Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Sejak makan malam lagi Ryan perhatikan si gadis seolah-olah tak senang dengan kehadirannya di situ. Entah mata Ryan yang silap menilai atau benar tekaannya itu. Tengoklah, lepas makan terus cabut lari.

"Dian?" Dia duduk dan bersandar di kerusi panjang yang diletakkan di sisi buaian besi tempat Dian duduk.

"Ha?" Dian yang sedang termenung jelas terkejut bila disapa begitu. Dia membetulkan duduk, jadi tak senang bila Ryan tiba-tiba muncul.

"Jauh termenung, dah sampai mana?" Suara Ryan mengusik, mengajak Dian selesa dengan perbualan mereka malam itu.

"Ada aje dekat sini. Awak cari... Errr... Awak nak apa?" Mujur dia tak silap menyoal lagi, kalau tak tentu bibirnya sudah dulu-dulu ditampar.

"Tak nak apa, abang cuma nak tahu nama Dian. Nama penuh Dian."

Perlu ke? Dian tertanya sendiri.

"Abang, Adryan Umar." Ryan dalam usaha mahu berkenalan rapat dengan gadis yang tiba-tiba buat hatinya laju berdenyut.

"Dian Fatihah." Dian sama perkenalkan diri.

"Cantik." Lepas pujian Ryan. Spontan.

"Comel."

"Apa yang comel?"

"Nama awak." Tersenyum-senyum Dian. Tak tahu apa yang patut dibicarakan. Habis makan malam, hujan turun dengan lebatnya dan cadangan Ryan untuk pulang malam itu turut dibatalkan. Dan sudahnya mereka berdua duduk dan berbual di sini.

"Dian duduk melepak... Tak join mama dengan umi berbual?"

"Tak naklah."

"Tak suka?"

"Bukan, tak masuk dengan cerita dia orang tu. Sibuk mama tu cerita fasal kuih, pastri, kek. Boring."

"Dah tu, Dian suka cerita fasal apa?" Ryan melayan. Mahu tahu lebih lanjut, semua tentang gadis itu.

"Dian? Lebih kepada alam. Kucing. Fotografi," ceritanya, teruja dengan apa yang dia minat.

"Oh... Bakal photographer la ni, eh?"

"Tak juga. Lebih kepada minat sebenarnya."

"Jadi memang tak kerja lagilah sekarang ni?"

"Kerja. Tolong mama buat kek. Jaga kedai. Ambil part time jadi camerawoman kat sekolah. Tabika."

"Tentu cute."

"Siapa?" Sekilas Ryan dijeling, mahu tahu siapa yang dipuji lelaki itu.

"Awaklah."

"Sangat!" Dia mula selesa untuk berbual.

"Dah dapat bayangkan dah."

"Jangan nak bayangkan lebih-lebih sangat. Dian ni jurukamera cap ayam aje. Tak adalah pro sampai boleh buka galeri."

Patutlah elok-elok semua gambar yang dia ambil, desis Ryan dalam hati. Mahu berterus terang, tapi seakan-akan ada kekangan yang memaksanya untuk terus berdiam diri. Selagi dia tidak buka cerita, rasanya tak salah kalau dia terus menyimpan milik peribadi gadis itu. Lagipun, bukan Ryan sengaja mahu mengambil telefon yang dijumpainya tanpa sengaja itu.

"Abang ada dengar..." Suara Ryan berubah suspens. Terlintas apa yang dibualkan umi dan mama Dian sewaktu dia sampai ke anjung rumah tadi.

"Dengar apa?"

"Umi." Sepatah jawapan Ryan, sebelum dia menelan liur.

"Kenapa dengan umi?"

Jadi tak tenteram hati saat terpandang wajah si jejaka berubah serius. Dan tiada lagi usikan Ryan bila dia masih berfikir mahu meneruskan atau tidak bicaranya tadi.

"Dengan mama Dian..."

"Dah, tadi umi, sekarang mama pula."

Isy! Tak boleh ke cakap terus?!

"Nak satukan..."

"Satukan?" Ternanti Dian, tak sabar mahu tahu hujung cerita Ryan.

"Kita."

"Errr..." Dian pitam. Terfikir apa yang difikirnya petang tadi, dan takkan cepat sangat dimakbulkan kata-katanya itu. First sight love? Oh, tidak!

"Dian nak ke kalau umi masuk meminang Dian untuk abang?" Ryan tak suka berselindung, lebih suka straight to the point.

"Kita baru jumpa sekali kut."

"Tapi abang rasa macam dah lama kenal Dian."

"Mengarutlah."

"Kan... Umi tu memang mengarut."

"Sama macam mama Dian," akui Dian. Tak percaya dengan gurauan si bujang.

"Sama-sama mengarut."

"Dan kita pun nak jadi mengarut macam umi dan mama." Tergelak dia comel. Melayan sahaja bicara Ryan malam yang dingin itu.

"Tapi siapa tahu kan... Yang mengarut tu boleh buat jalinan ni pergi lebih jauh." Ryan masih berharap. Dan andai benar ada usaha mahu menyatukan mereka, dia sesekali takkan menolak.

"Maksud awak?" Berkerut dahi Dian menanti jawapan. Sungguh, desakan jodoh kali ini tak sama sewaktu dia didesak untuk menerima Jeffry. Apa yang datang seakan-akan senang dan tanpa dipaksa dia mampu terima apa yang dicadangkan mamanya.

"Abang lebih suka terus terang. Dan satu perkara yang abang nak Dian tahu. Abang dah terpukau."

"Hebat!"

"Hebat, kan? Mungkin ini yang dikatakan, first sight love. Tak minta ia datang, tapi dia hadir sendiri tanpa diundang. Dan yang lebih menghairankan, macam mana ia boleh terjadi pada abang yang dah lama lupa untuk merasai perasaan itu." Mula mengayat dan senyumnya mula meleret memerhati Dian yang beku. Sejuk mendengar pengakuannya tadi.

Entah apa-apa ajelah mamat ni. Ingat Dian nak percaya kata-kata dia ke? Isy! Kalau dah namanya lelaki, semua sama saja, kan?

"Mengarut gila yang namanya Ryan ni, kan?"

"Sorry, Dian tengah scan apa yang awak cakap tadi tu. Okey, sekarang Dian faham, awak sedang bergurau, kan?" Dia langsung tak berharap jejaka di hadapannya itu ada menaruh hati padanya.

Tapi kalau betul, ini masanya untuk dia mengelak daripada terus diasak dengan soalan Abang Jep. Adryan Umar... Bakal... Erk? Kenapa nak mengarut sangat cerita ni?

"Dian boleh fikir apa yang Dian nak fikir. Abang tak letak spesifikasi di mana hala tuju kata-kata abang tadi. Kalau Dian nak ambil ia sebagai sesuatu yang serius... Abang alu-alukan. Dan kalau cuma nak anggap abang bergurau pun, abang tak kesah." Ryan yang tiba-tiba jadi terlebih berani mengurat anak dara orang.

"Boleh pula macam tu," desisnya perlahan, namun sudah cukup jelas untuk sampai ke telinga Ryan.

"Sengaja nak buat Dian berfikir. Dan kalau tak nak fikir, nak terima terus pun abang okey aje." Bersahajanya lagi, perasan Dian yang sudah terasa tak jejak duduknya. Mungkin gadis itu sedang sama berfikir.

Biar betul anak Hajah Rashidah ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: