Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

PUAS Miriam mencari lukisannya. Sana sini laci di dalam biliknya diselongkar. Dia yakin lukisan itu tak pernah dibawa keluar dari biliknya.

"Duhhh. Mana pula la aku letakkan?" Miriam berdiri tercegat depan almarinya seraya menggaru-garu kepalanya. Bukan gatal pun tapi dia cuba mengingatkan di mana kali terakhir dia meletakkan lukisannya itu.

"Apakah memang benar lukisan itu sudah berada di tangan Ustaz Naim?" Pipi Miriam rasa berbahang. Dia malu kalau betul lukisan itu sudah jatuh ke tangan Ustaz Naim.

"Tapi dia tak cakap apa-apa pun pasal lukisan. Patutkah aku tanyakan kepada Mak Cik Debbie?" Miriam berkata lagi.

"Tapi nanti tak pasal-pasal nak kena menjawab." Fikiran Miriam buntu. Selama ini Debbie cuma tahu dia ke sungai untuk mencari ketenangan dengan cara melakar keindahan pemandangan Sungai Sihl dan hutan Sihlwald. Sedikit sebanyak Miriam bimbang juga kalau Debbie tahu dia turut melakar wajah Ustaz Naim.

"Jangan-jangan eema yang ambil!"

Fuhh... Merenik peluh di dahinya saat mindanya memikirkan kebarangkalian kertas lukisannya telah diambil oleh ibunya. Jika benar, lagi parah!

USTAZ Hafiz Patel berbual-bual dengan kenalannya yang juga berbangsa Pakistan. Ustaz Naim pula sibuk mengambil barang-barang keperluan dapur pada rak. Kemudian barang-barang itu diletakkannya ke dalam troli.

Ustaz Naim dan Ustaz Hafiz membeli-belah keperluan dapur Darul Uloom dua minggu sekali. Mereka akan membeli dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan sebagai stok. Sekali-sekala anak murid mereka turut serta kerana mahu membeli barang namun selalunya mereka kirim Ustaz Naim sahaja untuk belikan.

"Hai!"

Sedang leka memilih barang-barang, Ustaz Naim mendengar suara menyapa. Lekas-lekas Ustaz Naim menoleh. Sebaik sahaja terpandangkan Nadine, Ustaz Naim melakar senyuman tipis sebagai tanda hormat. Kemudian dia berpaling. Wajib baginya mengalihkan pandangan apabila melihat sesuatu yang mencolok mata. Terpandang sekali rezeki. Pandang kali kedua mengundang dosa. Nak pandang lagi dan lagi memang sengaja cari nahas. Bersoraklah nanti para syaitan tertawa gembira kerana berjaya menggugat iman seorang Adam.

"Macam pernah jumpa." Nadine ramah berbicara namun bicaranya hanya sehala. Tiada respons daripada Ustaz Naim. Sebaliknya Ustaz Naim terus menolak troli meninggalkan Nadine.

Nadine pantas mengekori.

"Oh ya! Kita pernah berjumpa di stesen kereta api Zurich." Nadine mengingatkan. Namun masih lagi tiada respons daripada Ustaz Naim

Ustaz Naim membaca pula kertas senarai barang yang telah ditulisnya awal-awal lagi supaya tak lupa. Tiba-tiba saja kertas senarainya diambil oleh perempuan yang pernah bergaduh dengan para pelajarnya dahulu.

"Roti, susu, mentega..." Nadine membaca senarai barangan. Kemudian dia berganjak ke rak tempat menyimpan barang-barang yang diperlukan oleh Ustaz Naim. Ustaz Naim sekadar memerhati seraya berkerut dahi. Dia sebenarnya tergamam dengan apa yang dilakukan oleh Nadine.

Ah... Orang Eropah memang macam ni kut! Hati kecilnya berkata.

"Well, these are your things." Nadine meletakkan roti, susu dan mentega ke dalam troli yang dipegang oleh Ustaz Naim.

"I'm Nadine." Dengan senyuman yang lebar terlakar, Nadine memperkenalkan dirinya. Tangannya dihulur sebagai salam perkenalan.

Nadine menjatuhkan tangannya apabila huluran tangannya tak bersambut.

"Erm... Orang Asia memang tak bersalam, ya?" Soalan diaju.

"Orang Islam tak boleh bersentuhan dengan yang bukan mahram." Kali ini Ustaz Naim bersuara. Dia rasa terpanggil untuk menjelaskan sebelum perempuan itu tersalah anggap bahawa orang Asia sombong dan tiada adab.

"Mahram?" Berkerut dahi Nadine. Dia langsung tak faham maksud lelaki Asia itu.

"Ustaz! Kat sini rupanya. Puas saya cari." Ustaz Hafiz Patel menegur. Kemudian dia toleh kepada Nadine. Dahinya menggaris sedikit kerutan.

"Semua barang dah ada." Peluang untuknya mengelak daripada Nadine. Fuh! Tak pasal-pasal boleh bersama perempuan tadi. Kalau anak muridnya nampak, jenuh dia nak menjawab.

Ustaz Naim dan Ustaz Hafiz Patel kemudiannya bergerak menuju ke kaunter bayaran.

"Perempuan tadi tu nak apa?" Ustaz Hafiz bertanya.

"Errr..." Ustaz Naim menggaru kening.

"Tak ada apa-apa. Dia cuma nak ambil barang." Ustaz Naim berdalih kerana malas nak bersoal jawab. Dapat lepas daripada perempuan tadi pun sudah besar rahmat-Nya. Kemudian Ustaz Naim mengelap hidungnya yang mulai berpeluh.

Sementara itu Nadine pula berdiri tercegat memerhati kedua-duanya pergi sehingga hilang dari pandangan.

"Hmmm... Lelaki Asia yang pemalu!" Senyuman pada bibirnya terlakar lebar.

Wilayah Ticino: Seorang wanita ditahan di sebuah padang permainan di sini semalam. Wanita yang beragama Islam itu ditahan kerana memakai niqab yang hanya menampakkan dua biji mata. Undang-undang pengharaman niqab di Ticino telah berkuat kuasa sejak tahun 2013. Ketika ditahan, wanita berkenaan mendakwa dia sekadar melakukan suruhan agamanya. Ditanya kepada ibu bapa yang berada di padang berkenaan, rata-rata berpendapat selain daripada menakutkan anak-anak, menutup muka merupakan satu diskriminasi kepada golongan wanita.

Frederick tersenyum gembira setelah membaca berita mengenai seorang wanita Islam yang ditahan kerana memakai niqab di tempat awam. Ternyata propaganda yang dilakukan tampak berkesan.

"Lihat ini tuan..." Frederick menghulurkan surat khabar yang sudah dibacanya kepada Paderi Joshua.

"Sepatutnya kita ikut jejak Ticino. Bila kita tunjukkan ketegasan, baru mereka akan takut dan tidak menyebarkan fahaman mereka sewenang-wenangnya," ujar Frederick lagi.

"Tapi, tidakkah ini melanggar hak kebebasan beragama?"

"Ini negara kita, jadi hak kitalah untuk menggubal undang-undang apa pun," tegas Frederick.

"Setahu saya, parlimen belum lagi meluluskan usul pengharaman purdah di tempat awam. Kita tidak boleh mengadakan undang-undang kita sendiri sesuka hati." Paderi Joshua tidak bersetuju.

"Penguasaan di peringkat nasional mungkin tidak boleh kerana ia perlu mendapat kelulusan parlimen tapi kita boleh gunakan tiket undang-undang kawasan. Ini hanya dapat dilakukan dengan kerjasama serta persetujuan majoriti penduduk tempatan," jelas Frederick.

"Masalahnya, Zurich merupakan wilayah maju di mana majoriti penduduknya berfikiran lebih terbuka. Saya tak rasa undang-undang tempatan dapat digubal." Paderi Joshua tak bersetuju.

"Jadi kita perlu pergiatkan usaha meyakinkan penduduk tempatan. Kita perlu tegas dalam soal ini, tuan. Jika tidak, Darul Uloom akan terus berkembang." Pic suara Frederick yang menaik tiba-tiba membuatkan Paderi Joshua tersentak. Dahinya berkerut melihat reaksi Frederick yang bersungguh-sungguh mahu menyekat perkembangan Islam.

"Dulu lagi saya sudah bisingkan soal ini tapi apa yang tuan buat? Tak ada apa-apa! Hasilnya tuan lihat sendiri. Bangsa kita memeluk Islam dan menjadi pelajar di sana." Kemarahan Frederick semakin membuak. Secara tak langsung menyerlahkan apa yang berada dalam hatinya. Sememangnya telah lama dia bencikan Islam!

Tiga tahun yang lalu soal madrasah yang wujud di tengah-tengah kota Zurich pernah dibangkitkannya namun Paderi Joshua menganggap itu merupakan isu remeh. Menurut Paderi Joshua, Switzerland merupakan sebuah negara yang mengamalkan prinsip kebebasan dalam beragama. Ternyata kerisauannya itu berasas. Darul Uloom nampaknya semakin melebarkan sayap. Kata-kata Frederick terasa mengena setepek ke mukanya. Paderi Joshua sedar hakikat bahawa Islam semakin bertapak di bumi Zurich terpaksa diterima walaupun pahit. Ini jelas menunjukkan kelemahannya dalam mengembangkan agama Kristian.

"Saya tak bermaksud mahu melukakan hati tuan." Frederick menyedari akan perubahan pada riak wajah Paderi Joshua.

"Rang undang-undang yang telah diusulkan di parlimen itu mesti diluluskan jika kita tidak mahu melihat Jesus terus berkubur di bumi Zurich. Kita perlu pergiatkan usaha kita agar masyarakat setempat bersetuju dengan rang undang-undang yang dicadangkan," lanjut Frederick seraya bebola matanya memandang tepat ke muka Paderi Joshua yang sudah kehilangan kata-kata itu.

"Saya sebenarnya masih kabur dengan isu niqab ini, Frederick..." Paderi Joshua akhirnya bersuara.

"Apa yang tuan masih tak faham?" Nampaknya bukan mudah hendak mempengaruhi Paderi Joshua kerana ketua agama daerah Adliswil itu lebih cenderung kepada toleransi beragama.

"Apa rasionalnya pengharaman niqab ini, Frederick?" Soalan Paderi Joshua mengundang tawa Frederick. Ini tambah mengundang kehairanan di hati Paderi Joshua.

"Sekatan dalam mengamalkan ajaran Islam akan melemahkan orang-orang Islam. Jika ia berjaya seperti pengharaman menara, pengharaman yang lain pula akan menyusul." Paderi Joshua terangguk-angguk tanda faham.

"Apabila rang undang-undang ini diluluskan nanti, mahu atau tidak, orang Islam perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Lambat laun ajaran Islam semakin ditinggalkan." Frederick melanjutkan lagi. Paderi Joshua mengangguk lagi.

"Tapi usaha kita akan terhalang selagi Darul Uloom masih tertegak di bumi Swiss."

"Maksud kamu?" Paderi Joshua sering saja kabur.

"Tuan, musuh nombor satu kita sekarang ialah Darul Uloom. Darul Uloom merupakan pusat kekuatan kerohanian Islam di Zurich. Jika mereka kuat, orang-orang Islam di Swiss akan terus kuat." Kali ini dua kening Paderi Joshua bertaut pula.

"Oleh itu, Darul Uloom mesti dihapuskan." Wajah Paderi Joshua yang masih lagi tampak kabur diperhatikan.

"Dan saya tahu bagaimana mahu menghancurkan tempat orang-orang Islam itu," lanjutnya lagi.

"Apa dia?" Paderi Joshua bertanya. Kali ini senyuman Frederick melebar. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: