Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Aku tutup buku. Kelas hari ini dah pun berlalu. Aku jeling jam di tangan. 12.00 tengah hari. Habis kelas, kena pergi kerja pula. Kerja syif petang la aku hari ni. Sigh! Macam ni la kehidupan aku.

"Bunga!" Fahim menjenguk dari belakang. Aku berpaling sedikit untuk memandangnya.

"Hari ni kerja lagi ke?"

"Mestilah."

Fahim dah hafal jadual aku. Hari-hari kena kerja. Buat masa sekarang, kelasku semuanya sebelah pagi. Jadi, aku kena masuk kerja pada sebelah petangnya.

"Kesian kau. Tak penat ke? Pagi belajar, petang kerja."

Aku jongket bahu. Awal-awal dulu, agak penat juga. Tapi lama-kelamaan, aku dah biasa. Penat tubuh pun tak terasa sangat. Sebab kerja aku pun bukannya berat sangat.

"Macam ni la orang tak ada mak ayah. Kenalah cari duit sendiri."

Aku cuba bergurau.

Tapi wajah Fahim tetap serius. Ada riak sedih.

"Aku gurau aje la. Tak payahlah tunjuk muka kesian macam tu."

Aku ketawa. Tapi jelas hambar.

"Kau buat aku sedih la, Bunga. Aku bangga jadi kawan kau. Kau kuat."

Aku senyum tawar. Orang nampak aku kuat. Tapi yang aku menangis dalam hati, tak siapa tahu. Hari-hari menahan rindu kepada arwah ayah dan ibu. Tapi bila di depan orang lain, topeng senyum tersarung pada wajah.

"Itu namanya, aku dah reda. Takdir aku dah tersurat macam ni. Aku menangis, meraung pun aku takkan dapat ulang waktu. Aku tetap macam sekarang. Jadi, apa yang aku boleh buat, aku kena bahagia. Jalani semuanya. Aku yakin Allah bagi ujian macam ni sebab aku mampu," kataku.

Memang itu yang aku rasa. Ikhlas dari hati. Hanya itu yang aku mampu lakukan. Melangkah ke depan, tapi kegembiraan masa lalu tetap tersemat dalam memori indah. Walaupun tak semua aku ingat.

"Kau tahu, Bunga? Siapa yang jadi suami kau sangat beruntung."

Aku geleng kepala. Suami? Kahwin tu memang misi hidupku yang tercorot buat masa sekarang. Aku punya banyak lagi agenda hidup yang perlu dicapai sebelum berfikir tentang kahwin.

"Tak payahlah cerita benda yang lambat lagi nak jadi."

"Eh, kita tak tahu! Jodoh datang bergolek. Entah-entah esok lusa, eh... Nurissa dah kahwin dengan Dheo Han?"

Dengar nama Dheo Han, terus buku di tangan aku hempuk bahunya. Memangnya Fahim sendiri dah lama tahu tentang Dheo Han. Aku selalu cerita tentang Dheo kepadanya. Tapi, hanya secara umum. Apa-apa yang perlu dirahsiakan, aku tetap rahsiakan dari Fahim.

Jadi, bagi Fahim, Dheo adalah seorang yang hebat, kaya dan berpengaruh dalam dunia perhotelan. Ikon terbaik untuk dijadikan idola bagi golongan muda. Yang itu memang aku tak nafikan. Sebab walaupun aku cumalah housekeeper dia, tapi aku boleh nampak betapa workaholicnya cara dia bekerja.

"Kenapa mesti dia?" Aku julingkan mata ke atas.

Aku dan Dheo? Bagai cicit pipit dengan moyang enggang. Macam tu la jurang kami sekarang ni. Walapun aku dah tahu dia bukan gay.

Mengingatkan tentang gay, kepala kembali teringat pada peristiwa yang terjadi di dalam penthouse Dheo dulu. Ketika dia menyatakan yang dia bukanlah seorang gay. Wajahku terasa tiba-tiba membahang. Teringat kedudukan kami yang sangat rapat sebelum dia menjarakkan dirinya. Dan lepas tu, dia senyum ala-ala boyish kepadaku sebelum berdiri dan betulkan kot dia.

Kali pertama aku melihat Dheo senyum seperti itu, jantung berdetak tak payah nak cakap la. Kalau macam cerita kartun, confirm nampak bentuk hati keluar masuk keluar masuk di dada kiriku.

"Hoi, fikir apa? Apa pasal muka merah?"

Tolakan Fahim buatkan aku kembali ke alam nyata. Wajahnya dah di depan mata.

Fahim senyum miang.

"Kau fikir pasal Dheo. Kau fikir pasal Dheo, kan?" Dua kali dia tekankan.

"Mana ada!" nafiku keras.

"Eleh... Tak payah nak tipu aku la. Kau fikir pasal mamat handsome tu, kan? Nakal kau, Bunga. Apa kau fikir sampai merah muka kau? Nurissa is being naughty."

Dia tak habis-habis mengusik. Bahuku ditolak-tolak dengan pen. Bengang juga aku.

"Kau jangan nak mengarut la! Mana ada. Orang semua cakap dia gay la!" Aku terlepas cakap.

Muka Fahim macam lepas tertelan cicak.

"What?" Fahim jerit kuat. Nasib baik dewan kuliah dah hampir kosong. Adalah juga beberapa orang berpaling. Tapi kawan aku tu mana nak tahu malu?

"Wei... Serius la?"

Dia masih tak percaya.

Aku jongket sebelah bahu. Tak pula aku cerita hal sebenar kali ni. Biarkan dia dengan persepsinya. Lagipun, Dheo sendiri yang cakap rahsia yang dia cakap kat aku aje, kan? Jadi secara teknikalnya, aku jaga rahsia Dheo.

"Orang kat hotel semua cakap macam tu. Aku dengar aje. Betul tak, tak tahu." Lagi sekali, aku tak menipu. Memang semuanya gosip macam tu.

"Kau tak percaya, kan? Itu la kau. Jangan nak sangka golongan kunyit ni gayanya ala-ala kau, Fahim. Yang segak, sado, belum tentu selurus pembaris."

Aku bercakap tentang fakta. Zaman sekarang dah memang macam tu.

"Hei... Aku bukan kunyit!" Fahim dah terangkat. Habis keluar gaya jantan dia.

Aku gelak.

"Aku cakap gaya. Aku tak cakap kau kunyit. Aku tahu kawan aku ni solat tak tinggal, takkanlah suka abang misai, kan? Takkanlah kau nak jadi golongan yang dilaknat Allah, kan?"

"Haaa... Tahu tak apa! Geli aku, tahu tak?" Fahim tunjuk muka geli. Menggeliang macam cacing kena strok.

Aku gelak lagi. Kemudian teringat sesuatu.

"Eh, aku dah lambat dah!"

Asyik berbual dengan Fahim, lupa masa pun berjalan. Aku kena sampai di hotel sebelum pukul dua petang. Aku tak nak ada rekod lambat.

Aku jalan keluar beriringan dengan Fahim. Fahim menawarkan diri untuk menghantarku ke hotel tapi aku menolaknya. Sebabnya, Lucca terlebih dahulu datang untuk menjemputku. Sejak akhir-akhir ni, Lucca dah jadi macam driver aku dah. Tapi ini kali pertama dia datang ambil aku di universiti.

Dari jauh, aku dah nampak Lucca. Macam mana aku tahu? Sebab Range Rover hitam berkilat dia tu betul-betul menyerlah di kotak parking. Belum lagi dengan dia yang segak bergaya, sedang bersandar di belakang kereta dengan cermin mata hitamnya.

Tiap kali orang lalu, tak jeling dua kali tak sah. Perhatian yang diperolehnya bukan sedikit. Aku pun teragak-agak nak jalan ke arahnya. Sebab aku tahu mesti akan jadi tumpuan semua orang.

"Principessa." Lucca tegakkan tubuhnya bila nampak aku. Senyum manis di bibir merahnya.

Aku turut senyum bila dia panggil aku. Aku rasa, aku dah tak pelik bila Lucca panggil aku principessa. Dah terima dengan rela hati.

"Wulawei... Tu ke drivernya? Mak ai. Tu driver ke, model Georgio Armani?" Fahim berbisik ke telingaku. Jelas kekaguman pada wajahnya.

Aku tahan gelak. Kelakar. Sebab Fahim fikir macam yang aku fikir dulu. Dia yang lelaki pun fikir macam tu. Perempuan normal yang lain? Haruslah lebih lagi. Silap-silap terbayang tengah bersanding sebelah dia. Punyalah hebat penangan Lucca.

"Patutlah kau dah tak sudi naik Swift aku. Dah ada driver kacak maut. Pakai Range Rover pula tu."

Kali ni aku rasa nak terajang Si Fahim. Biarlah sembelit sebulan pun, aku peduli apa. Dia ingat aku minta ke semua ni? Macam tak tahu pula. Aku paling tak suka perhatian.

Kami berhenti di hadapan Lucca.

"Hai, Lucca! Ni kawan saya, Fahim. Fahim, Lucca."

Aku perkenalkan mereka.

Mereka berpandangan. Lepas tu senyum. Dua-dua macam batu. Kaku. Kemudian teragak-agak hulurkan tangan untuk berjabat. Nampak kecanggungannya. Lelaki kalau nak berkenalan, memang macam ni, ya? Tak faham aku!

"Errr... Aku balik dululah! Kau pun hati-hatilah, ya?"

Fahim minta diri.

Aku cuma angguk. Sempat nasihatkan dia supaya hati-hati memandu. Walaupun aku dah memang tahu Fahim kalau memandu macam mana. Atas lebuhraya 110 km/jam pun dia bawa 80 km/jam. Mungkin dia rasa Suzuki Swift dia tu spesies lori kayu balak kut.

Kemudian tinggal aku dan Lucca. Dia pun tak banyak bicara dengan Fahim. Tapi... Sejak bila pula Lucca becok kalau bercakap dengan orang?

"Lain kali awak tak payah la jemput saya. Saya tak nak jadi attention center. Semua orang tengok saya. Sebab ada driver jemput saya pakai Range Rover."

Dan melihat gaya Lucca, aku tak rasa semua ingat dia driver. Mesti orang anggap dia kekasih aku yang kaya-raya. Sebab gaya Lucca sikit pun tak macam driver. Dan aku baru tahu sebenarnya selain driver Dheo, Lucca juga merupakan bodyguard Dheo. Tak pelik la kalau tubuhnya tegap macam tu.

"Well... It's Dheo's most favourite. Because it's bullet proof."

Nak pengsan bila dia cakap tentang bullet proof.

"Itu kalau Dheo. Kita di kawasan universiti. Bukannya sempadan Palestin-Israel yang nak ada tembak-menembak. Lagipun, saya bukan sesiapa. Tak payahlah ya awak jemput lain kali? Saya boleh minta tolong Fahim hantarkan."

Suara aku dah macam memujuk dia.

"Kalau tak selesa, saya boleh guna kereta lain. Dheo owns many fancy cars."

"No. No fancy cars," jawabku cepat.

Fancy cars! Yang tu la aku tak nak. Semuanya gerenti harga enam angka dan ke atas.

"Maksudnya kalau guna kereta lain, awak okey?" soalnya.

Aku terus angguk. Apa-apa janji bukan kereta mewah.

"So, tak payahlah ya jemput saya lain kali? Awak cakap kat Encik Han, saya boleh pergi sendiri."

Lagipun aku tak nak susahkan dia.

Lucca cuma diam lepas tu.

Aku ingat bila Lucca diam semalam, kira dia setujulah untuk tidak menjemputku. Tapi, boleh dikatakan terkejut juga aku bila tiba-tiba dia muncul di kawasan universitiku. Parking kereta betul-betul di tempat letak kereta berhadapan dengan dewan kuliahku. Tahu pula dia bila aku habis dan di mana kelasku hari ni.

Oh, lupa! Jadualku semua dalam tangan Dheo. Dah tentu Lucca akan tahu.

"Principessa," sapanya.

Perlahan-lahan aku mendekatinya. Range Rover hitam tak nampak bayang. Lucca cuma berdiri di sebelah kereta Honda City berwarna hitam.

"I told Signor Han. And he asked me to use this car. Is that okay, signora?"

Nasib baik aku tak rebah bila dengar dia cakap macam tu.

"Awak cakap apa kat dia?"

Kuat suaraku bertanya.

"Apa yang awak cakap kat saya semalam. Awak tak nak dijemput dengan kereta Range Rover sebab tak nak jadi perhatian orang. Dan hari ni dia suruh jemput pakai kereta ni. Kereta ni cuma kereta biasa."

Lucca berkata dengan tak bersalahnya.

Aku pula rasa nak hantuk kepala ke dinding. Seriuslah Lucca cakap macam tu kat Dheo? Apa aku nak cakap kalau menghadap dia nanti? Aku ni siapa nak demand dijemput pakai kereta apa?

"Saya suruh awak jangan jemput saya lagi sebab nanti saya boleh pergi sendiri. Bukannya suruh jemput saya pakai kereta lain."

"Arahan bos." Mudah jawapannya.

"Jom, principessa," pelawa Lucca lagi. Pintu penumpang di bahagian depan dibuka. Sekurang-kurangnya dia tak suruh aku duduk belakang, berlagak macam bos.

Separuh hati, kaki mengikut. Dalam perjalanan ke hotel, cuma satu dalam kepalaku.

Apalah aku nak cakap kalau berdepan Dheo nanti?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro