Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Pandangan dikalihkan ke arah Malek dan Karim yang sedang menikus tidak jauh dari mini bar tempat dia berdiri ketika itu. Botol Carlsberg di atas meja dicapai dan dibuka penutupnya lalu dituangkan ke dalam gelas. Dengan mata mencerlung memandang kedua-duanya, minuman keras tersebut dihirup perlahan lalu langkahnya diayun dan gelas di tangan digoyang-goyangkan sehingga air di dalamnya berkocak kuat.

"Ada jumpa budak tu?" soalnya keras.

Malek dan Karim berpandangan lalu kepala digeleng.

"Budak perempuan yang baru 17 tahun pun korang berdua tak boleh handle. Bodoh!" bentak Hendry berang. Gelas di tangannya dihempaskan ke lantai dan kerusi di hadapannya ditendang sekuat hati.

Karim dan Malek menikus lalu kepala ditundukkan memandang lantai.

"Aku tak faham macam mana budak tu boleh terlepas!"

"Budak perempuan tu panjang akal, bos." Malek beralasan.

"Itu menunjukkan yang korang tu bodoh! Bahalul!" marahnya lagi.

Malek terus terdiam di tempatnya.

"Dah cari dekat rumah Tiger?"

"Dah, tapi dia memang tak ada dekat situ."

"Dia mesti tak berani balik rumah tu." Hendry kerutkan dahi. "Kawan-kawan dia? Ada korang cari kawan-kawan dia?"

Sekali lagi Karim dan Malek berpandangan. "Tak ada bos," jawab mereka perlahan.

"Tak ada?!" Hendry geleng kepala. "Itu pun korang tak boleh fikir? Kalau dia tak balik rumah Tiger tentu dia akan menumpang di rumah kawan-kawan dia!" bedilnya. "Arghhh!" Sekali lagi kerusi ditendang. "Tiger tak dapat dikesan! Budak perempuan itu pun lenyap! Semuanya bodoh!" ucapnya semakin lantang. "Sekarang, dapatkan maklumat tentang kawan-kawan dia!" arahnya keras.

"Kami akan cari dia sampai dapat, bos." Karim memberi jaminan.

Dengan riak yang semakin menyinga, Karim dan Malek dipandang semula. "Aku nak korang cari dia sampai dapat. Dalam masa yang sama, cari Tiger juga. Kalau dapat dua-dua sekali lagi bagus!" tegasnya. "Berani Tiger nak main-main dengan aku!" Jemarinya digenggam dengan dada yang berombak marah.

"Baik bos!" Karim dan Malek membalas serentak.

"Ingat, kita dah tak banyak masa. Cobra cuma beri kita masa dua bulan untuk dapatkan berlian tu semula. Kalau kita gagal, kita semua... habis!" pesannya mengingatkan.

"Okey bos."

"Dah pergi!" jerkahnya.

Kalut dijerkah dan tidak menunggu, Karim dan Malek terus bergegas keluar.

"Tak guna kau, Tiger! Kalau aku dapat kau, nahas kau!" bisiknya keras sambil jari-jemarinya dikepal kuat.

Berhenti sahaja di hadapan rumah Mak Cik Hasmah, kereta Toyota Vios warna putih miliknya terus diberhentikan dan enjin dimatikan. Sebaik terpandangkan Hidayah yang baru muncul dari pintu hadapan rumah, senyum di bibir Hakim melebar dan dia terus keluar dari perut kereta.

"Assalamualaikum," sapanya ramah.

Hidayah menoleh dan pamer senyum. "Waalaikumussalam."

"Amboi, lawa-lawa ni nak ke mana?" Anak bongsu Mak Cik Hasmah yang menjadi pujaan hatinya itu dipandang dari atas ke bawah. Sesekali nampak si cantik itu bersolek, ermmm... boleh cair hati dia.

"Orang nak pergi kenduri rumah kawanlah." Hidayah membalas ramah.

"Kenduri kahwin?" Sibuk saja dia hendak tahu.

Hidayah menggeleng. "Kawan Yaya bertunang."

"Oh!" Hakim balas sepatah. "Habis tu Yaya bila nak bertunang?" usiknya penuh makna.

"Tak ada orang nak Yaya, macam mana nak bertunang?" Hidayah simpan senyum malu-malu.

"Memilih sangatlah tu." Hakim mula tebar jala. Bila lagi hendak mengayat anak dara orang. Ngeh!

"Nak pilih apanya, Yaya bukannya cantik sangat pun."

"Uishhh! Siapa kata Yaya tak cantik? Cuba beritahu abang. Biar abang servis mata dia bagi terang sikit," bedilnya. Adoi! Berlebih pulak kau ya, Hakim, ejeknya kepada diri sendiri.

"Abang ni, sengajalah tu nak usik Yaya," balas Hidayah sambil tersimpul malu. Mendengar Hakim memuji dia begitu, kembang setaman dia jadinya.

"Mana ada abang usik. Abang cakap yang betul tu. Kalau nak bandingkan Yaya dengan Nelydia Senrose, Yaya lagi lawa tau." Hakim jual minyak pula tapi memang betul pun Yaya memang cantik. Cantik asli dan nampak sangat kemelayuannya. Air wajahnya juga manis saja setiap kali dipandang sebab itulah hati Hakim cair setiap kali melihatnya.

Hidayah tergelak kecil. Boleh pula disamakan dia dengan Nelydia Senrose. "Amboi abang, bukan main lagi memuji Yaya tapi Yaya dengan pelakon tu macam langit dengan bumi tau. Dia tu jelita, Yaya ni apalah yang ada."

Hakim tersenyum. Baru saja dia hendak membalas kata-kata Yaya, terdengar kuat suara Mak Cik Hasmah melaung dari muka pintu. Spontan itu kedua-duanya menoleh.

"Ermmm, kau pun ada juga Kim? Bila sampai?"

"Baru aje ni mak cik."

"Yang kamu tu tak pergi lagi nak tunggu apa, Yaya? Kata majlis mula pukul lima." Anak gadisnya dipandang.

"Errr... Orang nak pergilah ni. Abang Hakim punya pasallah, banyak sangat tanya dari tadi." Hakim dijeling.

Hakim buang sengih dan kepalanya digaru.

"Nak pergi naik apa?" tanyanya. Takkan dah pakai baju kebaya nak bawak motor?

"Motor," balas Hidayah sepatah nak mula buka langkah.

"Eh! Biar abang hantar. Koyak kain tu nanti kalau naik motor." Sebenarnya dia tak nak orang lain nampak kaki Yaya yang putih melepak sebab Yaya kan bakal menjadi milik dia. Hurmmm... Insya-Allah jika Dia izinkan dan andai Mak Cik Hasmah beri restu.

Hidayah menoleh dan Hakim dipandang dengan mata terkebil-kebil. "Ya ke tidak abang ni?"

"Betullah. Biar abang hantar. Kejap abang jumpa mak dulu." Hakim terus buka langkah dan Mak Cik Hasmah dihampiri.

"Ada apa tiba-tiba datang rumah mak cik ni?" Mak Cik Hasmah kerutkan dahi.

"Kim datang nak bayar duit sewa kedai. Hari ni kan dah lima hari bulan." Sampul surat berwarna coklat di dalam poket seluarnya diambil dan dihulurkan kepada Mak Cik Hasmah.

"Allah, kamu ni Kim. Macamlah aku dok kejar sewa kedai tu bulan-bulan. Bayar ajelah biar kamu ada masa."

"Kim ada masa inilah Hakim bayar," balasnya sambil tersengih. "Ambillah ni mak cik." Sampul tersebut dihulurkan kembali.

"Ha, yalah. Terima kasih."

Kepala diangguk. "Ermmm..." Lehernya diusap dan Hidayah yang sedang berdiri tidak jauh dari situ dikerling. Nak minta izin nak hantar anak dara orang pun rasa berdebar macam nak masuk meminang.

"Dah ngapanya kamu ni?"

"Mak cik... errrr... ermmm... boleh tak kalau Hakim hantar Yaya?" tanyanya teragak-agak.

"Haaa... Elok juga kalau kamu tolong hantarkan. Risau juga mak cik tengok dia bawak motor dengan kain sempit macam tu. Kalau jatuh rabak kain tu nanti. Kain rabak tak apa lagi, kalau kaki yang rabak bukan ke susah nanti."

Muka yang ragu-ragu tadi terus terukir senyum. "Kalau macam tu, biar Hakim pergi dululah ya mak cik."

Mak Cik Hasmah mengangguk. "Hati-hati dan jangan balik lewat pulak," pesannya pula.

"Baik, mak cik," balas Hakim dengan senyuman. Maksud jangan balik lewat tu maknanya dia bolehlah bawak Yaya jalan-jalan? Haih! Sporting gila bakal mak mentua, bisiknya teruja.

"Jom, mak dah izinkan abang hantar Yaya."

Hidayah kalihkan pandangan ke arah Mak Cik Hasmah. Melihat emaknya mengangguk sambil melambai tangan ke arahnya, bibir terus mengukir senyum. Tidak menunggu, dia terus mengekor langkah Hakim menuju ke keretanya.

"Masuklah atau Yaya nak abang bukakan pintu macam cerita-cerita Melayu yang Yaya suka tengok tu?" Hakim buang sengih. Hidayah yang masih berdiri di tepi kereta dipandang.

"Mana ada. Orang boleh buka sendirilah." Hidayah mencemik. Daun pintu dikuak dan tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta.

"Rumah kawan Yaya dekat mana?" Sambil memandang Hidayah sekilas, enjin kereta dihidupkan.

"Taman Adenium."

Hakim mengangguk dan terus memandu keretanya beredar dari situ.

"Hari tu pergi interview macam mana? Dah panggil kerja?" soal Hakim cuba beramah mesra. Kata orang masa inilah dia boleh berbual panjang dengan Hidayah walaupun perjalanan mereka tidaklah sejauh mana.

Hidayah menggeleng. "Belum ada rezeki Yaya lagi," balasnya perlahan. Kecewa kerana sudah beberapa kali pergi temu duga tetapi rezeki masih belum berpihak kepadanya.

"Tak apa. Nanti-nanti adalah tu. Lepas ni cuba yang lain pula," pujuk Hakim lembut.

"Minggu depan Yaya ada interview lagi. Abang doa-doalah Yaya berjaya. Penat dah Yaya duduk dekat rumah tak buat apa," keluhnya.

"Alaaa, duduk dekat rumah kan boleh tolong mak."

"Kalau kerja pun boleh tolong mak juga." Hidayah juihkan bibir.

Hakim senyum sahaja melihat reaksi gadis itu.

"Kalau tak pun Yaya kerja dengan abang ajelah. Jadi kerani dekat bengkel abang," tawarnya.

"Tak naklah. Yaya nak kerja office. Lagipun Yaya kan ada diploma pengurusan."

"Kerja dekat bengkel abang pun ada office juga."

"Tak nak. Kerja dekat bengkel abang kotor. Yaya nak kerja dekat tempat yang sentiasa nampak cantik."

Hakim buang sengih. "Yalah... Yalah... Tapi jangan cantik sangat. Abang risau nanti."

"Abang nak risau kenapa?" Hidayah kerutkan dahi.

"Mestilah risau nanti banyak pulak semut yang datang merayap nak mengurat Yaya. Abang juga yang merana nanti."

Mengerti maksud Hakim, Hidayah tersenyum lebar. "Yaya tak memilih tapi siapa yang cepat dialah yang punya. Mak dah cakap, kalau ada orang datang merisik Yaya, mak akan terima aje. Asal mak kenal siapa orangnya."

Laju Hakim kalihkan pandangan ke sebelah. "Biar betul Yaya ni?" soalnya agak kalut.

"Betullah. Mak cakap macam tu dengan Yaya."

Hakim terdiam. Haih! Nampaknya dia kena bertindak cepat. Kalau tidak bunga pujaan hati disambar orang pula. Tapi macam mana nak mulakan? Hati bertanya pula.

Melihat Hakim yang seperti orang kepanasan di sebelahnya, Hidayah simpan senyum. Baru gertak macam tu dah takut padahal dia bergurau saja. Sengaja hendak melihat reaksi Hakim bagaimana.

"Abang, jangan lupa masuk simpang tu. Rumah kawan Yaya dekat situ," tegur Hidayah apabila Hakim masih bereaksi seperti tadi.

Dengan wajah terpinga-pinga Hakim menoleh. Dalam kalut, lampu isyarat ke kiri dipasang dan kereta terus dibelokkan masuk ke simpang tersebut.

"Yaya pergilah. Abang tunggu dekat sini aje," suruh Hakim sebaik keretanya diberhentikan tidak jauh dari rumah yang dituju. Dia terpaksa berhenti agak jauh sedikit kerana di luar kawasan rumah begitu banyak kereta dan sukar untuk diparkirkan di situ.

"Abang ikut sekalilah."

"Haish! Tak apalah. Segan abang. Lagipun abang bukannya kenal dengan kawan Yaya tu," tolak Hakim bersama senyuman.

"Tak apa. Kalau tak kenal abang bolehlah berkenal-kenalan dengan mereka." Hidayah terus memujuk.

"Yaya pergi ajelah. Lagipun abang pakai baju kerja aje ni." Hakim masih terus beralasan. Hai! Malulah dia nak jumpa kawan-kawan bakal bini dalam keadaan begini. Jatuhlah saham dia nanti.

"Elok aje tu. Jomlah," pujuk Hidayah agak manja.

Kepala digaru. Susah apabila Hidayah sudah buat suara manja begitu. Mulalah lari tempo hatinya yang selama ini keras macam batu.

"Okeylah... Okeylah. Tapi kita jangan lama-lama sangat dekat sana, ya. Abang tak selesalah."

Hidayah tersenyum lalu mengangguk. "Jom!" ajaknya dan terus keluar.

Dalam keadaan terpaksa rela, Hakim ikut keluar. Haih! Sayang punya pasal, ikutkan sajalah Hakim! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro