Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

TOPIK khutbah Jumaat yang disampaikan oleh imam di Pusat Komuniti Islam hari ini ialah mengenai Islamofobia. Menurut imam tersebut, para kufar telah mencetuskan pelbagai provokasi sejak dulu lagi.

Di Switzerland, para kufar telah berjaya menyekat pembinaan menara masjid. Semua ini kerana mereka tak mahu azan berkumandang setiap kali masuknya waktu solat. Malah, mereka kini telah mula melarang pemakaian niqab di tempat awam. Tujuan mereka hanya untuk menaikkan kemarahan orang-orang Islam. Apabila orang-orang Islam melawan maka mudahlah mereka kaitkan Islam dengan keganasan. Mujurlah penguatkuasaan undang-undang melarang pemakaian niqab hanya dilaksanakan di Wilayah Ticino sahaja.

"Islamofobia terjadi sebab mereka tak kenal apa itu Islam." Ustaz Naim mengulas semula mengenai isu Islamofobia yang telah disampaikan sewaktu solat Jumaat tadi.

"Sungguh tu, ambo setuju. Doh oghe Isle sendiri tok tunjuk akhlak oghe Isle, sebab tu la sek-sek kufar ni sero fobia denge Isle." Amin, lelaki Switzerland yang begitu fasih berbahasa Melayu dalam dialek Kelantan berkata pandangan Ustaz Naim bahawa Islamofobia terjadi kerana mereka tak kenal Islam itu ada betulnya.

"Saya setuju dengan apa yang disampaikan oleh imam tadi. Keganasan bukan jalan penyelesaiannya. Sebab itu pentingnya akhlak. Anggaplah ini sebagai ujian buat orang Islam. Mungkin Allah mahu kita berada lebih dekat lagi kepada-Nya. Kita pergiatkan dakwah dan tingkatkan amalan. Insya-Allah, doa orang-orang yang teraniaya akan makbul." Ustaz Naim berkata lagi.

"Sekali lagi ambo setuju denge demo." Bahu Ustaz Naim ditepuk beberapa kali. Ustaz Naim tersengih cuma.

"Allah boleh buat gapo-gapo. Hari ni puok dio sero fobia, esok mungkin puok dio minat denge Isle. Hok ni hok jadi pado Daniel Streich," lanjut Amin.

"Siapa dia tu, Abang Amin?" Ustaz Naim bertanya.

"Ahli politik... Dialah yang saghe pengharame menaro. Tapi sekare ni dia dah masuk Isle. Malah dia juga beraze mahu bina masjid tercantik di Eropah."

"Masya-Allah! Allah berkuasa. Hati-hati manusia ini dalam genggaman-Nya. Bila-bila saja boleh bertukar." Ustaz Naim menyatakan kekagumannya.

"Bercakap pasal menara ni, abang teringat pasal lelaki yang meletakkan sound bomb kat gereja selepas parlimen meluluskan undang-undang pengharaman menara dulu." Zamri mencelah.

"Sound bomb?" Ustaz Naim toleh pula kepada Zamri, lelaki Melayu yang sudah menjadi warganegara Switzerland. Zamri sudah mempunyai dua anak hasil perkahwinannya dengan wanita tempatan.

"Dulu, sekitar tahun dua ribu tujuh, ada seorang lelaki Swiss meletakkan speaker di menara gereja. Setiap kali masuk waktu solat, azan akan berkumandang dengan kuatnya. Bayangkan betapa terkejutnya masyarakat Zurich masa tu." Zamri tertawa mengenangkan kisah itu. Tawanya disambut oleh Amin.

"Masya-Allah! Azan kat gereja, bang?" Ustaz Naim yang tak pernah tahu tentang itu begitu terperanjat mendengarnya.

"Ya... Sebelum Zurich, dia ada buat di tiga tempat yang lain." Amin menyampuk.

"Yang lagi best, lelaki yang meletakkan speaker itu, bukan orang Islam pun," Zamri berkata.

"Tapi kenapa dia buat macam tu?" Ustaz Naim ajukan soalan.

"Sebagai tanda protes terhadap undang-undang yang telah diluluskan," jawab Zamri.

"Tapi dia bukan Islam..." Ustaz Naim masih kabur.

"Switzerley ni negaro hok mendukung kebebase demokrasi dan hak asasi deh. Denge menghare key menaro bermakno demokrasi tu tok telus. Menaro oghe Isle keno haley, tapi gak menaro oghe Kristiye boleh jah." Ustaz Naim terangguk-angguk, tanda faham dengan penjelasan dari Amin itu.

"Mudah-mudahan lelaki tu mendapat hidayah." Ustaz Naim memanjatkan doa.

LAMA Judith merenung gambar perkahwinannya. Judith tak akan pernah lupa hari bersejarah itu. Hari di mana cinta mereka bersatu. Kemudian Judith renung cincin perkahwinan yang tersarung di jari. Cincin itu masih kekal di situ. Tak akan dia tanggalkan kerana bagi Judith, dia masih lagi seorang isteri kepada Hermann.

"Hermann, di mana kau, sayang? Aku cari kau merata." Sepuluh tahun masa berlalu tiada lagi sebarang keindahan tanpa orang tercinta di sisi. Tiada momen yang mahu dicipta. Siang mahupun malam, bagi Judith sama saja. Hidupnya terasa kosong. Kesunyian malam tambah membuatkan dirinya kesepian. Tidurnya sudah 10 tahun sendirian. Ah! Terlalu sakit merindu.

Meskipun pihak penguasa telah mengesahkan kematian Hermann, Judith enggan percaya kerana baginya andai sudah tiada jasadnya, tentu ada kubur tempat bersemadi. Namun, apa yang menghairankannya, andai masih hidup lagi, kenapa tiada berita menyusuli? Kehilangan suaminya itu merupakan suatu misteri bagi Judith.

"Kau tahu, Hermann? Miriam suka sangat pergi ke penempatan orang-orang Islam tu. Sikapnya menakutkan aku. Aku takut kehilangan Miriam sepertimana aku kehilangan kau."

"Tolonglah kembali... Aku rindukan kau, Hermann. Rindu sangat-sangat."

Kring! Kring! Telefon bimbitnya berbunyi. Sebelum menjawab panggilan, Judith seka air mata.

"Kau ada maklumat terkini, Edward?" soal Judith kepada si pemanggil.

"Ada..."

"Apa benar, Edward?" Judith begitu teruja. Sekian lama dia menaruh harapan untuk mengetahui tentang Hermann.

"Judith, aku rasa ada orang intip pergerakan aku."

"Tentunya para militan Islam itu. "

"Mereka langsung tiada kaitan, Judith."

"Kalau bukan mereka, siapa?"

"Aku tak boleh beritahu kau di talian. Judith, aku perlu jumpa kau secepat mungkin."

"Baiklah, kau cakap saja bila kita boleh berjumpa."

"Nanti aku WhatsApp kau bila dan nama tempat pertemuan kita."

"Baik, aku tunggu."

Jerman, 2014.

"KAU biar betul nak bercakap dengan Hermann!" Bagaikan tak percaya telinga Maria mendengarnya. Masakan tidak? Si pemanggil itu bertanyakan tentang orang yang sudah 10 tahun tiada. Malah kematian orang yang ditanyakan itu bukan satu rahsia pun. Seluruh negara sudah tahu tentang itu kerana ia telah diberi liputan secara meluas oleh pihak televisyen dan juga pihak akhbar.

"Siapa yang call tu?" Richard yang berdiri tidak jauh dari meja Maria bertanya. Perbualan Maria menarik perhatiannya apabila nama Hermann disebut. Hermann merupakan pemberita Munchen Taglich yang terkorban semasa membuat liputan serangan di Iraq 10 tahun yang lalu.

"Entah... Orang gila agaknya. Nak bercakap dengan Hermann pula. Dulu cari Edward," beritahu Maria.

"Bagi aku cakap dengan dia," pinta Richard.

"Kejap, aku paskan talian." Maria tekan nombor sambungan Richard. Richard lekas-lekas pergi ke biliknya.

"Kau ni siapa sebenarnya? Lepas cari Edward, kau cari Hermann." Richard mula menyoal sebaik sahaja panggilan sudah dipindahkan kepadanya. Hampir lima minit sesi bersoaljawab dengan si pemanggil misteri berlangsung selepas itu.

RAMAZAN menghampiri isterinya yang sedang duduk di sofa. Tak sabar mahu memberitahu berita gembira kepada isterinya itu. Sebaik sahaja dia menghampiri isterinya, Ramazan melabuhkan duduk di sisi Leyla.

"Leyla, Richard mahu menemui saya."

"Richard?" Nama itu agak janggal di pendengaran Leyla. Belum pernah Ramazan menyebutnya sebelum ini.

"Dia kata, dia kawan Edward," beritahu Ramazan.

"Alhamdulillah!" Leyla memanjatkan kesyukuran. Jalan menjejak nampaknya telah terbuka.

"Dan Richard juga kawan Hermann." Lanjut Ramazan. Terlakar riak ceria di wajahnya.

"Apa benar, Ramazan?" Leyla turut sama merasakan kegembiraan Ramazan itu.

Angguk.

"Tentu Richard boleh bantu awak cari Edward. Bila dah jumpa Edward nanti, kerja awak akan lebih mudah sebab sekarang sudah ada dua orang yang boleh membantu awak. Richard dan Edward." Senyuman tak lekang dari wajah polosnya yang tiada secalit mekap pun itu.

"Tapi saya masih tak boleh ingat apa-apa." Suara Ramazan kembali kendur. Dia masih tak ingat tentang Richard mahupun Edward. Maklumat tentang Edward diketahuinya pun melalui Internet sahaja.

"Jangan cepat berputus asa, Ramazan. Ini satu permulaan yang baik." Leyla memberikan kata-kata perangsang.

Ramazan merenung pas pekerjanya yang masih disimpan Leyla. Berdasarkan pas pekerja itulah dia cuba menjejaki dirinya yang hilang.

"Harap Richard dapat membantu." Ramazan menyatakan pengharapan. Kemudian tangan isterinya digenggam kejap.

"Terima kasih Leyla kerana memberi peluang kepada saya," tuturnya kemudian.

"Sememangnya itu hak awak, Ramazan. Awak berhak tahu siapa diri awak." Demi suami tercinta, Leyla akan sentiasa berdiri teguh di belakang. Memberi sokongan moral yang diiringi dengan doa. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: