Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Keluar dari kereta Hakim, Balqis tidak terus naik ke rumah Lenny sebaliknya dia bersembunyi di bangunan bersebelahan flat Lenny untuk memastikan keadaan betul-betul selamat sebelum dia masuk. Itulah yang sering diajar oleh Daniel kepadanya. Berwaspada sebelum terperangkap kerana selicik-licik dia, musuh tentu akan lebih licik lagi. Sekitar kawasan flat Lenny diperhati tetapi segalanya nampak biasa sahaja. Cuak, telefon bimbitnya dicapai dan nombor telefon Lenny didail.

"Queee!"

Terdengar kuat suara Lenny menjerit di telinganya, telefon bimbit dijauhkan sedikit dan muka dikerutkan.

"Wehhh, janganlah menjerit. Pekak telinga aku nanti," bebelnya.

"Sorryyy... Tapi kau dekat mana?"

"Aku ada dekat flat sebelah tapi aku tak berani nak masuk rumah kau. Tadi kau balik ada orang ikut tak?" Pandangan diliarkan semula ke sekeliling.

"Aku tak surelah."

Balqis terdiam.

"Kau redah aje Que. Aku rasa penyangak-penyangak tu tak ada." Lenny memberi jaminan.

"Bahayalah sebab aku rasa tak sedap hati aje ni." Nafas dihela dan tangan dicekakkan ke pinggang.

"Ermmm... Kalau tak pun macam ni, kau cuba keluar cari teksi dan pergi rumah Nick. Aku akan ke sana nanti."

"Okey juga macam tu. Jumpa kau nanti." Talian dimatikan dan dia terus bergegas keluar dari situ. Ternampak teksi tidak jauh dari situ, Balqis terus berlari mendapatkan teksi tersebut lalu tubuh diloloskan ke dalamnya.

"Kota Damansara, pak cik," ucapnya tergesa-gesa.

Pak cik teksi tersebut akur sahaja dan terus memandu keretanya ke tempat yang diarahkan. Sebaik teksi berhenti di hadapan rumah Nick, tambang teksi dibayar dan dia terus keluar.

"Nick!" jeritnya dan pagar besi rumah Nick digegar.

"Nick!" Nama Nick dilaung semakin lantang. Haish! Mana pulalah mamat ni? bebelnya dan telefon bimbit dicapai lalu nombor telefon lelaki itu didail.

Senyap.

Didail lagi dan masih juga tiada jawapan.

"Masak! Mana aku nak pergi lagi ni?" Rambutnya diraup dan tangan dicekakkan ke pinggang.

Baru sahaja nombor telefon Lenny ingin didail, tiba-tiba dia terdengar namanya dilaung. Balqis berpaling.

"Nick! Ada pun kau." Nafas dihela.

"Sorry, tengah mandi tadi. Apa hal?" Nick kerutkan dahi.

Tidak menjawab pertanyaan Nick dan dengan tergesa-gesa, Balqis terus meluru masuk walau tanpa dipelawa.

"Queee!" Nick terpinga-pinga. Setelah lama berkeadaan begitu, dia turut masuk. "Wehhh! Apa hal ni? Macam kena kejar hantu aje." Daun pintu ditutup. Balqis yang sedang duduk bersandar di sofa dihampiri.

"Aku kena kejar dengan geng Hendry."

Nick terus duduk. "Geng Hendry? Biar betul? Tapi kenapa?" soalnya agak kalut.

"Daniel." Rambutnya diraup dan nafas dihela.

"Kenapa dengan Daniel?" Nick ikut bersandar.

Balqis jongket bahu. "Dia ada call kau tak?"

Kepala digeleng.

"Aku tak tahu apa yang dia dah buat tapi Hendry kata dia larikan barang berharga."

"Daniel buat kerja untuk Hendry?" Nick betulkan duduk.

Sekali lagi bahu dijongket. "Aku tak tahu. Sebelum dia pergi, dia cuma beritahu aku, dia ada kerja penting nak buat. Ermmm... Kau takkan tak tahu?" Nick dipandang.

Nick geleng kepala. "Aku tak jumpa dia dah dekat dua minggu. Kebetulan aku ada kerja dekat Hong Kong dan baru balik semalam," beritahunya. "Kau ada call dia tak?"

"Dah puas call tapi tak dapat. Dia pun sejak keluar tak ada call aku," balasnya dengan nada risau. Daniel walaupun agak kasar orangnya, tetapi tak pernah abaikan dia. Selama dia tinggal dengan lelaki itu sejak beberapa tahun lalu, Daniel juga tidak pernah lagi meninggalkan dia terkontang-kanting begitu.

Nick terdiam dengan dahi berkerut-kerut memikir.

"Entah-entah betul dia lari dengan barang Hendry."

Nick menggeleng. "Tak mungkin dia buat macam tu, Que. Dia profesional dalam kerja dia walaupun kerja yang dia lakukan berbahaya dan bukan kerja yang baik," belanya. Masakan Daniel buat onar sedang selama ini tak pernah lagi sahabatnya itu belot.

"Kalau dia tak buat, kenapa dia tiba-tiba hilang? Kenapa Hendry cari dia? Dan sekarang aku yang jadi mangsa!" marahnya. "Kau tahu tak hampir dua kali aku kena tangkap dengan Malek dan Karim. Nasib baik aku dapat lari dan selamatkan diri. Kalau tidak aku pun tak tahu apa akan jadi dengan aku."

Nick melepaskan keluhan kecil. "Aku tak tahu nak cakap apa tapi aku yakin Daniel mesti ada alasan sendiri kenapa dia tiba-tiba menghilangkan diri."

"Dia nak bolot semuanya dan hidup mewah sorang-sorang agaknya."

"Kalau dia nak buat macam tu pun dia tak akan tinggalkan kau. Selama ni dia jaga dan lindungi kau lebih dari nyawa dia. Takkan itu pun kau tak perasan?" marah Nick, geram mendengar apa yang dikatakan Balqis tadi. Sebagai kawan yang paling rapat dengan Daniel, dia tetap tak percaya yang Daniel buat semua itu.

"Mungkin dia dah rasa susah kena jaga aku agaknya."

Nick geleng kepala. "Hurmmm... Terpulanglah pada kau nak fikir macam mana... Tapi aku yakin mesti ada sebab lain kenapa dia tiba-tiba hilang," tegasnya.

Balqis terus diam.

"Ha, sejak Daniel tak ada kau tinggal dekat mana?"

"Tumpang rumah Lenny. Rumah kami dah kena geledah dengan geng Hendry. Aku pun dah tak berani balik sana."

"Lenny mana sekarang?"

"Aku dah tak nak bahayakan dia."

Nick mengangguk. "Dalam keadaan macam ni rumah aku pun tak selamat. Mereka mesti akan cari aku juga sebab mereka tahu Daniel dan aku baik." Dia terus berdiri.

"Habis tu macam mana?" Balqis mulai resah. Kalau dekat rumah Nick pun dia tak selamat, ke mana lagi dia hendak pergi?

Nick raup kepala dan mula mundar-mandir.

"Macam ni, buat sementara waktu ni kau tinggal di sini dahulu sehinggalah aku dapat cari tempat yang sesuai untuk kau," putusnya. "Kau telefon Lenny dan suruh dia bawa baju-baju kau. Jangan bagi dia datang sini. Bahaya. Nanti aku yang akan jumpa dia," pesannya pula.

Balqis mengangguk. Dalam keadaan sekarang, tinggal bersama Nick lebih selamat daripada berada di luar. Lagipun dia tahu Daniel lebih percayakan Nick daripada kawannya yang lain.

"Kau pergi berehat dulu. Aku nak cuba dapatkan maklumat tentang Daniel dari contact aku yang lain. Kau boleh guna bilik dekat tingkat atas sebelah bilik utama," suruhnya.

Akur, Balqis terus berdiri.

"Jangan lupa call Lenny dan kau suruh dia tunggu aku dekat KFC Kota Damansara. Aku akan cari dia dekat sana."

Balqis mengangguk sahaja dan terus memanjat tangga naik ke atas. Dia pun sudah penat melarikan diri dari Karim tengah hari tadi.

"Termenung apa tu bos," tegur Beng sambil tersengih. Bahu Hakim ditepuk perlahan. Tidak disuruh, dia terus duduk di sisi Hakim. "Ingat awek ke?" usik Beng pula apabila Hakim hanya tersenyum sahaja memandangnya.

"Mana ada aweklah," dalih Hakim.

Beng lepaskan tawa. "Macam aku tak tahu kau syok dengan anak Mak Cik Hasmah," ejeknya.

"Ada-ada aje kau ni." Hakim simpul malu. Tak sangka dia Beng pun perasan akan hal tersebut.

"Dah suka pergilah ajak kahwin. Kau lambat nanti orang lain rembat dulu. Budak tu cantik woooi."

Hakim sengih sahaja. Malas hendak melebih-lebih. Nanti dia beria-ia tetapi sebenarnya Hidayah sudah ada pilihan hati yang lain. Buat malu dia aje.

"Aku tengok kau ni slow sangat. Cuba agresif sikit. Aku rasa budak tu pun macam sukakan kau aje."

"Ya ke? Entah-entah aku aje yang syok sendiri."

"Ermmm... Aku tahulah. Tengok dia layan kau pun aku dah boleh baca." Beng ketawa lagi.

Hakim mencemik. Mamat seorang ni tak padan gengster tetapi rupanya dalam hati ada bunga-bunga juga. "Sudahlah cerita tentang Yaya. Ada jodoh aku dengan dia nanti adalah."

"Nak sampai jodoh tu kena bertindak juga, bro. Kau diam aje memang tak jadi apa." Beng mengingatkan lagi.

"Bukan main pandai lagi kau berkata-kata, ya?" Hakim lepaskan tawa.

Digiat begitu, Beng hanya tersengih sahaja.

"Haaa, termenung jauh sampai berkerut-kerut muka tadi kenapa?"

"Ermmm... Aku terfikirkan tentang seorang budak perempuan."

"Haii... Dah jumpa awek lain?" Beng geleng kepala. Beria-ia dia menyebut tentang Hidayah tadi rupanya Hakim ada calon lain juga.

Laju Hakim gelengkan kepala.

"Siapa?"

"Aku tak kenal tapi dah dua kali aku jumpa dia. Hari tu dia menyelinap masuk bengkel aku. Tengah hari tadi dia bersembunyi dalam kereta aku sebab kena kejar dengan samseng."

"Budak dadah agaknya tu." Beng buang sengih.

"Aku tak rasa macam tu tapi entahlah... sejak hantar dia tadi aku asyik fikir tentang dia."

"Kim... Kalau melibatkan samseng baik kau jangan campur. Aku tak nak nanti hidup kau yang huru-hara," nasihatnya.

"Tapi kesian dia, Beng. Budak lagi tu," balas Hakim beria.

"Dia yang pilih jalan tu, jadi biarkan." Beng mengingatkan lagi. "Dah berbelas tahun dalam dunia macam tu, aku dah masak sangat dengan semuanya. Lagipun kau dah cuci tangan dengan hal-hal macam tu, kan?"

Hakim mengangguk. Betul cakap Beng, buat apa dia nak sibuk-sibuk kalau nanti hidup dia yang akan jadi kucar-kacir?

"Ha, race hari tu macam mana? Siapa menang?" Teringatkan tentang hal tersebut, Hakim terus bertanya. Tubuhnya ditegakkan. Lagipun dia malas hendak memanjangkan lagi cerita tentang gadis yang bernama Que itu.

Beng tersengih lebar. "Tentulah aku. Kereta power kut," jawabnya bangga. "Habuannya pun hebat!" Kening dijongket nakal.

Hakim menggeleng.

"Rugi kau tak ikut kalau tidak boleh dapat satu," guraunya.

"Kau ingat aku macam kau?" Hakim bingkas bangun.

Beng gelak sahaja.

"Kim, malam lusa free tak?" Hakim yang sedang bersandar di tepi keretanya dipandang.

"Kenapa?"

"Aku nak celebrate sebab menang hari tu."

"Kau carry on ajelah. Aku malaslah," tolak Hakim bersama gelengan.

Beng hela nafas dan terus berdiri. Hakim dihampiri dan bahu sahabatnya itu dirangkul. "Kau ni Kim, cubalah ada life macam orang lain. Janganlah asyik bengkel, rumah, bengkel, rumah. Kau tak bosan ke?" bebelnya.

"Aku dah lama tinggalkan benda-benda tu semua Beng. Kau pun tahu."

"Aku tahu. Aku bukan ajak kau mabuk tapi setakat makan-makan aje," ajak Beng beria.

Hakim terdiam dan keluhan kecil dilepaskan. "Dekat mana?" Akhirnya dia mengalah.

"Zouk."

Dahi dikerutkan. Kata tak mahu mabuk-mabuk tapi kalau dah masuk tempat macam tu tentulah akan mabuk!

"Kita makan-makan dan enjoy aje. No liquor and women. I promise!" Beng angkat tangan.

Hakim terdiam sebelum akhirnya kepala diangguk. "Aku jumpa kau dekat sana," akurnya. "Pukul berapa?" Beng yang sudah tersengih dipandang.

"Lapan setengah."

Tidak membalas, Hakim hanya mengangguk sahaja. Sesekali berhibur tak salah, Hakim. Apa yang penting kau tak sama-sama hanyut macam mereka!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro