Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Hrmmm... Kacak juga anak bujang umi tu, segak pun segak. Tak sangka, orang Kedah ni handsome! Tapi rasanya kalau buka Ray-Ban, lagi handsome kut!

Dian masih teringat-ingat orang di depan. Terus mengacau kordial mangga yang cuma dibancuh dengan air dari dalam peti sejuk. Dalam mengacau, mata terhala ke satu tempat. Berangan! Fikiran terawang dan akhirnya dia tersentap.

Isy! Apa hal nak ingat dia sangat ni? Cepat pipi ditampar, tidak mahu terus mengenang. Yang lebih tepat, tak elok mengenang anak bujang orang! Kalau mamanya tahu, siap kepala kena ketuk!

Itu dah kenapa nak tampar pipi sendiri tu? Ada bela saka ke budak ni? Ryan yang senyap-senyap menapak, mula menghampir. Rapat kepada Dian yang masih mengacau air.

"Tak nak fikir sebenarnya, tapi entahlah. Terbayang muka handsome dia tu. Dahlah handsome. Tinggi!" kalutnya lagi, tersenyum-senyum tanpa perasan diri sedang diperhati.

"Hrm!" Deheman Ryan buat gadis di hadapannya itu diam terkaku.

"Dian?" tegur Ryan, dapat tahu nama si gadis pun dari cerita-cerita dan perbualan gadis itu bersama uminya tadi. Belum berkenalan sesama sendiri.

"Errr? Ha, Dian." Dian pamer muka paling pelik. Tak tahu apa mahu lelaki itu, dan yang terlintas dalam fikirannya waktu itu.

Cari aku kut!

"Awak nak cari siapa?" Habis menyoal bibir Dian katup rapat-rapat. Tersilap bertanya sebenarnya, ayat yang sebenarnya adalah; awak nak apa'. Hailah Dian, kenapalah kau ni kalut sangat?!

"Abang nak tumpang toilet, boleh, kan?" Sopan anak bujang Hajah Rashidah, dengan gaya santai berdiri di sisi Dian. "Lepas pergi toilet... abang cari Dian pula." Sempat lagi dia berseloroh. Mengajak Dian selesa dengan kehadirannya di situ.

Nak bergurau pula dia. Tapi, abang? Pandai umi jaga anak. Elok tingkah laku. Bahasa pun sejuk didengar, pujinya dalam hati.

"Boleh?" Ryan tanya lagi bila Dian masih bingung.

"Boleh. Boleh. Situ!" Telunjuknya lurus ke arah bilik stor di sebelah kiri tempat dia berdiri, sebelum tangan tergaru-garu kepala yang tak gatal. "Eh, bukan. Sana!" Terkejut sendiri bila silap memberi arahan.

Kau dah kenapa, Dian? Dia ketuk kepala sendiri dengan hujung sudu buat mengacau air.

"Sana? Confirm?" Ryan tersenyum senget, minta kepastian. Sedar gadis itu kalut melihat dia yang tiba-tiba muncul.

"Confirm!" Ada senyum di bibir Dian, walau senyum tak rela. Sedar Ryan sedang mengejeknya.

"Okey, terima kasih."

Berlalu Ryan dengan senyuman. Kalau tadi kata-kata sinis yang ada dalam hati, kini hatinya mula berkata yang manis-manis. Memuji Dian yang comel dengan aksinya mengacau air sambil menampar pipi sendiri.

Dan seminit Ryan berlalu, tapi Dian masih tercegat. Menikmati bauan haruman yang dipakai Ryan. Kenapa sedap sangat bau dia? Terawang dia lagi. Alamatnya air tak siap dan dia kekal tercegat tak bergerak.

"Ya Allah, apa umi fikir aku dekat dapur ni lama-lama. Buat air saja kut, tak perlulah sampai nak berjam-jam! Baik-baik umi berkenan nak jadikan menantu, terus cancel sebab tak reti buat air!" terkekek dia lagi.

Dalam sibuk mengatur cawan dan sepinggan cheese tart dan mini pavlova yang dibuatnya semalam, Ryan muncul dengan melipat hujung lengan kemeja yang sudah dikeluarkan dari jean. Duduk semeja tanpa disuruh, memerhati Dian yang sibuk menyusun tart dan pavlova tanpa sedar kehadirannya di situ.

"Jadi, Dian pun ada sama masa di tanah suci?" soalnya tiba-tiba dan baik-baik pavlova di tangan Dian elok dipegang, terbalik disebabkan soalannya tadi.

"Sorry-sorry, abang ingat Dian perasan abang duduk dekat sini." Kelam-kabut Ryan, tak sangka Dian akan terkejut sampai terkontal semua yang dipegang.

Haih, nasiblah anak orang, kalau tak ingat-ingat... Tak diluah geramnya dan dia mula menyusun semula pavlova yang jatuh tergolek.

"Sorry." Mulut mengucap, tangan menghulur tisu dapur. Tangan Dian yang berlepotan krim putar dipandang bersalah.

"Tak apa, krim saja kut."

Dibiar ruang tak terisi dengan perbualan. Memerhati sahaja Dian mengelap tangan yang terpalit krim putar yang kelihatan enak.

"Awak tanya apa tadi? Dian tak berapa dengarlah." Dia cuba berbaik-baik, memandangkan itu merupakan tetamu istimewanya petang itu.

"Tak, abang cuma tanya. Dian ada sama ke masa di tanah suci sebulan yang lepas?" Habis bertanya, Ryan pamer senyum. Senyum cantik yang tidak dinafikan kemanisannya.

"Ada, dengan mama. Teman mama buat umrah sama, abang Dian pun ada waktu tu," jawabnya ringkas dan terlihat Ryan terangguk-angguk faham.

Patutlah, memang dia tak silap orang dan gadis itu sememangnya Dian.

"Awak?" Dia nak juga tahu.

"Abang? Ada, cuma tak perasan pula bila Dian dan umi berkenalan. Seingat abang kita macam tak bertembung di sana, kan?"

"Kalau awak memang Dian tak perasan, tapi Dian jumpa umi secara tak sengaja di kaki lima Masjidilharam, waktu tu hari terakhir kami di sana. Dah nak balik pun, lepas solat subuh..." cerita Dian lanjut lagi.

Ryan yang mendengar serius cuma terangguk-angguk.

"Waktu tu kaki umi terseliuh? Dan Dian gadis cantik yang bantu umi? Sampai umi tak jemu ulang-ulang cerita dengan abang pasal kejadian tu?" Berkerut dahi Ryan, meminta kepastian Dian lagi.

Gadis cantik? Pengsan! Tak terkata bila dipuji cantik. Mencari kata untuk membalas soalan lelaki di sisinya itu.

"Dian tolong teman aje waktu tu, tak adalah tolong sangat sebenarnya. Tunggu umi yang sedang menunggu anak dia katanya dan anak dia tu awaklah, ya?"

Ryan terangguk dan sudah ada senyum yang melatari bibir manisnya.

"Dian kena pergi cepat masa tu, sebab dah nak kemas barang, itu yang tak nampak awak... Dan umi pun Dian tinggalkan sorang."

"Itulah, tak jumpa di sana... Mungkin Dia nak ketemukan kita di sini." Tersusun ayat Ryan, sudah terdetik satu perasaan ganjil. Dan lebih memikirkan tentang apa yang terpendam dalam hati.

Dan kalau sungguh gadis itu Dian, perlu ke dia minta maaf? Dan telefon bimbit itu... Perlu ke dia pulangkan semula pada Dian? Fikirnya, masih ada sesuatu yang disembunyikan.

Apa maksud dia, nak ketemukan kita di sini? Oh anak Hajah Rashidah, kenapa kamu ni sesuatu sangat! Dian menjeling Ryan dengan ekor mata, belum jelas apa yang cuba disampaikan lelaki itu tadi.

"Kuih cantik tu Dian buat?" tunjuk Ryan pada mini pavlova dan cheese tart yang berhias cantik.

Si gadis yang juga cantik hanya terangguk. Malu pula bila kuihnya dipuji. Nasib dia puji kuih, kalu puji Dian cantik sekali lagi, mahu dia tergolek dekat sini. Gembiranya disorok-sorok. Hilang demam bila hati bergetar. Lupa seketika semua tentang Jeffry.

"Kuih apa tu?"

"Oh, ini pavlova dan yang ni... Fruit and cheese tart. Jomlah ke depan kalau awak nak rasa. Umi pun dah lama tunggu tu."

"Okey, abang tolong bawa air." Ryan menawarkan diri.

Sementara Dian hanya diam, tersenyum sebagai tanda terima kasihnya kerana Ryan sudi membantu.

MUNCUL dengan masing-masing menatang sebuah dulang yang berisi, Puan Darlina dan Hajah Rashidah sudah saling menepuk paha. Sejuk mata saat memandang pasangan itu keluar dari bahagian dapur rumah. Kelihatan mesra dan elok kalau kemesraan itu diteruskan.

Senyuman masing-masing sudah membayangkan apa yang sudah ada di dalam kepala. Semakin melebar bila Puan Darlina terangguk memahami.

"Patutlah lama sangat dekat dapur tu... Orang tua sibuk bersembang, yang muda belia pun nak bersembang sama rupanya ya." Suara Puan Darlina memecah sunyi. Memandang Dian yang tersipu-sipu dan Ryan yang berlagak tenang.

"Mak cik, apa khabar?" Disalami teman uminya sebaik dulang air diletakkan di atas meja. Ada senyum dan Puan Darlina menyambutnya senang.

"Sihat. Oh, jadi inilah Adryan Umar ya, Hajah?" Terangguk lagi Puan Darlina.

Kenalah sangat kalau gini rupanya. Tak sudah Puan Darlina menilai. Ada bunga-bunga yang disampaikan Hajah Rashidah yang berkenan mahu jadikan Dian sebagai menantu menjadikan dia menilai begitu.

"Inilah Lina, Kak Shida ni cuma ada seorang anak lelaki. Yang lainnya semua perempuan."

"Oh... Elok budaknya. Apa kerjanya?" Dalam banyak-banyak benda, perihal kerja yang terlepas dari bibirnya saat itu.

"Kerja ki..."

"Kerani aje, mak cik. Kerani kilang," celah Ryan, menghalang uminya bercerita lebih. Lagipun tak ada apa yang mahu dibanggakan dengan kerja warisan keluarga yang dimilikinya sekarang. Semua itu bukan hasil usaha mutlak dia pun.

"Kilang... Okeylah, asal ada kerja. Nak harapkan anak dara mak cik ni, dah keluar universiti bertahun pun masih duduk rumah. Penanam anggur tegar katanya." Dikerling si anak dan Dian sudah mula tertunduk.

"Disuruh cari kerja liat, nak melekat dengan mak cik dua puluh empat jam." Berbakul Dian di'puji'. Merah hijau wajahnya dengan 'pujian' itu.

Mama ni pun, kut ya pun janganlah semua benda dia nak cerita. Setakat kerja kerani, Dian bila-bila aje boleh carilah. Tapi kerani? Adui, betul-betul potong. Ingat dah nampak segak macam ni, paling-paling pun kerja engineer. Rupanya? Kerani kilang. Hrmmm. Hampa bila telahannya tadi silap.

"Jemput minum, umi. Awak."

"Apa pula awak, panggil aje Ryan, Dian," celah Hajah Rashidah.

"Abang pun boleh, beza bulan saja kan dia orang ni? Umur sebaya," giat Puan Darlina mengenen. Berkenan sungguh dia dengan anak bujang teman barunya itu.

"Mama, umi. Dian ke dalam ya. Ada kerja nak buat." Tak mahu terus diusik, dia mengambil langkah pantas dengan menyembunyikan diri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: