Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Sejuk subuh itu tidak dapat dirasa bila ruang yang luas tiba-tiba jadi sempit. Saat itu terasa ada sekujur tubuh yang begitu rapat sehingga tiada udara mampu mencelah, terbaring di sisinya.

Terasa-rasa dahinya seperti sedang didatangi sesuatu yang kasar. Terasa macam hujung penyapu yang bermain-main di situ.

Penyapu? Mata terbuka tapi tak terlalu luas. Menghirup udara pagi yang terisi dengan haruman yang disembur Ryan. Haruman yang sama diguna lelaki itu sewaktu awal pertemuan mereka dahulu. Dan kini Dian tersenyum bila tangan kekar suaminya itu masih setia, melingkar memeluknya.

Dia menoleh lambat-lambat, dan kini tahulah dia yang dagu suaminya yang kasar dengan anak rambut menempel di dahinya tadi. Sangka dia penyapu! Tersenyum-senyum sendiri dia subuh itu.

Tiada yang lebih istimewa dalam hidup, bila tersedar daripada lena ada tangan yang erat mendakap. Kepala terdongak, mencari wajah suaminya yang tersembam mencium harum rambutnya. Dan bila dia semakin terdongak, wajah Ryan sudah hampir ke wajahnya.

Helaan nafas suaminya itu kuat menerpa ke wajah dan sesungguhnya dia amat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai detik ini.

"Ryan..." luahnya lembut. Menarik pelukan Ryan, mahu suaminya itu semakin dekat.

"Adryan..." Manjanya, menyeru nama suaminya lagi.

"Hrmmm?" sambut suara Ryan, buat Dian terduduk. Fikirnya Ryan masih tidur.

"Dah bangun ke?" tanya Dian hairan. Hati dipalu rasa malu, bersama debar kerana kuat dia menarik lengan suaminya tadi. Sangkanya Ryan masih tidur.

"Dah. Sejuk sangat pagi ni walaupun dah ada Dian. Abang dengar tahrim tadi. Terus tak boleh lelap."

Jadi Ryan peluk Dian dalam sedarlah? Terbuntang matanya, serupa tak percaya.

"Tidurlah lagi, belum azan nak solat. Nak solat nanti abang kejut Dian." Dia menarik tangan Dian, mahu isterinya itu kembali dalam dakapannya. Menikmati kedinginan pagi dengan cuma ada mereka di situ.

"Dian tak boleh lagi. Lupa nak cakap semalam."

"Oh."

Satu jawapan yang nyata buat dia kecewa.

"Patutlah solat semalam Dian tak ada sama belakang abang. Abang ingat Dian tak sudi nak solat sama dengan abang." Kendur suara Ryan kerana sudah menyangka yang bukan-bukan.

"Masalah perempuan. Harap awak faham."

"Abang akan cuba faham." Dia turut bangkit. Dan duduk setentang dengan isterinya itu. Tanpa disuruh, apa yang dilakukan semalam, sekali lagi ditunjukkan pada Dian. Cepat bibir berjalan. Tanpa memberi isyarat bibirnya melekap lama di kening kanan isterinya.

"Hangat tidur semalam." Hela nafasnya kembali tenang dan menarik Dian ke dalam pelukannya. "Sebab ada Dian sebelah abang."

Hening. Dan yang kedengaran cuma hela nafasnya yang turun naik.

"Abang akan cuba bahagiakan Dian dengan apa yang abang ada. Kita akan bina kehidupan kita, ya sayang?"

Dan bila ucapan sayang itu terlafaz, Dian mengangkat wajah, mencari mata suaminya yang kelihatan sayu. Tak pasti kenapa Ryan berkata begitu.

PUAN DARLINA perhati sahaja cara Dian melayan sang suami. Nampak sangat masih kekok pada pandangan matanya. Tapi demi menjaga hati si menantu, dia mendiamkan dahulu tindakan Dian itu.

Ada ke lepas tuang air, dia kembali ke ruang tamu, tak tunggu pun suami bersarapan? Dian ni memang nak kena. Puan Darlina terus memerhati Ryan yang mula menyuap bihun goreng ke mulut. Nampak tak berselera menantunya itu, mungkin kerana Dian tiada sama di situ, fikir Puan Darlina lagi.

"Mama tak makan sama?" pelawa Ryan bila terpandang Puan Darlina termenung.

"Ryan makan dulu, mama ke depan. Ada kerja nak buat." Cepat dia bergerak dan Ryan ditinggalkan sendiri.

Haih? Kena sarapan sendirilah hari ni, ya? Ada isteri pun senyap macam tak ada suara. Tahulah kunjungan bulanan tiba, hormon pun tak berapa stabil, tapi tak boleh ke layan dia lebih sikit? Teman makan ke. Suapkan bihun ni ke, rungutnya tak diluah. Sudu dibiarkan tergeletak dan dia mati selera untuk makan.

"Dian ni mama tengok semakin melampau, kan?" Bercekak pinggang Puan Darlina, menghampiri Dian yang sibuk melayan iPhone.

"Apa lagi, ma..." Nak tak nak dia melayan, lebih leka dengan grup WhatsAppnya. Tak pandang pun wajah mamanya yang masih geram.

"Masuk dapur sekarang." Puan Darlina meninggikan oktaf suaranya, tahu Dian takkan berjalan bila dia berlembut. Dan apa yang lebih buat dia sakit hati, anak bertuahnya itu seolah-olah lupa yang dia sudah bersuami.

"Kenapa ma, mama ni tak boleh nampak Dian nak bersenang, kan? Ada aje benda nak disuruh. Dian letihlah, ma... Penat semalam punya majlis pun tak hilang lagi tau." Tak habis dia merungut. Memikirkan mamanya sengaja mahu nak membebel. Tak sedar yang dia telah meninggalkan suaminya makan sendirian di dapur.

"Tahu pun, ingat pun yang semalam ada majlis nikah kamu. Mama ingat kamu lupa yang kamu tu dah bersuami."

"Kenapa pula ni? Dian ingat lagilah, mama. Mana ada Dian lupa," jengkelnya apabila diingatkan begitu.

"Kalau ingat, yang suami tu makan, tak teman kenapa?" Puan Darlina dalam sesi mengajar si anak yang disangkanya sudah bersedia memikul tanggungjawab untuk menjadi seorang isteri.

"Kena buat macam tu ke mama?" Polos Dian menjawab. Mata kalih memandang Puan Darlina. Menunggu jawapan daripada mamanya itu.

"Hailah, Dian... Mama ingat bila Dian cakap yang Dian dah sudi terima Ryan, Dian dah tahu macam mana nak jadi seorang isteri. Mama silap rupanya. Anak mama ni masih sama. Sama macam Dian yang mama kenal dua hari lepas."

"Habis, nak suruh Dian buat apa? Suap dia?"

"Dian!" tegas suara Puan Darlina, tapi tak adalah sampai nak marah. "Cuba kalau mama cakap tu jangan menjawab. Mama kata masuk dapur, masuk sajalah. Layan suami tu makan."

"Okeylah... Dian pergi." Dia tayang muka tak puas hati, geram bila dipaksa begitu.

"Tak teman makan pun kena marah," protesnya mendekati Ryan yang terkulat-kulat memandang meja makan.

"Awak..." Dian duduk dan Ryan yang baru nak mula menyuap kalih memandangnya.

"Dian ke mana tadi?" Ada sinar di matanya. Sangkanya Dian tak sudi meneman. Tak tahu yang isterinya itu sedang dipaksa melayannya.

"Oh, Dian ambil paper dekat pagar. Sorry tak teman awak makan."

"Okey... Dian tak makan sekali?"

Isterinya itu cuma tergeleng. "Abang suap, nganga mulut."

Garpu sudah terlebih dulu di hadapan bibir tanpa sempat Dian mengelak. Dan nak tak nak, bibir comelnya terpaksa dibuka luas. Menerima suapan julung kalinya dari seorang suami.

"Sedap?"

Dian terangguk-angguk. Menelan apa yang disuap, cuma yang hairannya mata seakan terpukau! Terus tak berganjak dari menyaksi redup mata suaminya itu.

Kenapa charming sangat Ryan pagi ni? Sejenis pukau apa yang suaminya guna ni?

"Air?"

Dian angguk lagi. Rupanya sudah seperti orang terpukau. Mulut mengunyah, tapi mata langsung tak berkelip. Membuatkan Ryan senyum tak sudah.

"Buka mulut tu besar sikit." Ryan yang serupa ada kuasa sakti dan isterinya itu mula menurut setiap arahannya. Langsung tak membantah.

Kan Dian dah kata, dia kalah dengan panahan mata suaminya itu. Dan kalau Ryan cuma memandangnya pun sudah cukup buat dia bergetar kaki.

"Habis dah sepinggan. Abang tak dapat pun," helah Ryan menyedarkan Dian daripada angau. Sungguh, perut belum rasa kenyang, tapi sepinggan bihun sudah selamat masuk ke dalam perut.

"Abang pula nak makan, sayang suap." Sengaja mengada-ada, minta disayang.

"Ha?"

"Jangan nak terkejut sangat, habis sepinggan bihun saya awak telan, sekarang giliran awak suap sayalah pula." Terangkat sebelah kening Ryan dan itulah tujuannya menyuap dengan harapan dia pun akan disuap!

Inilah harga yang perlu dibayar bila bernikah dengan lelaki yang terlebih mengada macam dia ni. Keluh Dian tak diluah. Separuh rela Dian menurut. Sesudu demi sesudu bihun yang dimasak Puan Darlina bersemadi di dalam perut Ryan. Dan suaminya itu cukup puas hati dengan layanan baiknya pagi itu.

Elok pun suap menyuap macam tu, baru ada rupa orang lepas nikah. Ini, sorang ke hulu, sorang lagi ke hilir. Selagi tak ditegur, semua benda tak jadi. Dian... Dian. Mama tak harap Dian hidup mewah dengan harta, cukuplah kalau Dian bahagia dengan apa yang Dian pilih. Puan Darlina menggumam sendiri.

Pasangan itu ditinggalkan, dengan doa bahagia kekal menjadi milik anak dan menantu yang baru disatukan itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: