Bab 8
Jeffry datang dengan wajah tak puas hati. Sebaik salamnya disambut, dia melulu mendapatkan Dian yang sedang menyapu di sudut anjung.
"Siapa lelaki yang datang naik Preve putih semalam petang? Siap tinggal semalaman dekat rumah. Ada apa sampai nak lama-lama dekat rumah Dian?" Lagak Jeffry, menyoal seolah-olah Dian telah mutlak menjadi miliknya. Walhal masih belum ada jawapan balas daripada gadis itu pun yang mereka akan disatukan.
Dian buat-buat tak endah. Terus sibuk meneruskan kerja-kerja menyapunya di hujung anjung rumah.
"Dian..."
"Apa? Siapa?" Dian pura-pura tak ingat, walhal semalaman terbayang wajah lelaki yang buat dia tak tidur malam itu.
Hai. Dah sampai Kedah entah belum dia. Tapi takkan tak sampai lagi, lepas subuh tadi dia gerak, kan?
Dian masih memikirkan Ryan dan Hajah Rashidah yang seawal enam setengah pagi sudah bergerak pulang ke negeri Jelapang Padi. Tak jadi pulang malam kerana hujan lebat seakan-akan merestui hubungan yang baru terjalin, tidak membenarkan Ryan dan uminya pulang awal malam itu.
"Dian. Cuba jadi dewasa. Abang tak sukalah nak berteka-teki. Cakap aje siapa yang datang."
Jeffry bertegas, sakitnya hati melihat Dian kekal mengunci mulut dan tidak mahu berterus terang. Dan bukan dia tak perasan, gadis itu sejak tadi menyapu dengan bibir tak lekang senyum.
Tak kahwin lagi ni, gaya dah melebih macam kita ni isteri dia. Nak desak-desak orang, nak halang siapa datang rumah. Dia fikir dia siapa? Wajah Jeffry Dian pandang tak puas hati.
"Tak nak cakap tak apalah!" Jeffry mengalah. Tunjuk protes yang dia tak suka dengan diam gadis itu.
"Abang balik dulu." Dia mengambil tongkat dan dengan terencot dia mula berjalan.
"Tunggulah, kenapalah nak kalut sangat?"
"Abang kalut?"
"Abang tak kalut, perangai abang tu. Tetiba nak berubah jadi kalut, kenapa?" soal Dian tak puas hati. Wajah lelaki yang merenungnya juga dipandang tak puas hati.
"Dian yang jadikan abang macam ni." Dingin suara Jeffry. Jeffry yang tak pernah berputus asa untuk mendapatkan Diannya.
"Kenapa pula?"
"Susahlah cakap dengan orang lambat faham ni." Keras dia mengeluh, kaki yang sakit bertambah sakit bila mengenang gadis yang tak pernah faham perasaannya.
"Dian, boleh tak kalau sehari tu, Dian tak sakitkan hati abang?" Meruap merah wajahnya, tak senang selagi tak tahu siapa lelaki semalam.
Bukan Jeffry tak nampak bagaimana mesra mereka berbual di anjung. Sehingga lewat malam, sehingga dia yang tercongok di latar rumah pun si gadis tak perasan. Terlalu asyik melayan lelaki yang dia sendiri tak tahu siapa gerangannya.
"Apa Dian buat, sampai abang nak marah Dian macam ni?"
"Nak tahu apa yang Dian buat?"
Dian mengangguk. Tayang wajah tak puas hati bila tak pasal-pasal dia dimarahi.
"Dian tak hormat abang. Bakal suami Dian!" Yakinnya. Macamlah sudah terikat satu ikatan antara mereka.
"Wow!" Tangan Dian bertepuk, dengan tempo hero cerita Tamil. Kuat!
"Tahu kan kita nak kahwin?" Pastinya dengan rasa hati, walau belum ada keputusan rasmi dari gadis itu.
"Baru merisik. Itupun tak ada kata putus lagi. Tak tahu pula Dian yang Dian akan kahwin dengan abang." Pantang Dian dicabar dan semakin galak dia mengena Jeffry.
"Itulah yang abang tak suka. Kita sepatutnya nikah terus. Buat apa risik, tunang segala bagai tu. Buang masa!"
"Yang tak sabar sangat kenapa?" Dian menyentak. Hilang sabar bila Jeffry terlalu mendesak. Semua itu hanya buat Dian semakin tawar hati untuk terus berfikir tentang lamarannya itu.
"Mana nak sabar, kalau Dian tu rajin sangat melayan lelaki. Pantang nampak lelaki segak sikit. Mata tu langsung tak kalih, kan? Itu yang abang nampak, yang abang tak nampak?" Rasa marahnya dihambur. Tanpa sedar buat Dian tahu yang dia mengintai perbuatannya semalam.
"Jadi abang intip Dian?"
"Hei, abang berhak jaga bakal isteri abanglah!" Sudah meninggi suara. Tak sedar sikap terlebih perhatiannya itu merimaskan Dian.
"Dengar tak ni?!" Suara Jeffry sama meninggi, membuatkan hati Dian mendidih disebabkan jerkahannya tadi.
"Ingat Dian hairan sangat ke dengan title 'bakal isteri' abang tu?" Dian sudah hilang sabar.
"Hei, mama Dian pun tak pernah nak jerkah-jerkah Dian tau. Kalau nak sangat kahwin pergi kahwin sorang! Jangan fikir dengan tiket merisik tu dah boleh nak kongkong Dian, dengan siapa Dian nak kawan, dengan siapa Dian nak bercakap."
"Dian... Dengar dulu, Dian..." pujuk Jeffry. Cuba untuk melembutkan semula hati Dian yang tadinya dia punca gadis itu naik angin.
"Cukuplah kalau macam inilah perangai abang. Menyesal Dian dengar cakap mama, Tok Nah untuk fikirkan tentang lamaran tu. Buang masa Dian fikir. Kalau sikap abang macam ni. Sepatutnya Dian dah tolak abang awal-awal dulu. Kalau tahulah perangai abang tak semenggah macam ni!"
"Dian." Suara Jeffry cuba rendahkan serendah mungkin. Baru sedar ketelanjuran bicaranya tadi. Dia jadi begitu disebabkan gadis itu sendiri. Bukan dengan niat mahu berkasar.
"Sudah! Dian tak nak dengar."
"Abang marah sebab abang sayang Dian."
"Tak ada maknanya sayang! Kalau sayang bukan macam ni caranya. Banyak lagi benda yang abang boleh buat untuk tunjukkan pada Dian yang abang sayangkan Dian. Dian tak boleh terima abang buat Dian macam ni. Kita belum ada apa-apa ikatan. Dan Dian boleh buat apa yang Dian nak buat, tanpa halangan abang!"
"Dian."
"Dah, Dian nak masuk! Perbincangan kita, tamat!"
"Tunggu..." Mula berlembut Jeffry dan cepat dia mendapatkan bakal tunangnya itu.
"Tunggu Dian. Dengar!" Lengan Dian ditangkap keras.
"Abang tanya saja, siapa lelaki tu. Abang nampak Dian mesra sangat dengan dia. Abang ada hak cemburu, sebab cemburu tu tandanya sayang," lanjutnya lagi.
"Jangan nak bermanis mulut sangatlah! Dian menyampah tahu tak? Abang ingat Dian nak sangat ke kahwin dengan abang!" Celopar Dian, sejadinya dia marah.
"Dian tak nak kahwin dengan abang, tapi abang paksa mama suruh Dian terima abang, kan?" tuduhnya tanpa usul.
"Jadi Dian tak terima abang... Disebabkan lelaki tu?"
"Kita tak cakap tantang dia, kan?"
"Jelas, Dian. Abang dah tahu, sebab apa Dian tolak abang. Dan jelas, lelaki tu penyebab kenapa abang ditolak!" Turun naik nafasnya, bengang dengan apa yang berlaku.
"Okey. Abang undur diri. Dian nak buat apa lepas ni... Terpulang," putusnya terpaksa. Jeffry rela mengalah jika itu keputusan yang gadis itu mahukan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro