Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Jam sembilan lima puluh lapan dan Dian susah sedia terbaring di atas katil. Bateri telefon sudah siap dicas siap-siap, bimbang kalau-kalau Ryan menghubunginya nanti. Makan malamnya juga terpaksa dilupakan, semua gara-gara menunggu panggilan dari lelaki itu.

Tapi tak ada pun. Tinggal dua minit, sempat ke nak lalui cabaran ni? Takkan pekerja dia tak beritahu dia yang Dian call? Teruk betul tau. Menepuk-nepuk tilam, sebagai ekspresi dia sedang geram. Mengharap dan terus mengharap Ryan akan menghubunginya semula malam itu.

Nyaring suara Hanie Soraya bergema di telefon bimbitnya, melagukan lagu Hujung Dunia, menyedarkan Dian dari menungannya. Mata cepat-cepat kalih, mencari nama di skrin telefon, dan seperti kebetulan waktu itu tepat jam sepuluh malam dan Ryan menghubunginya!

"Dian?" Suara letih Ryan menyoal sebaik talian disambut.

"Dian sini."

"Oh, jadi betullah. Pekerja abang tak tipu. Maaf sebab abang tak simpan phone number Dian, umi asyik lupa aje nak bagi."

Oh, jadi Ryan ada usaha jugalah nak hubungi dia. Tersenyum-senyum Dian sendiri.

"Assalamualaikum." Baru teringat nak beri salam. Dan dia pun tak adalah gengster sangat sampai tak tahu nak beri salam.

"Waalaikumussalam. Dah membebel panjang dah, lupa nak beri salam." Ceria suara Ryan, cuba untuk beramah mesra dan sesuaikan diri.

"Awak kerja lagi ke?" tanya Dian, apabila bingit telinganya mendengar deruman mesin yang kuat menerpa ke cuping telinga.

"Oh, tunggu sat. Abang cari tempat sunyi sikit." Cepat dia berlari. Jauh dari putaran conveyor yang membingitkan telinga.

"Helo?" Termengah Ryan. Dan tahulah Dian yang lelaki itu berlari.

"Ada, Dian ada sini."

"Abang pun ada sini." Cuba berseloroh dan akhirnya mereka sama-sama tergelak.

"Dian apa khabar? Belum sampai seminggu tinggalkan Johor, umi dah mula sibuk tanya abang bila nak ke selatan lagi," ucapnya penuh maksud sebelum menambah.

"Rindu angah, rindu Dian."

Sunyi. Sekejap, siapa yang rindu? Umi atau dia? Dian tertanya sendiri.

"Siapa rindu?" Soalan yang tadinya cuma bermain dalam fikiran, terluah tanpa Dian sedar.

"Oh. Umi rindu angah. Abang yang rindu Dian..."

Ceh! Gentleman sangat nak mengaku rindu anak dara orang anak Hajah Rashidah.

"Dian okey?"

"Okey aje. Dian pun sama... Rindu umi," balasnya, sekadar menyedapkan hati Ryan.

"Dekat abang?" Bunga-bunga usikan Ryan semakin kembang. Ada sahaja idea mahu mengusik gadis itu.

"Errr..."

"Abang gurau aje. Dian..."

"Ha?"

"Abang sebenarnya segan dengan permintaan umi beberapa hari lepas. Dian jangan ambil hati sangat, faham sajalah umi tu. Nampak benda elok sikit, terus berkenan. Suka buat perkara yang kita tak boleh jangka. Tak rancang apa-apa, terus nak meminang anak dara orang. Malu abang dibuatnya."

Hal beberapa hari lepas dibangkitkan semula. Tak dinafikan uminya itu terdesak untuk bermenantu. Teringin ada menantu perempuan katanya.

"Abang nak minta maaf kalau Dian rasa tak selesa."

"Tak apa, Dian faham."

"Tapi kalau sungguh dan Dian pun setuju, abang tak akan tolak. Abang serius." Dia cuba berterus terang, membawa maksud lamaran uminya beberapa hari lepas.

"Itupun kalau Dian sudilah," lanjutnya mendatar. Tidak terlalu mengharap, sebab dia sedar takkan semudah itu gadis di hujung talian akan menerimanya, memandangkan usia perkenalan mereka masih terlalu mentah.

"Umi sihat?" Sepatah-sepatah Dian bersuara. Masih belum bersedia untuk membuka cerita.

"Alhamdulillah. Mama Dian?"

Tak jawab, maknanya tak sudilah, ya? Timbul rasa kecewa bila gadis itu berdalih.

"Pun alhamdulillah."

Diam lagi.

"Errr... Dian tak ganggu awak, kan?" Kalau boleh Dian mahu cepat-cepat berterus terang.

"Tak, abang baru siap kerja. Ada masalah sikit dekat kilang. Conveyor laluan beras tersekat tadi. Sekarang pun masih di kilang. Tolong pekerja abang settlekan mesin yang rosak," ceritanya, mengelak ruang sunyi meneman perbualan mereka yang kedengaran masih canggung.

"Kuat kerja, dah malam ni, awak."

"Makan gaji, Dian. Nak duit lebih kenalah buat kerja lebih masa." Buat cerita sendu, dengan bibir menahan gelak.

"Duit bila-bila boleh cari awak, kesihatan tu penting." Dian mengingatkan. Tunjuk yang dia juga ada rasa simpati melihat kesungguhan lelaki itu mencari rezeki.

"Thanks untuk keprihatinan Dian tu. Tapi tak apa, abang memang kuat berkerja. Insya-Allah semua ni untuk umi, bakal isteri." Perkataan bakal isteri disebut suram. Membayangkan dia mengharap sesuatu daripada gadis itu.

"Dian call abang petang tadi kenapa, ya?" hemahnya lagi, duduk di atas timbunan beras yang masih belum diproses. Bibir ada senyum, kerana suka bila dapat berbual dengan gadis yang buat harinya tak tenteram, tak tenteram sejak telefon gadis itu berada dalam simpanannya sebenarnya.

"Errr..."

"Atau Dian dah ada keputusan? Kalau sungguh...Dah ada, abang sudi dengar." Debar hati Ryan, menanti jawapan Dian.

"Dah."

"Jadi?" bangkit suara Ryan. Sungguh, dia juga menanti jawapan daripada gadis itu.

"Jadi..."

"Tak maksud abang, jadi ke tidak?"

"Jadi."

"Jadi?"

Haih, susahlah dia ni.

"Setuju, Dian setuju." Lepas beban bila sudah muktamad keputusan. Baik buruk apa yang berlaku selepas ini, dia serahkan kepada Yang Satu. Dan harapannya Ryan lelaki yang mampu membahagiakannya.

"Alhamdulillah..." Segera Ryan berdiri. Tangan sebelah kanan sudah meraup wajah letihnya, hilang segala rasa penat bila ada berita gembira begitu.

"Macam mimpi pula. Ini kalau umi tahu, malam ni juga dia ajak abang turun Johor." Terujanya dengan keputusan Dian.

"Dian."

"Ha?"

"Abang nak tanya... Dian tak bergurau, kan?"

"Tak."

"Betul sudi terima abang yang cuma kerani ni?" Ryan merendah diri lagi. Belum bercerita kepada Dian siapa sebenarnya dia.

"Tak. Dian ikhlas terima awak." Demi menyelamatkan diri dia daripada Jeffry, sambungnya dalam hati.

"Jadi bila Dian nak abang dengan umi datang merisik?"

"Kalau terus nikah?" soal Dian, sekadar mencuba nasib, mana tahu Ryan bersetuju. Dapatlah dia jauhkan diri dari Jeffry.

"Boleh?"

"Kahwin terus?" Hampir jatuh dia dari timbunan beras. Tak sangka akan mendapat berita segembira ini.

"Hrmmm. Dian nak terus nikah. Buat yang wajib. Boleh, awak?"

"Boleh. Boleh. Abang balik sekarang juga. Bagi tahu umi yang Dian setuju dengan pinangan umi. Alhamdulillah. Abang tak tahu nak kata apa dah. Terima kasih, sebab sudi terima abang. Terima peminangan umi yang nak sangat bermenantukan Dian."

Gembiranya tak ditahan menjadikan Dian yakin, dia mampu pergi jauh dengan lelaki itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: