Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Switzerland. 2014.

BERKERUT-KERUT dahi Ustaz Naim sebaik sahaja dia melihat lakaran wajahnya pada kertas lukisan yang tertampal pada dinding batu. Para hufaz Darul Uloom pula sudah berkerumun di sekelilingnya.

"Mengintai ustaz, rupanya!" Abu Hasif mengusik.

"Dia minat kat ustaz, kut?" Salman berkata setelah mengamati lakaran yang dibuat oleh perempuan Yahudi itu.

"Tak ada maknanya. Saya bukan handsome pun." Lekas-lekas Ustaz Naim menafikan. Malu pula dia apabila pelajar-pelajarnya membuat andaian sebegitu. Bercakap pun tak pernah, masakan perempuan itu menaruh minat terhadapnya?

"Tak handsome tapi unik. Ada karisma yang tersendiri." Abu Hasif memuji.

Ustaz Naim cuma tersengih. Manalah nak handsome dengan kulit gelap dan hidung yang sederhana tinggi berbanding dengan para pelajarnya yang hampir kesemuanya mempunyai hidung bak paruh burung belatuk. Pendek kata boleh sangkut baju. Mujurlah hidungnya tak pesek terus dan masih kelihatan batang hidungnya. Jika diukur dari sudut ketinggian tubuh, dia tidaklah kalah dengan mereka. Sememangnya dia seorang yang tinggi lampai. Ketinggiannya itu agak ketara dari ketinggian purata lelaki Melayu yang rata-ratanya berukuran 165 cm. Dia pula mencecah 177 cm.

Rata-rata pelajarnya yang berbangsa Swiss berkulit putih melepak kecuali Noah. Walaupun dia orang Swiss tapi kulitnya tidaklah secerah Yusouf. Nak kata gelap pun tidak juga. Kulitnya perang seperti terbakar dek matahari. Kadang-kadang tertanya juga hati Ustaz Naim, apakah Noah juga mempunyai darah campuran seperti Abu Hasif? Pelajar ciliknya itu mempunyai darah campuran Jerman dan Arab.

Kalau mahu dibuat perbandingan, Ustaz Naim boleh menang dengan Abdul Basit yang datang dari Somalia. Namun sehitam-hitam Abdul Basit, Ustaz Naim akui suara pelajarnya itu tak mampu ditandingi oleh sesiapa termasuk dirinya.

"Muka oriental memang unik." Noah Bruno selalunya tak banyak bercakap tapi kali ini dia menyampuk pula. Pada pandangan Noah, wajah Ustaz Naim unik. Nak kata Arab tidak, Pakistan juga bukan. Nak kata Cina tapi kulitnya tidak pula 'kuning'.

Umur Noah sudah menjangkau 27 tahun. Mungkin kerana itulah dia kurang bergaul dengan para hufaz yang lain. Mungkin juga jiwanya kini sudah tak serasi dengan jiwa remaja. Tidak seperti Yusouf yang merupakan mualaf, Noah telah Islam sejak lahir cuma sebelum ini, dia tidak mengamalkan ajaran Islam. Noah juga tidak tinggal di Darul Uloom sepenuh masa kerana tiga kali seminggu dia terpaksa keluar bekerja untuk menyara hidupnya. Memikirkan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh Noah Bruno itu, Ustaz Naim menerimanya belajar di situ.

Ustaz Naim pandang Noah yang berdiri agak terasing dari para hufaz yang sedang berkerumun di tembok batu. Ustaz Naim membuat isyarat good pada ibu jari.

"Betullah tu, Noah. Orang Asia Tenggara memang unik." Ustaz Naim mengiakan pernyataan Noah dengan niat melawak. Takkanlah dia mahu masuk bakul angkat sendiri. Para pelajarnya kemudian tertawa.

"Sejak bila ustaz dating dengan perempuan Yahudi tu? Amboi, ustaz! Tak ajak saya pun." Abu Hasif mengusik lagi.

"Ah! Kamu ni Abu Hasif. Pandai aje nak kenakan saya, ya?" Ustaz Naim menggeleng. Kenal pun tidak, bila masa pula dia berdating? Pelajar-pelajar yang lain tertawa lagi.

Ustaz Naim kemudiannya menurunkan lakaran wajahnya yang tertampal pada tembok batu. Nanti tak pasal-pasal dirinya menjadi glamor. Sudahlah kawasan madrasah itu menjadi tempat laluan awam. Pasangan suami isteri Miller juga mesti terkejut nanti. Pasangan itu kerap berjalan-jalan mengambil angin di samping melakukan riadah. Kadang-kadang mereka akan singgah di madrasah untuk menghilangkan lelah sebelum mereka berjalan semula untuk pulang ke rumah. Encik Miller agak pendiam tetapi isterinya Puan Miller sangat peramah. Dia rajin berbual-bual dengan para penghuni Darul Uloom terutamanya dengan Abu Hasif.

"Ustaz nak buat apa dengan lukisan tu?" Yusouf Herbert bertanya.

"Buanglah! Takkan saya nak simpan pula?"

"Kenapa tak boleh simpan?" Yusouf Herbert yang juga banyak bercakap macam Abu Hasif itu menyoal lagi.

"Nabi Sallallahualaihiwasalam melarang kita menyimpan gambar yang mempunyai roh, Yusouf. Sebabnya para malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada gambar-gambar." Ustaz Naim menerangkan.

"Tapi gambar ni di luar." Yusouf Herbert yang mualaf itu masih lagi tak faham.

"Tak apalah Yusouf. Saya tak suka cari glamor." Sebelum beredar, Ustaz Naim menepuk bahu Yusouf dua kali. Sebaik sahaja masuk ke pekarangan Darul Uloom, Ustaz Naim terus membuang gambar lakaran wajahnya ke dalam tong sampah. Dia langsung tak berminat hendak menyimpannya.

LOKASI rumahnya yang berada lebih tinggi dari kedudukan Darul Uloom memudahkan Miriam memerhati gelagat penghuni di situ. Entah kenapa dia suka memerhatikan suasana di Darul Uloom. Para penghuni di situ bagaikan mempunyai aura tersendiri yang menarik minatnya untuk mendekati terutamanya tenaga pengajar mereka.

"Ah! Dia dah masuk pula." Miriam kecewa apabila dilihatnya Ustaz Naim beredar.

"Miriam!"

Miriam lekas-lekas menoleh sebaik sahaja namanya dipanggil. Sebuah senyuman tergaris pada bibirnya yang nipis sebaik sahaja dia melihat Debbie. Tersengih Debbie apabila terpandangkan teropong di tangan Miriam.

"Meneropong ke sana lagi?" Bukannya Debbie tak tahu ke mana lensa teropong itu dihalakan oleh Miriam. Miriam membuang sengih.

"Mereka nampak seperti orang baik-baik, Mak Cik Debbie, tapi kenapa eema tak sukakan mereka?" Miriam bertanya.

"Kamu sudah lupa tentang daddy kamu?"

Miriam menggelengkan kepalanya.

"Mana mungkin saya lupakan daddy, Mak Cik Debbie. Malah saya amat merinduinya. Cuma..." bicara Miriam terhenti.

"Cuma apa, Miriam?"

"Entahlah Mak Cik Debbie. Kadangkala saya keliru..." Miriam kemudiannya melabuhkan duduknya di kerusi.

"Apa yang membuatkan kamu keliru, sayang?" Debbie lembut bertanya setelah melabuhkan duduk di sisi Miriam.

"Apa yang kita dengar dan apa yang kita baca tentang orang-orang Islam tak sama dengan apa yang saya lihat, Mak Cik Debbie."

"Maksud kamu?"

"Tak semua orang Islam itu jahat, mak cik."

"Bangsa yang pernah menindas bangsa kita dan bangsa yang telah membunuh daddy kamu, kamu kata baik?" Tiba-tiba saja muncul Judith. Kemunculan ibunya secara tak diduga itu benar-benar membuatkan Miriam terperanjat. Debbie juga sudah berubah muka. Pasti dia akan dimarahi oleh majikannya itu.

"Debbie, saya dah pesan kamu jangan biarkan Miriam ke pinggiran sungai itu, bukan?" Seperti yang sudah dijangkakan Debbie, Judith menyalahkan pembantu rumahnya itu. Bagi Judith, dia sibuk di pejabat jadi tugas memantau Miriam diserahkan kepada Debbie. Malangnya wanita itu gagal menyempurnakan tugasnya itu.

"Puan, Miriam dah tak pergi melukis di tebing sungai itu lagi. Bukan begitu, Miriam?" Debbie cuba mengendurkan suasana yang tiba-tiba tegang. Anggukan Miriam sebagai tanda jawapan.

"Bagus!" tutur Judith sepatah. Kemudian senyuman terukir. Kecil saja. Senyum yang dibuat-buat walaupun sebenarnya dia kurang percaya dengan kata-kata Debbie itu.

"Oh ya, Debbie. Saya akan ke Geneva esok," beritahunya sebaik sahaja menoleh kepada Debbie.

"Berapa lama, puan?"

"Saya tak pasti lagi. Kalau urusan saya boleh selesai cepat, cepatlah saya balik."

"Baiklah, puan. Errr... Ada apa-apa lagi, puan?" soal Debbie.

"Pastikan Miriam tidak ke sungai itu lagi." Seraya berkata, iris matanya bergerak ke wajah Miriam.

"Sepanjang ketiadaan eema, jangan ingat kamu boleh pergi ke sungai itu!" Kali ini Judith memberi amaran kepada Miriam pula.

"Saya tahulah!" balas Miriam seraya mencemikkan sedikit mukanya. Geram dengan sikap ibunya yang terlalu mengongkong itu.

"Eema bukan sekadar mahu kamu tahu tapi eema mahu kamu patuh. Ingat tu!" Usai memberi amaran, Judith beredar.

"Adakah ini bermakna saya boleh pergi melukis di sana, Mak Cik Debbie?" Miriam bertanya dengan penuh teruja sebaik sahaja ibunya hilang dari pandangan mata.

"Errr..." Mati kutu Debbie dengan kerenah Miriam.

Tubuh Debbie dipeluknya kejap-kejap. Bagi Miriam, hanya Debbie yang memahaminya. Namun lain pula reaksi yang terpapar pada muka Debbie.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: