Bab 6
TERCUNGAP-CUNGAP Abu Hasif mendapatkan ustaznya. "Ustaz! Ustaz!"
Tangannya memegang sesuatu. Ustaz Naim sudah dapat mengagak ia pasti mengenai nota yang ditampal pada tembok batu depan Darul Uloom. Beberapa pelajar lain turut memerhatikan gelagat Abu Hasif itu.
"Hah! Mesej apa pula kali ni, Abu Hasif?" Ustaz Naim menyoal.
"Ustaz ni macam tau-tau aje." Abu Hasif tercungap-cungap mengah. Kertas nota di tangannya diambil oleh Ustaz Naim.
"Kertas apa ni, Abu Hasif?" Berkerut dahi Ustaz Naim sebaik sahaja dia membaca apa yang tertulis.
"Nak tengok, ustaz." Sameer kehairanan melihatkan Ustaz Naim berkerut dahi. Lekas-lekas kertas yang dihulurkan Ustaz Naim diambilnya. Sebaik sahaja membacanya, mengekek Sameer tertawa. Ustaz Naim cuma tersenyum kecil.
"Orang tu tulis apa kali ni?" Yusouf Herbert mengambil pula kertas dari tangan Sameer lalu membacanya kuat-kuat.
"Sabun, ubat gigi, syampu, pencukur ketiak..." Namun belum sempat Yusouf habis membacanya para hufaz sudah ketawa.
"Itu senarai barang yang aku nak beli nanti." Abu Hasif tersengih-sengih.
"Eh, kau ada bulu ketiak ke?" Yusouf mengejek.
"Sibuklah kau!" marah Abu Hasif seraya merampas kertas senarai barangnya dari tangan Yusouf.
"Kata ada nota. Mana notanya?" Sameer tak sabar nak tahu apa pula yang ditulis kali ini. Beberapa mata yang lain tertumpu kepada Abu Hasif kembali.
"Nota tu kat sini." Abu Hasif keluarkan nota dari poket jubahnya. Belum sempat nota itu diserahkan kepada Ustaz Naim, Yusouf Herbert telah mengambilnya terlebih dahulu.
"Kerana kewujudan kamu semualah aku derita. Orang Islam pengganas!" Yusouf membaca nota kuat-kuat agar pelajar lain turut mendengar. Tak perlulah nanti seorang demi seorang nak membacanya.
"Astaghfirullahalazim!" Istighfar terlantun dari celahan dua bibir Ustaz Naim.
"Orang ni dah melampau, ustaz!" ujar Yusouf.
"Yalah, ustaz. Mungkin ini kerja orang yang dengkikan orang Islam." Salman yang berada di sebelah Ustaz Naim mencelah.
"Yahudi dan Nasara memang tak suka melihat Islam berkembang." Farooq menyampuk. Beberapa orang pelajar yang berada di situ mula bercakap sesama mereka. Noah Bruno, pelajar yang paling berusia dan pendiam di Darul Uloom cuma pasang telinga.
"Jangan-jangan ini kerja perempuan Yahudi itu. Dia kan selalu lalu di kawasan ni?" teka Yusouf Herbert.
"Tapi mesej-mesej sebelum ni macam daripada orang yang tak percayakan Tuhan." Abu Hasif mempertikaikan tekaan Yusouf itu.
"Manalah tahu dia buat tembok depan madrasah tu sebagai tembok ratapan." Yusouf berkata lagi.
"Tembok ratapan?" Abu Hasif yang masih budak lagi itu kurang mengerti.
"Alah! Orang Yahudi kat Jerusalem sana kan sembahyang mengadap tembok? Tembok tu merupakan sisa peninggalan tembok yang dibina oleh Nabi Sulaiman," Yusouf menjelaskan.
"Tapi kenapa pula dipanggil tembok ratapan?" soal Abu Hasif lagi.
"Sebab kat tembok itulah mereka meratap-ratap meminta ampun kepada Tuhan. Mereka percaya tembok kuil yang dibina oleh Nabi Sulaiman musnah sebab Tuhan murka dengan kesombongan mereka yang lalu."
"Oh, kalau begitu tembok ratapan bukan di Jerusalem." Abu Hasif membetulkan fakta Yusouf Herbert.
"Kat Jerusalemlah! Kau tahu sejarah atau tak?" Yusouf Herbert mula nak marah apabila Abu Hasif berlagak pandai sedangkan semua orang tahu tembok ratapan berada di Jerusalem.
"Tembok ratapan ada kat neraka." Selamba saja Abu Hasif menjawab. Jawapannya itu membuatkan Ustaz Naim dan para hufaz yang lain tertawa termasuklah Yusouf Herbert. Manakala Noah Bruno cuma tersenyum kecil. Dia turut terhibur dengan keletah Abu Hasif itu.
"Kita tak tahu apa motif sebenar si penulis. Mungkin dia sekadar meluahkan rasa hati atau mungkin juga dia marah dengan apa yang saya tulis tempoh hari. Jadi kita tak perlu terburu-buru membuat kesimpulan." Ustaz Naim berkata. Selain daripada tak mahu isu itu diperbesarkan, Ustaz Naim juga tak mahu perkara itu mengganggu fikiran dan konsentrasi para hufaz.
USAI solat isyak, Ustaz Naim menyerahkan kesemua nota yang dilekatkan pada tembok batu kepada rakannya, Ustaz Hafiz Patel. Kesemua nota yang ditampal pada tembok batu itu dia kumpul dan simpan di dalam lacinya.
Tuhan tak pernah ada. Kalau Tuhan ada, dia tak akan biarkan aku derita.
Kalau begitu, tak perlu kompelin tentang kau punya derita. Bukannya Tuhan ada untuk mendengar. Relaks dan tunggu saja masa kau mereput dalam tanah.
Ustaz Hafiz Patel tersenyum kecil seraya menggelengkan kepalanya sebaik sahaja membaca nota yang menjadi punca kemarahan si penulis misteri.
"Wallahi! Saya tak berniat nak buat provokasi. Saya ingat nak bersarkastik saja sebab dia tak sudah-sudah menyalahkan Tuhan yang mendatangkan kesusahan dalam hidup dia."
Ustaz Naim sedikit kesal kerana membalas sedemikian rupa. Benarlah tak semua orang boleh menerima kata-kata sindiran seperti itu. Dia akan lebih berhati-hati selepas ini.
Ustaz Hafiz Patel membaca pula beberapa lagi nota terdahulu daripada si penulis misteri.
Bodohlah orang yang menyembah sesuatu yang dia tak nampak.
Kalau Tuhan ada, kenapa dia biarkan hidup ini tak seimbang? Kenapa mesti ada suka dan duka? Kenapa dia biarkan peperangan berlaku? Kenapa yang baik terus ditindas? Kenapa? Kenapa?
Nota yang lain pula berbunyi...
Hek eleh! Mafia pun boleh hidup kaya raya tau! Itu tandanya kalau nak berjaya, kena usaha bukan dengan mengharapkan semuanya kepada Tuhan yang tak pernah nampak tu.
Ustaz Hafiz Patel menghela nafas panjang.
"Saya risau kalau dibiarkan, dia akan mempengaruhi para hufaz di sini terutamanya saudara baru."
"Betul kata ustaz. Pelajar di sini pun masih muda dan mentah. Lagi dekat seorang hamba itu kepada Allah, lagi kuat godaan syaitan." Ustaz Naim bersetuju dengan pandangan rakannya itu. Walaupun mereka penghafal kitab suci Allah, namun syaitan tak pernah berhenti dari meneruskan agenda mereka. Lebih-lebih lagi beberapa orang pelajar di situ baru saja memeluk Islam. Asas iman mereka masih belum kukuh. Kedua-dua tenaga pengajar itu bimbang jika pelajar-pelajar yang baru memeluk Islam itu akan terpengaruh.
"Ustaz tak pernah nampak siapa yang letakkan nota-nota ni?" Macam polis pula Ustaz Hafiz Patel menyoal. Ustaz Hafiz tak tinggal di Darul Uloom 24 jam. Dia telah berkeluarga dan rumahnya tak jauh dari situ, iaitu hanya beberapa minit saja perjalanan dengan menaiki kereta.
Kedengaran helaan nafas berat daripada Ustaz Naim. Dia tak pernah nampak siapa yang menampalkan nota-nota itu pada tembok batu. Selama ini dia tak begitu ambil peduli tentang itu. Pada tanggapannya ia cuma luahan hati seseorang. Namun apabila ia telah melibatkan Islam, timbul pula sedikit kebimbangan di hatinya. Mungkin ada yang tak berpuas hati dengan kewujudan Darul Uloom di situ.
MARCIA mengira-ngira not kertas yang diterimanya. Kali ini dia merasakan ia lebih banyak dari selalu. Marcia mengira sekali lagi. Sah! Memang terlebih. Bukan 50 atau 500 tapi 2000 Franc! Dahinya berkerut rapat.
Nadine tersenyum memerhatikan gelagat ibunya itu. Reaksi ibunya itu sudah dijangkanya. Sememangnya duit yang diberikan kepada ibunya itu lebih dari biasa.
"Kamu dapat bonuskah, Nadine?" soal Marcia.
"Mama, aku dapat kerja yang lebih bagus. Upahnya boleh tahan."
"Syukur! Tuhan masih sayangkan kita," ujar Marcia. Rasa tak sia-sia dia selalu ke gereja, mengadukan untung nasibnya kepada Tuhan.
"Ha... Jangan lupa mengadukan kepada Tuhan yang anak mama ni kena menari tiang untuk dapatkan duit!" Nadine berkata sinis. Dia bukan nak sindir ibunya tetapi dia mahu menyindir Tuhan. Sejak keluarganya ditimpa masalah yang berpanjangan, kepercayaannya kepada Tuhan sudah hilang.
"Nadine! Jangan menyalahkan Tuhan. Kamu tak pernah mahu datang kepada Tuhan, macam mana Tuhan nak tolong kamu?"
"Sudahlah, mama. Jangan bercerita pasal Tuhan lagi. Untuk pengetahuan mama, semua hutang papa, aku dah langsaikan. Aku juga dah dapat rumah sewa. Jadi mama dan Natalia bolehlah tinggal dengan aku."
"Kita dah bincang soal ini kan, Nadine?" Marcia tetap tak bersetuju. Dari dulu lagi Nadine sibuk nak pindah dan tinggalkan bapanya sendirian. Kemahuan Nadine itu tak akan terjadi.
"Cukup-cukuplah tu, mama. Sampai bila nak tanggung biawak hidup?"
"Nadine, mama tahu kamu marahkan papa tapi cubalah faham, papa teraniaya."
"Teraniayalah sangat. Bukan dulu papa pernah aniaya Pak Cik Marcel?" Nadine ungkit tentang papanya yang pernah mencuri duit Marcel, kawan baiknya sendiri.
"Kenapalah kamu tak pernah nak memahami?" Marcia hela nafas berat. Puas dia cuba memahamkan Nadine bahawa papanya itu memang dianiaya sampai pernah masuk wad gila. Kalau tak, mereka tak akan saja-saja tinggalkan Amerika.
"Natalia, kau ikut aku." Nadine toleh kepada adik perempuannya yang masih bersekolah. Dari tadi dia memerhatikan saja ibu dan kakaknya bertekak. Isu yang sama tak sudah-sudah.
"Saya tak nak!" Natalia terus memberikan jawapan tanpa perlu berfikir panjang.
"Natalia, rumah sewa aku tu cukup bagus untuk kau. Di sana pun ada sekolah. Nanti aku uruskan pertukaran sekolah kau."
"Saya tak akan pergi tanpa mama dan papa!" Suaranya ditinggikan sedikit agar kakaknya faham apa pendiriannya.
"Kau pun sama nak dukung biawak hidup? Eh, bukan... Jerangkung dalam almari."
"Nadine!" bantah Marcia. Dia tak suka Nadine menyindir-nyindir sebegitu.
"Mama harap sangat kamu memahami keadaan papa kamu tu," lanjut Marcia lagi.
Nadine mencemik muka. Masih lagi ibunya mahu membela suaminya itu.
"Aku dah penatlah, mama. Papa tak pernah nak berubah pun. Aku pun hairan macam mana mama boleh bertahan?"
"Ini bukan soal bertahan atau tidak, kakak. Tapi ini soal kasih sayang."
"Yang aku penat kerja siang malam tu tak cukup kasih lagi?" Nadine pintas kata-kata Natalia. Sakit hatinya bila soal kasih sayang pula yang dijadikan isu. Seolah-olah dia tak ada perasaan kasih terhadap bapa mereka.
"Abang kau yang tak guna tu. Ada dia kesah pasal kasih sayang keluarga? Aku kerja teruk-teruk suruh belajar tapi dia lagi suka jadi kutu rayau," lanjut Nadine.
"Kalau kakak nak pindah, kakak pindahlah. Saya dengan mama akan terus tinggal di sini." Natalia beri kata putus.
"Ah, apa yang aku buat semua tak dihargai!" Nadine mula meradang.
"Bukan kami tak hargai kamu, tapi kami kasihan dengan papa kamu," Marcia pula menyampuk.
"Terpulanglah pada mama. Kalau dia buat hal lagi lepas ni, jangan harap aku nak tolong!" Nadine capai jaketnya di atas kerusi. Kemudian dia beredar ke pintu.
"Aku nak blah dulu. Duduk lama-lama pun buat tambah sakit hati aje!"
Degunggg! Pintu rumah dihempasnya.
"Ergh!" Nadine melepas geram dengan menendang pintu. Kemudian dia mengatur langkah meninggalkan rumah kediaman ibu bapanya itu.
MARCIA peluk anak bongsunya kejap-kejap. Walaupun Natalia baru berusia 12 tahun, tapi dia sudah memahami banyak perkara.
"Kalaulah kakak kamu boleh faham, kan senang?"
Marcia menghela nafas panjang. Anak sulungnya memang bersikap keras tapi Marcia tahu anaknya itu jugalah yang menjadi tonggak harapan keluarga. Walaupun punya anak lelaki, tetapi tanggungjawab ketua keluarga terletak di bahu Nadine sepenuhnya. Nadine sanggup meninggalkan pengajiannya untuk melihat adik-adiknya berjaya tapi sayang, anak lelakinya seorang yang suka memberontak dan sering bergaduh dengan kakaknya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro