Bab 6
"Ti amo, Rose.."
Aku tersedar. Keadaan sekeliling dipandang. Gelap seperti selalu. Tepi katil diraba untuk mencari telefon pintar.
5:30 AM.
Lima setengah pagi? Sesuatu yang baru. Ini kali pertama aku tersedar bukan pukul tiga pagi. Petanda apakah ini? Adakah ini petanda bahawa daya ingatanku sudah mula ada perkembangan? Atau sekadar perubahan gara-gara gaya tidurku yang dah berubah sejak ayah meninggal dunia?
Aku mengeluh lemah. Selimut tebal diselak sebelum aku bangkit dari tidur. Dah bersedia untuk memulakan hari baru.
Mandi. Solat subuh. Kemudian mula bersiap untuk ke Hotel La Prince. Hari ni merupakan hari pertama aku mula bekerja di situ. Aku cuma mengenakan seluar slek hitam dan blaus berwarna biru. Tudung biru gelap dililit di kepala. Wajah dikenakan mekap nipis. Cuma bedak asas dan lip balm.
Usai menilik diri sendiri di depan cermin, aku tenung diri sendiri dalam-dalam. Cuba bagi motivasi diri awal-awal pagi. Tangan kanan dibawa ke dada. Diletak kemas betul-betul di bahagian jantung. Berdegup kencang. Mungkin sebab nervous.
Kaki belum pun keluar rumah, tapi jantung dah macam guna kuasa kuda. Relaks, Nurissa! Relaks! Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum hembus perlahan.
Kau boleh, Nurissa! Kau boleh. Allah takkan bagi sesuatu di luar kemampuan manusia. Kau kena yakin kau mampu untuk buat semua ni. Ni cuma kerja. Walaupun kerja pertama.
Ya... Ini merupakan kali pertama aku bekerja. Atau kerja pertama untuk hayatku selepas aku hilang ingatan. Ini kali pertama aku akan berdikari. Sebelum ini, aku anak manja. Segala-galanya disuap ayah. Semua pergerakanku dikawal ketat. Mungkin ayah risau sebab secara teknikalnya aku masih sakit. Sebab itulah aku dah terbiasa dengan hidup bergantung dengan ayah.
Tapi sekarang ayah dah tiada. Dah tentulah aku rasa lain. Hidup berubah seratus lapan puluh darjah. Tapi aku kena reda. Dah ketentuan. Mengingatkan tentang arwah ayah, mata mula rasa berair.
Cepat-cepat aku tarik nafas panjang. Tahan benteng mata daripada pecah. Hidup mesti diteruskan. Aku yakin aku boleh! Lebar-lebar aku senyum depan cermin sebelum menyambar beg sandangku.
Aku pegun di depan pintu rumah. Berkira-kira. Macam mana aku nak pergi ke Hotel La Prince? Lalu aku pandang ke arah garaj rumah. Keretaku. Atau patut aku cakap kereta milik Dheo Han juga?
Ikutkan hati, mahu sahaja aku naik kereta itu untuk ke sana. Tapi, aku masih punya maruah. Aku takkan menggunakan sesuatu yang bukan milikku tanpa pengetahuan tuannya. Agak sedih ketika aku memandang ke arah keretaku. Tapi apa boleh buat? Bukan hak aku lagi.
Aku geleng kepala beberapa kali. Tepis kesedihan tu jauh-jauh. Sesuatu bukan milikku lagi, usah aku tangisi lagi. Kereta itu cuma satu kemahuan, bukan keperluan. Aku yakin Allah pasti permudahkan urusanku hari ini.
Aku terus ke pintu pagar rumah. Kunci pintu pagar rumah rapat-rapat. Pastikan semua dalam keadaan selamat sebelum aku tinggalkan rumah itu. Rumah orang. Selalu aku semat dalam kepalaku yang rumah tu bukan rumahku lagi. Tapi kalau ada apa-apa berlaku, akulah yang bertanggungjawab. Lagi berat tanggungjawab itu sebab rumah itu amanah orang untukku.
Nak naik teksi atau Uber, ya? Yang mana lebih selamat? Yang mana lebih murah? Aku pun tak tahu memandangkan aku tak pernah naik teksi atau Uber. Ini kali pertama aku cuba untuk menggunakan khidmat itu.
Sedang aku memikirkannya, tiba-tiba kedengaran hon kereta ditekan. Nasib baik tak melompat aku dibuatnya. Sempat tangan urut dada sebelum kepala ditolehkan ke arah si tukang hon itu. Ada satu kereta Range Rover hitam berkilat berhenti betul-betul di depanku. Berkerut dahiku memikirkan gerangan pemilik kereta mewah itu. Bila cermin gelap itu diturunkan, automatik bibirku tersenyum.
"See... We meet again, signora."
"Lucca!" Suaraku penuh keterujaan. Mata pun bulat bersinar.
Lucca keluar dari tempat duduknya. Dia berdiri di sebelahku. Pagi ini dia segak macam selalu.
"Are you that happy to see me, signora?" Lucca gelak maco.
Laju aku angguk. Serius aku gembira berjumpa dengannya. Entah kenapa, aku senang dengan Lucca.
"Saya pun gembira jumpa awak," kata Lucca. Wajahnya jelas menunjukkan kejujuran kata-katanya itu.
"Tapi, apa awak buat kat sini?" Kali ini berkerut keningku bertanya.
Pelik. Jumpa dia di Hotel La Prince, aku tak pelik. Tapi, di depan pintu pagar rumahku, itu agak pelik.
"Well... Doing my job, of course. I'm a driver." Kata-katanya buatkan aku tersedar sesuatu. Mataku terus membulat.
"Jangan cakap Encik Han ada di dalam!" kataku sambil mata merenung ke arah kereta itu. Gara-gara cermin gelap, aku hanya nampak pantulan wajahku. Dada tiba-tiba berdebar.
"Don't worry. Dheo tak ada di dalam."
Aku hela nafas lega. Tapi... Entah kenapa, separuh hatiku rasa kecewa bila mendengarnya.
"Habis tu, awak buat apa kat sini?" soalku lagi.
Lucca senyum dulu. Kemudian dia berlalu ke tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Lebar-lebar dia buka pintu kereta.
"I'm your driver for today. Masuklah." Lucca mempelawa.
Sekali lagi mataku membulat tak percaya. Aku pandang wajah Lucca yang tengah senyum manis itu.
"Eh, tak payahlah!" Aku menolak secara halus. Seganlah aku.
"Arahan big boss."
"Tapi..."
"Please. Don't make me lose my job today." Dia buat muka kesian.
Aku teguk liur. Kalau dia dah cakap macam tu, aku tahu Dheo Han memang tak teragak-agak nak pecat Lucca mandatori. Hanya kerana Lucca tak menjalankan amanah yang diberi. Dan aku tak sanggup nak jadi penyebab Lucca hilang kerja.
Separuh hati, aku mengangguk. Tapi itu dah cukup untuk buat Lucca sengih selebar mungkin. Habis nampak susunan gigi putihnya.
"Come, principessa!" pelawa Lucca.
"I'm not a princess." Lagi perkataan Itali yang aku faham tanpa sedar. Aku rasa, sebelum aku hilang ingatan, mungkin aku pernah tahu beberapa patah perkataan Itali. Tak pun pernah belajar bahasa Itali.
Makin lebar senyuman Lucca bila aku cakap macam tu. Lambat-lambat aku masuk ke dalam perut kereta.
"Every beautiful lady deserves to be treated like a princess." Dia kenyit mata sekali sebelum pintu kereta ditutup.
Amboi, ayat tak menahan! Mesti dah ramai perempuan tersungkur gara-gara ayat gulanya itu.
Lucca masuk ke tempat duduk bahagian pemandu. Enjin kereta dihidupkan sebelum kami memulakan perjalanan.
"Kalau awak ambil saya, Encik Han pergi kerja dengan siapa?" soalku.
"Semalam dia tak balik rumah. Dia stay di penthouse La Prince. Lepas tu dia arahkan saya untuk ambil awak," jelas Lucca. Sekarang ni, aku musykil. Lucca ni pemandu Dheo Han atau aku?
Macam mana Lucca boleh tahu rumah aku? Oh, lupa! Rumah Dheo Han. Lucca bekerja dengan tuan rumah tu, jadi tak peliklah kalau dia tahu rumah tu.
"Kenapa awak kena ambil saya?" soalku lagi.
"Big boss cakap awak tak ada transport untuk ke hotel. Dia tak nak awak lambat pada hari pertama awak kerja. Awak ada kereta, tapi dia tahu awak takkan guna kereta tu. Nak ambil Grab car or Uber, semuanya akan ada complication. Sebab tu la dia suruh saya ambil awak."
"Macam mana dia boleh tahu?"
Aku musykil. Seram sejuk pun ada. Sebab dia tahu apa yang aku fikir.
Lucca cuma angkat bahu.
"Because he's Dheo Han. Everything is on his fingertips." Mudah jawapan Lucca.
"Kesian awak, kan? Tak pasal-pasal tambah kerja, kena ambil saya."
Lucca cuma gelak.
"Nope. It's my pleasure. I love spending time with you, signora."
Kata-katanya ikhlas. Wajah bercahaya dia tu membuktikannya. Tanpa sedar, aku turut senyum. Aku pun suka luangkan masa dengannya.
"Kenapa?"
"I like you, signora." Nak tercekik aku mendengar pengakuan selambanya itu. Baru tiga kali jumpa, dia dah cakap macam tu? Wow!
"Not in a pervert way. Never in a pervert way. Dheo will have my head first if I even touch your hair. I mean, I like you like a sister I never have," sambungnya lagi.
Ooo... Macam adik. Kira okeylah sebab aku pun rasa Lucca macam abang. Aku suka kawan dengan dia walaupun kami baru kenal. Aku rasa macam dah lama kenal dia.
"Kenapa Dheo nak buat macam tu?" Punyalah panjang ayat dia, hanya tu yang mampu menarik minatku.
"Sebab awak pekerja dia," jawab Lucca.
Kira baguslah Dheo Han tu. Jaga kebajikan para pekerjanya. Baik juga. Muka ais ketul pun, hati baik. Entah kenapa hati rasa teruja untuk tatap wajah kacak Dheo Han hari ni.
Perlahan-lahan langkah diatur untuk merentasi lobi besar itu. Rasa macam semua kepala menoleh ke arahku. Mungkin ada yang ingat muka aku. Yang semalam datang aci redah, tak pandang kiri kanan. Tapi hari ni, rasa malu la pula.
Tapi, macam biasalah. Buat tak nampak. Aku terus mencari lif untuk ke pejabat Dheo Han. Itu yang dipesannya semalam. Pergi ke pejabat Dheo Han dulu untuk melapor diri. Biasalah tu. Hari pertama kerja. Mesti banyak amanat nak diturunkan bos kepada anak buahnya. Pantang larang kena ikut.
Kaki berhenti di hadapan sebuah lif. Kalau tak salah, ni lif semalam. Haaa... Lagi senang! Kalau naik lif ni, bila dah sampai di atas, gerenti ingat jalan nak ke bilik Dheo Han. Aku terus tekan butang lif. Automatik terus terbuka. Kaki terus melangkah masuk.
Dinding lif dipandang. Cuma ada dua butang. P dan G. P untuk apa? Pejabatlah kut. Lalu aku tekan P dan masukkan passwords yang Lucca bagi tahu semalam. Cuma beberapa saat, kedengaran bunyi ting menandakan aku dah sampai di tingkat P. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, aku terus menapak keluar.
Bila aku muncul di balik lif, beberapa orang yang berada di situ ternganga melihatku. Tak kurang juga ada yang saling berpandangan. Macam tengah berkomunikasi pakai bahasa minda. Aku pandang tubuhku. Kenapa? Seluar terbalik ke? Atau kasut sebelah hijau, sebelah merah?
Tapi semuanya normal. Mungkin mereka cuma terkejut sebab nampak muka baru. Mungkin hotel ni dah lama tak dapat staf baru. Aku tayang muka selamba sebelum kaki mengorak langkah ke arah pejabat Dheo Han.
"Hai, Cik Nurissa yang datang semalam, kan?" Seseorang menegurku.
Seorang wanita anggun berambut pendek separas bahu sedang berdiri di depanku. Kemas dengan kemeja berwarna biru lembut dan pencil skirt separas lutut. Sedang senyum mesra ke arahku.
Aku turut membalas senyumannya. Kepala dianggukkan. Mengeyakan. Maksudnya dia juga tahu aku datang serang bos dia semalam. Nasib baiklah hari ni dia alu-alukan aku.
"Nama akak, Tina. Boleh panggil Kak Tina. Akak memang penyambut tetamu aras ni. Encik Han ada bagi tahu tentang kedatangan Nurissa hari ni." Panjang lebar Kak Tina memperkenalkan diri. Tangan dihulurkan untuk berjabat. Aku menyambutnya dengan senyuman.
"Jom, Kak Tina bawakan jumpa Encik Han."
Aku cuma mengangguk. Bila ada orang iring, rasa lega juga. Sekurang-kurangnya tak adalah aku termangu sendirian. Nampak jugalah hala tuju kalau ada orang tunjukkan walaupun semalam aku dah datang.
"Kak Tina, kenapa semua orang tengok pelik kat saya? Saya ada buat salah apa-apa ke?" soalku perlahan. Takut juga kalau tanpa sengaja aku dah sebabkan orang tak sukakan aku. Kerja pun belum mula lagi. Aku tak nak cari pasal.
Kak Tina senyum.
"Mungkin dia orang pelik."
"Pelik? Kenapa? Pakaian saya dah langgar etika ke?" soalku cepat. Sekali lagi tenung tubuh sendiri.
"Bukan. Pelik sebab mereka tertanya-tanya macam mana Nurissa boleh sampai ke tingkat ni."
"Saya pakai lif?" Aku berkata keliru. Pelik ke kalau naik lif? Ke semua orang di sini panjat tangga untuk ke tingkat lima puluh lima ni?
"Tapi lif tu lif Encik Han. Exclusively his."
Kali ini aku terlopong. Lif tu khas untuk Dheo Han aje? Dan aku dengan selamba segala badak aje pergi guna. Tapi aku tak tahu!
"Saya tak tahu, Kak Tina. Semalam pun Lucca yang suruh saya pakai lif tu. Saya tak tahu pun lif tu khas untuk Encik Han aje."
Aku telan liur laju-laju sesudah berbicara.
Aku ni memang suka cari pasal, kan? Semalam tersalah masuk kawasan larangan. Hari ni, guna lif bos. Esok apa agaknya jenayah aku akan buat?
"Semua pelik sebab nak access lif tu kena ada passwords. Cuma Encik Han dan orang-orang kepercayaan dia aje yang tahu. Mungkin sebab Nurissa bakal jadi personal housekeeper dia, jadi tak pelik kalau Nurissa tahu."
"Personal housekeeper? Encik Han?"
Sekali lagi aku telan liur. Entah kenapa rasa seram dengan kenyataan itu.
Kak Tina angguk.
"Kenapa saya?"
Aku agak cuak. Punyalah ramai staf hotel kelas lima bintang dia ni, kenapa aku juga yang dipilihnya?
Pertama, ini kali pertama aku kerja. Kedua, aku dahlah tak tahu skop kerja macam mana. Ketiga, menghadap Dheo Han hari-hari? Gerun. Tapi pada masa yang sama, rasa teruja. Dan aku sebenarnya lagi gerun sebab aku rasa teruja.
No good, Nurissa! No good.
"Pilihan bos. Tiada siapa yang boleh sangkal kalau Encik Han dah keluarkan arahan."
Itu jawapan Kak Tina. Sempat dihadiahkan satu pandangan simpati kepadaku.
Buatkan aku rasa macam anak tekak dah hilang terus. Laju aje liur masuk dan keluar. Apatah lagi ketika itu kaki kami berdiri di depan pintu masuk pejabat Dheo. Kak Tina melayangkan tangan untuk mengetuk pintu beberapa kali. Sebaik sahaja kedengaran suara Dheo mengizinkan masuk, Kak Tina tarik tombol sebelum dibukakan sedikit pintu untukku melangkah masuk.
"Good luck." Sempat Kak Tina berkata perlahan.
Aku telan liur dulu. Nafas ditarik dalam-dalam. Baca bismillah sekali, barulah kaki kanan menapak masuk ke dalam bilik.
Seram sejuk.
Dua kepala menoleh ke arahku. Dheo dan perempuan Cina semalam. Dheo tengah duduk dan perempuan itu berdiri di sebelahnya, sedang memegang beberapa buah fail. Dheo kembali menyambung tugasnya. Laju aku melihat tangannya menurunkan tandatangannya.
Aku pula hanya berdiri tanpa banyak bunyi. Rasa canggung dan berdebar. Hati banyakkan berzikir untuk menenangkan diri. Tepis segala hasutan syaitan yang sengaja nak menggundah-gulanakan hatiku.
"Dheo, tengah hari nanti you ada lunch business dengan wakil Topazz Corporation. Ingat tu." Aku dengar perempuan itu berkata.
Dheo cuma mengangguk sekali. Matanya dihalakan ke arahku. Jantung makin bersenamrobik ketika menerima tujahan matanya.
"You... Come and sit here."
Aku terus patuh. Langkah diatur untuk duduk di depan meja Dheo. Berhati-hati. Sebab kalau ikutkan lutut yang dah macam hilang skru, tak kena gaya memang sujud aku dibuatnya.
Diam. Hanya kedengaran bunyi mata pen tajam Dheo dilarikan di atas dokumen di depan mata. Kemudian, Dheo menutup fail terakhir yang ditandatanganinya. Perempuan di sebelahnya itu terus melakukan tugasnya. Ditundukkan sedikit tubuhnya untuk mengutip fail-fail itu.
Aku nampak perempuan itu pegun.
"You pakai minyak wangi lain ke hari ni? Wangi."
Hidungnya didekatkan ke arah leher Dheo. Sedut bau dalam-dalam.
Aku yang menjadi saksi menahan rasa. Kedua-dua tangan erat menggenggam tali beg yang berada di atas ribaku. Tahan nafas yang mula rasa tersekat-sekat. Entah kenapa, aku tak suka melihatnya! Rasa macam hati dicakar-cakar. Nak aje aku tolak dia jauh-jauh daripada Dheo.
Astaghfirullahalazim! Aku istighfar dalam hati. Terkejut dengan pemikiranku sendiri. Apa kena dengan aku ni? Astaghfirullahalazim.
Aku tarik nafas dalam-dalam untuk tenangkan diri. Tapi yang masuk hidung bukan setakat oksigen. Tapi sekali dengan bau minyak wangi Dheo. Perempuan itu betul. Minyak wangi hari ini tak sama dengan semalam. Minyak wangi hari ni macam pernah kukenal. Wanginya punya aura sendiri. Macam jenama...
"You pakai minyak wangi jenama apa?"
"Creed Aventus."
Dua kepala tenung aku. Errr... Suara aku ke tadi?
"You know?"
Perempuan itu tanya aku.
Sah suara aku!
Errr... Aku terkelu! Kelip-kelip mata pandang mereka. Memang aku tak tahu nak jawab apa. Kalau aku cakap aku tembak, dia percaya tak agaknya?
"Nancy, you may go. I got things to discuss with her." Dheo menjadi penyelamat.
Pandangan Nancy teralih kepada Dheo. Dia patuh. Maka, macam semalam, tinggallah kami berdua.
Dheo tegakkan tubuhnya. Aku pula tepat memandang ke arahnya. Maklumlah, bos! Nak cakap kena ada eye contact. Nanti cakap biadab pula.
Tapi... Lama-lama tenung anak mata dia tu, makin cantik la pula! Nak-nak lagi bulu mata dia lebat. Kenapa bulu mata dia lagi lebat daripada aku yang perempuan ni? Dahlah aku rasa dia hari ni lagi handsome dari semalam.
"Ehem... Done staring at me?"
Aku kembali ke alam nyata. Wajah Dheo dipandang. Sedang mengangkat kedua-dua keningnya ke arahku. Mungkin sedang menunggu aku menjawab soalannya itu.
Muka tiba-tiba rasa kembang. Malunya! Alamak... Terkantoi la pula! Apa masalah aku ni? Sebelum ni jumpa lelaki, mana pernah aku macam ni! Aku berlagak biasa. Wajah ditundukkan sedikit.
Dheo berdehem lagi sekali. Back to the business.
"So, Rose!"
Automatik aku angkat wajah.
Rose!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro