah peluru juga. Abbas lebih rela begitu daripada tak berbuat apa-apa untuk mempertahankan maruah isteri tercinta.
"Abbas! Abbas!" Leyla meraung sekuat hatinya. Tanpa mempedulikan jeritan seorang isteri, para kufar itu terus melaksanakan misi mereka. Berkongsi fun time yang mereka mahukan malam itu secara bergilir-gilir.
Jerman, 2014.
AIR mata yang membasahi pipinya dibiarkan saja. Leyla tak akan pernah melupakan peristiwa hitam dalam hidupnya. Namun dia reda di atas takdir yang telah ditentukan oleh Allah buatnya. Dia bernasib baik kerana umurnya masih panjang. Begitu juga dengan anaknya, Sajidah.
Demi anaknya itu, dia perlu kuat. Itulah sahaja kenangan yang ada bersama Abbas. Di atas kekuatan dan semangat yang tinggal itulah dia meneruskan sisa-sisa hidupnya. Ternyata Allah itu masih menyayanginya. Dia telah diberi kehidupan baru. Namun kisah silam tetap tersimpan kukuh di dalam memori.
"Leyla... Awak masih mengingati peristiwa lama?" Leyla menoleh apabila bahunya disentuh.
"Maafkan saya. Saya masih tak mampu melupakan kisah silam."
"Tak mengapa, Leyla. Saya faham. Bukan senang untuk awak melupakan semua itu." Air mata yang menitis di pipi isterinya diseka dengan jari.
"Ramazan... Adakalanya saya ingin jadi macam awak agar dapat saya melupakan segala-galanya."
"Leyla, menyimpan memori silam yang pahit adakalanya lebih berharga daripada tak punya apa-apa memori."
"Kalaulah saya dapat bantu awak..."
"Awak sudah banyak membantu, Leyla. Tanpa awak, saya mungkin hilang semangat untuk hidup."
"Ramazan... Awak juga telah memberikan kehidupan baru untuk saya dan anak saya."
"Anak kita!" Jari telunjuknya yang diletakkan di bibir Leyla mematikan bicara wanita itu.
Leyla menghadiahkan senyuman buat suaminya.
"Awak dah hubungi Edward?"
"Edward dah tak bekerja di sana lagi." Ada riak muram pada wajah Ramazan.
"Ada sesiapa lagi di sana yang boleh awak hubungi?" Leyla simpati dengan nasib suaminya itu.
Geleng.
"Bagaimana dengan isteri Edward?"
"Saya langsung tak ingat apa-apa..."
Kedengaran helaan nafas berat Leyla. Dia tak berdaya membantu. Hanya berdasarkan sekeping pas pekerja amat sukar untuk suaminya itu menjejaki memorinya yang hilang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro