Bab 5
Kaki yang terasa lenguh diurut perlahan. Tapak kaki yang mula terasa perit kerana berlari tanpa alas sejak tadi langsung tidak diendahkan malah langkah terus diayun. Bimbang dia andai Karim dan Malek menemuinya. Setelah berada agak jauh dan yakin tiada sesiapa mengejarnya, ayunan langkahnya diperlahankan. Dengan nafas termengah-mengah, pandangan dibuangkan ke sekeliling. Gelap. Hanya samar-samar cahaja lampu jalan sahaja yang membantu dia untuk terus berjalan.
Dia berada di mana ketika itu dia sendiri pun tidak pasti. Tubuh yang hanya disaluti gaun pendek itu sudah mula menggigil kesejukan. Ditambah pula hujan renyai yang mula membasahi bumi saat itu.
Mana aku nak pergi malam-malam macam ni? detik hati kecilnya dan tangan dipelukkan ke tubuh. Hendak balik ke rumah pun dia tidak tahu bagaimana tetapi dalam keadaan sekarang, selamatkah dia untuk balik ke rumah sendiri? Memikirkan itu, perlahan-lahan nafas dihela. Ini semua Daniel punya pasal. Disebabkan lelaki itu hidupnya mula porak peranda.
Langkah terus diatur tanpa arah tujuan. Melalui deretan kedai yang sunyi, bulu tengkuk tiba-tiba meremang.
Aduh! Janganlah ada yang bukan-bukan datang kacau aku, desisnya. Lari dari dua ekor hantu, janganlah pula terjumpa hantu yang betul, bisiknya cuak. Sedang leka berjalan dan memikir, tiba-tiba rintik-rintik hujan turun semakin lebat. Kalut dan bimbang dibasahi hujan, dia terus berlari ke satu kawasan kedai yang agak lapang dan berteduh di hadapan kedai tersebut.
"Sejuknya," bisiknya dengan suara yang terketar-ketar kesejukan. Tidak sanggup untuk terus berada dalam keadaan itu, daun pintu kedai tersebut ditolak.
"Kunci," bisiknya kecewa. Baru sahaja dia ingin duduk semula di kerusi kayu panjang di luar kedai, tangannya terlanggar mangga di pintu sehingga mangga tersebut tercampak di kakinya. Balqis terkedu dan laju pandangan dibuangkan ke sekeliling.
Sunyi.
Tiada walau seorang pun manusia.
Kepala ditolehkan ke arah daun pintu semula dan dengan perlahan-lahan, daun pintu itu cuba dibuka. Hampir terjerit dia apabila pintu tersebut rupanya tidak dikunci. Tidak menunggu dia terus masuk dan daun pintu ditutup semula.
"Tempat apa ni?" Mata melilau memandang sekeliling ruang di dalam kedai tersebut.
"Bengkel," bisiknya apabila mata terpandangkan sebuah kereta yang tersadai di dalam kedai tersebut. Hurmmm... Tak kisahlah bengkel pun bengkellah Que, asalkan ada tempat untuk kau berteduh dan tidur. Sungguh, dia penat dan sangat mengantuk sekarang. Kaki terus diayun sedang mata liar mencari ruang untuk berehat. Sebaik berdiri di hadapan pintu sebuah bilik kecil, nafas dihela.
Nasib baik ada sofa untuk berbaring walaupun buruk, desisnya dan terus bergerak ke situ. Tidak mengendahkan apa-apa pun lagi, dia terus berbaring dan matanya dipejamkan.
Kayu di tangan digenggam semakin kemas sedang mata liar memerhati segenap ruang bengkel. Kosong. Tiada sesiapa di situ. Kalau tiada sesiapa yang masuk, kenapa pintu bengkelnya tidak berkunci? Dada yang sedari tenang mula berdegup kencang.
Duit!
Teringatkan duit yang ditinggalkan malam tadi di dalam pejabat kecilnya, Hakim bergegas ke situ. Sebaik pintu pejabatnya dikuak, Hakim terpaku dan mata tidak berkelip memandang sekujur tubuh yang sedang elok berbaring di atas sofa.
"Hoiii!" jerkah Hakim agak kuat. Bimbang juga kalau-kalau tetamu di hadapannya itu bukan manusia. Terfikirkan itu, bulu tengkuk mula meremang.
Terdengar kuat suara seseorang menyapa telinga, Balqis yang masih enak dibuai lena tersentak. Spontan itu dia bingkas bangun. Belum sempat dia berdiri tegak, dia terduduk semula apabila pandangannya terasa berpinar-pinar. Mungkin disebabkan bangun secara terkejut begitu membuatkan kepalanya pusing dan spontan itu kepalanya disentuh lalu nafasnya dihela. Lelaki yang sedang tajam merenungnya ketika itu dipandang kalut.
"Kau siapa?" Kayu diangkat. Pandangan gadis di hadapannya itu dibalas seketika sebelum anak matanya dilarikan ke kiri sedikit. Fuh! Berdebar jantung dia melihat penampilan gadis itu. Dengan memakai baju tidak berlengan paras lutut begitu, boleh bikin kacau jiwanya.
"Aku... Aku..." Balqis hilang kata-kata. Apa jawapan yang perlu dia berikan? Hendak lari? Tapi macam mana hendak lari apabila lelaki itu sedang memegang kayu begitu? Sekali dipepah, patah riuk dia nanti.
"Kau datang nak mencuri eh?"
Mencuri? Balqis memandang bengkel kayu itu dengan pandangan jengkel. "Mencuri dekat bengkel buruk ni? Hello! Kalau setakat besi buruk aje yang ada, apa yang boleh aku curi dan jual?" Sinis.
Hakim mendengus tak puas hati. Bengkel buruk dikatanya? Dengan bengkel buruk inilah dia hidup tahu tak?! Hati berbisik geram.
"Tak kisahlah bengkel buruk ke apa, tapi kalau kau bukan datang untuk mencuri, kau datang sebab apa?" Suara Hakim semakin tinggi. "Ha, lagi satu aku nak tanya, macam mana kau boleh masuk?" bedilnya. Tangannya yang sedang memegang kayu direndahkan sedikit.
"Pintu tak kunci, aku masuklah." Selamba Balqis lagi.
"Kau jangan nak kelentong aku. Malam tadi aku dah kunci mangga tu."
"Kau tutup pintu tu tapi kau tak kunci pun mangganya."
Hakim terdiam. Cuba mengingat semula apa yang dibuatnya malam tadi.
Melihat keadaan lelaki itu yang sudah terdiam di tempatnya, kasut tumit tingginya dicapai dan disarungkan. Kemudian dia terus berdiri. Dalam keadaan lelaki itu bingung begitu, lebih baiklah dia cabut dulu. Kalau tidak, lagi panjang kisahnya. "Dah, aku nak blah. Sorry aku tumpang tidur tak minta izin." Dengan riak selamba, rambut panjangnya yang sedikit tidak terurus itu dikemaskan. Baju yang dipakainya juga dibetulkan agar lebih selesa. Bodoh punya penyangak, baju ketat macam ni yang dia bagi aku pakai! Hati membebel geram.
Hakim terkebil-kebil sahaja memerhati. Giler selamba perempuan ni. Dah masuk tempat orang boleh buat perangai bodoh macam tu?
"Eh! Sebelum tu aku nak tanya, dekat-dekat sini ada teksi tak?" Kening dijongket memandang Hakim yang masih terkebil-kebil.
"Lagi satu, nak pinjam duit untuk bayar teksi boleh? Beg duit aku tak tahu mana tercicir." Selambanya pula.
"Kau ni siapa sebenarnya? Masuk bengkel aku tak bagi salam. Suka-suka membuta lepas tu nak pinjam duit pulak. Kau ni mesti warga asing yang tak ada permit, kan?" telahnya.
"Hellooo! Kau ingat aku minah Indon ke? Takkan awek Melayu dengan awek Indon pun tak boleh beza?" marahnya bersama dengusan. Ada patut dia dikatanya warga asing? Siut aje!
"Zaman sekarang semuanya nampak sama. Kalau yang gelap pun boleh nampak putih, sudah tentulah minah Indon pun boleh nampak macam Melayu!" ejek Hakim.
"Mak dan bapak aku Melayulah. Aku lahir di Kuala Lumpur."
"Mana ic?" Tangan dihulurkan.
Dengusan kecil dilepaskan. "Kan aku dah kata tadi, beg aku tercicir dan aku tersesat dekat tempat ni," jelasnya.
"Macam mana kau boleh tersesat dekat sini?" Hakim terus mengasak.
"Aku kena kejar... errr..." Teringatkan sesuatu, kata-kata Balqis terus mati. Bimbang dia terlajak bercerita dengan orang yang tidak dikenali. "Hurmmm... Aku kena tinggal dengan kawan-kawan aku dekat kawasan sekitar sini lepas parti. Sebab hujan aku lari ke bengkel buruk kau ni. Bila aku tengok pintu tak berkunci, aku masuklah dan tumpang tidur," bohongnya.
Hakim terdiam cuba untuk menerima alasan yang diberikan. Hurmmm... Pakai baju tak cukup kain macam tu haruslah pergi berparti. Lojik juga tu, fikirnya.
"Boleh tak bagi aku pinjam duit sebab aku nak balik tak ada duit," soalnya lagi. Hakim dipandang bersama kerutan. Nampak kacak harap orangnya pun baiklah, desis hatinya.
"Berapa kau nak?"
Balqis terdiam dan bahu dijongket. "Aku tak tahu sebab aku nak balik ke Ampang," jujurnya.
Hakim terdiam seketika kemudian telefon bimbitnya dicapai. Nombor seseorang didail. Setelah berbual seketika, talian dimatikan.
"Kau tunggu sini, aku dah suruh kawan aku hantar kau," putusnya.
"Tak payahlah. Aku boleh balik naik teksi," tolak Balqis agak keras. Apa kes nak main hantar-hantar pulak. Haish!
"Kau nak naik teksi dalam keadaan berpakaian macam tu? Kau tak takut kena rogol?" Selamba Hakim bersuara.
Balqis terdiam. Tubuhnya dipandang dari atas hingga ke bawah dan liur ditelan. Seriau juga dia mendengar apa yang dikatakan lelaki itu.
Melihat gadis yang sudah terdiam di tempatnya itu, Hakim simpan senyum. Termakan juga dengan ugutan dia tadi. Ingatkan masih hendak berdegil lagi.
"Kau tunggu sini sekejap," ucapnya lagi dan terus keluar. Tidak lama kemudian, dia masuk ke dalam semula dengan jaket di tangan. "Nah, pakai ni. Buat tutup badan kau tu. Nak suruh kau sarung dengan kain batik, aku tak ada kain batik nak bagi."
Bersama cemikan, jaket yang dihulurkan Hakim disambut. "Terima kasih," balasnya jengkel.
Baru sahaja Hakim ingin bertanya lagi, terdengar kuat suara Midi memberi salam. Spontan itu pandangan dibuangkan ke pintu masuk bengkel.
"Waalaikumussalam," balasnya agak kuat.
"Ada apa beria panggil aku datang pagi-pagi ni? Ada..." Melihat sahaja ada seorang gadis yang agak seksi di dalam bengkel, kata-kata Midi terus mati dan pandangan dilarikan ke wajah Hakim semula. "Siapa perempuan ni? Kau jangan buat hal, Kim!"
"Astaghfirullahalazimmm! Cuba jangan fikir yang bukan-bukan. Aku tak buat macam yang kau fikir tu. Haih!" Kepala digeleng. "Dah! Kita tak payah panjang-panjangkan cerita. Sekarang aku nak kau hantar dia balik ke rumah dia dekat Ampang. Ini duit minyak dan duit belanja sarapan pagi dia." Duit lima puluh ringgit sebanyak tiga keping dihulurkan kepada Midi.
"Itu aje?"
Hakim mengangguk.
"Tapi dia ni siapa?" Gadis yang masih berdiri kaku di tempatnya itu dipandang.
"Entah, aku tak tahu dan aku pun tak berminat nak tahu."
Mendengar kata-kata Hakim, Balqis mencemik menyampah. "Jom, aku dah rimas duduk dalam bengkel buruk ni!" sinisnya membalas bicara Hakim tadi. Tidak menunggu lagi dia terus keluar.
Hakim mencekak pinggang dan kepalanya digeleng. Dah tolong pun masih nak menyombong? Harap muka aje lawa tapi perangai... out! Hati membebel geram.
Midi yang tidak tahu hujung pangkal cerita jongket bahu dan turut keluar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro