
Bab 15
Rambut diraup resah. Ruang bilik yang sederhana besar itu terasa semakin sempit. Arghhh! Dua hari tidak menyentuh rokok, tidak senang duduk dia dibuatnya. Tubuh dijatuhkan ke atas katil lalu mata dipejamkan. Dia cuba untuk melelapkan mata tetapi keinginan yang satu itu semakin meluap-luap.
Arghhh! jeritnya dan bingkas bangun. Rambut panjangnya digosok-gosok. Patutlah orang yang merokok susah untuk meninggalkan tabiat tersebut. Rupanya beginilah jadinya.
Mata dikalihkan ke arah beg sandangnya kemudian dia terus berdiri. Beg sandang yang diletakkan di atas meja solek dikerling. Sepantas kilat kaki diayun ke situ dan beg sandang tersebut dicapai. Manalah tahu ada sebatang rokok terselit di mana-mana, fikirnya.
Puas beg tersebut diselongkar tetapi hampa. Beg duit kecil di dalamnya dicapai lalu dibuka.
"Ada 50 ringgit aje?" keluhnya perlahan. Hurm... Dia bukan tidak berduit tetapi kenalah menapak dulu ke mana-mana mesin ATM yang ada. Selama tinggal dengan Daniel, dia tidak pernah putus duit. Daniel akan memastikan dia sentiasa mempunyai sejumlah wang di tangan. Di dalam akaunnya pula jumlah yang ada juga sudah mencecah enam angka. Peliknya dari mana Daniel dapat duit sebanyak itu pun dia tidak tahu. Dia tahu Daniel terlibat dengan kongsi gelap tetapi dia tidak tahu apa yang sebenarnya kerja yang Daniel lakukan. Cuma pesan Daniel yang dia akan sentiasa ingat, kau jangan membazir nanti aku tak ada, guna duit yang aku simpankan untuk kau hidup. Sekarang barulah dia mengerti. Ditinggalkan Daniel tanpa sepatah kata, dia jadi hilang punca. Walaupun hubungan mereka tidaklah sebaik mana tetapi jauh di sudut hati dia tetap menyayangi lelaki itu. Walaupun Daniel seorang yang kasar dan garang tetapi Daniel begitu melindungi dirinya.
Teringatkan tentang Daniel, keluhan kecil dilepaskan. Entah di manalah lelaki itu sekarang. Kalau Daniel ada tentu dia tidak perlu hidup dengan lelaki hati kering macam Hakim dan tentu dia tidak perlu hidup sebagai pelarian begitu.
"Arghhh! Keluarlah," bentaknya. Dalam keadaan berserabut begitu, hanya benda itu sahaja yang boleh menenangkannya. Tidak menunggu, topi dicapai dan disarungkan ke kepala. Rambut panjangnya disumbatkan ke dalam topi dan jaket disarungkan ke tubuh. Puas hati dengan penampilannya, dia terus keluar. Pedulikan kalau Hakim mengamuk bila dia tahu nanti, desisnya.
Keluar dari pintu lif, pandangan dibuangkan ke sekeliling. Melihat suasana baru yang belum pernah dilihatnya itu, dada terus berdebar. Saat itu juga wajah Karim dan Malek terbayang dalam ingatan. Hurmmm... Dalam berani dia ada juga takutnya.
Yakin tiada kelibat mereka yang mencurigakan di situ, langkah terus diayun sedang mata liar mencari kedai runcit berdekatan kawasan apartmen tersebut. Hendak pergi jauh, dia tidak berani.
"Tak ada pun," bebelnya setelah penat berjalan dan dahi dikerutkan. Masakan dalam kawasan seluas itu tiada satu pun kedai runcit? Hati mula membebel. Langkah diayun lagi. Terpandangkan satu gerai menjual makanan tidak jauh dari situ, langkah terus diayun ke situ.
"Ya dik, nak apa?" sapa mak cik gerai tersebut ramah.
Balqis berdeham dan dahinya digaru. Alaaa... Mak cik, dia bukannya hendak membeli makanan tapi dia sedang mencari rokok. Itu lagi penting baginya sekarang daripada semua makanan yang ada di sini, bisiknya dalam hati.
"Bagi saya nasi lemak sambal sotong tu satu," pintanya.
Mak Cik Jah tersenyum dan mula membungkuskan nasi lemak yang dipesan. "Tak pernah nampak dekat sini. Datang rumah saudara ke?" soalnya sambil menghulurkan nasi lemak yang sudah dibungkuskan ke dalam plastik.
Dengan teragak-agak Balqis mengangguk dan huluran mak cik tersebut disambut. "Berapa ni?" soalnya malas hendak memanjangkan cerita.
"Lima ringgit."
Duit lima puluh ringgit di dalam beg duitnya diambil dan dihulurkan.
"Ini bakinya."
"Terima kasih," ucapnya ramah dan wang baki dimasukkan ke dalam poket. "Ermmm... Mak cik, nak tanya boleh?" Teragak-agak Balqis bersuara.
"Boleh. Tanya ajelah."
"Dekat-dekat sini tak ada kedai runcit ke?"
"Ada. Dekat belakang sana. Ada kedai runcit pak Jalil."
"Belakang mana?" soalnya. Rasanya puas dah dironda kawasan tersebut tadi tapi dia tak nampak pula ada kedai runcit di situ.
"Belakang bangunan yang depan tu. Tak jauh dari sini."
Balqis tersenyum kemudian mengangguk. "Oh!" ucapnya sepatah.
"Saudara siapa nama? Tinggal dekat tingkat mana?" Mak Cik Jah bertanya mesra.
Aduh! Nak jawab apa pulak ni? Inilah sebabnya dia malas hendak beramah mesra dengan orang yang tidak dikenali. Banyak pula pertanyaannya. Hati berbicara sendiri.
"Ermmm... Tinggal dekat tingkat lima," jawabnya acuh tak acuh.
"Namanya siapa?"
Kepala digaru lagi. "Errr... Hakim." Harap-haraplah mak cik tu tak kenal siapa Hakim, doanya dalam hati.
"Oh Hakim... Mak cik tak tahu pulak dia ada saudara-mara," ucap mak cik itu beria.
Ah sudah! Balqis terus terkebil-kebil. Apa dia nak jawab sekarang?
"Kak Jah, nasi kerabu ada lagi tak?"
Terdengar suara seseorang menyapa di belakangnya, Balqis hela nafas lega. Tak perlulah dia menjawab pertanyaan mak cik itu.
"Dah habis dah. Siapa suruh kau lambat sangat. Yang ada nasi lemak dengan mi goreng aje ni ha."
"Alahai Kak Jah. Bukannya nak tinggalkan untuk saya barang sebungkus dua. Dah tahu saya hari-hari ke gerai Kak Jah ni, kan?" Mak Cik Jenab mula membebel.
Sebelum Mak Cik Jah menjawab, cepat-cepat Balqis mencelah. "Saya beli ni mak cik," ucapnya dan terus buka langkah pergi dari situ. Berlama-lama banyak pula soalan yang perlu dia jawab nanti.
"Siapa tu Kak Jah?" soal Mak Cik Jenab sedang mata tidak berkalih memandang batang tubuh yang sudah berlalu pergi itu.
"Entah. Katanya saudara Hakim."
Laju Mak Cik Jenab palingkan wajah memandang Mak Cik Jah. "Saudara Hakim? Sejak bila anak haram tu ada saudara?" Lancar sahaja mulut Mak Cik Jenab mengeluarkan kata-kata kesat.
"Tak baik cakap macam tu, Nab," tegur Mak Cik Jah bersama gelengan.
"Eh! dah memang betul Kak Jah oiii! Tak ingat apa kerjanya si Rosiah tu dulu?" Muka dicemikkan.
"Astaghfirullahalazim... Cuba jangan disebut-sebut tentang orang yang dah tak ada, Nab," marah Mak Cik Jah dengan suara yang sudah naik senada.
Cemikan Mak Cik Jenab semakin dalam. "Orang macam tu Kak Jah, mati pun tak diterima bumi. Apa tidaknya, hidup asyik bergelumang dengan dosa. Tengoklah, cara mati pun mengerikan. Nasib baik tak jadi hantu kacau penduduk dekat sini," ejeknya.
Mak Cik Jah hela nafas. "Walau macam manapun hidup dia, kita tak berhak untuk menghukum. Mana tahu dalam kejahatan yang dia buat ada satu kebaikan yang Allah terima dan sediakan syurga buat dia. Kita yang rasa diri sempurna ini, entah-entah awal lagi dah tempah tempat dekat neraka," bedilnya.
"Haih! Berceramah pulak Kak Jah ni. Ermmm...Bungkuskan saya nasi lemak sambal udang tu tiga," suruhnya dengan muka yang masam mencuka. Sibuk mengajar orang macamlah diri dia tu baik sangat! kutuknya dalam hati.
Mak Cik Jah akur sahaja dan terus membungkus nasi lemak yang dipesan.
Kotak rokok di tangan dipandang dengan senyum lebar di bibir. Hurmmm... Akhirnya dapat juga dia apa yang dihajati dan sekarang, dekat mana dia nak lepaskan hajat? Kalau dia melayan di rumah, sudah tentu-tentu Hakim akan terbau. Cara yang terbaik, sebelum naik, baik dia layan perasaan dulu, bisiknya sambil tersenyum nakal dan pandangan dibuangkan ke sekeliling. Terpandangkan taman permainan tidak jauh dari situ, wajah terus bertukar ceria dan langkah diayun ke situ. Duduk sahaja di satu sudut yang agak terlindung dari orang ramai, kotak rokok dibuka dan sebatang rokok disuakan ke mulut. Sebaik hujung rokok dibakar, rokok itu disedut dengan penuh nikmat kemudian asapnya dihembuskan lepas. Dari sebatang hinggalah ke batang yang ketiga barulah Balqis sedar, dia sudah terlalu lama di situ. Dengan tergesa-gesa, hujung rokok dilenyek-lenyekkan ke kerusi batu yang didudukinya dan dia terus buka langkah untuk beredar.
Berdiri di muka pintu, langkah Hakim terhenti. Kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci kemudian dipusing.
"Tak berkunci?" Dahi dikerutkan dan daun pintu terus dibuka. Eh! Rasanya sebelum dia keluar pagi tadi, pintu sudah dikunci. Hati berbicara sendiri. Teringatkan sesuatu, dadanya tiba-tiba berdegup kuat dan dengan tergesa-gesa, dia terus meluru ke bilik Balqis. Daun pintu dikuak dan pandangan dibuangkan ke sekeliling bilik.
Kosong. Hati berdegup semakin laju.
Hakim berlari ke dapur pula.
Masih kosong.
"Que!" panggilnya cemas.
Senyap.
"Ya Allah, mana pula budak ni!" Rambut diraup. Dalam keadaan cemas, telefon bimbitnya dicapai. Baru sahaja nombor Balqis ingin didail, dia terdengar bunyi daun pintu dikuak. Spontan itu pandangan dikalihkan ke pintu. Sebaik terpandangkan Balqis yang sedang meletakkan kasutnya di rak, nafas dihela dan dia terus meluru menghampiri gadis itu.
"Kau pergi mana ha?!" marahnya keras.
Balqis terkedu. Terkejut dia melihat Hakim di situ. Bukankah kebiasaannya pada waktu-waktu begitu Hakim masih belum balik lagi?
"Bukan aku dah pesan dengan kau jangan sesuka hati keluar? Kau tahu tak dekat luar tu bahaya? Kau tahu tak nyawa kau dalam bahaya?" Bertalu-talu Hakim melepaskan amarah. Balqis yang sedang menikus di tempatnya dihampiri semakin dekat.
"Kalau kau dah tak sayang nyawa sangat, aku tak kisah. Lantak kaulah situ. Lagi senang hidup aku sebab tak payah fikirkan tentang keselamatan kau lagi. Tapi cuba fikirkan tentang orang-orang yang risaukan kau," semburnya lagi lebih keras dari tadi.
Balqis telan liur. Kecut perutnya melihat Hakim yang sedang menyinga di hadapannya itu. "Aku bukannya pergi mana-mana, aku turun bawah aje," balasnya perlahan dan kepala ditundukkan memandang lantai. Hendak menjelaskan lebih-lebih, suaranya seakan-akan terkunci.
"Pergi bawah aje?" Hakim jegilkan mata. "Kau tahu tak kalau kau leka sikit, dekat bawah tu pun kau boleh mati. Ingat sikit, orang jahat yang cari kau tu ada dekat mana-mana."
"Habis tu kau nak aku duduk aje dekat dalam rumah ni macam patung? Kau ingat aku tak bosan ke?!" Balqis turut meninggikan suara. Haih! Geram pula dia.
"Kau cuma fikirkan bosan kau aje, kan? Ada kau fikir susah aku sebab terpaksa jaga kau? Ada kau fikir risau aku sebab takut kau kena tangkap? Ada?!" Hakim semakin berang.
"Aku tak pernah suruh pun kau susah payah untuk aku!"
"Kau ni memang jenis tak reti bersyukur dan berterima kasih, kan? Orang dah tolong tapi ini yang kau balas?" bentaknya. "Kalau kau rasa kau dah pandai sangat jaga diri sendiri, haaa! Pergilah! Pergi ke mana-mana yang kau suka. Aku malas nak peduli! Lagipun kau bukannya sesiapa dengan aku. Adik aku bukan apatah lagi isteri aku!" halaunya.
Diherdik begitu, Balqis terpempan. Mata yang berkaca-kaca pantas diseka.
"Baik, aku pergi dan aku tak akan susahkan kau lagi!" ucapnya lantang. Kasutnya dicapai dan dia terus berlari keluar.
Terkejut dengan tindakan Balqis, Hakim terpempan. Tersedar kelancangan sendiri, Hakim beristighfar dan nafasnya dihela. Ya Allah, macam manalah dia boleh naik hantu tadi. Marahnya kepada diri sendiri. Risau memikirkan keadaan Balqis, dia terus meluru keluar dan kelibat gadis itu dicari.
"Ya Allah, mana pula kau ni?!" keluhnya apabila kelibat gadis itu tidak kelihatan di mana-mana. Belum setengah jam Balqis pergi, kelibatnya sudah lesap. Arghhh! jeritnya dalam hati. Terfikirkan gadis itu mungkin ditangkap oleh geng Hendry, dadanya berdegup lagi dan rambut diraup resah. Risau, nombor telefon Beng didail. Setelah berbicara seketika dengan lelaki itu, talian dimatikan dan Balqis dicari semula.
Penat mencari, langkahnya dihentikan dan tubuh disandarkan ke dinding. Perlahan-lahan nafas dihela untuk meredakan lelah. Dahi yang basah dikesat dengan belakang tangan sedang mata masih liar memandang ke sekeliling.
Sudah hampir setengah jam dia mencari tetapi Balqis masih belum ditemui. Entah-entah Balqis sudah pergi dari situ dengan menaiki teksi, fikirnya. Tapi, ada duitkah gadis itu? Hati bertanya pula. Tidak tahu di mana hendak dicari lagi, akhirnya Hakim putus asa. Langkah dibuka kembali. Saat kaki melintasi taman permainan di blok nombor dua kawasan apartmen tersebut, langkah Hakim terhenti semula dan perlahan-lahan nafas lega dihela.
Que, bisiknya dan gadis itu dihampiri.
"Jom balik!" Tangan Balqis diraih dan dengan selamba ditarik.
Terkejut dengan tindakan tiba-tiba Hakim, Balqis tersentak dan tangannya direntap. "Tak naklah!" Hakim dijeling.
"Kau jangan degil boleh tak?" marahnya.
"Biarlah kalau aku nak degil pun. Kau sibuk kenapa? Aku bukannya adik atau isteri kau!" bedil Balqis membidas kata-kata Hakim tadi.
Hakim hela nafas. "Okey, salah aku tapi kau pun salah jugak. Siapa suruh kau keluar tanpa kebenaran?" ucapnya dengan nada yang sudah mula mengendur.
"Kalau aku minta izin kau nak bagi ke aku keluar? Tak, kan?"
"Kita balik dulu baru kita bincang tentang hal ni. Kalau ada yang nampak, kecoh nanti." Hakim cuba memujuk.
"Tak nak!"
"Que, aku nak tolong kau. Jadi boleh tak kau tolong diri kau juga? Boleh tak jangan degil?"
"Ya, aku degil. Habis tu tak payahlah kisah pasal aku." Balqis masih berdegil dan mula buka langkah.
Hakim geleng kepala. Malas hendak memujuk lagi, lengan Balqis direntap semula dan terus ditarik dengan agak kasar. Gasaklah Balqis nak marah pun. Dah degil sangat itulah makanan dia!
"Lepaslah!"
"Kau jangan buat perangai nanti aku dukung kau. Kau jangan ingat aku tak berani nak buat macam tu. Lagipun kau tu bukannya besar sangat!" ugutnya dan gadis itu terus ditarik.
Geram dengan tindakan Hakim, Balqis mendengus. Dalam keadaan terpaksa, langkah Hakim diekori sedang hati tak berhenti membebel marahkan lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro