Bab 1
Prolog
"MAAF."
Cuma ucapan itu yang mampu lepas dari bibir lelaki yang nyata kesal dengan perbuatannya sebelum ini. Bukan sekali, malah berulang kali apa yang cuba dirahsiakan Ryan daripada pengetahuan isterinya, Dian.
Cukup sekali dan Dian fikir sudahlah, tiada lagi rahsia antara mereka. Dan sekarang? Nak minta maaf sekali lagi? Jadi mudahlah bila semua perkara dapat diselesaikan dengan semudah ucapan maaf! Tercetus lagi marah Dian. Dia sudah cukup lama bersabar dan hari ini merupakan kemuncak untuk setiap kesabarannya itu.
Tak, kali ini Dian takkan mengalah dan takkan sesekali tunduk dengan setiap penipuan yang berakhir dengan ucapan maaf daripada suaminya itu.
Cukuplah... Dian dah letih!
"Abang..." Bicara Ryan terhenti bila si isteri bangkit mahu meninggalkan tembok batu tempat dia duduk sebentar tadi.
Cukuplah! Nak kata apa lagi, Ryan?! bentak Dian tak terluah. Kecewa. Itu yang terlintas dalam fikiran Dian waktu itu.
Ryan. Ya, Ryan suaminya. Kalau betul suami, kenapa harus terlalu banyak rahsia yang suaminya itu sembunyikan? Atau Ryan memang suka lihat Dian bingung...Berfikir yang tidak-tidak tentang suaminya itu? Sengaja mahu Dian terasa dibodoh-bodohkan?
Atau lelaki pemilik nama Adryan Umar ni sememangnya lelaki yang suka menipu, walau dengan isterinya sendiri? Persoalan itu masih belum mampu dijawab. Rasa sakit hati Dian belum mahu pergi. Sudahnya dia berjalan, meninggalkan suaminya yang terus-terusan merayu supaya diri dimaafkan.
"Itu yang terakhir, abang janji selepas ini takkan ada rahsia antara kita. Percaya abang, sebab abang suami Dian." Ryan memintas Dian yang laju langkahnya. Dan kalau mampu, dia mahu melutut dan terus merayu Dian yang masih dengan riak kecewanya. Sedar, dalam diam isterinya itu memendam rasa kerana sikapnya yang suka berahsia.
Dan Dian, masih adakah sisa maaf buat suaminya itu?
Bab 1
Tenang. Itu yang dirasa Adryan Umar sebulan selepas sekembalinya dia dan uminya dari tanah suci. Hari minggu yang cuma bertemankan uminya, Hajah Rashidah, dia belum bercadang mahu ke mana-mana kerana mahu menjaga uminya yang tidak sihat.
Dia anak lelaki tunggal yang diberi tugas menjaga uminya sejak ketiadaan Haji Ahmad. Meneruskan legasi perniagaan abahnya buat Ryan setia menjaga uminya di sini.
Diperhatikan keletah uminya yang sejak tadi tak henti tersenyum. Apa yang difikirkan, tak pula Ryan dapat kesan.
Dan kalau pemergian mereka ke tanah suci sebulan lepas menjadi titik permulaan untuk uminya mencari pengganti si ayah, dia sebagai anak akan menurut sahaja keinginan uminya itu.
Bukan dia tak perasan, bagaimana bersungguh uminya berdoa sewaktu di Jabal Rahmah tempoh hari. Menangis dengan wajah berharap, seolah-olah sedang betul-betul mengharapkan sesuatu dalam doanya itu.
Dan kalau bukan doa untuk diri sendiri, doa untuk siapa lagi, kan? Dia turut sama berjangkit senyum. Suka sebab bakal dapat abah baru barangkali.
Hajah Rashidah tak perasan dirinya diperhatikan dalam diam. Dalam hati tak henti menyebut nama seorang gadis.
Dian Fatihah. Nama secantik pemilik namanya. Lembut wajahnya, hormat orang tua pula tu, puji Hajah Rashidah sendiri. Tak sudah-sudah memikirkan Dian. Senyum Hajah Rashidah masih menguntum. Membayangkan Dian. Memikirkan Dian nun jauh di selatan. Bercabang-cabang fikirannya, mencari jalan mahu mendekatkan si anak dengan gadis yang baru dikenalinya itu.
Walaupun nampak kalut sewaktu awal perkenalan mereka sebulan lepas iaitu apabila telefon bimbit milik gadis itu hilang dirompak, namun sempat lagi mereka berkenalan dan saling bertukar alamat. Dan Hajah Rashidah sempat juga merisik, bertanya sama ada gadis itu sudah berpunya ataupun belum.
Rasanya tak salah...
"Umi." Ryan duduk mendekat, memotong anganan si umi yang belum terluah. Tak ada lain, datangnya dengan niat mahu mengusik uminya itu. Melihat uminya tersenyum-senyum, dia menyangka uminya itu sedang dilamun cinta.
"Ryan." Hajah Rashidah menoleh dengan senyum tak lagi surut.
"Umi ada nak cerita apa-apa dekat Ryan ke?" Dia juga senyum, menyambut lembut senyum Hajah Rashidah yang tidak jemu dipandang. Tak dapat dinafikan, wajah lembut yang sudah menjangkau usia 60-an itu tetap nampak muda, tak seperti usianya.
"Tak adalah, teringat peristiwa di tanah suci sebulan yang sudah." Tanpa disuruh, dua kali Hajah Rashidah mula membuka cerita. Siapa tahu dengan bercerita tentang si gadis yang ditemuinya sebulan lepas, si anak turut sama berminat untuk mengenali gadis itu.
"Kenapa, umi?" Ryan sibuk ingin tahu. Tepat matanya merenung wajah uminya. Tak sabar.
"Umi ada berkenan dekat seseorang ni..."
"Yes!" Suka Ryan tanpa sempat si umi menghabiskan ceritanya. Wajah uminya ditenungnya lagi, dia juga menyokong andai ada terdetik perasaan cinta dalam hati uminya itu.
Yalah, Ryan tak adalah terlalu kejam untuk biarkan uminya terus hidup sendiri. Andai ini merupakan detik untuk uminya kembali menyulam kasih, dia takkan pernah menghalang.
"Jadi betullah tekaan Ryan?" tebak Ryan bila nampaknya senyum Hajah Rashidah semakin kembang memekar. Nampaknya masing-masing sudah silap meneka.
"Ryan teka apa?" Hajah Rashidah mula curiga. Melihat Ryan teruja buat hati tuanya gerun. Bimbang kalau si anak tersilap tafsir. Menyangka dia pula yang dilamun cinta. Memang terpesong jauh tekaan si anak itu.
"Umi... Nak kahwin, kan? Ryan bakal dapat abah baru. Betul, kan?" Ryan selamba menyoal. Habis meneka, pahanya ditepuk kuat. Marah sungguh Hajah Rashidah mendengar tekaan menyimpang anak bujangnya itu.
"Ryan!" Tak terbayang apa yang sedang dibayangkan si anak. Mana mungkin pada usia emas begini dia mahu menikah sekali lagi. Minta dijauhkan! doanya dalam diam.
"Sakit, umi..." Terkekeh gelaknya lepas. Percaya bulat-bulat apa yang dia nampak dari mata, bukan mahu bertanya dulu.
"Mengarut! Jauh sangat Ryan ni. Ada ke umi nak kahwin!" Keras Hajah Rashidah menafi, tak tahulah macam mana si anak boleh berfikir sejauh itu.
Gelak Ryan terhambur kuat, dan uminya dipeluk mesra. Dan memang dia begitu, suka terlebih manja bila bersama uminya. Anak bongsulah katakan.
"Dah tu... Yang umi senyum-senyum dah rupa orang dilamun cinta tu kenapa? Manalah Ryan tak fikir jauh sampai ke situ."
"Kamu tu pun! Fikir umi dah buang tebiat nak kahwin dalam umur-umur begini. Ceritanya macam ni, umi berkenan dengan seorang gadis ni, dik. Lembut wajah, terjaga tingkah dia buat umi teringat-ingat."
Senyum Hajah Rashidah belum surut, tergambar wajah Dian Fatihah yang lebih sebulan ditinggalkan, tapi masih segar segala kebaikan gadis itu.
"Siapa umi?" Berkerut dahi Adryan. Tak pasti siapa gadis yang dimaksudkan uminya. Tapi mengikut nama yang disebut uminya, dah sah-sah pemilik nama indah itu seorang gadis.
Dan kalau seorang gadis...
"Betul nak tahu?" Hajah Rashidah memancing. Mahu melihat sejauh mana minat Adryan pada ceritanya tadi.
"Umi... Kalau umi rasa cerita tu penting untuk Ryan, umi boleh cerita dekat Ryan. Tapi Ryan macam tak berminat nak ambil tahu. Perut Ryan dah berkeriuk ni. Apa kata umi masak, petang ni Ryan ingat nak masuk kerja."
Dia merubah cerita, mengelak untuk kusutkan fikiran dengan memikirkan tentang gadis yang diceritakan si umi walau sebenarnya hati meronta ingin tahu.
"Tapi gadis tu cantik. Manis. Baik pula tu," tokok Hajah Rashidah lagi, buat Ryan panasaran sendiri.
Cantik? Baik? Apa yang umi cuba nak sampaikan sekarang ni? Dan dia sendiri, kenapa meronta-ronta ingin bertanya itu ini?
"Okey, siapa Dian yang cantik, yang baik tu?" Nak tak nak dia menyoal kerana dalam hati sudah timbul rasa ingin tahu yang kuat. Terfikir, dalam banyak-banyak jemaah yang bersama mereka di tanah suci, kenapa pemilik nama Dian Fatihah itu yang disebut-sebut uminya?
"Dian tu la yang bantu umi. Teman umi depan kaki lima masjid waktu Ryan balik hotel ambil selipar umi yang putus subuh tu." Beria-ia Hajah Rashidah bercerita, menjeling Ryan yang terangguk-angguk, cuba mengingat kembali peristiwa sudah sebulan berlalu.
"Dalam banyak-banyak umat manusia dekat situ...Cuma dia dan mama dia yang perasankan umi, bertanya keadaan umi waktu tu, dik." Hajah Rashidah meneruskan ceritanya lagi. Bercahaya matanya, tunjuk yang dia benar-benar suka.
"Boleh nampak eloknya Si Dian tu kan, dik?"
"Hrmmm..." Ringkas jawapan Ryan. Tidak terlalu memikirkan apa yang sedang dibayangkan uminya. Dan kalau sungguh pun si umi berkenan dengan 'Dian' dia tu, mana nak cari semula gadis itu? Dalam Malaysia ni berapa ramai perempuan yang bernama Dian? Dan sah-sahlah tipis peluang uminya itu untuk menjejaki gadis yang disebut-sebutnya tadi.
"Umi ada fikir nak ke rumah angah hujung minggu ni. Ryan drive?" Hajah Rashidah tak terus bercerita. Terus kepada misinya, mahu menjejak Dian berbekalkan alamat yang diberi gadis itu.
"Johor?"
Ryan mahukan kepastian. Tak tahu tujuan utama uminya mahu ke selatan tanah air. Seingatnya sebelum ini bukan main liat bila diajak ke selatan. Jauh katanya.
"Boleh, Ryan?" soal Hajah Rashidah seiring dengan senyum penuh makna di bibir.
"Untuk umi pernah ke Ryan kata tidak?" Dia tersenyum tanda ya, memandang senyum lain macam uminya yang sebelum ini tak pernah kelihatan begitu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro