Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

SHAH mencari kelibat Dyla. Tidak ketemu. Jenuh satu kampus dia pusing, Dyla tetap tidak menampakkan batang hidungnya. Matanya tertancap pada Saadah yang sedang bersembang di kafe.

"Assalamualaikum," tegur Shah.

"Waalaikumussalam." Saadah terpinga-pinga. 'Siapa pulak ni?'

"Er... kawan Dyla, kan?"

"Haah. Kenapa ya?"

"Dyla mana, eh? Saya call dia, tak berangkat pun. Mesej pun tak balas."

"Oh. Dyla tidur kut. Balik dari camping, terus dia demam."

Shah terkejut. 'Kenapa dia tak bagi tahu?'

"Hm. Terima kasih, eh."

Saadah mengangguk.

"Handsome seh! Melting aku." Saadah pandang kelibat Shah tidak berkelip. Cair!

KALI ini Alfan ke kampus Dyla sendirian. Tiada Hairul sebagai peneman. Jawapan Dyla sudah diperoleh. Macam mana pun, gadis itu perlu buat apa yang dijanjikan. Kahwin.

"Abang Alfan?" Amani terkejut melihat Alfan di kampus.

"Amani, Kak Dyla mana?"

"Hm? Tak tahu."

"Tak tahu? Hm... tak pelah."

"Abang tak call Kak Dyla ke?"

"Dah. Tapi tak angkat."

"Cuba abang tanya Kak Adah atau Kak Dilah. Dia orangkan housemate Kak Dyla," cadang Amani.

"Er... ada nombor dia orang tak?"

"Abang nak nombor Kak Adah atau Kak Dilah?"

"Dua-dua."

"Kejap."

Selesai memberi nombor telefon, Amani pamit untuk ke kelas. Alfan pula menyambung misi mencari Dyla.

"Helo? Adilah?" Sambil bercakap di telefon, sambil matanya meliar mencari susuk tubuh Dyla.

"Siapa ni?"

"Alfan."

"Alfan?" Adilah juling mata.

"Oh! Abang Alfan! Ha... Kenapa?" Baru teringat.

"Abang ada call Dyla, tapi tak berjawab. Dia kat mana, eh?" Sopan.

Puih! Tak macam cakap dengan Dyla.

"Oh, Dyla kat rumah. Dia demam lepas balik camping. Mungkin dia tidur kut. Rasanya dari malam tadi dia silent phone dia," beritahu Adilah.

"Oh ya ke? Boleh tak tolong inform dia yang abang nak pergi rumah sewa kau orang jumpa dia?"

"Er... kejap Dilah try call dia." Adilah garu kepala. 'Kalau kau tunang dia pun tak dapat call dia, apatah lagi aku? Krek-ko la orang tua ni!'

Beberapa kali mencuba, masih tidak berjawab. Adilah lantas mendail nombor rumah. Mujur juga rumah sewa mereka menggunakan khidmat Internet.

Bunyi bingit membuatkan Dyla terjaga daripada mimpi indah.

"Ah! Lagi sikit aje hammer besi nak landing kat kepala Alfan! Kacau betullah!" Dyla bangun dengan lemah. Lutut yang luka dipandang sekilas bila lutut itu yang menjadi punca sakit terasa. Bandage merah penuh darah.

'Bleeding macam period pula kau,' rengus Dyla. Dia menuruni anak tangga satu per satu dengan lambat. Bunyi berhenti.

"Dah berhenti pula?" Dyla jongket bahu. Dia melangkah naik semula. Bunyi telefon rumah berdering lagi. Juling matanya. Dia mendapatkan telefon rumah secepat mungkin.

"Helo?"

"Helo, Dyla? Lambatnya kau angkat phone!" bebel Adilah.

"Beragaklah. Aku demam. Kaki pula sakit. Telefon kat bawah. Nak turun tangga satu hal." Geram juga Dyla dibuatnya. Adilah gigit lidah.

"Sorry. Lupa. Ni, tunang kau Si Alfan tu cari kau kat kampus. Dia suruh inform kau yang dia nak jumpa kau."

"Kau tak bagi tahu dia, aku sakit?"

"Dah cakap."

"Dasar degil! Pentingkan diri sendiri."

"Kau cakap pasal aku ke?"

"Bukanlah."

"Dah tu?"

"Tak de apalah. Aku letak dulu. Bye." Talian dimatikan.

Dyla mengeluh. 'Aku sihat dia nak kacau, aku sakit pun dia kacau. Gilalah lelaki ni! Dia ingat aku ni mainan dia ke apa?'

SHAH mematikan enjin motosikal di hadapan rumah sewa Dyla. Nasi bungkus yang berada di raganya dikeluarkan. Dia menghampiri pagar rumah. Telefon dikeluarkan dari poket seluar. Nombor Dyla didail. Masih tidak berangkat.

Hon dari kanan mengejutkan Shah. Alfan keluar dari kereta.

"Buat apa kat sini?" soal Alfan.

Shah ingat lelaki ini.

"Dyla demam. So saya just nak drop by bagi makanan dengan ubat kat dia."

"Oh ya ke? Meh la makanan tu. Nanti dia keluar, saya tolong bagi."

"Dia nak keluar ke?"

"Haah. Saya nak bawa dia pergi klinik."

"Er." Shah kerut dahi. 'Aku call tak angkat, tapi lelaki ni nak bawa pergi klinik dia boleh turun?'

"Erm. Tak pelah. Tolong bagi kat dia, eh. Saya ada kelas ni." Shah senyum tawar. Beg plastik makanan dan ubat-ubatan bertukar tangan.

Shah mendapatkan motosikalnya. Hanya beberapa saat, Shah hilang daripada pandangan Alfan.

'Hilang. Hilang macam tu lain kali...' getus hati Alfan. Bungkusan di tangan dipandang.

'Tong sampah pun pandai lapar.' BAM! Masuk ke dalam tong sampah. Sama macam mana yang Dyla buat pada jagung pemberiannya.

Alfan masuk semula ke dalam kereta dan menekan hon kereta sekali lagi. Dyla selak langsir.

Telefon dicapai. Beberapa Missed Call dan mesej diterimanya. Shah?

Terus Dyla menelefon Shah.

"Helo?"

"Shah. Tadi awak call orang eh?"

"Haah. Kawan awak kata awak demam. Orang ada belikan makanan untuk awak dengan ubat. Orang ada kelas, so orang pass makanan tu kat lelaki yang datang kat kampus hari tu."

"Lelaki yang datang kampus?" Dyla selak langsir sekali lagi. Alfan sudah menunggu di bawah dengan kereta Mr. Beannya itu.

"Hmmm... thanks. Sorry tak angkat phone. Orang silentkan phone dari malam tadi."

"Lain kali jangan buat macam tu. Risau orang."

Dyla senyum. "Okey."

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Talian mati.

Dyla capai tudung sarung. Stoking disarung. Lantaklah T-shirt biasa dengan kain batik sahaja. 'Aku nak pergi ambil bekalan cinta Shah aje.'

Pintu pagar ditolak.

"Mana bungkusan makanan saya?" Dyla menadah tangan.

"Bungkusan apa? Nak pergi makan? Jomlah!"

"Nasi yang Shah bagi. Mana dia?"

Alfan jeling.

"Mana ada dia bagi."

"Ada. Saya baru call dia tadi."

"Kau call dia, tapi Missed Call aku kau tak balas?"

"Tak penting. Makanan saya mana?"

"Pergi siap. Kita pergi klinik." Alfan malas hendak memanjangkan isu.

"Nasi saya mana?" Dyla berkeras.

"Aku dah buang. Puas hati?"

"Apa?" Dyla menggeleng. Tidak percaya. Dyla melangkah ke tong sampah berdekatan.

Alfan telan air liur. Bertambah sakit hatinya.

"Pergi siap. Kita pergi klinik!" ulangnya lagi.

Dyla tidak peduli. Dia cuba mencapai plastik yang jauh di dalam tong sampah. Tong sampah yang kosong membolehkan dia senang jumpa bekalan itu.

"Kau ni pengemis ke nak ambil makanan dari tong sampah?" marah Alfan.

Air mata Dyla gugur. Dia menoleh.

"Itu hak saya. Amanah awak. Macam mana awak boleh langgar amanah awak yang Shah bagi? Awak ni tak bertanggungjawablah!" Dyla sama menaik suara.

"Aku boleh bagi kau makan lebih dari tu, lah."

"Awak tak faham...." Dyla masuk semula ke dalam pagar, namun pergerakannya tertahan apabila lengannya terasa direntap.

"By the way, luka kat lutut ni pun berpunca daripada awak. So jangan nak berlagak baik untuk hantar saya ke klinik. Demam sikit ni boleh kebah. Saya tak perlu bantuan awak." Lengan direntap kasar.

Alfan mengepal penumbuk.

Dyla menolak daun pintu dan menutupnya kasar. Keluhan dilepaskan. 'Sampai bila? Sampai bila kau boleh bertahan dengan keadaan macam ni, Dyla?'

Badannya disandarkan ke pintu. Letih. Beberapa minit kemudian, terasa pintu ditolak kuat hingga tubuhnya terkedepan sedikit. Hampir sahaja dia tersungkur.

Bibir Dyla hampir ternganga melihat susuk tubuh Alfan. Wajah lelaki itu tenang. Tanpa sepatah perkataan pun, Alfan meraih semula lengan Dyla dan menarik gadis itu hingga ke keretanya. Tidak dipedulikan suara tinggi gadis itu.

"Jangan berani buka pintu ni!" Keras suara Alfan. Pintu kereta dihempas kuat selepas itu. Dyla teragak-agak. Hendak keluar ke tidak?

Alfan tidak bersuara dan masuk ke dalam perut kereta. Tali pinggang keledar ditarik. Kakinya menekan pedal minyak sekuat hati hingga tubuh Dyla terdorong ke belakang.

"Saya pakai kain batik aje kut!" marah Dyla.

"Aku dah suruh kau tukar. Jangan salahkan aku, tapi degil kau tu. Tak reti nak dengar cakap orang."

"Saya degil bersebab. Bukan sengaja."

"Sebabnya?"

"Awak! Semua sebab awak. Saya benci tengok muka awak, dengar suara awak, even nampak bayang-bayang awak pun saya tak suka!" Dyla melepaskan apa yang terbuku di hati.

Alfan tidak membalas. Malas hendak bertekak.

Kereta bergerak laju ke klinik berdekatan.

MALU habis Dyla dibuatnya. Sudahlah Klinik 1 Malaysia. Memang sentiasa penuh la cerita dia.

"Kenapa mesti tempat yang ramai orang?" Dyla merengus sambil mengambil tempat.

"Murah. Bayar seringgit aje. Buat apa aku nak kena habiskan duit untuk rawat sakit kau tu?" Alfan duduk di sebelah sambil memeluk tubuh. Orang kiri kanan, depan, belakang asyik memerhatikannya.

"Orang tengok saya pelik tau tak!" bisik Dyla pada Alfan.

Alfan yang baru melelapkan mata kembali celik. Dia memandang sekeliling. Idea muncul.

"Maaflah kalau encik-encik, puan-puan tengok isteri saya macam tak sopan. Tapi dia berkain batik aje sebab masih dalam pantang." Laju penjelasan Alfan. Dyla buntang mata. Barulah pesakit lain mengangguk-angguk dan berhenti merenung pelik ke arah Dyla.

"Awak gila apa ni?" bisik Dyla. Geram.

"Apa? Aku cuba tolong kau."

"Kan saya dah kata, I don't need your help!"

"Dah tu, yang pergi bagi tahu aku pasal orang tenung pelik kat kau kenapa? Kalau aku tak boleh buat apa, tak de guna kau nak bagi tahu aku, kan?"

Dyla ketap gigi. 'Kalau lelaki tu, lelaki juga. Memang payah nak faham perempuan.'

"Bila bersalin?" tanya pak cik di sebelah Alfan. Pak cik itu keseorangan.

"Oh... baru minggu lepas." Alfan menjawab selamba.

'Isy budak ni. Kalau aku humban masuk gaung pun aci ni.' Dalam hati Dyla, nama Alfan sudah dipijak-pijak, dimaki hamun berkarung-karung.

"Perempuan ke lelaki?" Teruja benar pak cik itu.

"Perempuan." Alfan menjawab.

Dyla mencebik dalam diam. Bina angan-angan melampau!

"Alhamdulillah. Apa namanya?"

"Apa nama dia, sayang?" Alfan membiarkan Dyla menjawab. Buntang mata gadis itu. 'Dah start menipu, suruh aku sambung pula. Kau nak aku kongsi dosa menipu berjemaah ke apa?'

"Er..." Mata Dyla jelas kelam-kabut. Tidak tahu hendak jawab apa.

Alfan seronok melihat Dyla dalam keadaan begitu. Lucu padanya.

"Dalila."

'Urgh! Taram aje nama apa pun!'

"Oh! Sedap namanya. Dah lama kahwin ke?" sambung pak cik itu. Kebosanan agaknya. Itu yang banyak betul soalan.

"Kira baru juga." Alfan kalih kepala menghadap pak cik itu semula. Dahi lelaki separuh abad itu berkerut.

"Tak pakai tanda ke?" soalnya lagi, bagaikan dalam sesi temu duga pula.

"Tanda?" Dyla bersuara. Tidak faham.

"Selalunya orang muda sekarang ni, kalau kahwin cincin permata bukan main besar..." jawab pak cik itu.

Dyla lihat jarinya sendiri. Bibirnya diketap. Alfan turut sama memandang jemari Dyla. Tiada cincin. Kosong.

"Oh, isteri saya rimas pakai cincin. So saya bagi rantai aje. Dia ni macam tomboi sikit," jelas Alfan.

'Pergh! Ni mesti dari kecil kuat menipu mak ni...' bisik hati kecil Dyla. Muka menipu dengan muka cakap betul sama aje! Langsung tak berubah. Selamba!

"Oh...!" Pak cik itu senyum. Namanya dipanggil kemudiannya.

"Pak cik masuk dulu ya."

"Assalamualaikum," balas Alfan.

Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh." Panjang jawapan pak cik itu.

Dyla menjeling Alfan.

"Awak memang pandai menipu, kan? Awak boleh jatuhkan seseorang dengan penipuan awak, awak boleh ikat seseorang dengan penipuan awak..." Dyla berhenti sebentar.

"Dengan orang tua pun awak boleh menipu. Tak susahkan nak menipu, pada awak?" Sinis.

"Kadang-kadang menipu tu untuk kepentingan kita jugak. Kalau aku tak tipu, kau nak pak cik tu pandang jelik kat kau?"

"Apa sekali pun pandangan dia pada saya, itu terpulang kat dia. Kalau dia tahu awak menipu dia, tak ke awak sekali terlibat dan dipandang jelik?"

"So terpulang juga la kalau dia nak pandang aku sebagai penipu. Macam kau kata, itu pandangan dia." Alfan masukkan tangan ke dalam poket seluar.

Dyla tidak tahu apa lagi yang boleh dibalasnya. Kalau dengan lelaki ini, memang dia akan sentiasa kalah.

UBAT-UBATAN diletakkan di atas riba. Dyla hanya memandang jalan raya yang lengang. Jalan raya kurang sesak. Mungkin kerana semua orang sudah masuk pejabat.

"Kita pergi makan dulu." Alfan bersuara.

"Saya pakai kain batik. Cukuplah awak malukan saya tadi."

"Aku dah suruh, kau yang degil."

"Hantar saya balik."

"Kita pergi makan," tegas Alfan.

Dyla ketap gigi. Lama-lama macam ini, boleh patah gigi dibuatnya. Sepanjang dengan Alfan ini, hari-hari giginya diketap menahan geram.

Genggaman tangan sudah dikepal kuat hingga menggigil. Alfan sedar akan itu... tetapi dia sengaja buat tidak tahu. 'Jangan dilayan baran perempuan ni!'

Kereta masuk petak parkir. "Keluar!" arah Alfan.

Dyla masih membatu. Bibirnya masih pucat.

Pintu Dyla dibuka dari luar. "Keluar!"

Tanpa bersuara, Dyla melepaskan tali pinggang keledar. Ubat ditinggalkan di tempat duduk. Alfan menutup kembali pintu keretanya. Dia melangkah masuk ke dalam kedai makan meninggalkan Dyla di belakang. Terik matahari memancar ke atas tubuh Dyla.

Kaki Dyla turut melangkah, tetapi bukan ke dalam kedai makan.

'Kau ikut degil kau, tapi kau lupa aku pun manusia yang ada degil dan ego...' bisik Dyla.

Alfan mencari tempat duduk. Kerusi ditarik ke belakang. Bila dia menoleh, Dyla tiada. Berkerut dahinya.

"Makan apa, bang?" tanya seorang pelayan.

"Mana perempuan belakang saya tadi?"

"Perempuan? Mana ada orang belakang abang."

Alfan mengeluh. 'Degil!'

Kaki Dyla terasa perit dek lutut yang masih lagi belum sembuh sepenuhnya. Sebentar tadi doktor ada memberitahu tentang jangkitan kuman yang berkemungkinan berlaku pada lukanya. Dia diarah untuk berhati-hati.

Peluh merenik-renik di dahi. Matanya liar mencari teksi yang tidak muncul tiba. Kereta lain yang berhenti di hadapannya. Cermin tingkap diturunkan.

"Being too stubborn gonna make your lutut more sakit. Naik!" Ini namanya omputih celup tak cukup grad. Bercampur rojak pasembur!

"Berhenti paksa saya makan!" tegas Dyla.

"Ya, naik cepat!" Alfan mengalah.

Dyla kerling kiri kanan. Teksi masih tidak kelihatan. Peluh sudah merembes. Kaki pula sakit. Sesungguhnya dia tiada pilihan lain.

"I am gonna make this easier for you. Hujung minggu ni, kita balik rumah kau untuk sampaikan berita nikah kita. And then, kita pergi kursus kahwin, settlekan itu ini..." ujar Alfan setelah berjurus-jurus lamanya mereka berdiam dan membiarkan suasana sepi merajai suasana dalam kereta.

"Wait...! What?" Dyla korek telinga. Terasa macam silap dengar pula. Balik rumah untuk beritahu fasal nikah? Uh! Tidak pernah terlintas pun akan buat begitu dalam waktu terdekat ini.

"Apa?" Alfan jongket kening.

"Apa awak cakap tadi? Balik rumah saya?" Dyla mengulang tanya.

"Ha, lah. Takkan kau nak kahwin senyap-senyap dengan aku?"

"Bila masa pula saya kata saya nak kahwin dengan awak?"

Alfan merengus. "Kau boleh tak jangan twist cerita? Aku tak kesah kalau kau tak nak kahwin dengan aku. Hadaplah Shah yang menangis tak tentu hala nanti."

"Awak tak de hak nak atur hidup orang lain."

"Aku ada hak untuk atur hidup kau sebab kau dah jadi tunang aku!"

Dyla geleng. "Awak takkan pernah faham. Saya tak tarik balik kata-kata saya. Memang awak kekurangan kasih sayang sampai desperate untuk dapatkannya. No wonder everyone's leaving you."

Alfan ketap bibir.

"Hujung minggu aku ambil kau. Get out!" Alfan tenung stereng kereta.

Dyla melepaskan tali pinggang keledar dengan kasar. "Tak suruh saya keluar pun, tak apa. Saya pun tak teringin nak duduk dalam kereta Mr.Bean awak ni." Pintu kereta langsung dihempas menandakan kemarahannya turut memuncak... .

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: