Bab 2
"KELUAR! Aku kata keluar!" Nadine menarik tangan bapanya yang bersembunyi ketakutan di dalam almari. Dia sudah tidak tahan melihat perangai bapanya itu. Bila berasa takut, bapanya akan lari bersembunyi di dalam almari. Tapi bila ketagihannya datang, satu rumah diamuknya.
"Aku tak mahu! Aku tak mahu!"
"Nadine! Kenapa berkasar dengan papa?" Marcia memarahi anaknya. Cengkaman tangan Nadine lantas dibuka. Tak sanggup dia melihat suaminya diperlakukan sedemikian oleh anak sendiri.
"Itulah mama! Bila aku nak bantu, mama larang." Nadine semakin meradang. Sakit hatinya apabila ibunya masih mahu menyebelahi bapanya itu.
"Bantu apa namanya macam tu? Kamu kan tahu, papa kamu kemurungan?"
"Kemurunganlah sangat... Padahal tak dapat 'bekalan', kan?" sindir Nadine. Bukan dia tak tahu bapanya penagih dadah tegar.
"Kamu memang selamanya tak pernah nak memahami." Marcia kecewa dengan sikap anak perempuannya itu. Memang susah kalau bercakap dengan Nadine yang sengaja tak mahu percaya dengan apa yang dialami oleh bapanya itu.
"Aku yang tak nak faham atau papa? Dah lima tahun, mama! Papa tak kerja aku tak kesah, tapi jangan susahkan aku, boleh tak?" Suara Nadine meninggi. Bekerja siang dan malam tidak menjadi hal baginya demi keluarga tapi dia sakit hati bila dikejar pemiutang angkara bapanya. Bukan sikit hutang bapanya itu.
"Mama tahu kamu dah banyak berkorban untuk keluarga tapi papa perlukan sokongan kita."
"Kalau macam tu, baik mama kunci aje almari tu. Biar jerangkung itu mereput kat situ." Tak tahu lagi macam mana Nadine mahu menangani masalah bapanya itu. Bukan bapanya tak pernah pergi jalani rawatan tapi jalan singkat itu juga yang dipilih. Mengambil dadah untuk meredakan tekanan bukannya penyelesaian jangka panjang bagi Nadine. Bahkan menyusahkan orang di sekeliling.
"Kau tak tahu apa yang aku alami!" bantah Diego dari dalam almari. Anak sulungnya itu sering saja tak selari pandangan dengannya. Disebabkan itu, mereka sering bertengkar.
"Aku tahu, papa! Pengecut yang lari dari tugas sememangnya patut bersembunyi dalam almari." Nadine mengejek bapanya.
"Aku bukan pengecut!" Diego membantah lagi dari dalam almari.
"Tapi pengecut tak meraih asylum, papa!" jerit Nadine. Sudah berkali-kali bapanya itu menjadi mangsa kutukannya. Dia tak peduli kerana padanya bapanya itu memang muka tembok.
"Nadine! Jaga mulut tu. Itu kan papa kamu?" marah Marcia.
"Aku lebih suka tak ada papa daripada punya papa yang meraih asylum dari negara orang, mama."
"Tak patut kamu cakap macam tu..."
"Suka hati mamalah! Aku nak pergi kerja ni," Nadine pantas memintas.
"Lewat karang, si botak tu bising. Siap nak potong gaji!" lanjut Nadine seraya bersegera keluar.
DUA orang lelaki berbadan sasa yang mengekorinya sejak tadi membuatkan Nadine cuak. Langkahnya diatur laju. Nadine mahu segera ke tempat kerjanya. Semakin laju kakinya melangkah, semakin dekat dua lelaki itu menghampiri dan akhirnya Nadine terpaksa pecut langkah seribu. Tercungap-cungap Nadine cuba bersembunyi. Dia bimbang sekiranya dua orang lelaki itu merupakan orang-orang yang mahu menuntut hutang.
"Mana mahu lari?" Suara garau yang menampar gegendang telinganya membuatkan jantung Nadine seakan-akan berhenti mengepam. Nampaknya dia tak mampu mengelak lagi.
"Aku tak ada duit!" Nadine pantas bersuara. Memang sah dua lelaki itu si pengutip hutang.
"Aku tak peduli! Aku nak kau bayar sekarang juga." Lelaki yang bersuara parau terus memaksa.
"Bukan aku yang berhutang dengan kau!" Nadine masih mahu membalas. Sakit hatinya kerana tak pasal-pasal dikejar pemiutang sedangkan yang berhutang ialah bapanya.
"Kau sebagai anak kenalah tolong bayarkan. Lagipun kau anak yang baik. Kau bekerja untuk sara keluarga kau, jadi apa kata kau tolong bayarkan sekali hutang bapa kau?" Lelaki kedua pula bersuara. Kemudian dia menyentuh rambut Nadine. Dia cuba membelai namun pantas Nadine menepis.
"Aku bagi kau tempoh seminggu, kalau tidak, nahas kau!" Kali ini lelaki kedua bernada kasar. Rambut Nadine yang panjang melebihi bahu itu ditariknya sehingga membuatkan kepala Nadine terdongak ke atas.
"Sakitlah!" Nadine masih mahu melawan. Dia meronta-ronta untuk melepaskan dirinya namun semakin kuat pula rambutnya ditarik sehingga memaksa dirinya berdiam.
"Okey! Aku bayar minggu depan." Nadine melafaz janji. Janji yang entah kali keberapa ditabur namun masih belum lagi mampu dikota.
Genggaman pada rambut Nadine dilepaskan sebaik sahaja janji mahu melunaskan hutang terlafaz. Kemudian tawa kecilnya dilepaskan pula. Seronok mengugut orang yang lemah.
"Minggu depan!" Sekali lagi Nadine diingatkan. Sebilah pisau dikeluarkan pula. Hujung pisau yang kelihatan berkilat itu disapu-sapu beberapa kali. Tanpa memberi amaran terlebih dahulu, pisau itu lantas diletakkan pada batang leher Nadine.
"Okey, okey..." Suara Nadine terketar-ketar menahan gementar. Bila-bila masa saja lehernya boleh tercalar dek pisau tajam yang berkilat itu. Silap hari bulan nyawanya melayang di situ juga.
"Ingat! Jangan sesekali cuba nak tipu!" Lelaki yang mengacahkan pisau berkata lagi dengan suaranya yang garau. Kemudian pisau dijatuhkan dari batang leher Nadine. Setelah itu kedua mereka beredar.
"Fuh!" Nadine kini mampu menarik nafas lega.
MIRIAM, Debbie dan Judith tekun menjamah makanan seraya berbual-bual. Setiap awal bulan mereka bertiga akan makan di luar. Bagi Judith, itu saja caranya untuk menghiburkan sedikit hati anaknya. Setelah dipaksa meninggalkan pengajian di kolej, Judith tahu anak perempuannya itu masih marahkannya. Harapannya suatu hari nanti Miriam akan faham kenapa dia berbuat demikian.
Sementara itu di bahagian dapur restoran, Marcel tak sudah-sudah membebel marahkan Nadine yang baru saja tiba. Restoran agak kelam-kabut kerana pada setiap awal bulan memang ramai pelanggan. Masa inilah pula pekerjanya itu mahu datang lewat.
Nadine bergegas menyarung pakaian kerjanya. Pesanan yang dibuat oleh pelanggan perlu dihantar segera kalau tidak nanti mereka kompelin dan boikot restoran milik majikannya itu. Alamat kelak hilang pula salah satu daripada sumber mata pencariannya.
"Aku tolak gaji kau, Nadine!" marah Marcel. Disebabkan kelewatan Nadine, pelanggan sudah mula bersungut kerana pesanan mereka lambat tiba.
"Mana boleh, aku perlukan duit untuk bayar hutang papa minggu depan."
"Kau lewat! Pelanggan dah kompelin."
"Marcel, kau jangan membebel, nanti aku kerja lebih masa untuk ganti balik masa aku." Nadine membalas seraya menyusun hidangan yang dipesan ke dalam dulang untuk diberi kepada pelanggan. Nadine sedikit pun tak takut dengan ugutan Marcel itu kerana walaupun dia tahu lelaki botak itu kuat membebel tapi hatinya baik. Marcel merupakan kawan baik kepada bapanya, Diego.
"Kau tambah dua jam esok," arah Marcel.
"Setengah jam." Nadine bertegas. Dia cuma lewat 20 minit saja. Memang berkira sungguh Marcel.
"Satu jam!" Marcel meninggikan sedikit suaranya kepada Nadine yang sudah beredar untuk menghantar pesanan.
"Dealed!" Nadine membalas dalam laungan juga. Makanan yang dibawanya kemudian diletakkan ke atas meja pelanggan. Sesudah itu, Nadine bergegas semula ke dapur untuk mengambil pesanan yang lain pula.
"Oh-pah!" Minuman yang dibawa Nadine tumpah ke baju Judith yang baru saja melangkah hendak ke tandas.
"Maaf... Maaf, puan!" Nadine panik. Kerana mahu cepat menghantar pesanan pelanggan, tanpa sengaja dia terlanggar Judith.
"Nadine!" Marcel yang terpandangkan insiden itu lekas-lekas bergegas mendapatkan pelanggannya. Hati pelanggan mesti dijaga betul-betul. Tambahan pula restoran pada ketika itu penuh dengan pelanggan, jadi dia perlu bersikap profesional.
"Puan, saya minta maaf bagi pihak pekerja saya. Saya akan pastikan dia tidak cuai lagi," ujar Marcel.
"Tak apa. Saya tahu dia tak sengaja." Judith memberitahu. Wajah Nadine yang tampak panik itu dipandangnya.
"Terima kasih, puan." Nadine berasa teramat lega. Maklumlah tadi dia baru saja dimarahi Marcel. Sekiranya pelanggan mereka itu mahu mencipta isu, pasti kali ini Marcel tak akan memberi muka kepadanya lagi. Buatnya Marcel pecat dia, haru! Macam mana nak membantu ibunya lagi? Itu tak termasuk melangsaikan hutang bapanya serta belanja persekolahan adik-adiknya. Nak harapkan gaji bekerja di kelab malam semata-mata, masih tak mencukupi untuk melangsaikan hutang bapanya dalam masa yang terdekat ini. Kemudian Nadine toleh pula kepada dua orang perempuan yang sedang duduk di kerusi. Nadine memberikan senyuman kepada kedua-duanya. Senyumannya berbalas.
"Kau boleh pergi, Nadine. Pelanggan kita mahukan pesanan mereka disegerakan. Tolong hati-hati kali ini." Marcel mengingatkan Nadine.
"Aye aye, boss!" Nadine memberi tabik hormat. Sesudah itu dia segera beredar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro