Bab 2
"Abang Jep!" lambai Dian mesra apabila Jeffry semakin mendekat. Diperhati lelaki itu berjalan memasuki pekarangan rumahnya yang luas halamannya.
Jeffry Rashid sudah tersenyum-senyum dari jauh. Bersemangat apabila kepulangannya dinanti. Dia berjalan dengan kaki terdengkot, melalui lorong kecil yang menghubungkan rumah nenek lelaki itu dan rumah teman sepermainan waktu zaman kanak-kanaknya, Dian Fatihah.
Tak jauh pun jarak antara rumah si nenek dan si gadis. Dan atas sebab itu Jeffry rajin melawat si gadis, walaupun keadaan kesihatannya ketika ini tidak begitu mengizinkan.
"Abang, cepatlah!" gamit Dian lagi. Tak menyabar mahu berbual mesra dengan lelaki yang jalannya terdengkot-dengkot itu.
"Sabarlah..." Semakin manis senyum Jeffry bila ada yang menegur. Ditegur perempuan cantik, manalah dia tak suka?
"Tak sangkanya Dian abang balik kampung hari ni." Dian menyambut kedatangan Jeffry dengan senyum teruja. Sekujur badan yang sudah berdiri tegak di hadapannya itu diperhati atas bawah.
"Dian sihat?" Jeffry memula kata. Senang hatinya melihat senyum teruja Dian lewat pagi itu.
"Alhamdulillah, macam inilah Dian. Abang?"
"Sihatlah, kalau tidak macam mana abang boleh ada depan Dian?" Tilikan Jeffry ke wajah Dian masih belum berganjak, dia betul-betul rindukan gadis ini.
"Anak dara mama Lina ni dah semakin cantik sekarang, rasanya sebelum abang tinggal kampung, Dian tak adalah macam ni," pujinya.
"Baru beberapa bulan tinggal, balik ke sini semula langsung berubah semuanya, ya?" Tak habis lagi dia mengusik. Dah jadi kemestian Jeffry, setiap kali pulang ke kampung, gadis itu yang terlebih dahulu dicarinya.
Lelaki ini masih berharap, masih ada hasrat yang tak terluah membuatkan rumah sederhana besar itu menjadi intaiannya setiap kali dia pulang ke kampung.
Sudah lama terdetik dalam hati, mahu memiliki gadis manis di hadapannya ini, cuma di pihak Dian masih belum faham dengan apa yang selama ini Jeffry tunjukkan.
"Cantik apanya, Abang Jep? Dian sama aje macam enam bulan lepas. Tak kembang tak kuncup, ginilah rupanya." Dian menepuk-nepuk pipi, sambil kepala ligat berfikir. Apa maksud perubahan yang dimaksudkan Jeffry itu.
Atau Abang Jep sengaja nak mengusik? Bukan Dian tak kenal dengan cucu Tok Nah yang seorang ni. Pujiannya tak pernah tak buat Dian melompat kegirangan. Puji ada makna. Begitulah selalunya.
"Tapi abang nampak lain." Berkedip dua kali kelopak mata Jeffry. Lepas segala rindu yang dipendam saat panahan matanya bersatu dengan mata bundar milik si gadis.
Dian Fatihah. Harapnya, kepulangannya kali ini merupakan kepulangan yang paling bermakna. Kalau mampu mahu dibawa bersama bunga mekar milik Puan Darlina untuk dibawa berlayar bersama. Berlayar sebagai sepasang suami isteri mungkin.
Jauh anganan Jeffry, tak sedar Dian sudah kalih pandang. Tak dibenarkan lelaki itu terus rakus menyaksi setiap apa yang sengaja dihidangkannya waktu itu. Yalah, Dian kan tidak bertudung.
"Yalah tu!" Tersipu dia sendiri. Tak tahu kenapa lain benar apa yang diucap Jeffry kali ini. Manis saja apa yang diucap lelaki itu sampai ke telinga.
"Betul..."
"Abang bila sampai? Tetiba muncul, dengan kaki terdengkot macam tu, dah kenapa?" ramah Dian bertanya. Selesa berbual mesra dengan cucu lelaki jiran sebelahnya yang jarang-jarang pulang ke kampung.
Orang lautlah katakan. Mana nak lekat dekat darat. Kenang Dian dan seingatnya, dia bertemu Jeffry enam bulan yang lepas, sebelum lelaki itu kembali berlayar membelah lautan. Mencari rezeki dengan mempertaruhkan nyawa demi sesuap nasi.
"Baru tiba, ayah dengan mak abang pun ada sama hantar abang ke sini. Lepas salam tok, terus cari Dian." Suaranya bangkit, seakan-akan terlalu gembira dapat berjumpa dengan gadis yang dirindu.
"Wah... Cari Dian. Ada apa, ya?" Terkedip matanya dua kali. Tapi cara Jeffry cakap cari Dian tu, buat Dian tak senang.
"Tanya lagi. Rindulah."
Santai ucapan lelaki itu, tapi kenapa kesannya buat Dian rasa tak sedap perut? Sebelum ni tak pernah pula lelaki di hadapannya itu nak rindu-rinduan macam ni. Pelik kata-kata yang lepas dari bibir Jeffry kali ni.
Jangan-jangan... Timbul tanda tanya besar di kepala Dian. Dan kalau boleh biarlah tanda tanya itu terus tak terjawab.
"Dian rindu abang tak?" soalnya tiba-tiba. Mengharap Dian berkata ya. Dan andai ya jawapan gadis itu, hari ini juga dia akan suruh Tok Nah hantar rombongan meminang!
"Ha?" Dian terpinga, masih belum terbiasa untuk saling merindu. Dan kalau ya pun dia rindu, tak adalah sampai rasa rindu seperti orang bercinta. Dia anggap Jeffery abang saja kut!
"Tak adalah, abang gurau aje."
"Lama cuti?" Dian terus ke soalan yang lebih santai dan sesungguhnya dia tidak selesa berbicara tentang rindu, cinta, hati, hempedu dan limpa. Kerana semua itu mampu buat dadanya sesak!
Dian tak nak ada apa-apa perasaan dekat lelaki yang Dian dah anggap sebagai abang. Tak nak. Diulang. Tak nak!
"Dua bulan turun darat, Dian. Kaki abang injured, keting patah," tunjuk Jeffry. Jean yang tersarung diselak, mahu Dian nampak kakinya yang berbalut.
"Patah?" Membulat matanya dan pandangan terus tertumpu ke kaki Jeffry yang katanya tadi cedera.
"Patah. Tapi dah okey sikitlah bila nampak Dian," ceritanya, mahu Dian tahu.
Nampak Dian, terus okey? Apa cerita? Ternganga mulut Dian. Tak tahu nak suka atau nak gerun. Tapi apa yang jelas, tindak-tanduk Jeffry agak pelik kali ini.
"Serius?"
"Seriuslah, kerja atas kapal tu tak boleh dijangka, Dian. Macam-macam hal boleh jadi kalau kita cuai. Untung cuma cedera, tak mati," selambanya lagi.
"Ada ke cakap macam tu."
"Betullah. Cedera macam ni dah jadi perkara biasa buat orang kapal macam kami. Lagi elok patah tulang, dapat balik bercuti awal dan dapat jumpa orang yang abang rindu." Muncung bibirnya panjang, mahu menyampaikan berapa banyak rindunya kepada orang yang tak tahu dirinya dirindu itu.
"Oh... Itu yang Pak Cik Rashid hantar balik kampung tu?" Tidak diulas siapa yang dirindukan lelaki itu, sebaliknya Dian reka cerita lain.
"Macam tu la cerita dia. Sebab tulang patah tu yang dapat cuti dua bulan. Kalau tak abang masih di laut, dilambung ombak... Ombak rindu."
Sayup dia bersuara. Mahu menyampai hasrat hati dengan harapan gadis di hadapannya itu faham. Tapi kalau dah namanya Dian, orang bagilah hint macam manapun, gadis itu masih buat-buat tak faham.
Sangat pelik Abang Jep ni. Musykil sungguh. Tadi rindu, sekarang ombak rindu, lepas ni? Tak habis-habis memerhati tingkah pelik Jeffry. Kepulangannya kali ini betul-betul diragui.
"Eloklah, boleh rehat lama sikit, sampai kaki tu sembuh, kan?" Dian masih dengan bahasa yang serupa, tidak terlalu melayan kata-kata rindu lelaki itu.
Dan apa yang lebih buat dia takut, lelaki itu mempersoalkan tentang hati. Memang silap oranglah kalau nak cakap soal hati dengan seorang gadis yang bernama Dian Fatihah. Kerana gadis itu bukan sembarangan gadis yang cepat menyerah.
"Elok memang elok, tapi dua bulan tu lama. Dah rupa perempuan cuti bersalin dah. Bosan wooo, tak tahu nak buat apa."
"Apalah abang ni, ke situ pula dia. Habis, dah ada rancangan apa nak buat masa cuti ni?"
"Ada."
"Nak buat apa?"
Jeffry panggung kepala, memandang Dian dengan bibir terketap. Entah kenapa, semakin lama dipandang, semakin dia tertarik untuk terus memandang gadis itu. Langsung tak teringin kalih ke lain. Dan debar hati usah dikata. Sejak dari dalam perut kapal terbang lagi dia sudah terbayang senyuman gadis manis di hadapannya itu.
"Abang nak kahwin!" Yakinnya lagi. Mengajak Dian untuk sama berfikir. Berfikir untuk sama merealisasikan impiannya itu.
"Percaya yang abang nak kahwin?" Lembut dia menyoal Dian. Kerut di dahi gadis tu jelas menunjukkan dia sedang tertanya-tanya.
"Alhamdulillah kalau dah sampai jodoh abang tu. Dian doa yang baik-baik untuk abang," ulasnya, walau hati masih berteka-teki.
"Memang hati ni cakap nak kahwin, tapi... Calon tu, abang tak jumpa lagi." Berubah kendur wajah Jeffry. Mengharap Dian perasan apa yang tersimpan di benaknya waktu itu.
"La, Dian mati-mati ingat betul nak kahwin. Pelik juga tak dengar angin... Tetiba abang cakap nak kahwin."
"Itulah, ada cuti panjang ni ingat nak cepat-cepat. Bawa ayah mak ke kampung sebab Tok Nah kata nak pergi merisik anak dara orang untuk abang."
Senyumnya mula pahit. Tak tahu siapa yang bakal dipinang si nenek untuk dijadikan peneman hidupnya. Dan kalau Dian gadis yang mahu dipinang, dia tidak akan menunggu untuk berkata ya.
"Jadi abang tak tahu lagilah siapa yang nak dipinang tok tu?" Dalam tak nak tahu, bibir tetap bertanya. Mahukan kepastian Jeffry.
"Itu yang abang ke sini jumpa Dian, mana tahu Tok Nah ada bagi tahu Dian. Yalah, dia kan rapat dengan Dian. Jadi memang tak ada ceritalah?"
"Tak, serius tak ada."
"Hrmmm..." Dagu yang kosong tak berjambang Jeffry urut. Berfikir lagi siapa yang mahu dipinang.
"Siapa? Peliklah tok tu."
"Pelik, kan? Abang pun tak boleh nak fikir siapa gadis kampung ni yang abang kenal selain Dian." Dia memberi isyarat, hatinya sudah terdetik gadis di hadapannya itu yang mahu dipinang si nenek. Tapi sayang, Dian masih tidak dapat mengagak. Atau lebih tepat, langsung tak nak mengagak barangkali.
"Ada... Ramai lagi cucu angkat tok yang abang tak tahu. Tok kan tukang urut, adalah tu awek cun yang dia nak kenen dekat abang. Tok kalau cari mesti tip-top! Yang cantik-cantik! Meletop tak ingat! Pinggang kerengga! Pipi pau macam Hanis Zalikha! Percayalah cakap Dian." Dia yang terlebih teruja. Mahu sama dalam pemilihan jodoh Jeffry.
"Tip-top la sangat. Abang malaslah nak fikir. Dah mak ayah suruh kahwin, abang ikut aje. Sesiapa pun, abang terima."
"Menyerahlah ni?"
"Menyerah, malas nak fikir panjang. Abang terima siapa yang sudi terima abang. Lagipun mana ada orang tua yang nak anak-anak mereka derita dengan orang yang tak baik. Pilihan mereka dah tentu-tentu pilihan yang terbaik, kan?" Jeffry menyuarakan pendapatnya. Dapat mengagak siapa yang bakal dipinang neneknya. Walaupun belum rasmi.
"Walaupun tak bercinta?" Dian menyoal. Tak percaya dengan teori kahwin pilihan keluarga. Baginya, perkahwinan itu perlu didahului dengan ikatan percintaan. Bukan main tangkap muat. Semalam kenal hari ni kahwin. Karut semua tu.
"Cinta tu boleh hadir bila-bila aje, Dian. Bohonglah kalau dah nikah, dah lafaz akad suci tu tak ada langsung terbit rasa sayang. Sikit banyak mesti ada punya. Tok nenek kita dulu, kahwin pun dengan pilihan mak bapak dia orang juga. Bahagia aje kita tengok. Dapat anak berderet-deret lagi." Jeffry menyatakan pendiriannya lagi.
"Tapi tu orang dulu-dulu abang. Tak ada tv. Tak ada Internet, telefon android pun tak wujud lagi waktu itu." Giliran Dian dengan teorinya. Tak nak kalah dengan kenyataan Jeffry tadi.
"Dah keluar tv, Internet bagai tu dah kenapa?" Cetus gelak Jeffry bila soal tv Dian bangkitkan. Tak tahu apa link dengan ceritanya tadi.
"Yalah... Tak ada aktiviti lain yang dia orang nak buat kan selain buat anak. Game C.O.C pun tak ada lagi masa tu. Jadi sempatlah dia orang nak beranak ramai." Terkekek Dian, tak sedar buat Jeffry semakin galak memerhatikannya.
"Boleh tahan sengal juga anak mama Lina ni ek? Ada juga yang kena cepuk ni karang. Orang serius dia main-main." Jeffry turut sama menumpang gelak.
"Tapi betul juga apa yang abang cakap tu."
"Kan... Abang rasa cinta orang dulu-dulu ni lebih ikhlas. Tengoklah, susah macam mana pun dia orang masih setia dengan pasangan masing-masing. Tak macam orang-orang zaman sekarang, suami balik bau minyak wangi lain pun dan-dan tu juga nak minta cerai, walhal promoter minyak wangi yang dok calit minyak wangi dekat badan."
Lepas lagi gelak Dian, tak tahulah kenapa harinya berwarna-warni hari ni. Sedang dia tak adalah berkenan sangat dengan anak Pak Cik Rashid yang sorang ni.
"Ada kes macam tu?"
"Adalah, sebab tu abang cakap." Senyumnya melebar lagi. Diam untuk seketika, sebelum memula kata.
"Macam yang abang kata tadi, kalau boleh abang nak rasa cinta orang-orang zaman dulu. Tak kenal. Tak ada rasa cinta. Semai semua rasa tu bila akad dah dilafaz. Tapi sayang, sampai sekarang abang masih belum tahu siapa jodoh abang." Kata-kata sayunya buat Dian tak senang duduk.
"Hebat abang Dian sekarang ni, dah rupa doktor cinta. Cakap pun dah berbunga-bunga cinta." Tidak mahu terlalu serius. Dan kalau boleh tidak mahu mengulas tentang jodoh dan apa sahaja yang berkaitan tentang hati.
"Terlebih dengar lagu cinta, itu yang jadi rupa ni," balas Jeffry. Diam, masing-masing menarik nafas dalam.
Dian memikirkan siapa gadis bertuah yang bakal memiliki teman lelaki zaman kecilnya.
Sementara Jeffry dengan harapan gadis di hadapannya itu jodoh yang bakal dipilih Tok Nahnya.
"Dian?" Terangkat dua kening Jeffry. Mahu tahu perkembangan si gadis selepas enam bulan ditinggalkan. Dan kalau Dian masih dengan kekasih lamanya, tak adalah dia mahu kacau daun.
"Kenapa dengan Dian?" Tak tahulah kenapa, tapi hati Dian kian debar bila Jeffry menyeru namanya begitu.
"Tak, maksud abang... Dian bila lagi?"
"Kahwin?"
"Kahwinlah..."
"Tak tahu lagilah, jodoh tak sampai lagi."
"Si Shahrul tu?" Jeffry terus kepada tujuannya bertanya. Dan bila ternampak Dian mencebik, tahulah dia hubungan cinta gadis itu mungkin sudah berakhir.
"Dah kahwin dah mamat selenga tu."
"Betul?"
"Dengan 'mak angkat' dia, kahwin free sebab kena tangkap dekat hotel bajet." Selamba saja dia berterus terang. Lagipun yang salahnya Shahrul, bukan dia.
"Astaghfirullah..." Beristighfar panjang Jeffry.
"Habis Dian macam mana? Tak sedih?" Bertanya lagi Jeffry, ingin tahu lebih lanjut.
"Buat apa sedih, suka lagi ada. Baik tahu sekarang dari esok dah kahwin baru pecah tembelang dia tu, tak nak Dian jadi janda muda." Senang jawapan Dian, mengelak untuk merumitkan fikiran dengan sesuatu yang tak mendatangkan keuntungan buatnya.
"Baguslah kalau Dian fikir positif macam tu. Kalau semua orang dalam dunia ni boleh fikir macam apa yang kita fikir, senang, kan? Kahwin walaupun tak bercinta... Terima sesiapa sahaja yang ada depan mata. Tak memilih tinggi rendah. Gemuk kurus. Kaya miskin. Tentu aman dunia."
Jeffry dengan pendiriannya lagi. Tersenyum sebaik luahannya tamat.
"Nama pun manusia Abang Jep, mata sama coklat, rambut belang-belang. Tapi hati lain-lain, kan?" Terdengar girang gelak mereka. Duduk berdua dan saling berbicara tentang hati.
"Abang dengar Dian baru balik dari umrah, betul ke?"
Gadis itu terangguk dan sesekali membetulkan rambut pendeknya yang terkedepan.
"Doa nak dapat jodoh?" Kembali serius suara Jeffry, tidak sesantai tadi. Membetulkan duduk dan kali ini dia sudah ada di sisi Dian yang duduk di kerusi kayu.
"Tak adalah. Pergi sana buat ibadahlah, abang ni pun. Ada ke nak doa cari jodoh sampai dekat sana." Dian menafi, walaupun bersungguh dia berdoa sewaktu di Jabal Rahmah. Memohon dipertemukan jodoh yang mampu menerimanya seadanya. Mampu membimbingnya menjadi isteri solehah. Mampu membuat hatinya bergetar...
"Manalah tahu, ramai orang buat macam tu. Pergi umrah untuk doa dapat jodoh. Kalau abang ada peluang pun abang nak ke sana. Cuma Dian tahu sajalah kerja abang macam mana. Memanjang nampak laut, sesekali aje jumpa darat."
"Doa tu dekat mana-mana pun boleh abang, yang penting kita ikhlas berdoa. Jodoh pun sama, kat mana-mana boleh jumpa jodoh."
"Hrmmm."
Dian perhati sahaja Jeffry mengurut-urut tulang dagunya yang licin dicukur. Ada senyum yang pada Dian senyum yang cukup buat seorang gadis terpikat.
"Ini bermakna... Abang dah jumpa jodoh abanglah, ya?" Menyeringai Jeffry, sengaja tayang gigi yang bersusun putih.
"Abang jangan nak macam-macam."
"Tak adalah, takkanlah abang nak kacau Dian." Jeffry cuba selindung debar, walau dalam hati melonjak mahu berbuat begitu. Tak mahu mengaku yang dia sudah lama terpikat dengan gadis anak jiran neneknya itu.
"Dian manalah nak dekat abang. Abang ni sekolah tak pandai mana. Kerja pun atas kapal, macam orang asing. Terbuang. Teroleng dibawa ombak di tengah laut tu, tak ada siapa peduli. Menggadai nyawa, membawa hati demi sesuap nasi," ceritanya sedih. Walau Dian tahu, bapa lelaki itu bukanlah calang-calang orangnya. Pemilik syarikat perkapalan di Labuan sana. Harta, jangan ceritalah. Tujuh keturunan tak habis makan.
"Abang Jep ni apa hal nak sedih-sedih ni? Dian tak cakap apa-apa pun, janganlah buat Dian pun nak menangis dengar cerita abang tu."
"Betul kut. Dian tu pandai. Anak orang ada-ada," sinis Jeffry dalam gurau. Jauh hati sebenarnya bila Dian seolah-olah tak faham dengan apa yang dia mahu sampaikan.
"Ada apa? Isy, dia ni! Debik karang!"
"Lama tak usik adik abang yang sorang ni..." Pandangan Jeffry pandangan orang berharap. Kalau mampu dia mahu cepat-cepat menyulam kasih dengan gadis itu.
"Nak bergurau pun agak-agaklah, jangan sampai buat Dian sentap."
"Sejak bila dah pandai nak sentap bagai ni? Dulu-dulu okey aje kalau abang usik."
"Itu dulu, perasaan dalam sini tak wujud lagi." Dia tunjuk hati. Hati yang sudah mula pandai nak menilai itu ini.
"Dian ada hati dekat abang ke?" Terangkat lagi dua keningnya, tak pasti apa yang cuba gadis itu sampaikan.
"Jangan nak perasan sangat. Abang Jep cuma abang Dian. Diulang sekali lagi. Abang Dian, tak lebih daripada itu. Faham?"
Terangguk dua kali Jeffry. Cuba untuk faham, walau hati ada tersimpan sekelumit perasaan kecewa.
Mungkin belum masanya. Fikirnya. Mengharap ada ruang untuk namanya terselit dalam hati gadis itu.
"Eh, dah lewat tak makan tengah hari lagi ni. Tentu Tok Nah dah masak sedap-sedap untuk abang. Abang balik dululah, Dian." Jeffry mahu beransur dan dengan susah payah dia bangkit berdiri.
"Okey tak tu? Kenapa tak pakai tongkat?" Risaunya Dian menyaksi Jeffry yang bersusah untuk berdiri.
"Sikit aje... Orang laut kena kuat. Lebih-lebih lagi depan perempuan!" guraunya penuh maksud. Ada senyum yang tidak sepenuhnya dilontar dan janjinya dia akan senyum lebar bila gadis itu sah menjadi miliknya nanti.
"Baik-baik jalan tu, kirim salam Tok Nah. Petang sikit Dian datang cari Tok Nah. Dah janji nak tolong dia buat minyak kelapa."
"Okey. Dian rajin-rajinlah datang rumah jenguk abang. Insya-Allah abang lama dekat kampung. Ni datang pun gagahkan diri sebab nak jumpa Dian, kalau mak abang tahu abang jalan tak bertongkat, siaplah telinga ni kena piat."
Gagahkan diri sebab nak jumpa aku? Haih. Deep sangat tu. Dia cuba untuk menepis apa yang hinggap dalam hati, tidak mahu terlalu berfikir tentang kata-kata lelaki itu.
"Jangan lupa datang tau!" ucapnya lagi bila Dian diam tak membalas.
Dian hanya menelan liur. Pahit dirasa tekaknya saat itu. Tapi tidak mahu membayangkan apa yang ada dalam fikiran lelaki itu, sama dengan apa yang difikirkannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro