Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Macam mana?" Tubuh disandarkan ke dinding kereta dan tangan dipelukkan ke tubuh. Lelaki Cina yang dipanggil Beng di hadapannya itu dipandang dengan muka berkerut-kerut. Bukan berkerut sebab memikirkan masalah negara tetapi kerana disimbah pancaran cahaya pagi yang begitu terik ketika itu.

Beng angkat ibu jarinya sambil tersengih. "Terbaik Kim. Wa caya sama lu lah," pujinya.

"Enjin okey?" tanya Hakim lagi.

"Smooth dan yang penting laju!"

Hakim tersengih dan tubuhnya ditegakkan. Mahu tak smooth dan laju kalau beribu-ribu habis untuk modified enjin sahaja. "Dah habis beribu Beng, kalau tak menjadi juga baik kau bakar aje bengkel aku ni," guraunya sambil lepaskan tawa.

Beng ikut ketawa. Hakim dihampiri. "Jom ikut aku malam ni. Boleh ikut betting sama." Bahu Hakim ditepuk dan dirangkul.

Perlahan-lahan kepala digeleng. Cukuplah dulu dia dan ibunya hidup dalam dunia begitu masakan sekarang dia ingin mengulanginya lagi setelah dia sudah mempunyai kehidupan yang lebih baik. "Malaslah aku." Tangan diselukkan ke poket seluar jean lusuhnya.

"Malam ni ada ramai awek-awek baru dan fresh." Beng semakin melebarkan sengih bersama jongketan kening menyebabkan matanya yang sepet semakin sepet jadinya.

"Awek untuk?" Pandangan dikalihkan ke sebelah.

"Biasalah, kau macam tak faham." Beng ketawa lagi.

"Habuanlah tu?" Kening dijongket.

Beng mengangguk.

Hakim melangkah ke hadapan sedikit dan serta-merta itu tangan Beng jatuh ke bawah. "Budak-budak mana yang korang sambar kali ni?" soal Hakim serius dan tangan dipelukkan ke tubuh. Inilah perkara yang paling dia tak suka dengar. Apabila ada perlumbaan haram pasti anak-anak gadis yang belum mengerti erti kehidupan yang menjadi mangsa nafsu serakah jantan-jantan macam Beng. Paling menyedihkan ramai antaranya adalah anak-anak Melayu yang masih belasan tahun umurnya. Peliknya, bagaimana gadis-gadis itu boleh terjebak dengan kegiatan tak bermoral begitu?

"Kali ni best sikit sebab budak-budak muda. Baru tujuh belas tahun. Cun-cun Kim dan yang penting semua beginner." Lebar senyum Beng sewaktu bercerita. Mengingatkan habuan yang bakal dia terima jika menang, tahap keterujaannya terus meningkat dua ratus peratus. Kerana itulah dia tidak lokek berhabis untuk menang. Bukan setakat untuk nama tetapi demi ganjaran yang diberikan.

"Kesian Beng budak-budak yang baru nak hidup tu. Rosak masa depan dia orang." Hakim geleng kepala.

"Alaaa, bukannya kami paksa pun. Mereka yang rela hati tawarkan diri. Lagipun dia orang tu semua nak duit, Kim. Family susah jadi ini sajalah cara nak hidup senang sikit dan dapat beli macam-macam."

"Aku tak fahamlah macam manalah budak-budak tu semua boleh terjebak dengan benda-benda kotor macam ni." Keluhan dilepaskan pula.

"Relakslah Kim. Dia orang tu nak enjoy aje. Maklumlah budak-budak baru nak up. Kata orang baru nak menikmati hidup."

"Entahlah tapi aku tetap tak boleh terima. Kalau aku ada adik perempuan dan dia buat benda macam ni, aku rela dia mati aje dari terus hidup!"

Beng tergelak. "Don't be so serious, man. Selagi boleh bergembira, nikmati. Kau dah tua nanti kau tak akan ada peluang macam ni lagi," pesannya.

"Mungkin di usia aku yang hampir menjengah 30 tahun kegembiraan macam tu bukan pilihan. Lagipun aku dah tak nak terjebak dengan gejala-gejala tak bermoral macam tu lagi. Cukuplah aku dah lalui dulu."

Beng mengangguk. "Aku faham." Ya, dia tahu. Semua yang Hakim lalui dulu dia tahu. Tentang ibunya, tentang kehidupan Hakim selepas kematian ibunya. Dia juga tahu betapa susahnya Hakim untuk mencapai ke tahap yang lelaki itu ada sekarang. Apa tidaknya, hanya dia yang berada di sisi Hakim dari dulu sehinggalah sekarang. Yang melihat kesedihan dan kepayahan yang dilaluinya.

"Tentang perkara dulu tu, kau ada dapat maklumat apa-apa?"

"Tak ada." Beng menggeleng. "Kau jangan risau, lambat laun kita akan dapat juga apa yang kita cari. Benda ni aku tak boleh tanya terang-terang. Kau pun tahu kan, bila hal-hal yang berkaitan dengan kongsi gelap ia bukan perkara mudah dan kebanyakan dari mereka lebih suka kunci mulut," terangnya.

Kepala diangguk. "Aku tahu," jawabnya perlahan.

"Soalan aku dan ia masih sama." Beng sandarkan tubuh ke dinding kereta semula dan tangannya dipelukkan ke tubuh. "Apa kau nak buat bila kau tahu kebenarannya? Kau nak balas dendam?"

Bahu dijongket. "Dan jawapan aku tetap sama. Aku tak tahu tapi hati aku tetap ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku," jawabnya untuk yang entah ke berapa puluh kali.

Mendengar jawapan Hakim, Beng hanya mengangguk sahaja. Jawapan itu, ya, jawapan itu memang dia sendiri pun sudah hafal di dalam kepala.

"Lepaslah!" jerit Balqis sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Tangan gagah lelaki berbadan gempal yang sedang memeluknya dipukul-pukul dengan sekuat hati. Kalaulah dia mendengar nasihat Lenny untuk tidak balik ke rumahnya, tentu dia tidak ditangkap oleh dua manusia tak guna ini. Nasib Lenny entah bagaimanalah sekarang agaknya.

"Hoi perempuan! Kau diam boleh tak?!" Berang dengan perlakuan Balqis ketika itu, Malek membentak keras. Nasib baiklah ringan jadi tidaklah susah untuk dia mengangkat tubuh kecil molek itu.

"Aku kata lepaslah! Dahlah kau tu bau busuk!" bentak Balqis pula.

Geram mendengar ejekan Balqis, Malek mendengus keras. Pautannya dilepaskan dan laju saja tangannya diayun sehingga melekap di pipi gebu gadis itu.

Akibat tamparan yang agak kuat, Balqis terus jatuh terduduk. Pipinya yang perit digosok-gosok perlahan. "Sakitlah bodoh!" jeritnya agak keras. Tanpa sedikit pun rasa takut, dua lelaki yang sedang berdiri di hadapannya direnung tajam. Jahanam betul!

"Lain kali mulut tu jangan celopar sangat. Dan kalau kau tak nak sakit lagi, jawab soalan aku. Tiger mana?!" Malek bersuara semakin kuat dengan wajah menyinga geram.

"Aku mana tahu. Aku tak jaga pun hidup dia!" Suara Balqis turut melengking kuat. Mereka ingat dia takut? Sorry, ini Balqis, tak ada satu apa pun yang dia takutkan selama ini. Sudah diajar untuk menjadi seorang yang berani sejak kecil lagi membuatkan dia langsung tidak hairan dengan segala kata herdik dan gertakan.

"Melawan perempuan ni. Aku bagi lagi baru tahu," celah lelaki yang kurus dan agak tegap di sebelah lelaki gemuk tadi dengan nada berang.

"Kau ingat aku takut?" Balqis tersengih sinis.

Lelaki yang bernama Karim itu mendengus kuat. Baru sahaja tangannya ingin dilayangkan ke muka polos gadis itu sekali lagi, tiba-tiba tangannya dipaut seseorang. "Kau apa hal?!" marahnya dan kepala terus dipusingkan ke sebelah. Sebaik terpandangkan Hendry, dia terus mati kata-kata.

"Mati budak tu nanti!" Suara garau Hendry menyapa kuat. Lengan Karim dilepaskan kasar.

"Biar mati bos dari hidup menyusahkan! Buat menyirap darah kami aje!" bedil Karim lantang.

"Kita perlukan dia sebab kita nak Tiger. Kalau dia mati macam mana kita nak dapatkan Tiger? Macam mana kita nak dapat barang tu?" Hendry mengingatkan.

"Macam mana kita nak dapatkan info bos kalau budak ni tutup mulut?" sampuk Malek dengan riak yang masih seperti tadi. Ikutkan hati dia, kelar sahaja leher perempuan yang degil macam budak seorang ini. Sudah tidak bernyawa boleh sahaja dihumban ke mana-mana.

Hendry tersenyum. Balqis yang masih menyeringai kesakitan dipandang sinis.

"Dia tak nak buka mulut, aku ada cara nak bagi dia bersuara. Mulai esok, aku nak dia kerja dekat kelab jadi escort girl. Kalau Tiger tahu kita buat budak ni macam tu, mesti dia mengamuk dan akan munculkan diri." Kepala Balqis diusap-usap sebelum ditarik kuat.

"Oiii! Sakitlah bodoh!" Balqis menjerit semakin kuat dan tangan Hendry ditepuk-tepuk.

Karim dan Malek yang melihat apa yang dilakukan Hendry berpandangan kemudian ketawa puas. Baru padan muka kau, perempuan, bisik hati kecil masing-masing.

"Inilah umpan kita untuk dapatkan Tiger. Kau berdua, jaga dia jangan sampai terlepas," pesan Hendry dan kepala Balqis ditolak sekuat hati sehingga gadis itu jatuh terjelepok di atas sofa.

"Kau ingat Tiger akan hairan? Kalau selama ni dia tak pernah ambil tahu hal aku, kali ni pun tentu dia tak kisah." Balqis tergelak sinis walaupun hati gerun mendengar kata-kata tiga lelaki itu tadi.

"Kita tengok aje nanti sama ada dia kisah atau tidak. Kalau jadi escort girl dia tak ambil tahu tentu dia akan kisah kalau aku jadikan kau... pelacur!" Hendry ketawa besar dan terus berpaling.

Pelacur? Balqis telan liur sedang dada semakin berombak kuat. Tak nak! Dia tak mahu dijadikan alat pemuas nafsu lelaki-lelaki tak guna! Hati membentak keras. Dia mesti cari jalan untuk lari dari mereka. Kalau tidak tentu dia terpaksa ikut kehendak Hendry.

"Jaga dia baik-baik. Kau orang pun tahu dia ni licik sama macam Tiger," pesan Hendry. Karim dan Malek direnung tajam. Mamat dua ekor ini pun bukannya boleh diharap sangat! Hati membentak geram.

Karim dan Malek hanya terangguk-angguk sahaja sambil tersengih lebar.

"Esok aku akan suruh Mary datang hantar baju untuk perempuan ni." Balqis dipandang semula. "Siapkan dia dan aku nak korang berdua bawa dia ke kelab pukul tujuh malam esok. Aku dah ada customer untuk dia," ucapnya sambil tersenyum sinis dan Balqis dikerling semula. "Permainan baru bermula dan aku pasti kau akan suka," ucapnya sambil tersengih lebar kemudian terus beredar dari situ.

Balqis semakin kecut perut dan liur ditelan payah. Masakan dia membiarkan dirinya diperlakukan begitu? Kepala digeleng. Tidak! Dia pasti akan cari jalan untuk melepaskan diri. Spontan itu, pandangan diliarkan ke sekeliling bilik yang agak asing itu sedang otak ligat mencari jalan untuk melepaskan diri.

Sebaik Hendry keluar, Karim dan Malek berpandangan dengan senyuman.

"Kau tahulah nasib kau esok!" ugut Karim dengan senyum meleret penuh makna. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro