Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Jerman, 2014.

"JANGAN berani nak ambil anak aku!" Wanita itu menjerkah kuat ke arah lelaki yang cuba mengangkat anak kecilnya dari katil bayi. Suara herdikan membuatkan lelaki itu terkejut lalu berpaling.

"Ini anak aku!" Lelaki itu membalas herdikan dengan herdikan juga.

"Hei! Kau memang dah melampau!" Pisau yang disorokkan ke belakang pantas ditusuk ke perut lelaki itu. Sudah lama wanita itu bersabar. Kali ini dia tak akan membiarkan lelaki itu membawa lari anaknya.

"Aduh!" Tiba-tiba lelaki itu merasakan perutnya pedih. Kepalanya segera ditundukkan ke bawah. Kelihatan sebilah pisau sudah terbenam di perutnya.

"Kau tikam aku?" Tak percaya wanita itu sanggup melakukan sejauh itu.

"Padan muka kau. Aku memang dah lama nak kau mati!"

"Aduhhh! Sakitnya... Kau dah gila!"

"Kalau aku gila pun, semuanya sebab kau!" Segera dia mengambil anak kecil yang tak tahu apa-apa itu dari katil bayi. Dia mesti pergi dari situ sebelum anaknya dilarikan orang.

"Jangan ambil anak aku! Itu anak aku!"

"Ramazan! Awak bermimpi lagi?" Leyla mengejutkan suaminya yang terjerit-jerit dalam tidurnya.

"Astaghfirullahalazim! Astaghfirullahalazim!" Ramazan beristighfar sebaik sahaja dia menyedari itu cuma igauannya saja.

"Ni mesti awak tak baca doa tidur." Leyla bersuara. Peluh yang merenik di muka suaminya dikeringkan dengan telapak tangan.

"Perempuan tu... Dia nak bunuh saya, Leyla." Tergagap-gagap bibirnya menuturkan apa yang dimimpikannya sebentar tadi. Hampir setiap malam dia mengalami mimpi yang sama.

"Itu cuma mimpi. Mimpi kan mainan tidur? Itulah, lain kali jangan lupa buat adab tidur." Leyla peluk bahu suaminya. Dia mahu menenteramkan perasaan suaminya itu.

"Leyla... Siapa budak perempuan yang sering datang dalam mimpi saya itu?" Ramazan buntu memikirkan mimpi yang sering mengganggu lenanya. Puas dia cuba mengingati siapa pemilik wajah yang dimimpikannya itu namun otaknya gagal menterjemah.

"Dan perempuan itu... Kenapa dia nak bunuh saya?"

"Sudah, jangan fikir yang bukan-bukan. Itukan cuma mimpi? Sekarang awak tidur ya," kata Leyla.

Selimut yang sudah tersingkap hingga ke pinggang suaminya ditarik. Kedudukan selimut dibetulkannya agar suaminya itu tidak kesejukan. Sesudah itu Leyla merebahkan tubuhnya pula.

Switzerland, 2014.

SELUARNYA disingsing tinggi tapi tidak melebihi paras lutut. Walaupun tiada sesiapa di situ, auratnya tetap dijaga. Dengan berhati-hati, Ustaz Naim mengambil kelongsong yang tersangkut di celah batu. Kelongsong itu digoncang-goncang dua tiga kali bagi membuang sisa-sisa air yang masih membasahi bekas itu. Setelah memastikan tiada lagi air, barulah penutup kelongsong dibukanya. Di dalamnya terdapat sehelai kertas lukisan yang belum selesai dilukis. Mujurlah kelongsong tempat menyimpan lukisan itu kejap dan tidak telus air. Kalau tidak, tentu sudah rosak lukisan yang dilakar dengan pensel itu.

Dia ke sini untuk melukis rupanya! Ustaz Naim membuat kesimpulan. Ustaz Naim pasti lukisan itu milik perempuan yang sering diperhatikannya dari tingkap. Lakaran pada kertas lukisan itu diamatinya lagi.

"Cantik." Kata pujian terlantun. Lakaran sungai yang berlatarbelakangkan bangunan madrasah menarik hatinya. Kertas lukisan kemudian digulung, lalu disimpan kembali ke dalam kelongsong.

Ustaz Naim menghalakan pandangannya ke arah depan pula. Beberapa meter dari tempat dia berdiri, terdampar sebuah basikal. Perlahan-lahan arus Sungai Sihl yang cetek dan terasa sejuk di kaki itu diranduk. Ustaz Naim mahu mendapatkan basikal itu.

Kelongsong lukisan disangkutkan pada bahu bagi memudahkannya mengangkat basikal yang ditinggalkan di dalam sungai. Hairan juga di hati kecilnya kenapa perempuan yang sering bertandang di pinggiran sungai itu meninggalkan basikalnya di situ. Kalau di pinggir sungai, ada logiknya, ini dalam sungai! Sebaik sahaja basikal yang tidak bertongkat itu dikeluarkan dari sungai, Ustaz Naim sandarkan pada tepi pokok kecil. Kelongsong menyimpan lukisan yang tadinya disangkut pada bahu, kini digantungkan pada hendal basikal.

Usai segala kerjanya, Ustaz Naim melabuhkan duduknya di atas rumput di pinggiran sungai. Dia mahu menghirup udara segar seketika seraya menikmati kehijauan panorama.

SENYUMAN dilakar sebaik sahaja dia melihat basikalnya elok tersandar pada pokok. Tambah menggembirakan Miriam apabila kelongsong lukisannya juga elok digantung pada hendal basikal. Lekas-lekas Miriam buka penutup kelongsong untuk melihat lukisannya. Dahinya berkerut sebaik sahaja dia melihat satu kertas yang agak pelik lakarannya. Seingat Miriam bukan dia yang melukisnya.

"Maze?" Bibirnya melontarkan dialog. Puas Miriam memerhatikan garis-garis kotak yang berupa permainan mencari jalan keluar itu.

"Tapi kenapa kotak-kotaknya terasing? Jika ia sebuah maze, tentulah kotak-kotaknya bercantum dan ada satu jalan keluar yang perlu dicari." Miriam memerah otaknya lagi. Berfikir tentang apa sebenarnya yang dilakar.

"Akanku tanyakan Mak Cik Debbie."

Kertas lukisan yang bukan miliknya itu digulung elok-elok. Setelah itu Miriam masukkan semula ke dalam kelongsong. Usai semuanya, Miriam segera mengayuh basikalnya. Dia mahu segera pulang. Hari ini tak jadi melukis kerana dia tak sabar-sabar mahu tahu apa maksud lakaran yang seperti sengaja mahu diberikan kepadanya itu.

TAK berkedip mata Debbie memerhatikan lukisan yang diserahkan oleh Miriam kepadanya sehingga berkerut-kerut dahinya cuba mentafsir. Kemudian dia menggeleng. Tak mampu dia menterjemahkan kerana dia langsung tidak memahami apa yang dilakarkan.

"Debbie! Mana kamu dapat kaligrafi tu?" Suara Judith memeranjatkan Debbie dan Miriam. Kedua-duanya kemudian saling berpandangan. Miriam bimbang jika ibunya tahu bahawa lukisan yang dikatakan sebagai kaligrafi itu didapatkannya dari Darul Uloom. Pasti teruk dirinya dimarahi nanti kerana sudah acap kali ibunya melarang dia menghampiri kawasan pengajian orang-orang Islam itu.

Lukisan di tangan Debbie dirampas kasar.

"Mesti penghuni di situ yang berikan kaligrafi ni. Betul tak, Miriam?" Pic suara Judith sudah meninggi. Wajah anaknya ditenung dalam-dalam. Miriam tak berani membalas tenungan ibunya itu. Kepalanya ditundukkan, merenung lantai.

Shrettt! Bunyi kertas lukisan dikoyakkan. Shret! Shret! Shret!!!

"Eema! Sampai hati eema..." Miriam marahkan ibunya yang mengoyak-ngoyakkan kaligrafi itu.

"Eema dah pesan pada kamu agar tidak ke sana. Kenapa kamu degil?" Sakit hatinya dengan kedegilan anak tunggalnya itu. Namun Miriam jugalah sumber kekuatan hidupnya. Bagi Judith, Miriam adalah racun dan Miriam jugalah penawar.

"Semua yang saya suka, eema tak suka. Eema cuma mahu lakukan apa yang eema suka saja. Ich hasse dich. I hate you!" Miriam kemudiannya berlari ke biliknya.

"Maaf puan, tapi puan tak sepatutnya buat macam tu..."

"Bukankah saya dah suruh kamu perhatikan dia supaya jangan sampai bertemu dengan penghuni di sana?" Judith mengungkit kesilapan pembantu rumahnya itu.

"Errr... Maafkan saya puan tapi setahu saya, Miriam tak pernah pun berbual dengan penghuni di sana. Saya jamin puan." Debbie sebenarnya juga hairan dari mana Miriam mendapatkan kaligrafi tersebut.

"Tentu ada pelajar di sana yang memberikannya kepada Miriam. Jangan benarkan Miriam ke sana lagi." Judith memberi arahan. Dia tak suka anak gadisnya itu bercampur dengan orang-orang Islam kerana dia bimbang nanti mereka akan mempengaruhi fikiran anaknya itu.

MELALUI enjin pencarian Google, Miriam mencari perkataan kaligrafi. Bibir nipisnya menggaris senyuman sebaik sahaja enjin pencarian Google memaparkan beberapa imej yang berkaitan dengan kaligrafi.

"Tapi... Satu pun tak sama macam apa yang aku dapat." Berkerut dahi Miriam memikirkan lakaran yang diletakkan ke dalam kelongsong lukisannya. Walaupun sudah dikoyak ibunya tapi dia masih ingat lagi bentuknya. Miriam pasti ia bukan seperti yang terpapar pada skrin komputer ribanya itu.

Melalui laman sesawang Wikipedia, Miriam mendapati kaligrafi berasal dari perkataan Greek kuno iaitu kallos graphe yang bermaksud tulisan cantik. Dari Wikipedia juga Miriam mendapati bahawa orang Islam juga memiliki kaligrafi mereka sendiri. Pantas Miriam membuat proses carian lagi. Kali ini imej yang terpapar benar-benar membuatkan dia terpanar seketika.

"Wow!" Miriam kagum melihat pelbagai bentuk lakaran yang terpapar. Ia merupakan tulisan yang dilakar umpama sebuah lukisan. Ada imej masjid yang menjadi tempat bersembahyang orang-orang Islam, buah-buahan, binatang dan pelbagai lagi. Namun apa yang dicarinya masih tak ditemui.

"Gambar yang aku dapat tu bentuk petak-petak... Betulkah kaligrafi?" Miriam kembali keliru.

Tok! Tok! Tok! Pintu biliknya diketuk. Komputer ribanya lekas-lekas ditutup.

"Masuklah, Mak Cik Debbie!" Miriam tahu pastinya pembantu rumah yang mengetuk pintu. Jangan haraplah ibunya yang datang memujuk. Ibunya hanya tahu mengarah tapi tak pernah cuba menyelami perasaan hatinya.

"Miriam sayang! Masa untuk makan malam. Eema sedang menunggu di ruang makan."

"Saya tak lapar, Mak Cik Debbie." Selera makan Miriam tiba-tiba saja hilang apabila mendengar perkataan eema. Perkataan itu sepatutnya menggembirakan hati seorang anak tapi tidak bagi ibu yang bergelar Judith Shivav. Bagi Miriam, Judith Shivav ini seorang yang berjiwa kejam. Lebih kejam dari jiwa seorang nazi. Judith Shivav hanya tahu fikir tentang perasaannya saja.

"Kenapa ni, sayang? Masih marahkan eema kamu?" Debbie menghampiri katil di mana anak majikannya yang bagaikan anaknya itu sedang meniarap. Sejak petang tadi anak gadis itu berkurung di dalam biliknya. Merajuk kerana kaligrafi yang diterimanya itu telah dikoyakkan.

"Kamu tahu kan, kenapa eema melarang kamu ke sana?" soal Debbie lagi.

"Tapi saya cuma ke pinggir sungai saja, Mak Cik Debbie." Miriam meluahkan rasa tak puas hatinya.

"Mak cik tahu. Tapi boleh tak kamu cuba fahami perasaan eema kamu tu?" Debbie membelai rambut Miriam. Dia mahu memujuk gadis yang sedang bersedih itu.

"Tapi eema tak pernah pula nak ambil tahu perasaan saya. Saya bosan terkurung, mak cik. Kawan-kawan pun tak ada." Miriam meluahkan apa yang dia rasakan selama ini.

"Mak cik tahu. Tapi kamu bersabar, ya? Bila urusan eema dah selesai, kita akan pulang ke Israel. Di sana nanti kamu akan ada ramai kawan." Debbie terus memujuk.

"Boleh saya pergi lagi esok, mak cik?" Miriam tak pedulikan larangan ibunya. Dia bertekad mahu ke Darul Uloom untuk bertanyakan tentang kaligrafi tersebut.

"Kamu tak boleh ke sana lagi, sayang. Nanti eema kamu marah."

"Mak cik janganlah beritahu eema."

"Miriam... Mak cik cuma pembantu rumah. Mak cik tak boleh langgar sebarang arahan daripada eema kamu." Debbie mengingatkan anak majikannya tentang kedudukannya di dalam keluarga kecil itu.

"Mak Cik Debbie, saya bukan budak kecil lagi! Saya tetap akan pergi." Keras nada suara Miriam kali ini.

"Ia cuma sebuah kaligrafi, sayang. Tak berbaloi hanya kerana sebuah kaligrafi kamu bermasam muka dengan eema kamu. Bukankah selama ini eema kamu yang membesarkan kamu?" Dengan lembut, Debbie menasihati Miriam. Dia tahu Miriam bukanlah anak yang jahat sehingga tak menghormati atau mengasihi ibu sendiri. Anak itu sebenarnya tertekan. Mahu menyalahkan majikannya seratus peratus pun tak boleh juga kerana majikannya mempunyai alasan tersendiri kenapa beliau terlalu mengongkong pergerakan anak gadisnya itu.

"Miriam, mak cik tak mahu kamu berdua bergaduh atas perkara yang remeh-temeh." Debbie terus memujuk. Tak guna mereka anak-beranak bergaduh hanya kerana sebuah kaligrafi.

"Eema selalu macam tu. Apa lagi yang eema mahu aturkan untuk saya, Mak Cik Debbie?" Miriam marah dengan tindakan ibunya yang terlalu mengatur perjalanan hidupnya sehinggakan dia terpaksa menurut sahaja segala kemahuan ibunya itu. Pengajiannya sering saja terbantut kerana ibunya sering berpindah-randah sejak dia kecil lagi. Sudah berapa kali mereka berpindah, Miriam tak pernah mahu mengira lagi. Sekarang, dia cuma menanti saja ibunya membuka mulut mengajak mereka pulang ke Israel.

"Macam ni la... Buat masa sekarang, kamu jangan sakitkan hati eema lagi. Kita tunggu sampai eema sejuk hati dan melupakan soal ini. Kemudian nanti kamu ke sana senyap-senyap." Debbie menyarankan. Tak sampai hati mahu menghampakan harapan anak majikannya itu. Dia menjaga Miriam sejak gadis itu berusia sepuluh tahun. Miriam ditatang bagai minyak yang penuh.

"Betul ni?" Miriam sudah teruja. Debbie mengangguk seraya tersenyum.

"Saaayang Mak Cik Debbie." Wanita lewat 40-an itu pantas dipeluknya.

"Sekarang kita turun makan malam," pinta Debbie. Kali ini Miriam tidak lagi membantah. Pembantu rumah itu benar-benar memahami kehendaknya sebab itulah dia amat menyayangi wanita itu. Malah, adakalanya dia merasakan sayangnya kepada Debbie mengatasi sayangnya kepada ibunya sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: