Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Tok Nah sudah siap sedia dengan semangkuk santan kelapa yang mahu ditenggekkan di atas dapur kayu. Siap dengan bertudung dan berwuduk bagi menjamin kualiti dan keaslian minyak yang dihasilkan nanti betul-betul suci dan bersih.

Tidak lupa, selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W turut mengiringi penghasilan minyak kelapa dara yang dihasilkan. Minyak kelapa yang dihasilkan dari kaedah tradisional yang diwarisi turun-temurun itu dimulakan prosesnya. Diperturunkan kepada Tok Nah yang kerjanya mengurut orang bersalin.

Dian hanya jadi pemerhati. Diam dan membiarkan Tok Mah dengan kerjanya. Sesekali dia menghulurkan tuala kecil untuk orang tua itu mengelap peluhnya.

Tok Nak hanya senyum, membiarkan Dian menunggunya di sisi dapur kayu.

"Tahi minyak ni nanti, Dian bawa balik. Bagi mama. Dengarnya mama Dian nak buat kuih kole kacang hari tu." Tok Nah bersuara bila sejak tadi masing-masing berdiam.

Dian cuma mengangguk. Jadi tak selesa di rumah Tok Nah bila ada tetamu lain yang bertandang. Tambah tak senang hati bila tindak-tanduk Jeffry semakin pelik dan buat fikiran Dian ligat berfikir yang tidak-tidak.

"Tak panas?" Tok Nah bertanya lagi. Dan cucu atau lebih tepat anak jiran yang sudah dianggap sebagai cucu itu hanya tergeleng.

"Pergilah ke depan. Jep dengan Mak Zah ada tengah tengok tv tu. Dekat sini panas Dian." Ligat tangan Tok Nah mengacau, masih dalam proses pembuatan minyak kelapa secara tradisional. Sambil itu melayan anak jiran yang rajin bertandang. Meneman dia bila dia keseorangan di rumah.

"Malulah, tok." Dian tersipu-sipu. Mata yang pedih terkena asap bakaran dapur kayu cepat-cepat digosok.

"Malu apanya. Dulu kamu selalu main pondok-pondok dengan Jep tu, kan? Tak habis main pondok-pondok... Main kahwin-kahwin pun pernah, kan?" Senyum Tok Nah. Mengharap sangat Dian faham dengan maksud ucapannya tadi.

Kalau dulu main kahwin-kahwin dan sekarang dia mahu dua orang cucunya itu disatukan dan dikahwinkan betul-betul.

"Tu dulu tok, masa tu Dian kecik lagi... Kahwin suka-suka. Olok-olok. Makna kahwin tu pun Dian tak tahu apa. Tak bolehlah nak samakan zaman kanak-kanak dengan zaman sekarang ni. Betul kan tok?"

"Yalah, tok lupa yang kamu ni dah besar. Dah jadi anak dara. Cantik pula tu. Malu tu elok, lagi-lagi untuk gadis macam kamu tu. Malu tu mahal harganya, tak semua gadis ada sifat malu tu sekarang."

"Tok ni pun..." Tersipu-sipu dia lagi bila dipuji.

"Tok ada nak tanya Dian..."

"Dian!" jerit Jeffry mematikan kata-kata Tok Nah, terujanya serupa tak nampak Dian setahun, walhal baru berjumpa awal tengah hari tadi.

"Abang Jep."

"Jomlah masuk, panas dekat belakang ni. Jom, jumpa mak abang. Mak abang pun kata nak jumpa Dian tadi," ajak Jeffry, menghalang Tok Nah daripada terus bertanya.

"Pergilah, Dian," suruh Tok Nah sambil membetulkan api dapur kayu.

"Tapi tok tak habis cakap lagi, kan?"

"Tak ada apalah. Tok cuma nak tanya pasal kek. Ada orang nak pesan kek. Dian jumpa Mak Zah dulu. Bila-bila sempat tok datang rumah, cari Dian," helah Tok Nah. Tak terus bertanya, memandangkan si cucu sudah beria-ia mahu gadis itu masuk ke dalam rumah.

"Abang ingat Dian tak jadi datang." Beria-ia Jeffry melayan. Dengan bertongkatnya Dian diajak ke ruang tamu rumah Tok Nah yang luas.

"Datang, dah janji nak datang, kan..." Hati gadisnya semakin tak sedap. Keterujaan Jeffry mengajak dia untuk berfikir ada sesuatu yang lelaki itu harapkan. Dan kalau bukan soal hati, soal apa lagi, kan?

"Mak, tengok siapa datang." Tak menunggu lama, sampai sahaja di ruang tamu, Jeffry memanggil Puan Haizah. Tak menyabar.

Puan Haizah kalih wajah dan bila terpandang Dian, cepat-cepat dia bangun, mahu mendapatkan gadis manis yang jalan beriringan dengan anak bujangnya itu.

"Mak Zah." Dian kekok bersalaman, maklumlah ibu kepada Jeffry itu tidak selalu pulang ke kampung. Dan tinggalnya juga di Labuan sana.

"Mak Zah sihat?" Dia dulu-dulu bertanya khabar.

"Sihat. Alhamdulillah, Dian. Sihat untuk berjumpa anak Mak Zah yang sorang ni. Bertahun tak jumpa Dian. Mak Zah hampir tak kenal tadi. Lain benar rupa dia." Bunga-bunga pujian sudah muncul di bibir Puan Haizah. Menunggu masa untuk ditunaikan hasrat. Mahu meminang gadis dambaan si anak.

"Kan mak, Jep dah cakap dah. Lain Dian yang sekarang, tak sememeh macam dulu."

"Ya, lain. Cantik pula tu."

Adui, dah rupa bahan pameran Dian kali ni. Dia? Cantik? Adeh, cantik ke? Ke saja nak ambil hati? Memerah pipi Dian bila dipuji. Tak tahu mana nak menyorok.

"Duduk Dian, Mak Zah dah lama tak borak dengan Dian. Tok Nah ada cerita apa-apa tak?" Puan Haizah kalau boleh mahu terus kepada tujuannya pulang ke kampung.

"Cerita apa, Mak Zah?" balas Dian hairan. Seingat dia, Tok Nah tak pernah bercerita apa-apa.

"Cerita yang kami nak datang rumah Dian malam ni. Dian dengan mama tak ke mana, kan?"

Datang rumah? Ada apa pula nak datang rumah? Dian berfikir semakin panjang, seingatnya mamanya tak ada cakap mahu buat kenduri.

Jeffry yang perasan perubahan wajah Dian mula mencelah.

"Ada apa, mak? Jep tak tahu pula ada lawatan sambil belajar mak dekat kampung ni. Tahulah mama Dian ni buka kelas buat kek."

"Jangan buat lawaklah Jep, mak dengan tok ada hal nak nak bincang dengan mama Dian. Hal orang-orang tua. Kamu budak-budak, duduk diam-diam. Yang pasti, kamu berdua tentu gembira dengan apa yang bakal berlaku nanti." Yakin Puan Haizah, tak tahu ada yang bakal meroyan dengan tindakannya itu.

Kedua-dua anak muda yang duduk sebelah-menyebelah itu sudah saling berpandangan. Jeffry dan Dian seakan-akan faham dengan apa yang cuba disembunyikan wanita separuh umur di hadapannya itu.

"Mak Zah nak ke dapur dulu. Dian jangan ke mana-mana malam ni. Ingat, Mak Zah nak datang tau." Dia mengingatkan Dian lagi lantas berlalu tanpa menunggu Dian berkata ya.

Sunyi sebaik Puan Haizah berlalu. Masing-masing dengan hati tak tenteram. Sudah terbayang apa yang ada dalam fikiran masing-masing. Dan yang pasti, apa yang menjadi ketakutan Dian, kini betul-betul terjadi. Dia bakal disatukan dengan lelaki di sebelahnya itu?

Mana boleh! Dian tak nak! bentak Dian dalam hati.

"Okey!" ucap mereka serentak!

"Dian cakap dulu," arah Jeffry, bimbang apa yang difikirnya sama dengan apa yang gadis itu fikir.

"Boleh fikir, apa yang Dian fikir?" Dian sudah bercantum kening. Risau sungguh dengan keterujaan Mak Zah, ditambah dengan sikap pelik Tok Nah hari ini. Semua itu sudah cukup untuk menyambung sarang lelabah yang mula berselirat dalam fikirannya kini.

"Meminang?" teka Jeffry. Meluap-luap rasa gembiranya, cuma sengaja tidak ditonjolkan. Mahu melihat reaksi Dian terlebih dahulu. Bimbang kalau dia yang terlebih teruja, sedang Dian masih buat tak endah dengan cadangan ibu dan neneknya itu.

"Gila," luah Dian perlahan. Tangan sudah naik di kepala. Tak sedar ucapannya itu mengundang rasa kurang senang Jeffry.

"Siapa gila?" Perlahan Jeffry bertanya. Tersentap dengan ucapan gadis di sisinya itu. Hati bagai baru digilis kejam, walau cuma satu perkataan yang lepas dari bibir comel Dian.

"Tak, maksud Dian semua ni, gila."

Ah! Kenapa mesti betul sangkaan dia? Dan kenapa mesti Jeffry fikir perkara yang sama! Memberontak hatinya. Kalau mampu dihalang biarlah tiada perbincangan untuk mengatur jodoh mereka berdua. Kerana awal-awal lagi dia akan menentang!

"Masuk meminang Dian, sesuatu yang gila? Dan itu yang Dian cuba nak cakap dekat abang sekarang?" Jeffry perlukan penjelasan. Dan kalau boleh janganlah apa yang diluah tadi serupa dengan apa yang cuba gadis itu sampaikan.

"Abang Jep, jangan ceduk apa yang Dian cakap tu bulat-bulat. Dian tak maksud pun nak cakap semua benda ni gila. Tapi boleh nampak, kan?" Dian mengajak Jeffry untuk sama berfikir.

"Nampak apa? Cuba Dian jelaskan kepada abang." Dia mohon pencerahan, walau hati sudah tergambar apa yang cuba dimaksudkan si gadis.

Dia tak sudi kut... Dan itu yang terlintas dalam fikiran Jeffry waktu itu.

"Dian tak nak!" bangkangnya tegas.

"Kita tak boleh kahwin, itu yang Dian cuba nak abang tahu sekarang," lanjutnya lagi. Tidak bersetuju dua ratus peratus!

"Okey. Faham." Tak cakap banyak, Jeffry sudah cukup tahu yang gadis itu tak berkenan untuk dijodohkan dengannya.

"Dian tak nak semua ni diteruskan dan kalau betul Tok Nah dengan Mak Zah nak jodohkan kita, Dian memang tak setuju," putusnya, walaupun belum ada rombongan rasmi.

Saat itu Jeffry hanya mampu meraup wajah. Kecewa dengan penolakan Dian, walaupun belum jelas apa yang mahu dibincangkan orang tuanya.

Hina sangat ke dia? Sampai ditolak mentah-mentah macam ni. Terngadah kepalanya menghadap siling. Belum hilang sakit di tulang keting, kini kesakitan itu berpindah di kepala pula.

"Dian benci abang?" Dalam tak rela, Jeffry terpaksa bertanya. Pada Jeffry, biarlah sakit hati sekali harung, asalkan dia puas dengan jawapan si gadis.

"Dian tak benci abang, jauh sekali tak menginginkan abang. Dian ada sebab kenapa Dian tolak kalau sungguh apa yang Mak Zah dan tok nak buat."

Sinis senyuman Jeffry. Mendengar penjelasan Dian serupa dia sedang diperbodohkan. Tak nak tu, maknanya tak suka, tak suka tu dah dekat-dekatlah dengan benci!

"Dian tak boleh terima semua ni. Abang, kita membesar bersama, kita dah tahu apa yang ada dalam fikiran masing-masing walau semua tu masih belum terluah. Dian tak nak hubungan rapat kita ni... Jadi renggang disebabkan penyatuan ini. Dian tak boleh terima."

Dia tergeleng kecil, dengan raut yang jelas menunjukkan dia sedang dalam keadaan tidak senang hatinya.

"Tapi abang akan cuba..."

"Cuba apa?" Pantas dia memintas, jelas Jeffry mahu meyakinkan yang dia juga mampu membahagiakan.

"Abang dah lama sukakan Dian... Atau lebih tepat, cintakan Dian. Cuma Dian yang tak pernah nampak." Panas hidung Jeffry. Mahunya tak sedih, belum dipinang sudah ditolak pinangannya itu. Sungguh, dia benar-benar terhina dengan penolakan Dian.

"Dah banyak kali abang datang kepada Dian. Bagi hint yang abang perlukan Dian, nak Dian dekat dengan abang. Tapi sayang, sampai ke tahap abang kata abang rindu kepada Dian pun, Dian masih tak perasan yang abang ada hati kepada Dian." Dilepaskan apa yang terpendam. Baginya biarlah dia kecewa, asalkan apa yang terbuku dapat diluahkan.

"Bila Tok Nah beritahu yang dia nak jodohkan abang dengan seseorang, abang dah dapat agak, yang gadis bertuah tu Dian."

Ucapannya itu hanya buat Dian bertambah serba salah.

"Abang tahan hati ni hampir tiga bulan, Dian. Abang pendam perasaan, duduk atas kapal tu. Tunggu dan tunggu untuk waktu abang boleh pulang ke kampung." Dari duduk bersandar, Jeffry bangkit, menjarakkan duduknya dari dekat dengan gadis yang selalu buat jantungnya tak duduk senyap.

"Dan bila kaki ni patah, abang bersyukur sangat sebab Allah dah dengar doa abang. Beri abang peluang untuk bercuti lebih awal. Sebab tu abang cakap, sakit pun tak apa, abang rela. Asalkan abang dapat jumpa bakal isteri abang. Dan tak silap apa yang abang fikir selama tiga bulan ni. Betul, tok nak jodohkan kita dan tengah hari tadi abang tahan sakit kaki ni sebab abang rindu sangat dekat Dian. Sorry..." Menangkup bibir bila hati kian sebak.

"Dian boleh anggap apa sahaja pada abang. Abang terima kalau Dian nak kata abang ni lelaki tak tahu malu. Orang tak sudi pun masih nak terhegeh-hegeh. Tapi Dian kena tahu, yang abang betul-betul dah jatuh cinta."

Tak terucap apa yang mahu dilafaz. Sudahnya Dian diam tanpa membalas. Sebak, sadis semuanya meresap ke jantung saat itu. Dicintai lelaki yang sudah dianggap sebagai abang.

Bagaimana harus dia luahkan, kalau hati ini langsung tidak terdetik? Mahu lelaki itu meneman dia sepanjang hidup? Dan bagaimana janji dia sewaktu di Jabal Rahmah dahulu. Hanya mahukan jodoh yang mampu buat dia melayang, walaupun hanya memandang sinar matanya? Mampu ke dia terima Jeffry, sedang hati ini langsung tidak menginginkan?

Dian terus membisu. Membiarkan ucapan cinta Jeffry tanpa dibalas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: